Menanti Kepulangan

Hari ini sudah masuk hari raya ketiga aidilfitri. Miah rasa bagaikan baru semalam sahaja Ramadhan berlalu. Tiba-tiba Miah menerima kunjungan dari seseorang. Miah pandang wajah Fazidah. Miah tak pernah kenal Fazidah. Tapi tiba-tiba Miah teringatkan cerita-cerita Mak Tom kepadanya. Tanpa disuruh lagi, Miah terus bercerita tentang Mak Tom.
***************
“Miah, hari raya ini, aku pasti akan balik,” kata Mak Tom.
“Nak balik? Nak balik mana Mak Tom?”
“Aku nak balik ke rumah aku. Aku rindu hendak balik ke rumah aku. Aku tahu, anak aku akan balik. Dia akan jemput aku dan bawa aku balik ke rumah aku, Miah. Hari raya nanti, hari raya terakhir aku di sini. Aku akan balik beraya di rumah aku sendiri nanti.”
“Mana Mak Tom tahu anak Mak Tom akan balik dan ambil Mak Tom? Ada dia kirim surat? Eh, tak ada pula Mak Tom tunjukkan pada saya?” soal Miah lagi.
Mak Tom meraba sesuatu di bawah bantal pembaringannya. Dia mengambil sepucuk surat dan ditunjukkan kepada Miah.
“Ini Miah.”
“Eh, inikan kad hari raya kiriman anak Mak Tom tahun lepas? Kenapa pula dengan kiriman kad hari raya tu?
“Ya Miah, tahun lepas Idah kirim kad hari raya ini pada aku. Bidin ketua kampung yang hantar pada aku. Dia bacakan untuk aku. Kata Bidin, Idah akan balik beraya tahun ini di sini. Idah mesti akan jenguk aku. Idah mesti akan ambil aku bawa balik, Miah. Aku rindukan Idah dan rumah aku Miah.” Ujar Mak Tom dan kemudian baring semula di atas katil.
Mak Tom tatap kad hari raya berbunga merah jambu. Mak Tom buka kad raya itu. Seolah-olah seperti Mak Tom tahu membaca tulisan di dalam kad hari raya kiriman anak tunggalnya yang kini tinggal di Amerika Syarikat.
Mak Tom menatapnya lama. Kemudian Mak Tom cium kad hari raya itu. Seolah-olah seperti Mak Tom mencium pipi Idah. Miah hanya memandang Mak Tom. Kemudian Mak Tom terbatuk-batuk kecil.
“Mak Tom berehatlah ya. Kalau Mak Tom tak larat nak puasa, bolehlah Mak Tom berbuka. Air dalam termos itu masih ada lagi Mak Tom,” pujuk Miah lagi.
“Tak apalah Miah. Aku larat lagi puasa. Lagipun bukan lama lagi hendak berbuka puasa. Eh, sekarang ini pun dah hampir pukul tiga petang. Aku tahan lagi. Cuma aku hendak tidur sekejap. Engkau kejutkan aku nanti, sebelum Asar habis waktunya.” Pinta Mak Tom, kemudian dia membetulkan pembaringannya.
Miah hanya mengangguk-anggukkan kepala. Miah kenal Mak Tom sejak tiga tahun yang lalu. Kata Mak Tom, usianya ketika itu sedah lebih 70 tahun. Beza usia Miah dan Mak Tom tak jauh. Miah sendiri tahun itu sudah mencecah 68 tahun. Waktu Mak Tom mula-mula menjadi penghuni rumah orang tua itu, Miah mahu memanggilnya kakak, tapi Mak Tom lebih selesa kalau semua orang memanggilnya dengan nama ‘Mak Tom’.
Kalaupun ramai lagi penghuni rumah orang-orang tua di situ, Miah lebih selesa dengan Kak Rubiah. Selepas enam bulan Kak Rubiah pergi, Mak Tom pula hadir. Hidup Miah kembali ceria dengan kehadiran Mak Tom. Sedikit demi sedikit Mak Tom menyelongkar kisah hidupnya.
“Sejak anak aku Idah lahir, hidup kami bertambah bahagia. Tapi, waktu usia Idah 5 tahun, abang Usop meninggal. Apa nak buat Miah, sudah nasib kami. Mujurlah, abang Usop tinggalkan kami sebidang tanah dan sebuah rumah. Bolehlah aku usahakan tanah aku untuk kehidupan kami dua beranak. Aku didik Idah supaya jadi orang berguna.
“Mujur cerah juga otak Idah. Dia berjaya untuk masuk sekolah tinggi. Idah belajar di negeri orang putih Miah.” Cerita Mak Tom sembil melontarkan senyum bangga.
Lama Mak Tom diam. Tapi kemudiannya menyambung lagi.
“Miah, Idah duduk di negeri orang putih sempai dia habis belajar. Dia kerja di sana dua tahun. Lepas itu dia balik. Katanya dia hendak membuka perniagaan di Kuala Lumpur. Dia tak ada modal, Miah. Aku jual tanah aku. Aku beri duit pada Idah.
“Kata Idah, dia dah buka perniagaannya di Kuala Lumpur. Enam bulan kemudian, dia balik ke rumah. Dia minta aku mengikutnya. Katanya perniagaannya semakin maju. Dia akan berangkat ke negeri orang putih itu, apa nama negeri itu, Amerika. Aku tak tahulah Miah. Idah nak bawa aku sekali. Aku tak mahu Miah. Aku sayangkan kampung aku.
“Walaupun aku dah jual tanah aku, tapi Bidin ketua kampung yang beli tanah itu masih izinkan aku untuk terus tinggal di situ.” Cerita Mak Tom kemudiannya terhenti di situ.
Miah melihat air mata Mak Tom terus deras membasahi pipinya. Akhirnya barulah Miah mengerti, Idah tidak kunjung pulang ke kampung halamannya. Idah hanya kemudiannya menghantar sepucuk surat selepas 2 tahun pemergiannya ke Amerika dan memberitahu dia sudah berkahwin dan ingin menetap terus di sana.
Paling menyedihkan Miah, rupa-rupanya Mak Tom ditahan oleh pihak berkuasa yang membuat serbuan ke atas kutu rayau. Kata Mak Tom ketika itu, Mak Tom tertidur di perhentian bas akibat keletihan. Namun, Mak Tom akhirnya terpaksa akur untuk terus tinggal di rumah orang tua itu.
“Aku hendak balik rumah pun, tanah itu sudah bukan jadi tanah aku lagi. Biarlah aku tinggal di sini. Sakit pening aku, ada juga orang yang jaga. Aku tak ada waris di sini Miah. Idah tak ada. Yang ada hanya suratnya,” ujar Mak Tom sambil menunjukkan surat yang agak lusuh kepada Miah.
*****************************
“Eh, sudah pukul berapa ni Miah, sudah masuk waktu Asar ke belum?” Tiba-tiba Mak Tom bangun dari pembaringannya.
“Belum lagi Mak Tom. Mak Tom sambunglah tidur.” Jawab Miah.
“Aku rasa dah lama sangat aku tidur. Kau buat apa Miah?”
“Ini, saja suka-suka saya jahit perca kain untuk buat selimut,” kata Miah sambil menunjukkan perca-perca kain yang telah siap digunting ke arah Mak Tom.
“Miah, aku ada sesuatu hendak aku tunjukkan kepada kau.” Tiba-tiba Mak Tom menarik keluar sehelai kain dari dalam laci.
“Wah, kain? Untuk buat baju Mak Tom?”
“Iya Miah, aku minta tolong Rosnah tukang masak belikan. Aku simpan duit raya yang aku dapat sejak aku tinggal di sini. Harganya RM70. Katanya ini jenis kain terbaru. Aku hendak buatkan baju kurung untuk Idah. Dah lama aku tak jahitkan baju untuk dia.
“Waktu kecilnya dulu, dia suka sangat pakai baju kurung. Setiap petang, dia akan minta pakai baju kurung. Kalau hampir hari raya, dia sanggup tunggu aku jahitkan bajunya sampai siap Miah. Nanti dia balik, aku hendak hadiahkan baju kurung ini padanya. Aku harap, sebelum raya nanti, bolehlah siap baju ini.” Cerita Mak Tom bersungguh-sungguh.
Miah pandang wajah Mak Tom berseri-seri. Begitu bersungguh-sungguh sekali Mak Tom menyiapkan baju kurung untuk Idah. Walaupun matanya rabun dan selalunya Miah jugalah yang tolong memasukkan benang ke dalam lubang jarum, Mak Tom tetap tekun menjahit. Mak Tom betul-betul teliti ketika menjahit baju untuk anak perempuannya itu. Walaupun tanpa menggunakan mesin jahit, jahitan tangan Mak Tom kemas sekali.
Sewaktu berbuka puasa, Mak Tom rancak bercerita tentang masakan kegemaran Idah. Tak jemu-jemu Mak Tom bercerita kepada Miah. Walaupun sudah masuk setengah bulan Ramadhan, Mak Tom akan cerita tentang kuih lopes makanan kegemaran Idah. Tak jemu-jemu Mak Tom bercerita tentang Idah yang kalau waktu bersahurnya akan makan bersuap.
Miah tahu, Mak Tom terlalu sayangkan anak perempuannya itu. Malah, dari cerita-cerita Mak Tom sebenarnya sarat dengan rindu terhadap Fazidah. Selama ini, Mak Tom jarang benar bercerita tentang Idah. Tapi, menjelang aidilfitri kali ini, hampir setiap hari Mak Tom akan bercerita tentang Idah. Mak Tom yakin Idah akan balik. Mak Tom pasti, Idah akan membawanya semula ke rumahnya dahulu. Ada masanya Mak Tom tersasul memanggil Miah dengan panggilan ‘Idah’.
“Aku dengar kau dapat kad raya Miah? Siapa yang hantar?” tegur Mak Tom.
“Alah, dari budak-budak universiti yang pernah datang buat kajian di sini dulu Mak Tom. Siapalah yang ingat pada saya Mak Tom, kalau tak budak-budak itu, Walaupun dah lama mereka datang ke sini. Tiap-tiap tahun mereka hantar kad raya pada saya. Hendak harapkan anak? Manalah saya ada zuriat Mak Tom,” jawab Miah.
“Tapi, Miah, aku masih belum terima kad hari raya dari Idah. Inilah satu-satunya kad raya dari Idah. Kad raya tahun lepas. Janji Idah, dia akan pulang tahun ini. Betul dia akan pulang. Mesti, Idah mesti akan datang jemput aku kan Miah?” Tiba-tiba Mak Tom seperti resah.
Miah mengurut belakang Mak Tom.
“Sudahlah Mak Tom. Kan Mak Tom sendiri kata, Idah akan datang dan bawa Mak Tom balik? Sudah siap baju jurung untuk Idah, Mak Tom? Hari raya minggu depan saja,” pujuk Miah.
Mak Tom menyeka air mata yang berjuraian. Segera dia mengambil baju kurung yang separuh siap.
“Tinggal sikit saja. Lipatan bahagian bawah baju saja, Miah.” Ujar Mak Tom yang kemudian segera meminta Miah memasukkan benang ke dalam lubang jarum.
Harapan Mak Tom untuk menunggu Idah terlalu tinggi. Tapi dalam masa yang sama, ketika para penghuni lain menerima kiriman kad raya, Mak Tom bagaikan kecewa. Miah tahu, Mak Tom begitu ternanti-nanti kiriman berita dari Idah.
Kasihan sungguh melihat kerinduan yang perlu ditanggung Mak Tom selama ini. Namun, apakan daya Miah, dia hanya mampu memujuk dan menyejukkan hati Mak Tom . Miah tahu, kalaupun Idah balik, tak mungkin Mak Tom akan dibawa semula ke kampungnya. Tanah Mak Tom sudah dijual. Sudah tiga tahun Mak Tom menghuni di rumah ini, takkanlah, masih ada lagi rumah Mak Tom di kampungnya? Bisik hati Miah.
Malam itu, Miah melihat Mak Tom memeluk baju yang telah siap dijahit. Mak Tom tatap lagi kad hari raya kiriman Idah. Dia tersenyum.
“Lusa, mungkin hari raya aku akan balik. Aku akan balik ke rumah aku Miah. Anak aku juga akan balik. Dia akan bawa aku balik beraya di kampung halaman aku,” ujar Mak Tom berulang-ulang.
Begitulah Mak Tom asyik sekali bercerita kepada Miah. Namun Miah perasan, ketika orang lain memegang kad hari raya yang dikirimkan kepada mereka, Mak Tom juga berharap dia akan menerima kad raya dari Idah. Mak Tom tak diburu jemu.
Malam itu, selepas solat Isyak penghuni kediaman orang tua itu masing-masing menuju ke ruang menonton televisyen. Masing-masing mahu mendengar pengumuman mengenai hari raya. Begitu juga Miah dan Mak Tom.
“Alhamdulillah, esok hari raya Mak Tom. Alhamdulillah, kita sama-sama sudah menamatkan puasa kita tahun ini Mak Tom,” ujar Miah memegang tangan Mak Tom.
“Ya Miah.” Mak Tom kemudian memeluk Miah. “Esok aku hendak balik Miah. Aku minta maaf ya Miah, terpaksa tinggalkan kau,” kata Mak Tom yakin.
Jauh di lubuk hati Miah, balik ke mana? Sehingga hari ini, berita tentang Idah tak kunjung tiba. Namun Miah hanya menganggukkan kepala. Ketika Miah mahu melelapkan mata di katil, Mak Tom tak sudah-sudah memandang baju yang telah siap dijahit.
“Mak Tom, tak mahu tidur lagi Mak Tom?” soal Miah.
“Tak apalah Miah. Malam ini malam terakhir aku di sini. Besok aku hendak balik. Aku hendak bertakbir dan sembahyang sunat dulu. Kau tidurlah Miah,” ujar Mak Tom yang kemudian mengenakan telekung.
Sehingga menjelang tengah malam, ketika Miah terjaga, Miah melihat Mak Tom masih lagi meneruskan solat. Miah terus dibuai lena sehingga menjelang Subuh. Azan Subuh yang dilaungkan oleh salah seorang penghuni kediaman itu dari surau mengejutkan Miah. Tapi, Miah tengok Mak Tom berada di dalam keadaan sujud. Eh, Subuh baru sahaja masuk waktu? Takkanlah Mak Tom tak dengar bunyi azan dari surau? Soal hati Miah.
“Mak Tom solat apa Mak Tom? Subuh baru saja masuk waktu.” Miah bangun dari katil dan terus melihat Mak Tom.
Mak Tom tak berganjak. Mak Tom terus sujud. Miah tunggu. Tapi, Mak Tom tetap berkeadaan begitu. Miah diburu debar. Perlahan-lahan Miah mendekati Mak Tom. Miah pegang tangan Mak Tom. Sejuk.
“Tidaaakkkkkkk!” Jerit Miah. Suaranya yang lantang mengejutkan sebahagian penghuni kediaman orang tua di situ.
Subuh itu kediaman itu menjadi kecoh. Memang benar, Mak Tom sudah pulang. Mak Tom memang telalu ingin pulang pada hari raya. Benarlah Mak Tom rupanya pulang ke rumahnya yang asal.
********************
Fazidah terus menyeka air mata yang masih lebat membasahi wajahnya. Fazidah merenung katil yang sudah kosong di sebelah katil Miah. Baju kurung warna ungu yang masih terletak di atas katil, Miah serahkan kepada Fazidah.
“Inilah baju yang Mak Tom siapkan untuk Idah,” kata Miah.
“Makcik Miah, saya berdosa kepada emak. Apakah emak saya akan maafkan saya makcik?” soal Idah teresak-esak.
“Sudahlah tu Idah. Makcik yakin emak kamu sentiasa memaafkan kamu. Kalau tidak, takkan dia begitu gembira cerita tentang kamu. Takkanlah dia bersungguh-sungguh ingin menyambut kepulangan kamu pada hari raya ini?”
“Saya tak sangka, akhirnya emak menghabiskan usianya di sini makcik. Patutlah hati saya bagai ditarik-tarik untuk balik ke tanah air. Saya tak pernah terima surat dari pakcik Bidin. Selama ini saya kirimkan surat kepada emak di kampung, tapi tak ada siapa yang membalasnya. Rupanya pakcik Bidin sudah meninggal dunia. Surat yang saya kirimkan kepada emak, rupanya tak pernah sampai. Saya tak tahu, emak mengakhiri hidupnya di sini makcik,” ujar Fazidah kesal.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: