Cerpen Sedih Nabila

Nabila
Pusara ayah dan emak tidak jauh berbeza sewaktu aku meninggalkannya dahulu. Kemas dan bersih tentunya bekas tangan Adik Ila . Kata Mak Teh , Adik Ila yang bersusah payah membersihkan pusara ayah dan emak . Balik sahaja dari sekolah agama , Adik Ila sudah sedia di tanah perkuburan merumput atau membaca Yaasin di situ . Sebak dadaku mendengarnya . Adik Ila baru berusia 13 tahun sudah menjadi matang seolah-olah berusia 16 tahun lagaknya . Menatapi wajah tenang Adik Ila membuatku sebak . Aku tahu Adik Ila tidak bahagia di situ tetapi apakan dayaku untuk membawanya bersamaku.
Walaupun Mak Teh melayan Adik Ila seperti anak kandungnya sendiri tetapi tidak Pak Teh . Tengok sahaja gayanya menyambut kedatanganku tadi sudah memadai. Kalau tidak disebabkan Mak Ngah ada di situ pasti aku sudah di halaunya tadi . Dulu , Adik Ila begitu manja denganku . Tapi kini Adik Ila kelihatan seolah-olah tidak mengenaliku . Dia sudah banyak berubah . Wajahnya cengkung , sinar wajahnya malap , badannya kurus dan cahaya ceria di matanya sudah hilang . Wajahnya mengandungi secebis garis luka dan duka yang maha hebat sekali seolah-olah memendam rahsia yang pahit dan payah untuk diluahkan meskipun kepada aku , kakaknya sendiri .
Dulu , setiap kali aku pulang bercuti pasti dia merengek-rengek kepadaku meminta habuannya tetapi kini dia hanya menyalamiku dan berlalu ke sekolah dengan segaris senyuman . Diakah adikku yang aku amanahkan kepada Mak Teh dulu ? Adik , maafkan kakakmu ini . Bukan salahmu tetapi memang sudah takdir kita sebegini . Bagiku , setiap yang terjadi pasti ada hikmahnya. Pulang dari pusara tiada sesiapa menyambutku . Rumah sunyi sepi sahaja.
Aku menjeling jam tanganku , pukul 1.45 petang . Sebentar lagi Adik Ila akan tiba di rumah tetapi dapur belum berasap lagi . Segera aku turun ke dapur memasak . Tidak rela aku membiarkan Adik Ila pulang dengan perut yang kosong dan menjadi hampa kerana hidangan tengah hari belum disajikan olehku lagi . Sedang aku rancak memasak di dapur , kedengaran salam di beri di serambi . Aku tahu itu Adik Ila . Dia masuk dan meletakkan beg galasnya di ruang tamu dan terus meluru ke dapur tanpa menukar pakaian sekolahnya terlebih dahulu . Waktu itu aku sedang menggoreng ikan kembung . Dia menangis tiba-tiba . Dia memelukku untuk kali pertamanya sejak aku pulang.
Hampir tumbang diriku diperlakukan sedemikian . Aku mengusap lembut rambutnya . Dia tidak berganjak malah makin memelukku sekuat yang boleh.
“Ila … .. kenapa ni ? Cuba cakap dengan akak sikit… . ” Aku memulakan bicara dengan lembut . Dia menangis teresak-esak di bahuku . “Akak … . Ila nak ikut akak . Ila tak nak tinggal di sini lagi ! ” Aku terdiam . Ikut aku ? Bagaimana … .. ? Aku sendiri masih lagi dalam tanggungan pihak universiti . Bagaimana harus aku bawa dia ke sana ? Akalku mula mereka-reka jawapan yang logik untuk Adik Ila . Aku meleraikan pelukannya . Ikan goreng tadi aku masukkan ke dalam piring dan api dapur gas aku padamkan . Aku memandang Adik Ila . Dia masih merenungku dengan penuh harap . Sayu hatiku melihatnya.
“Kalau Adik Ila ikut akak , nanti siapa yang nak jaga pusara ayah dan emak? “Dia terdiam . Melihatnya diam , aku mula menyajikan hidangan . Adik Ila masuk ke biliknya tanpa membalas soalanku tadi . Dia keluar dengan pakaian yang sudah siap ditukar . Kami makan tengah hari bersama-sama . Adik Ila makan tanpa bercakap-cakap . Mungkin dia sedar yang saudara-mara kami di sini tidak boleh diharap untuk menjaga pusara ayah dan emak . Selesai sahaja menolongku di dapur , dia terus mengurungkan diri di dalam biliknya. Merajuk nampaknya dia denganku . Aku mengeluh sendirian.
Aku melawat Yanti , kawan baikku , seorang diri . Adik Ila tetap tidak mahu keluar dari biliknya walaupun sudah berkali-kali aku memujuknya. Biarlah kerana marahnya mudah reda. Sebenarnya , aku bimbang betul hendak meninggalkannya sendirian di rumah tetapi memikirkan kehidupan di kampung tidak sama dengan kehidupan di bandar aku merasa lega sedikit . Yanti sudah banyak berubah . Dia tampak lebih tua dariku walaupun umur kami cuma selisih tiga bulan sahaja tetapi ketaranya jelas kelihatan . Namun begitu, Yanti nampak lebih langsing dan cerah . Dia tersenyum memandangku.
Kami berborak panjang . Sudah lama aku tidak bersembang dengannya maka tiga hariku di sini akan aku peruntukkan dengan baik . Daripada Yanti juga aku mengetahui aktiviti rutin adik kesayanganku , Ila . Kata Yanti , Adik Ila bangun pagi-pagi . Dia mengangkat air di perigi , membasuh pakaian, menyediakan sarapan dan memberi ayam dan itik makan. Sebelum ke sekolah Adik Ila akan menyidai pakaian . Balik dari sekolah Adik Ila memasak makanan tengah hari . Setelah itu barulah dia ke sekolah agama. Pulang dari sekolah agama , Adik Ila sudah sedia di tanah perkuburan. Petang pula Adik Ila menyiram pokok bunga , mengangkat kain di jemuran dan menghambat ayam dan itik pulang ke reban . Kemudian , Adik Ila mengangkat air dan membelah kayu . Malam pula , Adik Ila mengaji dan pulang dari mengaji Adik Ila menyediakan hidangan makan malam pula . Kemudian barulah dia mula belajar.
Begitulah kehidupan Adik Ila di mata Yanti . Aku menangis . Inikah dugaan-Nya menguji kami . Yanti menyarankan kepadaku untuk membawa Adik Ila keluar dari sini tetapi … . apalah dayaku … .. ! Pulang dari rumah Yanti , Adik Ila sudah ke sekolah agama . Aku masuk ke biliknya . Biliknya suram dan malap seolah-olah menyimpan sejuta misteri. Melihat keadaannya yang tidak terurus ini , aku nekad hendak membawanya keluar dari tempat ini , mengikutku ke Kuala Lumpur tetapi bagaimana persekolahannya ? Entahlah , ragu aku seketika dengan keputusanku .
Aku keluar menghirup angin nyaman di serambi . Hembusan bayu petang menghembus lembut ke mukaku , menari-narikan rambutku … Romantik sekali. Saat ini aku mula terkenangkan emak dan ayah . Kalaulah peristiwa itu tidak meragut nyawa mereka pasti hidup kami berdua tidak akan jadi begini . Peristiwa itu menjadi suatu sejarah hitam untuk kami berdua . Pita memoriku mula memutar-mutarkan peristiwa itu . Betapa nostalgia pahit itu tidak akan aku lupakan sepanjang hayatku . Masih aku ingat lagi , hari itu hari Sabtu, 13 Ogos 1998 dan hari itu juga merupakan hari lahir Adik Ila . Aku , emak dan ayah sudah merancang untuk mengadakan parti tergempar untuk Adik Ila .
Aku tinggal di rumah mengemaskinikan rumah manakala emak dan ayah pula menjemput Adik Ila pulang dari tuisyen . Aku menanti di rumah dengan penuh debaran seolah-olah sesuatu bakal berlaku tapi apakah ia ? Aku menganggap parti itu yang mendebarkan aku tetapi malang tidak berbau . Perjalanan emak dan ayah meninggalkan aku adalah perjalanan selama-lamanya. Mereka pergi tidak kembali lagi . Hancur luluh hatiku tatkala mendengar panggilan telefon dari pihak polis supaya aku ke hospital untuk mengesahkan mayat ibubapaku . Waktu itu aku rasakan duniaku kelam dan gelap . Tidak ada apa lagi yang aku fikirkan setelah itu kecuali Adik Ila .
Berselindungkan cermin mata hitam , aku mengambil dia pulang dengan teksi. Becok bibir mogelnya bercerita tentang kerenah kawan-kawannya. Aku cuba ketawa tetapi tidak berdaya . Dia asyik bertanya tentang ketidakhadiran emak dan ayah dan aku cuba sedaya upaya mengelak soalannya dengan bercerita tentang perkara lain . Kaku bibirku untuk memberitahunya hal yang sebenarnya . Biarlah dia melihat sendiri apa yang terjadi . Aku memandangnya . Dia masih terlalu muda tetapi terpaksa belajar menerima hakikat yang kami sudah bergelar yatim piatu . Sebagaimana aku, dia juga begitu . Dia menangis sambil menjerit menyuruh emak dan ayah bangun mengucapkan Selamat Hari Lahir kepadanya . Bertambah sayu hatiku.
Benteng ketahanan yang aku bina tadi hancur berkecai . Aku memeluknya. Dia mengalihkan perhatian kepadaku pula . Dia menarik-narik tanganku memaksa aku mengejutkan emak dan ayah bangun . Aku memeluknya seerat-erat yang mungkin . Dia memukul-mukulku sambil menangis . Masih aku ingati ayat-ayat terakhirnya sebelum dia lena dalam dakapanku . “Mak dan ayah jahat . Mak dan ayah tak sayangkan Ila dengan Kak Ili . Kenapa emak dan ayah tak nak bangun ? Bangunlah … … Jangan tidur lagi . Ila tak sukalah kalau macam ni hadiah hari lahir untuk Ila . Kak Ili … . Kejutkan emak dan ayah … … ” Ayat itu diulanginya beberapa kali . Air mataku deras mengalir.
Majlis tetap majlis . Majlis parti kini berubah menjadi majlis pengebumian. Itulah kali terakhir aku melihat Adik Ila memakai baju sutera putih dan kalung mutiara pemberian emak dan ayah . Itulah hadiah terakhir mereka yang tidak sempat untuk dikritik olehku dan itulah hadiah terakhir mereka yang tidak sempat dipuji oleh sesiapa pun . Selepas hari itu aku tidak pernah melihat Adik Ila memakainya lagi . Aku menangis tersedu-sedan . Ya Allah! Kembalikanlah adikku itu . Tiba-tiba bahuku ditepuk dari belakang . Aku menoleh . Adik Ila tersenyum kepadaku . Aku mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana adikku sudah mula tersenyum . Dia mengajakku ke pusara emak dan ayah . Aku memberitahunya yang aku hendak mandi dahulu kerana badanku melekit . Dia ketawa. Dia memberitahuku yang dia akan ke sana dahulu . Aku mengiyakan saja . Dia masuk ke bilik menukar pakaian manakala aku ke telaga menyegarkan diri.
Setelah aku bersiap aku dapati Adik Ila telah pun ke pusara . Aku menuruni tangga sambil mencongak hari . Rupa-rupanya hari ini hari lahir Adik Ila malah ini juga bermakna sudah dua tahun emak dan ayah meninggalkan kami berdua . Aku menyalahkan diriku tentang kealpaanku mengingati tarikh tersebut . Aku berpatah semula ke rumah mengambil hadiah hari lahir Adik Ila yang sudah lama ingin aku berikan kepadanya dahulu . Hadiahku tidak semahal mana tetapi bagi aku itulah hadiah yang teristimewa dan bernilai sekali iaitu potret kenangan gambar keluarga kami . Aku memeluk potret itu ke tanah perkuburan . Aku tersenyum . Hajatku kini akan tercapai untuk memberinya potret ini lebih-lebih lagi pemberian ini bersaksikan di depan pusara ayah dan emak . Aku tersenyum.
Dalam perjalanan ke sana , aku membelek tubuhku . Hari bersejarah ini biarlah aku kelihatan ayu . Berpakaian sutera merah darah pemberian emak dan cincin pemberian ayah yang tidak pernah lucut dari jariku sejak aku bersekolah menengah atas lagi , itulah imejku hari ini . Aku sendiri tidak tahu mengapa aku keberatan menanggalkan cincin itu sedangkan aku mempunyai dua bentuk cincin yang lain tapi cincin itu memang tidak pernah lekang dari jari manisku . Aku tersengih . Mengapa tiba-tiba aku ingin memakai baju sutera ini ? Ada apa-apakah ? Entahlah tapi yang pastinya esok aku akan pulang ke Kuala Lumpur dan jiwaku meronta-ronta rindu pada baju sutera merah darah ini . Cepat sungguh masa berlalu . Aku belum puas menatap wajah adik kesayanganku kini terpaksa berpisah lagi . Aku mengeluh sebentar .
Perjalananku di ganggu oleh satu perhimpunan kecil di tepi jalan. Ramai orang sedang mengerumuni sesuatu. Jantungku berdegup kencang tiba-tiba. Aku tidak tahu kenapa tindakan refleksku ini tiba-tiba berfungsi semula setelah dua tahun menyepi . Aku ingin segera sampai di pusara tetapi perhimpunan kecil itu menggamitku untuk turut bersama meramaikannya . Aku menyelit-nyelitkan tubuhku di antara manusia-manusia di situ. Pandanganku jatuh pada jag air berwarna merah yang bergolek di situ . Bunga-bungaan dan haruman berselerak di sisi jag itu . Hatiku berdetik . Petanda apakah itu ? Kemudian , aku lihat ada manik-manik mutiara bertaburan di situ . Ada cecair merah panas di situ . Aku sudah tidak dapat mengawal diri lagi. Aku kenal manik-manik mutiara itu . Itulah antara butiran mutiara pemberian ayah kepada Adik Ila . Aku menolak manusia-manusia di situ . Jelas di penglihatanku sebujur mayat seorang gadis berpakaian sutera putih memegang surah Yaasin dan potretku terlepas . Aku menjerit … … … “IIIIIIiiiiiiiiLLLLLLLllllllllllllAAAAAAAAAaaaa… … … ..!!!!!!!!!!!!”
Potret itu jatuh retak seribu seperti hatiku . Aku meluru kepada Adik Ila. Baju sutera putihnya kini sudah bertukar warna sama sepertiku, warna merah darah . Aku memangku kepalanya . “Adik … . Bangun ! Jangan tinggalkan Kak Ili seorang-seorang disini . Bangunlah … . ” Adik Ila tidak bergerak . Dia kaku sahaja . Aku menggerak-gerakkan badannya sambil menangis . Semua yang melihatku menitiskan air mata . Bahuku ditepuk lembut tiba-tiba dari belakang. Aku menoleh. Kelihatan di situ Mak Teh dan Yanti . Mereka memegang tanganku. “Ili bangunlah . Terimalah hakikat yang Ila sudah pergi selama-lamanya. “
“Tak , Mak Teh . Dulu , Ila kata dia tidak akan tinggalkan Ili selama-lamanya . Ila … .. Bangunlah ! Jangan menakutkan akak macam ni . “
Aku memeluknya erat . Yanti pula berusaha keras meleraikan pelukanku . Aku menolaknya . Ila adik aku dan tidak ada orang lain boleh merampasnya dari aku . Aku menjerit namanya tetapi Adik Ila tetap kaku membatu. Aku tidak tahu apa yang berlaku seterusnya tetapi sebelum aku rebah ke tanah aku dapat merasakan yang Adik Ila mengucupi pipiku. Habis sahaja majlis adikku itu aku segera mengemaskan pakaianku. Sedih mengundang diriku apabila ekor mataku merayap ke gambar Adik Ila .
Selepas itu aku mengemas semua barang-barang kepunyaan Adik Ila yang sudah dua tahun terperap di rumah itu . Aku menangis di birai jendela di dalam biliknya . Dari kejauhan dapat kulihat tanah perkuburan itu . Takku sangka yang kepulanganku ke sini untuk menjadi saksi penambahan ahli baru tanah perkuburan itu . Tragedi 13 Ogos itu benar-benar berulang seakan-akan menagih korban baru . Aku menangis lagi . Rasa kesal tak terhingga membaluti jiwaku apabila memikirkan yang aku tidak sempat mengucapkan Selamat Hari Lahir sekali lagi kepada Adik Ila . Wajah Adik Ila tadi bersih, suci , tulus dan wajahnya ceria seolah-olah baru terlepas dari suatu penderitaan. Menangis aku sekali lagi untuk sekian kalinya . Aku sedar yang aku sudah tidak betah lagi tinggal di sini . Aku mengemas buku-buku sekolah Adik Ila . Tiba-tiba mataku terpandangkan sesuatu di atas mejanya. Ada sepucuk surat darinya yang dialamatkan kepadaku . Aku mengambilnya.
Aku buka dengan berdebar-debar kerana inilah kali pertama Adik Ila menulis surat kepadaku walaupun tidak berpos. Untukmu Kak Ili ,
Assalammualaikum akak … … Ila rasa sangat gembira hari ini . Hari ini hari jadi Ila dan kali ini lebih bermakna kerana akak berkesempatan mengucapkannya kepada Ila . Ila nak sangat akak ucapkannya sejak dari pagi tadi tetapi nampaknya akak seakan-akan terlupa hari bersejarah ini. Takmengapalah , malam masih ada lagi untuk akak mengucapkannya. Hari ini juga genap dua tahun emak dan ayah meninggalkan kita. Akak nak tahu … . ! Semalam Ila bermimpi jumpa emak dan ayah . Ila tak pernah bermimpikan mereka dan Ila rasa sangat gembira. Wajah mereka tenang dan bersinar . Emak dan ayah ajak Ila berjalan-jalan di situ . Tempat itu cantik dan menarik malah lebih menarik dari Cameron Highlands. Ila nampak Kak Ili tapi Kak Ili jauh sangat . Ila jerit nama akak tapi Kak Ili tak dengar . Kasihan akak tak dapat jumpa ayah dan emak tapikan kata emak akak boleh ikut Ila jalan dengan emak dan ayah nanti .
Akak tahu , Ila rasa sebak sangat sebab Ila nampak akak masih lagi memakai cincin pemberian ayah tetapi Ila pula takut nak memakai kalung mutiara pemberian ayah . Andai kata Ila tak sempat memakainya , Kak Ili boleh tolong pakai untuk Ila tak ? Bolehlah … . sebagai tanda Kak Ili sayangkan Ila … ..Ila sebenarnya nak sangat ikut akak balik ke Kuala Lumpur tapi nanti siapa pula nak jaga pusara emak dan ayah ? Ila tekad nanti bila Ila naik tingkatan empat , Ila nak mohon di Kuala Lumpur supaya Ila boleh jumpa akak tiap-tiap hari . Bolehkan ? Ila rindukan akak tapi akak jarang balik. Akak tau tak yang Pak Teh selalu mendera Ila . Dia selalu menyuruh Ila melakukan yang bukan-bukan terutama apabila Mak Teh tiada di rumah .
Ila tak nak tapi Pak Teh pukul dan ugut Ila . Ila nak bagitau Mak Teh tapi nanti Mak Teh kata Ila anak yatim piatu tak kenang budi pula . Ila tak nak Mak Teh bergaduh dengan Pak Teh sebab Ila . Ila juga tak nak bagitahu akak sebab Ila tak nak Kak Ili susah hati sebab Ila . Ila takut kalau pengajian akak terganggu sebab Ila . Ila nak akak tunaikan impian emak dan ayah. Ila nak tengok akak pakai baju dan topi hijau tu ambil ijazah jadi akak kena berusaha bersungguh-sungguh ya!
Okeylah , hari dan semakin tua dan pusara sudah menggamit Ila . Ila nak pakai baju sutera putih pemberian emak dan kalung mutiara pemberian ayah. Lama Ila tak pakai baju sutera itu , kan ! Ila nak pergi ni . Ila nak bagitahu emak dan ayah tentang mimpi Ila semalam . Nanti kita berjumpa di sana , okey ! Sebelum Ila mengundur diri , Ila nak bagitahu akak yang Ila sayangkan akak . Ila macam rasa Ila tak sempat nak bagitahu akak sebab Ila rasa … … … … entahlah . Selamat tinggal Kak Ili . I luv ya’ . Yang benar ,
Adikmu yang cute, NABILA J
Airmataku menitik . Aku mengusap potretnya . Takku sangka dalam usianya masih muda dia sudah menanggung penderitaan sedemikian . Sayang … hajatnya untuk melihatku mengenggam segulung ijazah tidak berkesampaian. Aku memeluk balang kaca yang berisi mutiara putih itu dengan seerat yang mungkin . Pasti aku akan membaiki kalung mutiara itu supaya impian Adik Ila dapat kutunaikan . Semua barang Adik Ila kusimpan di rumah lama kami. Potret retak seribu itu aku gantungkan di ruang tamu rumah lama kami. Aku sedar yang aku hanya akan menjejakkan kaki ke sini apabila aku genap berusia 25 tahun . Aku ke perhentian bas bersama Mak Teh. Kelibat Pak Teh tidak dapat kuintai . Hanya Mak Teh yang aku salam . Dia memberi kata perangsang kepadaku untuk berjaya . Aku tersenyum tanda menghargainya.
Aku naik ke perut bas dengan segaris senyuman . Mak Teh melambai-lambai kepadaku. Bas bertolak ke Kuala Lumpur . Aku termenung sendirian di dalam perut bas . Airmataku menitis lagi . Maafkan Ili … … .. ! Ili sedar yang pusara mak , ayah dan Adik Ila akan ditumbuhi rumput dan lalang tetapi bersabarlah kerana empat tahun lagi bakal menemukan kita . Panorama senja amat mengasyikkan . Aku tertidur diulit mimpi bertemu mereka . Benar kata Adik Ila , wajah emak dan ayah bersinar-sinar . Mereka menggenggam erat tanganku . Aku nampak Adik Ila. Dia memelukku . Aku rasa amat bahagia kerana seluruh ahli keluargaku kini bersatu kembali . Tiba-tiba Adik Ila meleraikan pelukannya. Emak merenung aku dengan lembut manakala ayah pula menepuk-nepuk bahuku. Mereka berseiringan berjalan menuju ke hadapan meninggalkan aku keseorangan. Sebelum aku tersedar dari bahtera mimpiku , dapat aku lihat lambaian Adik Ila kepadaku . Aku tersenyum.
Bas berhenti di destinasi utama , kota metropolitan , Kuala Lumpur. Berpusu-pusu penumpang keluar dari perut bas . Aku masih lagi terpinga-pinga dalam igauan . Aku menggenggam erat begku turun ke Puduraya Kuala Lumpur dengan longlai . Baru beberapa tapak kakiku melangkah, aku terdengar ada suara yang memanggil namaku . Aku menoleh ke belakang. Kelihatan kelibat rakan-rakan seperjuanganku di universiti sedang menguntum senyum kepadaku . Tiba-tiba dadaku sebak . Rina, teman sekuliah dan sebilikku merapatiku . Dia mengeluarkan tisu lantas menyeka air mataku dari berterusan berjuraian . Baruku tahu berita tentang pemergian adikku sudah diketahui mereka . Aku memandang mereka lalu mereka pun mengangguk serentak.
“Ili … . takkan Ili nak berputus asa sebegini . Fikirkanlah betapa kecewanya hati ayah , emak dan adik Ili mengetahui bahawa Ili tak dapat menunaikan impian mereka . Fikirkanlah Ili … … .”
Aku memandang mereka satu persatu . Rina , Alia , Sephia dan Julia tersenyum kepadaku . Aku tersenyum kembali . Betapa aku terharu memikirkan rakan-rakanku ini bersusah payah demiku malah merekalah tempat aku mengadu dan mendamba kasih di negeri rantauan orang . Jasa dan pengorbanan mereka akan sentiasa di ingatan . Berkat azam dan dorongan mereka juga , aku kini berjaya tetapi berbaloikah jika aku mengaku kalah pada suratan azali dan menunduk pada perasaan ? Aku menguntumkan senyuman . Aku adalah aku dan tetap aku maka walau bagaimana sukarnya hidup aku nanti , falsafah diriku tidak akan aku lupakan . Kami berjalan bergandingan bersama-sama ke Menara Kembar Petronas ( KLCC ) untuk merehatkan diri di sana sebelum bersama-sama ke universiti untuk pendaftaranku . Kami melangkah dengan bersemangat bersama sebuah janji yang baru termetrai tadi bersaksikan Perhentian Bas Puduraya Kuala Lumpur.
‘Walau apapun yang terjadi jangan biarkan orang lain menangis kerana kita dan jangan sesekali mengaku kalah sebelum bertanding atau tunduk pada godaan syaitan bertopengkan perasaan , okey!’
… . Itulah lafaz janjiku kepada kawan-kawanku untuk bersama-sama mereka semula mengejar bintang kecemerlangan . Termetrainya perjanjian tadi bermakna bermulalah waktu aku sibuk ke sana, ke sini menghadiri kuliah dan mengulangkaji serta membuat nota-nota pelajaran-pelajaran yang aku tinggalkan dahulu . Jika tidak ada aral melintang , insya-Allah ijazah itu pasti akan aku genggam nanti . Aku tersenyum . Dari kejauhan dapat kurasakan yang keluargaku sentiasa memerhatikanku malah aku dapat merasakan yang mereka amat dekat denganku dan sentiasa di sisiku . Jauh di sudut hatiku aku mengakui diriku kerdil . Perasaan hendaklah di kawal supaya tidak melebihi akal kerana perasaan acapkali menggoda kita melakukan kesilapan dan akallah yang berperanan membawa kita kembali ke pangkal jalan . Aku juga perlu menerima hakikat bahawa setiap yang hidup pasti akan mati kerana cuma Allah yang mengetahui bila kita berlabuh pergi maka aku yang hidup ini perlulah mempersiapkan diri secukupnya sebelum kembali menemui-Nya dan bersatu dengan keluargaku kembali.
Aku mengucapkan syukur kepada Ilahi kerana baru kini aku sedar yang pemergian Adik Ila adalah untuk meringankan bebannya yang selama ini tergalas di bahunya seorang diri . Aku melangkah bersemangat sekali ke dewan kuliah . Tunggulah emak , ayah dan Adik Ila tercinta di alam hakiki . Ili di sini perlu meneruskan kehidupan kerana Ili masih lagi dirantai digelangi janji kepada insan-insan tersayang. Walaupun mereka tidak ada di sisi tetapi bagi Ili … … jauh di mata , dekat di hati!

4 Respons

  1. SEDIH SANGAT..TAPI LAGI BEST KL DIPANJANGKAN LAGI..

  2. btol2 menyedihkan sangat2 sampai kite baru ingat yang dunia nih just pinjaman sahaja..untuk bahagia di alam yang lebih kekal abadi…

  3. kesian nabila…cite ni bezzzz…tp sedih wo…nak nangis…isk!isk!

  4. sedihnya………………..
    huhuhuhuhuh………………

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: