Kasih Yang Tersisa

Suasana di perkarangan Mahkamah Syariah agak sesak dengan deretan kereta yang diletakkan berjajar di lot parking dan puluhan manusia yang keluar masuk sejak awal pagi lagi.
Kereta yang dipandu oleh Encik Razali memasuki kawasan mahkamah. Dia menarik nafas lega kerana masih ada petak kosong untuk meletakkan kenderaan. Dia menoleh ke arah anak gadis gadisnya yang manis berbaju kurung biru dan bertudung putih. Anak inilah yang akan menentukan nasibnya di mahkamah nanti.
Kedua-dua orang anak lelakinya yang sedang bergurau di kerusi belakang kelihatan seperti biasa seolah-olah tidak mengerti pergolakan di hati kakak dan ayah mereka. Anak gadisnya kelihatan resah dan masih teragak-agak untuk keluar dari kereta.
“Eisya, bertenang. Papa tahu Eisya sudah bersedia dan tahu untuk membuat keputusan nanti,” pujuk Encik Razali.
“Zali, berselawat banyak-banyak ya. Mak doakan kau menang dalam kes ini,” kata Makcik Rahmah sambil memimpin keluar kedua-dua orang cucu lelakinya.
“Papa, Eisya takut,” tiba-tiba Alisya bersuara.
“Jangan risau, insya-Allah, Eisya akan dapat laksanakan tugas Eisya,” pujuk neneknya.
Sebaik sahaja pintu kaca bangunan mahkamah itu ditarik, Eisya dapat rasakan seseorang sedang memerhatikannya. Memang sah, wanita itu telah sedia berada di kerusi ruang menunggu di dalam bangunan itu. Eisya tergamam, dia berhasrat untuk mendekati wanita bertudung kuning air itu namun langkahnya terhenti apabila memandang papa dan neneknya.
Kehadiran lelaki bersongkok hitam duduk bersebelahan dengan wanita itu membuat hasratnya terpadam terus. Dia hanya mampu melempar senyum diri jauh meskipun wanita itu menggamit tangan agar dia datang ke arahnya.
s/h Keputusan
Alisya hanya memandang mamanya yang kelam kabut memunggah baju dan memasukkannya ke dalam beg berwarna hitam yang beroda di bahagian bawah. Matanya sudah bengkak menangisi nasib dirinya yang tersepit di antara dua manusia yang paling disayanginya.
Suatu ketika dahulu, rumah itu ialah syurga buatnya. Dia menghirup kebahagiaan di bawah payung kasih mama dan papanya. Sejak akhir-akhir ini rumah itu sudah tidak tenteram lagi. Saban hari dia mendengar pertengkaran mama dan papa.
Kemuncaknya, pada malam ini, mama nekad memunggah semua pakaiannya tanpa mempedulikannya. Alisya dan kedua-dua orang adik kembarnya. Dia tergamam dengan tindakan mama yang langsung tidak memikirkan anak-anaknya. Dia berharap agar papa menghalang tindakan mama namun dia tiada kekuatan untuk bersuara.
Puan Kamariah sudah bersiap sedia di muka pintu bersama dua buah beg besar di sisinya. Alisya menerpa ke arahnya.
“Jangan tinggalkan Eisya ma, kesian adik-adik,” kata Alisya sambil menyembamkan muka ke badan mamanya.
“Eisya jaga papa dan adik-adik, mama sudah tidak boleh tinggal di rumah ini,” balas Puan Kamariah dengan sebak. Encik Razali masih membatu di sofa. Dia langsung tidak mahu menoleh ke arah bekas isterinya. Dia tahu wanita itu bukan miliknya lagi. Lafaz talak satu baru bergema beberapa minit yang lalu.
“Abang, jaga anak-anak kita, halalkan makan minum Yah. Abang tinggallah di rumah ini bersama anak-anak,” kata Puan Kamariah tenang.
“Puan Kamariah binti Yusuf sebagai plaintif dan Encik Razali bin Abdullah sebagai defendan, sila bangun,” suara pembantu hakim mengejutkan lamunan Alisya. Dia menyeka air mata yang bergenang di kelopak dengan kertas tisu yang sudah bergumpal dan hancur di tangan. Matanya merenung ke arah wanita yang menuntut hak penjagaan ke atas dirinya dan adik-adiknya.
“Saya menuntut hak penjagaan ketiga-tiga anak saya kerana pada masa itu saya terpaksa ke luar negara untuk menyambung pelajaran saya,” suara Puan Kamariah bergema apabila disoal oleh peguam daripada pihak defendan. Alisya mendengar dengan debar meskipun dia tidak menyukai situasi itu.
Suasana bersoal jawab di antara pihak mama dan papanya membuat dia rasa ingin menjerit. Dia benar-benar tersepit dengan situasi itu. Kedua-dua pihak itu amat disayanginya. Namun dia lebih bersimpati kepada papanya yang terpaksa mengharungi hidup dengan penuh kesepian.
s/ h Pertengakaran
Sejak ditinggalkan mama, papanya lebih banyak termenung. Dia tidak tahu apakah persoalan yang membelit di kepala papanya. Dia ingin bertanya namun lidahnya kelu. Melalui gerak laku dan kata-kata papa, dia tahu lelaki itu cukup kecewa dan rasa bersalah. Dia masih ingat pertengkaran yang berlaku sebulan sebelum pertengkaran besar yang membawa kepada perpisahan.
“Awak kena faham tugas saya banyak melibatkan kerja-kerja luar,” ngomel Puan Kamariah.
“Orang lain pun kerja tapi masih ada masa untuk keluarga,” balas Encik Razali pula.
“Abangkan tahu saya kena buat kajian projek dan bentang kertas kerja. Itu semua saya tak boleh di rumah.”
“Yalah, tapi kenalah tahu batas-batasnya. Awak masih bergelar isteri dan ibu kepada tiga orang anak, mana boleh bertindak macam orang bujang.”
“Dari dulu lagi saya dah beritahu awak, kerja pensyarah universiti tak sama macam kerja abang. Pelajar-pelajar saya perlukan pembaharuan dan ilmu baru.”
“Awak jangan perkecilkan kerja saya, awak lupa yang awak pernah jadi guru seperti saya. Cuma awak ada kelebihan selepas berjaya jadi tutor.”
“Yalah, sejak jadi tutorlah saya dapat banyak kerja luar, dapat membuat kajian dan dapat belikan barang-barang di dalam rumah ini.”
“Awak nak ungkitlah barang-barang yang awak dah beli, hah! Bawalah barang-barang awak itu, saya pun boleh beli untuk anak-anak. Awak jangan ingat kami boleh mati kebulur kalau awak tak ada,” tengking Encik Razali lagi. Alisya hanya merenung di birai tangga.
Pertengkaran itu berakhir apabila Puan Kamariah meluru keluar dan menghempas pintu kereta dengan kuat. Dia masih di birai tangga tanpa kata-kata.
“Alisya binti Razali, sila datang ke kandang saksi,” jeritan pembantu mahkamah mengejutkan lagi lamunannya. Dia menoleh ke arah papanya yang kelihatan sugul dan beralih pula ke arah mamanya yang juga kelihatan sedih. Dia benar-benar tersepit.
“Alisya binti Razali, sila berikan keterangan anda dengan jelas dan benar,” kata hakim tegas. Alisya mengangguk tanda faham.
“Mahkamah meminta kamu berikan keputusan sama ada ingin tinggal bersama ayah atau emak kamu,” pinta hakim itu tegas. Alisya memandang papanya seolah-olah mengharapkan simpatinya. Dia menoleh pula ke arah mamanya yang kelihatan mengukir senyum dan penuh harapan. Kedua-dua orang adik kembarnya diperhatikan dengan penuh kasihan.
“Saya memilih untuk tinggal dengan papa saya,” kata Alisya tenang. Dia melihat papanya tersenyum kepadanya. Puan Kamariah pula kelihatan tenang meskipun kecewa dengan keputusannya itu.
“Mahkamah memutuskan hak penjagaan ke atas Alisya binti Razali dikembalikan kepada defedan manakala kedua-dua anak kembar iaitu Azimin dan Aziman diserahkan kepada plaintif, dengan ini mahkamah bersurai,” kata hakim sambil mengetuk kayu pemukul.
s/h Jauh
Alisya menarik nafas lega. Dia tahu keputusan itu akan disambut gembira oleh papanya walaupun terpaksa kehilangan hak ke atas anak-anak kembarnya. Dan dia juga tahu perbicaraan itu pasti mengundang rasa kecewa yang menebal di hati mama.
Alisya masih memandang mamanya yang sedang melayan kedua-dua adik kembar. Dia dapat rasakan kasih sayang mama semakin jauh dari jangkauannya. Kasih sayang yang amat dirindukan sejak dua tahun yang lalu kini kian hilang seolah-olah dia tiada hak langsung.
Air matanya menitis apabila mamanya mencium pipi Azimin sambil membelai rambut Aziman. Apakah mama terlupa bahawa dia juga anaknya. Adakah kerana keputusan yang dibuat itu, maka mama harus menjauhkan diri daripadanya. Dia masih merenung Puan Kamariah yang langsung tidak memandang ke arahnya tetapi terus masuk ke dalam kereta bersama lelaki yang sudah menjadi suami barunya.
“Esiya menyesal dengan keputusan itu?” tanya papanya yang baru saja tiba selepas menyelesaikan urusan di pejabat mahkamah.
“Tak, Eisya sayangkan Papa. Eisya tahu Papa banyak menanggung susah sejak Mama tinggalkan Papa,” kata Alisya sambil memeluk papanya. Air matanya bergenang lagi di pipi. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini nilai air matanya terlalu murah. Eisya minta maaf mama, bisik hatinya.
Seminggu selepas perbicaraan mahkamah, Alisya masih lagi mengharapkan kedatangan mamanya untuk datang menjenguk ataupun sekurang-kurangnya bertanya khabar.
Suasana rumah teres dua tingkat itu terasa amat sunyi tanpa riuh suara Aziman dan Azimin. Kalau tidak, tentu riuh rendah dengan gelagat kedua-dua adik kembarnya yang berusia lima tahun itu.
Alisya benar-benar kecewa kerana mama langsung tidak mempedulikannya selepas sebulan kes itu diputuskan. Memang benar telahannya, mama benar-benar ego dan keras kepala. Kalau tidak, masakan papa sanggup melepaskan mama.
“Kalau awak sudah bosan dengan saya, awak ceraikan saya. Awak cari perempuan lain,” kata mama sewaktu bertengkar dengan papa. Alisya yang masih mengulang kaji pelajaran bagi menghadapi PMR tersentak di meja tulis. Telinganya masih mendengar pertengkaran itu.
“Awak jangan bangga dengan kedudukan awak Kamariah, saya ni suami awak,” balas papa.
“Saya bukan bangga tapi hakikatnya kedudukan saya lebih tinggi daripada awak.”
“Saya tak hairan dengan kedudukan awak itu. Dulu pun awak yang tergila-gilakan saya.”
“Hmm, saya ingat awak anak orang kaya.”
“Awak jangan cabar saya,” balas papa. Alisya yang sudah keluar dan berdiri di pintu biliknya mendengar jelas butiran pergaduhan mereka.
Dia sudah muak mendengar pertengkaran itu namun tidak mampu mengelaknya. Dia benar-benar kasihankan papa yang tersepit di antara ego mama yang memuncak itu dengan maruah dan harga diri seorang suami.
s/h Perubahan
Peperiksaan SPM akhirnya menjengah jua pada bulan November. Alisya menghadapinya dengan tenang meski pun perasaan sedih dan terkilan masih bersarang di hatinya. Sudah hampir enam bulan dia langsung tidak bertemu dengan mama dan adik-adiknya. Sudahlah dua tahun yang lalu mama meninggalkan Alisya dan adik-adiknya tanpa khabar berita, kini dia pula dibiarkan tanpa sepatah kata. Apakah mama masih marahkan dirinya yang enggan menurut kehendaknya?
Sejak akhir-akhir ini Alisya melihat perubahan yang ketara pada diri papa. Semenjak Azimin dan Aziman mengikut mama, papa menjadi sugul dan kurang bercakap. Dia tidak pasti apakah persoalan yang bergolak di jiwa papa.
Dia pernah mengusulkan agar papa berkahwin lain, namun papanya hanya berdiam diri tanpa sepatah kata. Alisya menjadi sebak apabila terpandang papa yang sedang menatap foto mama dan adik-adiknya. Dia tahu papa masih sayangkan mama.
Alisya duduk di buaian di hadapan rumah. Kepalanya masih ligat berputar pada wajah mama dan adik-adiknya. Dia membayangkan kemesraan dan kebahagiaan yang pernah tercipta suatu ketika dahulu. Meskipun mama panas baran dan sering bergaduh dengan papa, dia tahu mama amat sayangkan mereka.
Melalui mama dia memperoleh kemewahan dari segi pakaian dan wang ringgit. Kemewahan yang mama limpahkan menyebabkan papa terkilan dan berasa jauh hati. Dia tahu papa tercabar dengan kedudukan yang diperolehnya lebih-lebih lagi selepas mama berjaya mendapatkan Ijazah Sarjana.
Lamunan Alisya terpadam tiba-tiba dengan bunyi hon yang bersahutan di luar pagar. Dia bergegas ke pintu pagar. Matanya tepat melihat seorang wanita yang amat dikenalinya.
“Mama!” jerit Alisya. Dia masih tergamam berhadapan dengan mamanya namun cepat-cepat menghulurkan tangan dan mencium mamanya meskipun hatinya berbelah bahagi. Dia memeluk adik-adik kembarnya.
“Apa khabar Eisya?” sapa mamanya sebaik sahaja memasuki kawasan rumah itu.
“Baik Ma,” jawab Eisya acuh tak acuh.
“Mama tahu Eisya masih marahkan mama.”
“Siapalah Eisya ma, sedangkan mama sendiri langsung tidak kisahkan Eisya,” jawab Eisya memulangkan paku buah keras.
“Eisya tak faham kedudukan mama.”
“Eisya dah besar ma, dah boleh bezakan mana yang baik dan buruk.”
“Jadi Eisya salahkan mama?”
“Enam bulan mama tinggalkan Eisya sendirian, malah selepas keputusan mahkamah mama langsung tidak mahu bertanya khabar apatah lagi untuk menjenguk.”
“Mama minta maaf Eisya, mama benar-benar tertekan dan kecewa apabila anak mama seolah-olah menyisihkan mama.”
“Mama yang tinggalkan kami selama dua tahun. Setiap kali bertengkar mama pasti minta cerai daripada papa. Kesian papa, dia benar-benar tertekan.”
“Mama minta maaf, mama sedar kesilapan mama.”
“Benda dah berlaku ma, lagipun mama terlalu mengejar kedudukan dan kelulusan, akhirnya papa yang jadi mangsa.”
“Eisya tak boleh salahkan mama sahaja, papa yang tidak mahu bertolak ansur.”
“Entahlah, Eisya benar-benar tersepit. Mama dan papa dan bercerai, kami adik-beradik terpisah, Eisya kasihankan papa.”
“Papa apa khabar?”
“Baik. Cuma dia banyak termenung sejak akhir-akhir ini, Eisya tahu dia masih sayangkan mama,” sambung Alisya.
Puan Kamariah tersentak dengan kata-kata itu. Deringan telefon mematikan perbualan mereka. Alisya bergegas ke meja telefon. Dia terkejut menerima berita di hujung talian. Badannya lemah dan langsung jatuh ke bawah. Puan Kamariah tergamam kehairanan.
Suasana hospital seperti biasa akan menerbitkan aroma ubat-ubat dari wad-wad bersebelahan. Eisya cemas menunggu di bilik bedah yang bersebelahan wad ICU. Pelbagai persoalan bergema di kepalanya. Sesekali dia menoleh ke arah mamanya yang kelihatan gelisah. Dia mengagak tentu mama turut gelisah.
“Macam mana doktor?” kata Alisya cemas apabila melihat seorang doktor keluar dari bilik bedah.
“Saya minta maaf, pendarahan di kepalanya terlalu serius. Kepalanya terhentak dengan kuat, kami tak dapat selamatkannya,” jawab doktor itu dengan tenang. Alisya terpempan di kerusi dan tidak menyedari apa-apa lagi.
Hujan renyai-renyai mengiring upacara pengkebumian Encik Razali. Ramai sahabat handai dan jiran tetangga mengiringi pemergiannya. Alisya tidak dapat menahan sebak yang bergumpal di dadanya.
Alisya cuba menahan tangis untuk merelakan pemergian papanya. Dia benar-benar terkilan kerana papanya pergi tanpa ucapan selamat tinggal. Kesedihan yang ditanggung turut dibawa hingga ke akhirnya hayatnya. Alisya benar-benar terkilan.
s/h Jawapan
Puan Kamariah masih di sofa memerhatikan anak perempuannya di buaian. Suaminya sekali-sekala merenungnya. Dia masih mencari jalan untuk memujuk Alisya tinggal bersama-samanya. Sejak semalam Alisya enggan bercakap kecuali menangis. Dia bimbang kesihatan anak gadisnya itu.
“Eisya, berilah jawapan pada mama dan papa,” kata Puan Kamariah. Alisya masih membatu. Dia benar-benar terkilan dengan sikap mama. Lebih-lebih lagi apabila disuruh memanggil ‘papa’ terhadap suami barunya itu. Baginya tiada lelaki lain yang boleh mengganti tempat papanya.
“Eisya dah besar ma, Eisya boleh tentukan hidup Eisya sendiri. Kalau mama nakkan rumah ini pun, mama ambillah, biar Eisya tinggal dengan nenek,” jawab Eisya tenang.
Puan Kamariah terkedu dengan jawapan anaknya. Baru dia tahu kesalahannya dahulu telah meninggalkan kesan yang mendalam di jiwa anaknya.
“Eisya masih marahkan mama kerana tinggalkan Eisya dan papa?” soal Puan Kamariah inginkan kepastian.
“Tak usahkan mama ungkitkan perkara itu. Eisya boleh hidup sendiri tanpa mama. Selama ini pun Eisya sudah biasa dengan kesunyian tanpa belaian kasih mama,” balas Alisya lagi.
“Eisya, mama pulang dulu. Eisya tinggallah di rumah ini bersama nenek,” kata Puan Kamariah perlahan. Dia benar-benar kecewa dengan reaksi anaknya itu. Dia menyalahkan dirinya yang bertindak sehingga melukakan hati anak gadisnya. Dia berharap Alisya akan faham segala tindakannya.
Alisya hanya memerhatikan mamanya berjalan menuju ke keretanya. Hatinya benar-benar tawar terhadap mamanya. Dia tahu tindakannya salah, namun dia tidak dapat membohongi perasaan terkilan terhadap tindakan mamanya itu. Selagi kesedihan papanya masih membelit di jiwa, selagi itulah hatinya masih kosong terhadap mama.
Air matanya menitis dan semakin laju apabila kereta mama mula meninggalkan perkarangan rumahnya. Dia tahu mama sedih dan kecewa sama seperti keputusan yang diputuskan oleh hakim dahulu. Jauh di sudut hatinya, dia berharap kasih sayang yang kian pudar terhadap mama akan kembali subur. Dia tidak pasti bilakah detik itu akan muncul.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: