cerpen : Selamat Datang Risya

KITAB tafsir al-Quran setebal dua inci terlepas dari tanganku apabila terdengar rengekan Zana dari bilik utama. Aku pasti suara itu datang dari dinding bilik itu. Ada bunga riang berkuntum di sanubari. Mungkin detik waktu yang dinanti sudahpun tiba. Sehari, dua hari, tiga hari dan semua jari di tangan habis kubilang tetapi Zana tetap begitu.

Sembilan bulan sepuluh hari tabah kutunggu tetapi untuk sepuluh hari atau lebih lagi aku jadi terkesima. Ada lalang resah menacak di tebing hati di kala penantian itu tiada hujungnya. Semacam dugaan yang getir menanti di hadapan. Seribu mungkin akan datang menikam. Aku tidak mahu apa-apa yang buruk berlaku pada Zana. Doa tidak henti-henti kupanjat semoga Zana selamat.

“Zana, tak apa-apa?” Dia menggeleng. Kulihat bahunya terhingut-hingut. Kubuka bantal yang menerkup mukanya. Kuselak rambut panjang menutup mata nya. Ada air mata yang mengalir. Matanya merah.

“Zana menangis?” Dia tidak menjawab. Air matanya terus mengalir.

“Zana sakit? Kalau sakit abang bawa ke hospital!” Aku memeluk bahunya. Aku jadi sebak melihat air matanya yang seperti air terjun itu. Dia menggeleng lagi.

“Zana takut?” Kali ini mengangguk.

“Tak ada apa yang berlaku, sayang! Zana akan selamat,” pujukku sambil mengusap helai rambutnya.

“Esok kita pergi ke hospital. Kita buat pemeriksaan lagi.” Jangan ada apa yang berlaku Zana, Tuhan! Andai kesakitan yang bakal menusuk ke tubuhnya mampu dikongsi atau diberikan semua kepadaku, aku sanggup menanggung beban kesakitan itu. Sungguh! Ketika itu terbayang di benakku saat-saat Zana meneran mahu mengeluarkan bayi kami dari dunia rahimnya. Zana sungguh-sungguh, biar seurat nyawa terputus dari badan demi sejalur kebahagiaan buat kami. Air mataku kali ini mengalir. Aku menangis sungguh-sungguh di depan Zana yang terdiam kelu. Kali ini dia berganti mengusap rambut pendekku.

“Jangan menangis, bang! Zana tak apa-apa,” ucapnya sambil belakang tangannya menyapu air mata di pipiku. Kami sama-sama dalam ketakutan yang serupa.

“Kandungan Zana baik! Abang dengar doktor kata, kandungan Zana sihat!”

“Tapi bila Zana nak melahirkan? Abang bimbang apa-apa yang berlaku pada Zana.”

“Kita berdoa agar semuanya selamat.”

“Dah puas abang berdoa. Mungkin abang bukan orang baik. Sebab itu doa abang tak dimakbuli.”

“Jangan cakap begitu, bang! Ini cuma ujian dari Tuhan untuk kita.”

Kuharap benar kata-kata Zana itu. Kalau Tuhan mahu menghukum kerana dosa-dosaku jangan Zana jadi tebusannya. Aku tidak rela Zana menggantinya kerana perempuan itu terlalu suci. Biar aku seorang membayar dosaku. Jangan Zana. Jangan zuriat kami kerana mereka tidak bersalah.

Zana gadis suci pilihan ibu untukku. Sekali melihatnya aku terus jatuh cinta. Cinta pandang pertama itu nyata lebih nikmat apa lagi dengan kalungan piala restu ayah bonda. Ketika itu, kupulangkan hati Meera kerana dia cinta yang terhalang. Kutahu, tanpa perlu bertanya, ibu dan ayah pasti tidak dapat menerima Meera.

Meera gadis sosial yang nampak cantik apabila rambut gerbangnya dimerahkan, apabila pipi gebu dan bibirnya disapu pelbagai warna. Meera nampak genit apabila memakai pakaian di paras peha, menampakkan kulitnya yang putih merah. Dulu Meera paling cantik di mataku. Gediknya mencairkan hati lelakiku. Tiada satu pun liuk-lintuk Meera melemaskan. Semuanya mendebarkan sukmaku. Semuanya merangsangkan berahiku. Tidak pernah kulihat cinta dari matanya. Terbias cuma nasfu. Sesungguhnya Tuhan melaknat hubungan kami.

“Abang, Zana sakit bang!” Lamunanku terhenti. Aku segera mendapatkan Zana yang sedia memegang perutnya sambil mengusap kesakitan.

“Sabar, Zana. Kita ke hospital!” aku berjalan sambil berlari, mencari baju dan kunci kereta. Perlahan Zana kupapah masuk ke perut kereta. Malam yang pekat kubelah dengan debaran yang penuh di dada. Mulutku kumat-kamit membaca apa saja surah pendek yang kuingat

“Pintu rahim tidak terbuka sepenuhnya. Tunggu dalam dua jam lagi,” kata doktor perempuan yang dari wajahnya cukup jelas menyatakan semuanya akan selamat kerana di tangannya telah ramai bayi yang berjaya dilkeluarkan. Tapi rasa ketakutan di dalam rongga dadaku tidak mampu kuusir. “Encik boleh tunggu di luar. Bila melahirkan nanti kami akan panggil Encik.”

Sebelum keluar dari dewan bersalin aku sempat mencium dahi Zana dan tangannya kukepal hangat. “Ingatkan Tuhan, sayang!” Dia angguk. Bibirnya tidak henti melafaz doa yang diingat sejak semalam lagi.

“Abang doakan Zana,” air matanya melinang di pipi, menahan kesakitan dan melepaskan ketakutan. Aku masih ingat kata-kata Zana sedikit hari lepas. Katanya, aku ini dahan untuk dia menghumban ketakutan. Seraut wajahku bisa melenyap kesakitan kerana aku ini pohon kebahagiaannya. Cukup gemilang mimpinya menyandar seluruh hidup di tanganku. Sedang aku cuma punya secarik mimpi yang diamuk dosa semalam yang masih hitam.

***

“Meera hamil, bang!”

Aku terkedu mendengarnya. Sebenarnya daun lidahku mahu menitikkan perhubungan kami yang jauh merencong itu. Aku mahu memberitahu Meera bahawa selama ini aku tidak mencintainya. Aku juga mahu dia tahu aku sudah selamat mengikat tali pertunangan dengan gadis pilihan ibu yang telah menerbitkan rasa cintaku yang harum dan cantik kuntumnya. Tapi sesungguh ketika itu lidahku jadi tersimpul. Aku tidak boleh terburu meninggalkannya. Kalau jalan itu yang kupilih aku pasti istana yang kuangan dan sedang kubina akan runtuh berkecai. Keluarga Zana akan memutuskan tali pertunangan kami kalau mereka tahu aku bukan lelaki yang baik untuk anak gadisnya. Aku akan disumpah menjadi batu kalau ibu tahu aku telah membuntingkan Meera, kekasih gelap yang kudakap sepenuh hati di kuntuman cinta berahi. Semua orang tidak akan mempercayai aku lagi. Nama baikku akan tercemar. Aku tidak mahu rahsia ini pecah. Pecah dari mulut Meera. Meera bisa berbuat apa saja.

“Meera mesti gugurkan kandungan ini.”

“Berapa kali lagi kita mesti melakukannya, bang?”

“Sekali ini saja,” ujarku penuh yakin. Selepas ini Meera akan kutinggalkan. Jangan cari aku lagi. Kita akan berpisah, Meera. Maafkan aku kerana tidak mampu menipu diri sendiri lagi dengan cinta yang tidak suci begini.

“Dah lama kita buat dosa, bang!”

Aku mahu insaf tapi bukan denganmu. Sembur suaraku yang tersekat di halkumku. “Meera dah insaf?”

“Bukan begitu tapi kali ini abang mesti bertanggungjawab. Kita kahwin.”

“Abang masih muda.”

“Muda atau tua kita akan mati.”

Kulihat Meera berlainan benar. Tidak seperti biasa. Ulas suaranya kudengar serius.

“Kalau abang tidak mahu kahwin dengan Meera. Meera akan kahwin dengan orang lain.”

“Dengan siapa?”

“Sepupu Meera. Dia seorang yang alim. Tapi selepas ini jangan cari Meera lagi. Kita berpisah dan biar anak kita ini, Meera pelihara.”

***

“Encik, isteri encik sudah selamat melahirkan seorang anak perempuan.”

Seorang jururawat datang menghampiriku. “Apa?”

“Encik mendapat anak perempuan.”

“Isteri saya?”

“Isteri encik juga sihat.”

Aku bingkas bangun mengekori jururawat itu. Di katil yang bercadar serba putih itu kulihat Zana sedang menyusu anak kami. Bila melihat aku dia terus melekatkan senyum. Aku bahagia. “Anak kita. Risya Sofea. Itu nama yang kita pilih. Abang masih ingat?” ucapnya.

Dahinya lantas kukucup. Seribu mimpi telah kurangkap dalam puisi hidup kami tetapi pantaskan mengecapi semua wanginya. Risya Sofea! “Terima kasih, Zana.”

“Sehingga kini terlalu banyak yang Zana berikan kepada abang tapi sehingga kini tiada pun yang abang berikan kepada Zana.”

“Jangan cakap macam tu, bang!” Dia mengusap wajahku dengan sebelah tangannya. Wajahnya lemah. Mata letihnya memokus tepat kepadaku. “Abang masih diganggu kenangan silam?”

Aku terdiam. “Jangan fikirkan abang. Zana perlu berehat.”

“Bukankah Meera sudah mati.”

“Ya!” ujarku lemah.

“Abang masih ingatkan dia? Abang rasa berdosa?”

Aku angguk. Air mataku berderai lagi. Air mataku jatuh di pipi bayi kami. Segera kuseka.

“Meera sudah redha, bang!”

“Tapi abang lepaskan tanggungjawab abang. Abang seperti mencemar kesucian Zana selama ini dengan dosa-dosa abang.”

“Berapa kali abang mahu terhukum begini. Meera tak akan kembali lagi. Kalau abang rasa abang menipu Zana selama ini, Zana maafkan abang dunia dan akhirat. Dosa abang dengan Meera dan anak abang, abang pohonlah keampunan dari Tuhan,” aku angguk. Ketika itu Zana mengusap lagi rambutku. Pada urat jemarinya kuterasa kekuatan yang hangat.

Suatu hari kami didatangi seorang pemuda yang memperkenalkan diri sebagai suami Meera. Dia membawa berita tentang Meera. Meera meninggal dunia ketika melahirkan benihku dari rahimnya. Bayiku turut terkorban. Meera ada berpesan bahawa antara aku dan dia tiada dosa kerana segala dosaku telah diampunkannya. Yang tinggal adalah dosaku kepada Tuhan. Meera amat berharap aku telah mendapat nur dari-Nya.

“Abang, anak kita belum diqamatkan lagi.”

“Ya! Tunggu abang pergi berwuduk. Abang mahu sembahyang sunat taubat.”

Sebuah kucupan singgah di pipi Risya Sofea. Selamat datang, Risya. Semoga kehadiranmu akan menyemarakkan hidup ini. Aku berjanji akan melekatkan iman di dalam dada Risya. Aku mahu dia punya keimanan seteguh Masyitah, penyisir rambut anak Firaun yang tidak pernah berubah tingkat ketakwaannya kepada Allah.

About these ads

3 Respons

  1. Hmm….bahagianya….

  2. ringkas, tapi intipatinya menarik!
    punya pengajaran yang tersirat!

    teruskan menulis ya!!

  3. walaupun nampak endingnya baik tetapi dosa berzina ini amat besar…bertaubatlah kpd tuhan… dengan taubat nasuha….

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: