kasih dihujung rindu 2

Bab 5 – Khairul
Aku memandang ganggang telefon yang masih belum aku letakkan ke tempatnya. Farhan di pangkuanku sibuk membelek kereta mainannya. Aku mengucup kepalanya. Dia mendongak sambil tersengih.
â??Farhan nak jumpa dengan kawan mama tak?” Perlahan-lahan aku mengusap kepalanya. Azim pula terkedek-kedek berjalan mendekati aku. Segera aku dukung anak kecilku dan mengucup pipi tembamnya. Dia mengekek ketawa suka hati.
Farhan pantas menganggukkan kepalanya. “Bila kita nak pi?” Soalnya masih pelat.
“Sekejap lagi kita pegi ye.”
“Yeaa… ” Farhan bersorak riang. Apalah yang dia tahu dalam usia yang masih begitu muda. Hanyalah keseronokan. Tapi sungguh malang nasib anak-anakku. Kehilangan kasih sayang mamanya. Terasa bergenang airmata di kelopak mataku. Tapi, segera aku seka dengan jariku.
“Azim nak ikut?” Azim hanya terpinga-pinga memandang aku. Mungkin masih belum memahami butir kata aku walaupun dia juga sudah pandai bertutur ayat-ayat yang senang.
“Kita nak jumpa kawan mama.” Terangku walaupun aku tahu dia tidak memahami kata-kataku. Aku mengucup pipinya lagi.
“Ma? Nak… ” Balas Azim lalu cuba melepaskan diri dari dukungan. Segera aku letakkan dia, terkedek-kedek dia berlari mengikut abangnya yang sedang bermain kapal terbang mainan pula.
Hmm… baik aku pergi mandikan budak-budak ni. Dah dekat pukul satu, nanti terlewat pula. Belumpun aku bangun, telefon berdering! Hatiku bagaikan terhenti seketika. Farahkah yang telefon? Dia tak jadi keluarkah? Dalam tertanya-tanya begitu, aku gagahkan diri untuk mengangkat telefon yang masih menjerit-jerit minta diangkat.
“Hello, assalamualaikum.”
“Waalaikummussalam. Khairul, ini mak nie.” Kedengaran suara emak di hujung talian. Aku menghela nafas lega.
“Ya mak, ada apa hal?”
“Cucu-cucu mak apa khabar?”
“Mereka berdua baik mak. Janganlah mak risau.” Perlahan sahaja suaraku menuturkan ayat.
“Bila kau nak bawa balik cucu-cucu mak tu? Mak dah rindu pada mereka. Khairul, berapa kali dah mak minta hendak menjaga anak-anak kau tu, tapi kenapa kau tak beri. Kenapa? Kau tak percayakan mak ke?” Sayu suara emak. Aku tahu, sejak kematian Linda, emak memang berhajat mahu menjaga Farhan dan Azim. Cuma aku sahaja yang keberatan hendak membiarkan emak menjaganya. Bukannya apa, kalau aku berikan pada emak menjaga Farhan dan Azim, apa pula kata emak dan ayah Linda. Mereka juga ingin membela cucu-cucu mereka ini. Takkanlah aku hendak membahagikan anak-anakku untuk dijaga. Aku tak rela mereka dipisah-pisahkan begitu. Jalan terbaik, biarlah aku yang menjaganya.
“Mak, bukan begitu. Saya rasa saya mampu menjaga mereka. Tak perlulah mak risau.” Pujukku berhati-hati takut jikalau hati emak terguris.
“Carilah pengasuh buat budak-budak tu.”
â??Saya memang ada pengasuh untuk menjaga budak-budak. Tiap-tiap pagi sebelum pergi kerja, saya akan hantar mereka ke rumah pengasuh tu. Semuanya berjalan baik mak. Janganlah risau.” Aku tahu emak agak keras hati. Kena betul-betul memujuknya.
Terdengar emak mengeluh perlahan. Dia mendiamkan diri agak lama. Mataku melingas ke jam di dinding. Lagi lima belas minit pukul satu. Tak boleh jadi, nanti aku terlewat.
“Err… mak, saya nak keluar bawak Farhan dan Azim makan.” Beritahuku.
“Baiklah. Kalau ada masa nanti, baliklah kampung bawa anak-anak.” Ucap emak sebelum mematikan talian. Aku hanya mengiyakan kata-kata emak.
Setelah meletakkan ganggang telefon, aku bergegas mendukung Azim dan menuntun Farhan masuk ke dalam bilik untuk menukar baju.
Bab 6 – Farah
Hampir setengah jam aku menunggu di sini tapi bayang Khairul dan anak-anaknya masih tidak kelihatan. Aku mula gelisah. Berkali-kali aku memandang jam yang tergantung cantik di dalam restoran ini. Takkan tak jadi pula. Tadi, dia yang beria-ia ajak.
“Hai, sorry aku lambat sedikit.” Suara Khairul menyapaku dari belakang. Pantas aku menoleh, tapi bukan wajah Khairul yang menjadi tumpuan aku sekaran tetapi wajah mulus dua orang kanak-kanak yang berada di samping dan di dalam dukungannya. Kaku aku seketika.
“Mama..” Tiba-tiba sahaja anak yang berada dalam dukungan Khairul memanggil aku ‘mama’ lalu menghulurkan tangan minta didukung. Aku sentak. Kupandang wajah Khairul yang juga kelihatan terkejut.
“Ini mesti Azimkan?” Aku membuka bicara untuk menutup rasa gugup dalam hati dan menyambut Azim dari dukungan Khairul. Khairul menyerahkan Azim kepadaku.
“Haah, ini Azim. Dan yang ini pula… .”
“A’an… ” Jawab kanak-kanak itu lalu tersenyum manis. Khairul ketawa besar melihat keletah anaknya itu.
“Ini pula Farhan ya!” Soalku ramah. Dia pantas menganggukkan kepalanya. Azim pula senyap dalam dukunganku. Kubelai-belai tubuh anak kecil itu. Hatiku tiba-tiba sahaja sebak.
Khairul mengambil tempat. Begitu juga diriku. Azim pula seperti melekat padaku.
“Comel anak-anak kau.” Kataku sebaik sahaja memesan makanan. Khairul hanya tersenyum mendengarnya.
“Petah pulak tu… ” Tambahku lagi. Kucubit pipi tembam Azim.
“Lupa pulak nak suruh diaorang salam dengan kau. Salam auntie.” Pinta Khairul sambil memegang lengan Farhan. Farhan menghulurkan tangan kecilnya untuk bersalam denganku. Aku ketawa kecil lalu menyambut tangan kecil itu. Dia tunduk mengucup tanganku. Rasa damai menyusup ke dadaku. Di hatiku terdetik, walaupun tanpa kasih sayang mamanya, papanya masih mampu menjaga dan mengajar anak-anaknya dengan sempurna.
“Pandainya dia.” Kataku lalu mengucup pipi Farhan pula. Dia tersenyum lebar. “Auntie awan mama? Auntie tau mama dah ati? Sian mama… ” Soal Farhan pelat. Aku memandang Khairul yang tersenyum mendengar.
Aku mengangguk sambil menahan sebak di dada. Airmata ini bagaikan begitu mudah untuk menitis jatuh. Betapa rindunya anak ini pada mamanya… .
“Farah, budak-budak nie memang amat rindukan mamanya. Azim nie pulak, kalau nampak aku berbual dengan mana-mana perempuan, semuanya dipanggil mama. Farhan pula, mungkin tak paham apa maksud mati, tapi dia akan beritahu setiap orang bahawa mamanya dah mati.” Mendatar sahaja suara Khairul. Di wajahnya terlakar kesedihan yang teramat sangat.
Aku hanya mendiamkan diri. Lidah ini rasanya tidak mampu untuk membalas kata-katanya. Aku takut aku akan hilang kesabaran. Aku tidak mahu menangis di hadapannya. Kami kehilangan kata-kata seketika.
“Kau tak mahu cari pengganti mama mereka?” Soalku apabila kupastikan perasaanku sudah tenang.
“Memang niat di hati itu ada. Tapi, aku masih sayangkan arwah. Masih terasa akan kehadirannya di sisiku. Lagipun aku takut kalau-kalau penggantinya nanti tidak dapat menerima anak-anak aku. Aku tak kisahkan diri sendiri, cuma aku risaukan Farhan dan Azim. Aku pun kalau boleh tak mahu mereka membesar tanpa kasih sayang seorang ibu, tapi buat masa sekarang… aku belum bersedia mencari pengganti.” Khairul seperti meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya selama ini. Dia melurutkan rambutnya ke belakang. Satu sikapnya yang aku kenali jika dia berada dalam keadaan keresahan.
Tiba-tiba dia memandang wajahku dengan tajam. Kemudian pandangannya beralih pada Azim yang berada di pangkuanku. Tak lama kemudian, matanya beralih semula ke wajahku. Lama. Aku menjadi segan tiba-tiba.
“Kenapa?” Tanyaku untuk menutup rasa segan di hati. Dia pula seperti tersentak dan kemudiannya tersenyum lalu menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Nampaknya Azim suka dengan kau. Tak berenggang langsung.” Balasnya lalu ketawa sedikit.
AKu hanya tersenyum senang. Kubelai-belai rambut Azim. Kata-kata Khairul tidak kubalas. Sebaliknya aku sibuk melayan pertanyaan Farhan tentang diriku. Walaupun baru berumur dua tahun setengah, tapi dia begitu petah hinggakan kadang-kadang aku tidak memahami butir katanya. Terpaksalah Khairul menterjemahkan kepada. Aku rasa sungguh bahagia hari ini. Agaknya beginilah kebahagiaan orang-orang yang sudah berkeluarga. Aku? Bilalah aku dapat merasai kebahagiaan seperti ini?
Bab 7 – Khairul
Televisyen yang terpasang tidak sedikitpun menarik minatku untuk melihatnya. Sebaliknya aku lebih senang berbaring dan merenung ke siling rumahku. Terasa sunyi mencengkam hidupku. Kalau dahulu, waktu-waktu begini Linda menemaniku menonton televisyen. Dia akan membuat milo panas buatku. sambil menonton, dia akan memicit-micit kepalaku. Dia memang seorang isteri yang baik. Tapi… .
Arghhh… . kenapa sampai sekarang aku bagaikan terasa dia sentiasa berada di sisiku. Kadang-kala bagaikan terasa kehadirannya di sisiku, hangat! Aku sudah seperti gila mengejar bayangnya. Oh Linda, abang rindukan Linda. Kenapa Linda tinggalkan abang? Tinggal Farhan dan Azim, anak-anak kita? Kenapa Linda?
Setitis air mataku menitis di pipi. Segera aku kesat. Aku lelaki. Sepatutnya aku kuat dan tabah. Anak-anakku masih kecil. Mereka masih memerlukan aku. Tapi, mereka juga perlukan kasih sayang seorang ibu. Tapi, siapa yang layak menggantikan tempat Linda. Aku tidak yakin, ada perempuan lain yang sebaik dan selembut Linda. Aku tidak mahu anak-anakku disiksa oleh ibu tiri mereka. Memarahi mereka pun aku tidak sanggup, inikan pula mahu memukul atau mencubit. Seekor nyamuk pun tidak akan kubiarkan menggigit dan menghisap darah anak-anakku. Aku terlalu menyayangi anak-anakku. Merekalah satu-satunya tinggalan Linda buatku.
Mungkin, Farah boleh menggantikan tempat Linda! Tingkah-lakunya saling tak tumpah sepertimu Linda. Setiap kali aku melihat Farah, sedikit sebanyak akan terubat rinduku buatmu, Linda. Tapi, mahukah Farah menerima aku? Seorang duda beranak dua sedangkan dia masih lagi anak dara? Mahukah dia menjaga Farhan dan Azim nanti? Aku… aku buntu… arggghhhhh… … . Tapi aku perlu mencuba. Aku pasti memcuba…
Sepantas kilat aku mencapai telefon lalu menekan nombor telefon Farah. Hatiku berdebar-debar. Lama aku menati, tapi tiada siapa yang menyambut. Jam di dinding berdenting. Mataku melirik ke dinding. Pukul dua pagi. Hmmm… patutlah tak berangkat. Dia sudah tidur. Aku juga yang bodoh sebab tak sabar-sabar. Aku tak boleh begini, nanti Farah akan menjauhkan diri daripadaku. Sepatutnya aku mendekatinya dengan perlahan-lahan. Tidak terlalu mendesak. Nanti aku juga melepas.
Dah dua pagi. Esok hendak ke pejabat. Baik aku masuk tidur dulu.
Bab 8 – Khairul
Hujung minggu itu aku membawa pulang Farhan dan Azim untuk menemui datuk dan neneknya. Aku bertolak pada pukul 10 pagi dan lebih kurang pukul 2 petang aku sampai ke rumah emak. Kepulangan kami disambut gembira oleh mereka. Yalah, sudah hampir tiga bulan aku tidak pulang ke kampung kerana sibuk menyelesaikan kerja di cawangan yang baru.
Sewaktu minum petang, kami sekeluarga selalunya duduk beramai-ramai di halaman rumah. Tambahan pula halaman rumah emak dibina satu taman kecil. Ayah yang bertangan kreatif, membuat taman kecil tersebut. Emak pula yang menanam pokok-pokok di situ. Terdapat juga kolam kecil dan air terjun bertingkat kecil yang dibina oleh ayah membuatkan persekitaran di situ begitu menyamankan. Farhan dan Azim, aku biarkan mereka bermain sesama mereka.
“Kesian ayah tengok budak-budak tu. Carilah pengganti mama mereka. Walaupun ayah tahu kau boleh menjaga dan membesarkan mereka sendiri, tapi lebih baik mereka membesar di bawah kasih sayang seorang ibu.” Ayah memandang wajahku. Aku hanya tersenyum sedikit lalu melemparkan pandanganku ke arah emak yang sedang menatang sedulang air dan juga kuih seri muka.
“Jemput minum ayahnya, Khairul.” Emak menuang air the ke dalam cawan lalu menghulurkan kepada ayah. Ayah menyambut cawan dari tangan emak lalu menghirup sedikit teh yang masih lagi berasap. Kemudian emak menuangkan teh ke dalam satu lagi cawan lalu menghulur kepadaku. Aku menyambutnya lalu meletakkannya semula.
“Farhan… Azim… mari minum dengan atuk dan opah!!” Laung emak kepada cucu-cucunya. Tak lama kemudian, terkedek-kedek kedua-dua beradik itu berlari mendapatkan kami bertiga di meja. Farhan terus menerkam kepada atuknya. Azim pula mendapatkan aku. Lantas aku mengangkatnya dan kududukkan dia di pangkuanku.
“Atuk, ari tu papa bawak Aan jumpa awan mama.” Aku terpana sebentar. Takku sangka Farhan akan bercerita pertemuan aku dengan Farah.
“Iya? Siapa?” Ayah kelihatan berminat untuk mengetahui. Ayah berpaling kepadaku lalu tersenyum.
“Auntie… ” Jawab Farhan lalu tersenyum. Ayah turut tersenyum lalu melayan cucunya itu minum petang.
Aku memandang muka emak. Ada ketegangan di wajahnya.
“Kau bawa budak-budak nie jumpa siapa?” Perlahan tapi tegas. Itulah perangai emak yang amat kukenali apabila ada sesuatu yang tidak disukainya. Hatiku mula berdebar-debar. “Farah, kawan lama kami dulu. Dulu kami sepejabat, tapi dia berhenti sebab dapat kerja di KL. Tak sangka pula bila saya kerja di KL, bertembung dengan dia. Bahkan kami satu bangunan, cuma berlainan tingkat sahaja.” Terangku perlahan.
“Sampai bawak anak-anak, ada apa-apa ker?” Giliran ayah pula menyoal aku. Tapi belumpun sempat aku menjawab, emak sudah mencelah.
“Kau dah dapat pengganti mama mereka ke?” Masam sahaja muka emak.
“Secara kebetulan kami berjumpa.” Balasku lalu menghirup teh dari cawan. Aku menyibukkan diri dengan menyuap Azim kuih seri muka.
“Kubur Linda tu masih merah lagi. Cepatnya kau cari pengganti. Kau dah tak sayang pada Linda?”
“Emak… Saya tetap sayangkan dia. Dia tetap ibu kepada anak-anak saya. Tapi, takkan saya nak biarkan Farhan dan Azim membesar tanpa kasih sayang seorang ibu.”
“Aku boleh jaga cucu-cucu aku. Kau saja yang tak mahu beri aku jaga!” Bila emak sudah membahasakan dirinya ‘aku’, itu tandanya dia sedang marah. Aku cukup susah hati bila emak begini.
“Awak nie… takkanlah nak biarkan budak-budak nie tak beremak. Biarlah Khairul kawin lain. Lagipun dia muda lagi. Yang awak macam tak suka kenapa?” Suara ayah juga berlainan. Mungkin seperti aku yang tidak memahami perasaan emak.
“Linda tu baru sahaja meninggal. Takkanlah dan nak kawin lagi. Apa kata besan kita nanti. Cepat sangat nak cari pengganti anak mereka.” Emak masih mempertahankan tindakannya menghalang aku daripada berkahwin lain.
“Itu kata awak, entah-entah mereka tak kisah asalkan cucu-cucu kita nie dapat emak tiri yang baik, sudahlah.” Balas ayah pula. Aku hanya mendiamkan diri.
“Takkan ada emak tiri yang layan anak tiri baik-baik. Mula-mula baiklah, lama-lama dideranya cucu-cucu kita nie. Tambah pula bila dah ada anak sendiri. Mereka nanti, dibiarkan saja. Entah-entah tak diberi makan. dibiarkan kelaparan.” Sungguh teruk penyakit buruk sangka emak nie. Kadang-kadang aku jadi gerun. Aku belumpun menyuarakan hasrat hati untuk berkahwin lain, tapi emak sudah awal-awal lagi menunjukkan rasa tidak suka. Aduh… kes berat nie!
“Emak, yang emak marah-marah nie kenapa? Saya tak ada pun cakap nak kawin lain.” Aku bersuara setelah lama mendiamkan diri.
“Yalah, buat masa sekarang… esok-esok, siapa tahu!” Balas emak lalu bangun dan menuju ke taman kecil di hadapan kami.
“Kau jangan layan sangat ‘angin’ mak kau tu. Perempuan, biasalah. Bab-bab kawin lain nie, sensitif.” Aku ketawa kecil mendengar kata-kata ayah.
“Lawa tak kawan mama?” Ayah kembali menyoal Farhan yang sedang leka memasukkan kuih ke dalam mulutnya.
Farhan hanya menganggukkan kepalanya kerana mulutnya penuh dengan kuih. Ayah ketawa melihat gelagat cucunya itu.
“Kalau kau rasa dia sesuai untuk gantikan tempat Linda, teruskan saja.”
“Siapa?” Soalku spontan.
“Farah.” Terkedu aku mendengarnya. Tak sangka pula ayah mengambil serius berkenaan hal ini. Aku sendiri pun masih berkira-kira untuk membuat keputusan.
“Nanti, bila kau balik ke sini lagi… bawalah dia bersama.” Sambung ayah lagi. Mulutku bagaikan terkunci. Langsung tidak membalas kata-kata ayah.
“Pa, mama? Mama?” Azim bersuara dari pangkuanku.
“Kenapa dengan Azim tu?” Ayah menyoal kehairanan. Selalunya Azim kurang bercakap. Tapi, kerap kali Azim menyebut perkataan ‘mama’ kepadaku. Agaknya dia rindukan Farah.
“Agaknya dia rindukan Farah kot?” Jawabku teragak-agak.
Kenapa pula?”
“Hari saya pertemukan mereka dengan Farah, Azim nie macam dah melekat dengan Farah. Langsung tak mahu pada saya. Asyik mahu Farah sahaja mendukungnya. Jumpa saja terus dipanggilnya Farah tu mama. Terkejut juga saya. Agaknya, dia terlalu rindukan mama dia.” Terangku dengan jelas.
“Nampak macam ada keserasian pada mereka. Baguslah kalau begitu. Sekurang-kurangnya mereka dapat menumpang kasih seorang ibu dari Farah. Jangan tunggu lama-lama Khairul… ” Ayah nampaknya tidak sabar-sabar.
“Ayah nie. Kami bukannya ada apa-apa. Lagipun takkanlah Farah mahukan saya. Sudahlah duda, ada anak pula.”
“Hati perempuan Khairul, sukar dijangka. Apa-apa pun cuba dululah.” Ayah memberi semangan kepadaku.
“Tapi, mak… “
“Pedulikan emak kau tu. Tahulah ayah memujuknya.” Yakin sungguh ayah ketika mengeluarkan kata-katanya itu.
AKu menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal. Susah nie! Farah tak tahu menahu pun lagi. Ayah bagaikan mahu meminang Farah secepat mungkin. Masalah besar nie.
“Errr… Khairul.” Panggil ayah.
“Iya?” Aku menyahut.
“Farah tu sudah berpunya ke belum?” Pertanyaan dari ayah menyentak dadaku. Kenapa aku tidak terfikir akan hal itu sebelum ini. Aku sibuk-sibuk mahukan dia menjadi ibu kepada Farhan dan Azim tetapi tidak pula aku terfikir samada dia sudah punyai kekasih atau pun tidak. Entah-entah tunangan orang.
“Baik pastikan dahulu status dia, Khairul.” Ayanh menyambung katanya apabila melihat aku terpinga pinga. Aku menganggukkan kepalaku perlahan. Jikalau tadi, hatiku begitu bersemangat tapi sekarang… bagai terhempas di atas batu.
Tapi… belum cuba, belum tahu…
Bab 9 – Farah
Sebaik sahaja kakiku melangkah masuk ke dalam pejabat, kulihat ramai orang mengerumuni mejaku. Aku mempercepatkan langkahku.
“Ada kenduri ke?” Soalku begurau sebaik sahaja mendekati kumpulan rakan-rakan yang mengelilingi mejaku. Mereka semua berpaling serentak kepadaku.
“What?” Soalku sekali lagi sambil mengangkat kening.
“Ada orang beri kau bunga.” Jawab Hanim lalu menghulurkan jambangan indah bunga lili kepadaku. Terpegun aku sebentar.
“Cantiknya… ” Ucapku perlahan tapi sudah cukup untuk didengari oleh mereka.
“Siapalah yang bertuah tu ye?” Sakat Harun, pegawai\ tadbir di pejabatku ini.
Aku tidak segera menjawab sebaliknya membelek-belek jambangan bunga lili tersebut.
“Tak sangka kau nie ada peminat ye!” Kata Rashid pula, seorang pegawai kewangan.
“Habis kau ingat aku nie tak laku ke?” Balasku bersahaja.
“Tak adalah. Aku tangok kau nie garang semacam. Orang nak dekat pun takut.” Balasnya lalu ketawa. Aku turut ketawa.
Memang kalau orang tidak mengenali secara betul-betul, orang akan mengatakan aku ini seorang yang sombong. tetapi bukan begitu. Sebenarnya aku tidak suka berbual sesuatu tanpa memberi faedah kepadaku. Aku juga sangat komited terhadap kerjaku hinggakan aku janrang untuk keluar bersosial walaupun kadang-kadang aku mendapat jemputan dari rakan-rakan. Alasan yang kuberikan, banyak kerja!
“Korang tak ada kerja ker nak buat? Nak bertenggek kat meja aku selama-lamanya ke?” Perliku lalu tersenyum.
“Eleh, baru dapat bunga dah eksyen.” Jawab Hanim lalu beredar dari mejaku. Aku ketawa melihat gelagatnya. Alah, dia bukannya merajuk.. saja tu!
Sedikit-demi sedikit mereka mula beredar dari mejaku. Aku kembali membelek-belek jambangan tersebut. Yang sebenarnya aku mencari kalau-kalau ada terselit kad dari si pemberi. Tapi, tiada. Aku mengeluh hampa. Aku meletakkan jambangan bunga tersebut di sisi mejaku.
Aku mengemas mejaku yang agak berselerak. Tiba-tiba jari-jemariku menyentuh sekeping sampul surat berwarna pink. Segera aku membukanya.
Harap kau sudi menerima jambangan lili dariku. Kuharapkan jua kau sudi untuk menerima ajakanku untuk makan tengahari bersama hari ini, boleh?
bersambung lagi … jeng jeng jeng

Satu Respons

  1. nk bg cdgn leh x?bleh x tlg wat link ke smbgn/ bhgn novel bsiri ni. senang la skit nk bc

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: