Berakhirnya

Abang jangan lupa ye, jam 5.40 petang 31hb Disember ni.. Mama beria-ria nak ajak abang makan malam sekali,” berulangkali Rashidah mengingatkan aku. SMS pun digunakan bagi memberi peringatan kepadaku. Katanya makan malam tetapi jemputannya pada sebelah petang. Entahle, tak pandai aku nak mengomennya. Bagi dia pertemuan aku dengan mama pada petang ini amat penting. Penentuan bagi perhubungan kami yang telah berlanjutan selama 6 bulan. Baginya biarlah mama yang menjadi penentuan sama ada perhubungan kami ini direstui atau tidak. Baginya lagi restu daripada mama adalah segala-galanya. Aku yang gementar dibuatnya. Sememangnya mama Rashidah mengetahui akan perhubungan kami, tapi dia tidaklah melarang ataupun menggalakkan, jadi seharusnya pertemuan ini mungkin akan memperlihatkan reaksinya kepada perhubungan kami.
Aku sejak Rashidah memberitahu aku mengenai pertemuan makan malam itu dan mamanya sendiri menelefonku dan menjemputku ke rumahnya pada New Year Eve seolah-olah mengandungi pelbagai persoalan yang perlu dijawab. Aku agak tidak keruan sejak hari itu. Masa yang kuhitung terasakan terlalu lama. Aku berkira-kira akan pertuturan yang seharusnya aku aturkan semasa pertemuan dengan mamanya itu. Cara aku berpakaian dan seharusnya cara aku makan dalam istiadat makan orang-orang barat. Alamak, terlalu janggalnya aku. Aku jadi tidak keruan memikirkannya dari hari ke sehari. Ramai rakan sepejabat aku memberikan kata-kata semangat buat aku terutamanya Humaira dengan kata-kata ‘Be yourself’ tetapi pantaskah aku berlagak seperti diriku sendiri dalam majlis yang terlalu asing buatku. Aku takut juga manalah tahu pinggan dan suduku berlaga dan berbunyi, pasti ada mata yang menoleh ke arahku. Alangkah janggalnya aku.
“Kau dah fikir masak-masak ke tentang pakaian yang kau nak pakai ke rumah dia tu?” tegur Mie pada aku. Aku menggangguk-anggukkan kepalaku sahaja. Di dalam benak fikiranku, pakaian jeans hitam dan juga baju T-shirt berjenama POLO berkolar sahaja yang terlintas dalam fikiranku. Itulah pakaianku. Nak berpakaian batik? Maafle, aku tak ada koleksi pun, nak berpakaian kemeja, aku janggal, maklumlah semua pakaian kemeja yang ada pada aku tiada yang baru. “Kalau kau rasa ok, ok le tu… ,” balas Mie dengan tersenyum lebar ke arahku. Aku sememangnya rapat juga dengan Mie selaku rakan sepejabat. Di pejabat aku, Mie dan Zaled umpama The Three Stooges aje,. apa tidaknya kami selalu pergi makan tengahari bersama-sama dan kadang kala jika Na, isteri Mie ada kelapangan, kami akan berempat pergi makan bersama-sama. Aku dengan Mie dahulu pernah menjadi house-mate dan pernah menyayangi orang yang sama. Tapi, kerana berpegang kepada prinsip ‘the best man wins’… dan Mie menang dalam hal ini maka aku dan dia masih lagi dan terus berkawan baik kerana kami tetap kawan.
Jam ditanganku menunjukkan pukul 3.30 petang. Aku mula bergegas bersiap-siap untuk pulang ke rumah bagi menyiapkan diri aku dan nak menunggu Rashidah menjemput aku dengan kereta Wiranya. Midah merenung aku sambil tersengih-sengih. Aku terus meluru ke bilik bos aku untuk minta izin kerana aku nak pulang awal dari masa pulang kebiasaan atas urusan peribadi. Malangnya bos aku pulak tak ade, bila aku tanya kat setiausaha dia, dengan selamba dia menjawab, “Bos MC”.
Aku kena pulang awal kerana road-tax aku sudah mati, lupa lak aku nak hidupkannya kelmarin. Kacau betul le, mujurlah Rashidah bersetuju untuk menjemput aku tetapi dengan syarat sebelum pukul 5.15 di depan rumahku. Jadi aku kenalah bergegas balik. Mana le tahu kena mandi lulur lak?. Paling tidak pun mandi bunga ke?.
Semasa aku singgah ke bank untuk membuat pengeluaran, aku ditegur dari belakang. Ramli, bekas pelajar aku dahulu. Tiba-tiba sahaja dia beria-ria nak belanja aku makan. Siap ajak aku makan Pizza Hut pulak tu, kacau betul le, tapi sebab nak ambil hati dia, aku pi jugalah, dah ada orang nak belanja. Makan borak punya pasal, sedar-sedar dah pukul 4.30 petang, maka aku kena pergi dulu, selepas mengucapkan terima kasih, aku terus meluru ke kereta mengejar masa. Gementar masih lagi kuat menghantui aku.
Aku sampai ke rumah jam sudah menunjukkan pukul 4.50 petang. Aku bergegas mandi dan solat Asar. Pakaian yang aku pilih telah aku sangkut di muka almari sejak dari pagi tadi. Bersiap-siap ambil masa juga le tetapi tidakle nak bersolek macam setengah orang tu. Natural beauty, buat apa nak solek-solek… . Ahaks! Aku terus bergegas keluar apabila melihat sebuah kereta Wira telah berada di depan rumahku. Cepat-cepat aku bergegas keluar rumah. Kelam kabut aku dibuatnya. Jam menujukkan pukul 5.17 petang.
“Maaf Eddi, abang terlambat sikit,” jelasku menghampiri keretanya. Aku tiba-tiba tergamam. Mungkin terpesona. Aku buat pertama kalinya melihat Rashidah memakai Baju kurung, wau… .manisnya. “Apa yang abang pandang-pandang tu, masuklah cepat, kita dah lewat ni, mama ada function lagi lepas Maghrib ni,” kata-katanya itu menyentakkan aku dari lamunan. Bergegas aku masuk dan duduk di sebelahnya. Buat pertama kali aku bangga dapat berkawan dengan Rashidah dan aku dapat menghayati kecantikan ciptaan Tuhan buatnya. Aku benar-benar bangga. Aku terpukau dengan kejelitaannya itu.
Rashidah terus mengambil laluan Lebuhraya NKVE untuk ke Subang Jaya. Bergegas rasanya. Aku tahu dia khuatir takut kami terkandas dalam kesesakan, maklumlah waktu orang balik pejabat, jalan raya di Kuala Lumpur dan Lembah Kelang ni bukannya boleh diduga pun. Cara pemanduan Rashidah amat cermat tetapi terasa juga kasarnya. Aku tersenyum sendiri. Terasa peluh mula membasahiku dan aku merasakan penghawa dingin dalam kereta Rashidah tidak dapat menyejukkan aku. Mungkin aku gementar. Gementar buat kali pertamanya kerana salah aku juga. Siapa suruh aku berkasih-sayang dengan anak orang kenamaan.
Sebelum balik dari kampung kerana berhari raya tempohari, mak dah mengingatkan aku bahawa sedar sikit diri tu. Janganlah nak berangan nakkan anak orang kenamaan, kerabat lak tu. Mak kata kat aku, ingat bahawa kedudukan kita tak sama dengan mereka. Aku diam sahaja. Tapi mak tahu akan pertemuan aku dengan mama dia hari ini. Aku tidak pernah merahsiakan apa-apa pun mengenai hubungan aku dengan Rashidah kepada mak aku dikampung. Walaupun dalam suka dan duka, mak aku masih berbelah bagi dengan keputusan aku untuk bersama Rashidah. Bagainya aku bagaikan menempah kedukaan dalam kehidupan. Kesengsaraan dalam kebahagiaan. Sepanjang perjalanan kami tidak banyak berbicara dan aku perhatikan dia banyak menumpukan perhatiannya kepada pemanduannya sahaja dan sekali-sekala sahaja melayan aku berbicara, namun aku senang dengan caranya itu.
Setibanya aku ke banglo yang tersergam besar di kawasan Subang ini, dadaku semakin kuat berdebar-debar. Aku melihat 2 buah kereta Mercedes dan sebuah Proton telah tersedia berada di laman rumahnya itu. “Kita dah sampai bang oii, apa lagi, takan nak saya bukakan pintu pulak?” dia menjeling ke arahku. “Apasal abang berpeluh ni?” sambil tersengih-sengih memandangku. “Ahah!! Abang takut ye?” Rashidah menjelingkan matanya ke arahku sambil tersenyum sinis. Kalaulah ikut rasa hati, hendak aje aku picit hidungnya yang mancung itu. Geramnya aku. Dah tahu aku ni gabra masa ni, dia boleh buat kelakar lagi. Alamak, mamanya tersenyum memandang ke arahku. Buat pertama kali aku melihat rupa mamanya. Bertudung skaf, muda dan tersenyum memandangku. Aku bagaikan tersipu-sipu malu.
“Jemput masuk … siapa namanya Eddi?” mama menoleh ke arah Rashidah “Azam, mama… ., hish mama ni buat malu aje,” Rashidah memandangku sambil mengenyitkan matanya. Aku mengekori mereka sehingga ke ruang tamu. “Jemput duduk Azam, nak dipanggil ape ye?” mama Rashidah duduk di atas sofa dan menjemput aku untuk turut serta. Aku menganggukkan kepalaku. Gementar semakin terasa di dalam dadaku. “Panggil saya Azam aje… Puan,” dalam nada yang agak gementar aku menjawabnya. Nyaris aku tidak tersasul memanggilnya mama, kalau tidak mahu aku menyorok di bawa sofa lembut yang aku duduk sekarang ni. “Tak payah berpuan-puan, Azam; panggil Mama pun tak mengapa,” amboi bagaikan nak terpukau dengan keizinan yang telah diberikan kepadaku itu. Nampak gayanya lampu hijau le kali ini. Ehem!.
Mama memang pandai berbual dan cara dia berbual menyebabkan aku hilang kekok dan juga gementar. Banyak perkara yang diperbincangkan oleh mama. Seharusnya mama memang nampak seorang yang intelektual. Banyak topik yang boleh dikupasnya. Aku mengagumi mama. “Sebenarnya mama memang cadang nak jemput Azam makan malam, tetapi mama pula ada function malam ini kat Hotel Nikko. Jadi mama minta Eddi bagi tau kat Azam yang kita buat makan malam awal sikit le. Jadi adat Cina le kita ni,” mama tersenyum sambil melemparkan senyuman sinis buat Rashidah. “Mama selalu dengar Eddi cerita pasal Azam, ah.. kita makan dulu le, sambil makan kita sembang lagi le.. ok, sebabnya mama pun tak boleh lama sangat ni,” mama terus bangun dari sofa dan menuju ke dapur. Rashidah menjeling ke arahku sambil tersenyum. Dia seolah-olah membisikkan bahawa ‘amacam? gabra lagi ke?’ Rasanya pada masa itu, hendak saja aku mengetuk kepalanya kerana senyumannya sinisnya itu. Kalau ikutkan rasa memang aku nak cekik-cekik dia masa tu juga. Tapi kalau aku dah cekik nanti, mati pulak orang yang paling aku sayangi itu. Bujang tuale aku sekali lagi. Batal, tak jadi niat jahat aku tu.
Kalau sebelum ini aku menjangkakan makan secara beristiadat, rupanya telahan aku meleset sama sekali, sama seperti orang lain makan nampak gayanya. Cuma susunan makanannya yang banyak dan juga teratur. Aku melihat dari cari juadah yang dihidangkan seolah-olah untuk 10 orang makan, mampus le aku macam ni. Tiada sudu, tiada garfu apatah lagi pisau steak, meleset sekali pemahaman aku selama ini. Makan secara adat melayu beb… .
Semasa makan, kami tak banyak bercakap, cuma sekali kala mama Rashidah mempelawa aku menambah lauk ke dalam pinggan makanku. Aku yang masih kemalu-maluan dibuatnya. Segan kot. Oleh kerana aku masih kekenyangan memakan Pizza Hut yang bekas pelajar aku belanja tadi, maka aku hanya mampu menjamah sedikit sahaja makanan yang disediakan itu. “Kenapa sikit saja ni Azam? Tak sedap ke?” tiba-tiba Mama Rashidah mengajukan soalan itu buat aku bila melihat aku sudah mula membasuh tangan di bekas kendi yang disediakan. “Sedap mama, cuma saya memang jenis tak makan banyak, sedap semua lauk-lauk ni,” terangku bagaikan cuba mengambil hatinya. Aku takut juga kalau dia tersinggung dengan sikapku, alamat lampu merahle gayanya. Selesai sahaja makan, mama mempersilakan aku ke ruang rehat diluar. “Mama nak berbicara dengan Azam dan Eddi di luar ye, sambil tu kita boleh makan angin dan juga buah-buahan ni,” ‘Alamak! Makan lagi ke? Macam ni boleh kembali buncit le aku beb!’ Aku cuma menganggukkan kepalaku. Kulihat, jam baru menunjukkan pukul 6.30 petang. Aku menarik nafas lega dan mungkin untuk menghilangkan gementarnya perasaan aku sejak mula menjejakkan kaki ke sini.
Rashidah mengajak aku terus ke ruang rehat di sayap kiri rumahnya. Nyaman sekali dengan persekitaran yang harmoni. Damai sekali. Kemudian muncul mama dengan Mbah Tini menatang air dan buah-buahan. “Ini cuma juadah pencuci mulut aje ni,” mama terus duduk di hadapan aku. Dia benar-benar bertentangan mata dengan aku. “Mama panggil Azam ke sini pun semata-mata kerana Eddi dan..” seperti yang aku jangkakan bahawa mama akan menceritakan maksud dan pengertiannya mengenai hubungan aku dengan Rashidah. Sambil meneguk air oren, mama terus memulakan bicaranya. Cukup tertip dan teratur. “Mama tidak mahu menghalang perhubungan Eddi dengan Azam cuma, mama tidak sukale kalau hubungan itu bersulamkan perasaan dan bibit cinta, kerana bagi mama, mama belum bersedia untuk melepaskan Eddi kepada sesiapa untuk dicintai,”aku bagaikan terpukau dengan kata-kata itu. Aku seolah-olah sudah tahu akan kesudahan hubungan aku dengan Rashidah. “Maafkan mama, Azam, Eddi, mama bukan nak menghalang perhubungan kamu berdua, kalau sekadar abang angkat dan adik angkat, mama tiada halangan cuma mama tidak dapat menerima lebih dari itu,” cukup berdiplomasi mama menerangkan kepada aku. Aku melihat Rashidah tertunduk sambil menitiskan air matanya. Hati aku sendiri terasakan remuk tetapi sebagai egonya seorang lelaki aku kena tabah. Inilah ketabahan yang memerlukan pengorbanan dan aku cukup menghormati cara diplomasi mama Rashidah seolah-olah tidak menyerangku dengan kata-kata yang tidak enak sebaliknya kata-katanya seolah-olah mengubat luka di hatiku ini.
“Mama tidak menghalang hubungan kamu berdua tetapi mama tidak mahu Eddi terlibat dalam dunia percintaan sehinggalah dia selesai pembelajaran dan selewat-lewatnya biarlah dia menjangkau umur 25 tahun. Tapi masalah pula untuk Azam, sanggupkah Azam menunggu Eddi selama 4 tahun itu?” persoalan yang mama keutarakan seolah-olah membuka mataku bahawa sememangnya Rashidah bukan dicipta untukku dan aku bukan dicipta untuknya.
Perjalanan balik dari rumah Rashidah cukup menghambarkan. Matanya agak merah dan masih menitiskan air mata. Sedih aku melihat situasinya. Dia tertunduk tetapi aku menegaskan kepada dia, bahawa mungkin bukan jodoh antara kita tetapi kita masih boleh berhubungan seperti abang dan adik. Aku mohon kepada dia agar anggaplah aku sebagai abangnya sahaja. Aku tahu betapa peritnya kata-kata itu tetapi itulah hakikat yang perlu aku telan kerana semua percintaan yang aku alami akan kecundang juga akhirnya.
Sekembali ke rumah, selesai sahaja sembahyang maghrib aku terus mencapai note-book aku, maka aku karangkan sebuah nukilan perasaan, luahan perasaan aku mengenai peristiwa hari ini. Berakhirnya sebuah percintaan. Tapi aku cukup kagum dengan peribadi mama Rashidah yang cukup tenang mengatasi percintaan kami. Aku kagum kerana dia cukup pandai menyusun kata-kata sehinggakan aku langsung tidak merasakan kesedihan yang melampau. Aku pasrah dengan kesedihan ini, aku tabah dalam suratan takdir yang mungkin perit untuk aku lalui. Aku teringat akan kata-kata aruah ayahku dahulu “Sekiranya kau menyayangi seseorang, maka bebaskan dia kerana sekiranya dia milikmu, dia akan kembali kepadamu dan ingatlah bahawa tiada apa yang kita sayangi akan kekal
selama-lamanya kerana semuanya akan kembali kepada miliknya yang mutlak iaitu Penciptanya”
Rashidah terima kasih kerana memberi abang peluang untuk mengenali hatimu dan semoga kita akan terus berkawan dan seakrab ibarat abang dan adik. Kasihku kepadamu tidak akan pudar. Insya-Allah.

2 Respons

  1. nak tahu klu ada sambungan atau tidak…..

  2. ok arr

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: