kasihnya pada dia

JAM lapan minit loceng berbunyi. Murid-murid berbaris di tengah padang mengadap tiang bendera yang sudah condong. Di puncaknya sehelai bendera lasam terbelit kaku. Sudah lama bendera itu tidak berkibar. Lima minit murid-murid berbaris, tanpa seorang pun datang mengawas. Barisan-barisan itu bengkang-bengkok macam ular kena pukul. Begitulah setiap hari. Mereka berbaris kerana disuruh. Untuk apa mereka tak tahu. Dan tiang bendera bersama sehelai kain berjalur merah putih di depan, ertinya haram tidak tahu. Sebentar kemudian barulah keluar seorang guru, Bercekak pinggang. Dia cuma memperhatikan murid-murid itu dengan penuh kejemuan. Tidak ada satu tafsiran pun terhadap masa depan murid-murid itu. Dia cuma makan gaji.
“Dengar sini semua!” dia bersuara, tapi kata-kata itu tenggelam dalam suara bising murid-murid. “Diam! dengar sini semua.” Cikgu Izma meninggikan suaranya. Murid-murid diam. Tapi barisan macam tadi juga. Bengkok. “Sudah berapa kali saya pesan. Waktu rehat jangan dekat kereta,” Cikgu Izma memberi amaran keras. Amaran yang selalu diucapnya. Murid-murid menoleh ke belakang. Kereta Volkswagen menjadi tumpuan mereka. Kura patah besar, kata setengah murid-murid. Murid-murid yang diam itu sering benar mendengar amaran seperti itu. Amaran-amaran seperti itu melebihi dari nyanyian negaraku. Mereka lebih hormat kepada kereta Cikgu Izma dari bendera dan lagu negara. Pernah setahun dulu, dua tiga orang murid menyepak-yepak bendera buruk, yang gugur sendiri dari tiang.
Selesai Cikgu Izma memberi amaran itu, murid-murid dibenarkan masuk ke darjah masing-masing. Dan Cikgu Izma kembali ke bilik guru,langsung berbual-bual dengan guru-guru yang lain. Mereka bercakap-cakap asal kereta. Pasal tangga gaji dan pasal lelaki. Lapan setengah masing-masing masuk bertugas. Cikgu Izma masuk darjahnya,darjah lima. Ketua darjah melaung kuat suruh bangun. Masing-masing bangun,tapi sama. Malas. Cikgu Izma tidak ambil pusing soal itu. Separuh masa sudah berlalu. Cikgu Izma membuat soalan kira-kira yang lain. Tiba-tiba seorang murid masuk senyap-senyap dan duduk di bangku paling belakang.
Cikgu Izma sedar. Ia memerhati murid itu dengan pandangan yang tajam, sehingga mata murid itu tidak kuasa menentangnya. Semakin lama Cikgu Izma memerhati, murid itu mulai gelisah. Dia pura-pura mencari sesuatu di dalam mejanya. Mengaru-garu betis yang basah dengan air embun.
“Adi! Mari sini!” Cikgu Izma memanggil murid yang datang lambat itu dengan marah. Murid yang bernama Adi itu bangun lambat-lambat. Kemudian menlangkah perlahan-lahan ke depan. Dia tahu, sebentar lagi dia akan menerima habuan. Dan kawan-kawannya yang lain pun sudah menduga yang Adi akan menerima habuan. Begitu-lah selalunya.
“Berdiri di situ!” perintah Cikgu Izma sambil telunjuknya menunjukkan di tepi meja tulis. Dia kembali menulis soalan-soalan di papan hitam. Adi berdiri di tepi meja dengan hati yang berdetup-detap. Bimbang.Takut. Gentar. Dia tidak dapat menduga apakah hukuman yang akan dijatuhkan oleh Cikgunya nanti akibat dia datang lambat. Tapi kali ini dia bercadang dia akan berterus-terang saja. Dia akan bercakap benar walaupun tidak diterima oleh Cikgu Izma.
“Mari dekat sini, Adi!” perintah Cikgu Izma bila dia selesai menulis soalan.Punggungnya yang lebar itu dihenyak ke kerusi. Murid yang bernama Adi itu mendekati sedikit. Dia cuma memakai seluar dan baju tanpa dua biji butang bawah. Rambutnya tidak disikat. Berkaki ayam. Betisnya bercalar-calar diguris oleh duri lorong denai yang dilaluinya. Cikgu Izma memerhati atas bawah. Jijik sekali. Rupa bentuk dan pakaian muridnya ini sungguh-sungguh tidak berbeza sejak dari darjah empat dulu lagi.
Adi tidak berani memanggung kepala bila Cikgu Izma memerhatikannya tanpa berkata sepatah pun. Kaki kanannya menenyeh-nenyeh kaki kiri. Gatal. Jarinya memintal-mintal kaki seluar yang lusuh itu.
“Kenapa awak datang lambat?” akhirnya Cikgu Izma bersuara. Adi tidak menjawap. Dia tahu walau bagaimana benar sekalipun jawapannya, dia akan kena habuan juga. Dia tahu hukuman yang akan dijatuhkan kepadanya bukanlah berdasarkan sebab-sebab samada rumahnya jauh atau aral gendala yang lain. Tapi kerana dia datang lambat.
“Hee beruk! Saya tanya kenapa awak datang lambat?” Cikgu Izma hampir-hampir memekik. Adi diam juga. Ia masih tunduk juga. Panggilan beruk padanya bukanlah sekali itu saja, dan bukan sekadar Cikgunya seorang. Di sekolah dia sudah masyhur dengan panggilan beruk, sebab dia membela seekor beruk.
“Pandang sini!” sergah Cikgu Izma sambil mengangkat dagu Adi dengan pembaris panjang. Adi memanggung kepala.
“Saya tanya kenapa awak datang lambat?” Dengan suara gagap-gagap bercampur takut, Adi menjawap, “Beruk … beruk … saya putus rantai, Cikgu!”
“Haaa, kalau dah putus apa yang awak buat,” Cikgu Izma bertanya keras. Memang dia tidak pernah beri muka dengan murid-murid. “Saya cari Cikgu.” “Dah jumpa?” Adi angguk. Tersenyum.
“Sebab tu awak datang lambat?” Angguk juga. “Awak lebih penting beruk dari sekolah ya? Sebab tu awak pun macam beruk,” Cikgu Izma berleter. Muka Adi dipandang dengan jijik.
“Saya sayangkan beruk saya Cikgu. Dia kawan baik saya!” kata Adi dengan jujur. Marah Cikgu Izma naik meluap. Jawapan Adi itu sungguh menyakitkan hatinya. Ia mengaru-garu kepala. Tubuh kurus Adi dipandangnya, kelihatan macam seekor semut.
“Awak nak main-mainkan saya ya?” Cikgu Izma menahan marah. Matanya bersinar- sinar. “Tidak Cikgu, saya … ” “sudahhh!” tiba-tiba Cikgu Izma menempik. Serentak dengan itu satu penampar kuat hinggap di telinga kanan Adi. Adi terhoyong-hayan tapi tidak menangis. Telinganya terasa bengang. Pendengarannya berdengung. Mukanya merah. Dengan langkah lesu dia kembali duduk di kerusi. Kawan-kawannya diam membisu. Masing-masing menumpukan perhatian padanya.
“Cuba kamu tengok beruk tu! Tak malu. Malas! Kamu semua jangan jadi beruk macam dia!” Cikgu Izma bersyarah pada murid-muridnya yang lain. Murid-muridnya diam membisu. Sekala mereka berpaling memandang Adi yang malang itu. Tapi Adi, macam tidak ada apa yang terjadi. Kalau tadi dia asyik tunduk, kali ini dia memanggung mukanya dan berwajah tenang. Begitu pun di kelopak matanya ada air bertakung.
Tiga hari sesudah itu Adi tidak datang ke sekolah. Dari desas-desus murid-murid yang lain. Cikgu Izma mendapat tahu yang Adi sudah berhenti. Dengan tiba-tiba, hati Cikgu Izma diserkup sayu. Sedih dan kasihan. Ia terasa macam ada satu dosa yang di-lakukannya terhadap Adi. Beberapa ketika dia termenung. Dia tahu perbuatannya itu salah di segi undang-undang. Tapi hari itu dia sungguh tidak tahan. Bila ditanya cuma beruknya saja menjadi alasan. Mana hati tidak geram.
Tapi bila dia mendapat tahu Adi berhenti, perasaan hibanya tidak dapat dikawal lagi. Dia merasa tanggungjawabnya pula untuk menarik Adi belajar hingga tamat. Dia menyesal.Tengahari itu Cikgu Izma tidak terus pulang ke rumahnya. Selepas bertugas dia meminjam basikal seorang muridnya dan terus ke rumah Adi yang terletak sejauh 4 km itu. Dia tidak memberitahu pada Guru Besar. Biarlah hal itu dia menyelesaikannya sendiri.
Untuk sampai ke rumah Adi, Cikgu Izma terpaksa melalui lorong sempit yang boleh dikatakan denai. Di kiri-kanan pokok-pokok “keman malu” dan senduduk. Berlopak-lopak. Tiada ramai orang lalu-lalang. Kampung tempat tinggal Adi sangat-sangat terpencil. Sekali-sekala terlintas juga di hati Cikgu Izma, Bahawa memang patut Adi tidak selalu datang ke sekolah bila memandang jauhnya dan jalan yang sunyi lengang. Kalau dia sendiri pun jadi Adi, dia tentu jadi macam Adi.Sekali lagi perasaan menyesal menumbuk di hatinya kerana perbuatannya itu tidak diselidiki lebih dulu. Akhirnya sampai juga. Cikgu Izma terpaksa menyeberangi sebatang titi yang melintasi sebuah parit yang seluas 10 kaki.
Adi tidak ada. Berkali-kali Cikgu Izma memanggil tapi senyap saja. Tiba-tiba seorang tua menjenguk dari lubang tingkap. Orang tua itu menjemput Cikgu Izma naik. Cikgu Izma menolak pelawaan itu tapi berkali-kali pula orang tua itu men-jemputnya. Akhirnya Cikgu Izma mengalah bila orang tua itu memberitahu yang ia lumpuh, tidak dapat turun. Sekali lagi sebak menyerang hati Cikgu Izma.
Rupa-rupanya kesulitan Adi berbagai-bagai jenis. Terasa mahu dikerat tangannya yang ganas itu. “Adi ke mana Makcik?” tanya Cikgu Izma. “Entahlah, dia turun dari rumah tadi pukul sepuluh. Katanya dia nak petik buah kelapa di hujung kampung.” “Dia panjat pokok kelapa?” “Takkk, dengan beruknya tulah. Itulah pencariannya sejak Makcik lumpuh.” Terang ibu Adi dengan hiba. Dia meninjau-ninjau kalau-kalau ternampak Adi.
Cikgu Izma memerhati di sekitar rumah Adi. Di atas alang rumah itu terdapat buku-buku Adi. Dindingnya tembus di sana-sini. Tidak ada apa yang boleh di-namakan perhiasan. Cuma satu cermin bulat sebesar tempurung jantan.
“Dah lama Makcik lumpuh?” tanyanya. “Dah hampir setahun.” terang orang tua itu lagi. Cikgu Izma yang duduk di muka pintu saja itu mengangguk-angguk. Rasa simpati kepada Adi semakin tebal.
“Saya datang ni nak tahu, mengapa Adi tak ke sekolah lagi?” “Entahlah. Katanya dia tak mahu ke sekolah lagi. Telinganya sakit” Cikgu Izma termenung panjang. Wajahnya berkerut. Sedang dia termenung, tiba-tiba dia melihat Adi pulang, beruknya di atas bahu. Adi membimbit dua biji kelapa.
“Haa, itu pun dia dah balik,” Kata Cikgu Izma dengan tersenyum. Orang tua itu menjenguk dari lubang tingkap. Dia menyambut kepulangan anaknya dengan pandangan mata saja. lebih dari itu dia tidak berdaya.
“Begitulah kerjanya setiap hari sejak bapanya meninggal,” kata orang tua itu dengan sedih. Adi yang sudah hampir sampai dengan rumahnya itu terhenti seketika bila melihat ada orang di muka pintu rumahnya. Dia macam tidak percaya orang itu Cikgu Izma. Tapi bila dia sudah pasti benar-benar segera melepaskan buah kelapa yang dipegangnya. Beruknya diletakkan di tanah, dia meluru mendapatkan Cikgu Izma. Tersenyum girang. Bersalam tangan. Beruk yang ditinggalnya itu melompat-lompat. Berkereh-kereh bunyinya kerana orang yang berada di muka pintu rumah tuannya itu belum pernah dilihatnya.
“Dah lama Cikgu sampai?” tanya Adi. “Baru sekejap,” jawap Cikgu Izma. Keramahan Adi sungguh mengejutkan Cikgu Izma. Beruk yang ditinggalkan oleh Adi di halaman rumahnya itu melompat-lompat dengan suara garang. Adi menempik beberapa kali supaya diam, tapi beruk itu tetap melompat juga. Dia tidak kenal orang itu guru tuannya. Cikgu Izma terpandang telinga kanan Adi. Telinga itu merah dan bengkak nampaknya. Dari lubangnya meleleh benda putih.
“Dekat sini Adi,” kata Cikgu Izma dengan lembut. Adi mendengar kata-kata itu berlainan dengan perintah semasa disekolah. Kata-kata itu macam kata-kata orang yang menyayanginya. Dia mendekatkan kepalanya kepada Cikgu Izma.
“Senget sedikit kepala awak,” lagi Cikgu Izma berkata. Adi menyenget kepalanya. Cikgu Izma memegang kepala Adi dan menekannya sedikit untuk mempastikan sakit itu. Tapi dengan tiba-tiba beruk yang sedang marah- marah dan melompat-lompat di halaman tadi, melompat naik lalu mengigit tangan Cikgu Izma. Beruk itu menyangka orang itu akan menyakiti tuannya.
Cikgu Izma mengaduh sakit. Tangannya berdarah. Beruk masih bergelut. Adi menempik beberapa kali supaya beruk itu berlalu. Tapi tempikannya tidak diendahkan oleh beruk itu. Ia terus menyerang Cikgu Izma. Demi untuk menyelamatkan Cikgu Izma, Adi mencapai sebatang lembing yang digunakan untuk menghimpun buah-buah kelapa. Lalu, dengan sekuat-kuat hatinya dia meradak lembing itu ke perut beruknya. Cuma itulah saja yang boleh menyelamatkan gurunya.
Beruk yang garang itu menjadi lemah. Telentang diatas lantai. Sebelum menghembuskan nafasnya yang akhir, mata hitamnya memandang Adi dengan sayu. Kelopak mata berbulu itu tergenang air jernih. Adi terpaku seketika. Ibunya juga tidak berkata apa-apa. Cikgu Izma menahan darah di lengannya dengan sehelai saputangan. Tapi darah yang keluar di lengannya tidaklah sama dengan darah beruk yang telah diradak dengan lembing.
Suasana sepi, Cikgu Izma memandang Adi. Adi memandang beruknya seakan suatu mimpi. Dan Ibu tua itu memandang anaknya dengan tafsiran yang asing. Adi melutut di sisi beruknya. Lembing yang masih terpacak di dada beruknya,dicabut. Darah likat berpalut di mata lembing itu. Adi tidak dapat menahannya. Dia menangis tersedu-sedu. Air matanya berderai keluar, jatuh menimpa di atas tubuh beruk kesayangannya. Dia bangun lambat-lambat. Matanya memandang ibunya. Ibu tua tetap membisu. Dia tersedu-sedu. Tersedu-sedu.
“Terimakasih Adi,” tiba-tiba dalam kesepian itu Cikgu Izma berkata. Darah di lengan masih juga keluar. “Cikgu sakitkah?” tanya Adi di antara sedu-sedannya. “Tak mengapa, sikit saja. Err, saya balik dulu Adi,” kata Cikgu Izma lalu turun dari rumah itu. “Cikgu, saya minta maaf,” kata Adi sebaik-baik saja Cikgu Izma memijak tangga bawah.
“Tak apa … tapi awak mahu ke sekolah lagi?” di tunduk. Kaku. Sedih. “Lebih baik awak ke sekolah hingga darjah enam.” Cikgu Izma memberi nasihat.
“Saya tak dapat ke sekolah lagi Cikgu,” tiba-tiba Adi menjawap sayu. “Kenapa?” “Beruk … saya mencari makan dengan beruk itu Cikgu.” Hati Cikgu Izma bagai ditikam lembing berkarat. Perkataan Adi benar-benar menusuk hatinya. Barulah dia sedar, bahawa beruk itu pada Adi merupakan tali penghubung nyawanya selama ini. Dia melangkah pulang dengan hati yang sebak. Tapi Adi yang terpaku di ambang pintu itu lebih pilu lagi… .

7 Respons

  1. cikgu..cikgu..cikgu..kalau nak jadi cikgu kita kene sabar..kita kene fhm org len..sbb keje cikgu ialah MEMANUSIAKAN MANUSIA…smg Allah berkati sgl ilmu yg disampaikan oleh guru2 anda sume..

  2. sedih sgt… dalam kesusahan kita ade manusia yg lebih susah… insaf rasenya…

  3. Sedih nyerrrr……bykkan bersabar buat guru2 semua.

  4. ala sedih nyer…citer ni akan sy jd kan iktibar utk mendidik anak bangsa nanti…sedih nyer..menangis tersedu-sedu….

  5. alang tau jd cikgu ssh…..byk tekanan…….tp……bykknla b’sbr……kpd umat manusia..jgn t’lalu ikutkn nafsu amarah kte k………..

  6. x tau la nape bila bc cerpen nie tetibe air mata sy menitis…. btul2 menyentuh jiwa.. sy berazam bila dah jd cikgu nnti sy akan lebih memahami keadaan pelajar2 sy n yg penting sabar tu mesti ada…..

  7. sedey sgt.. btul2 sedih… bila bc cerpen ni x tau nape hati sy btul2 tersentuh….. nk jd cikgu kne sabar…. sy berazam nk jd cikgu yg memahami pelajar2 sy…. kcian mereka x smua mereka senang…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: