lakonan cinta

Bukan main seronok lagi Yani mengaturkan pertemuan rakan baiknya dengan seorang jejaka dari tempat kelahirannya. Sengaja dia buat begitu. Sangka Yani, mereka berdua akan gembira kerana kedua-duanya berpegang kepada prinsip hidup yang jitu, mempunyai minat yang sama dan mereka dilihatmemang sesuai jika digandingkan bersama. Lagaknya seperti perunding jodoh. Tetapi Yani tidak tahu, dia bakal mengecewakan hati dua orangsahabatnya. Tujuan Zaid datang ke Kuala Lumpur untuk menyuarakan hasrat hatinya kepada Yani, tetapi lain pula yang terjadi. Bijak betul cara yang Yani gunakan untuk jauhkan dirinya daripada Zaid.Sekurang-kurangnya dia perlu menghargai kedatangan Zaid ke Kuala Lumpur. Bagi Yani, jika jejaka itu tidak memenuhi ciri-ciri fizikal yangdikehendakinya, jangan haraplah untuk diberi peluang bertakhta di hatinya. Mudah sungguh jawapan Yani tempoh hari, katanya simpan saja sayang mu itu. Tambahan pula, ciri-ciri Zaid banyak persamaannya dengan Murni. Telahannya, tidak salah jika dia cuba menemukan hati dua insan ini. “Aku nak lihat sekitar tempat ni dengan Khairul. Murni tolonglah bawakan kawan kita ni jalan-jalan kat sini, bolehkan Murni?” Belum sempat Murni mengangguk atau menggeleng, Yani sudah melambaikan tangannya kepada mereka berdua sambil menarik tangan Khairul, teman lelaki barunya. Terpinga-pinga Zaid dan Murni melihat tingkah laku Yani. Apa motif Yani buat begitu? Soalan yang sama menjadi tanda tanya kepada hati mereka berdua. Mereka berdua saling berpandangan kemudiannya tersenyum. Murni hanya mengangkat bahu, tanda tidak mengerti dengan tingkah laku sahabat baiknya sebentar tadi. Zaid pura-pura buat faham dengan keadaan yangbertandang dalam suasana yang tidak dipintanya itu. Perkenalan mereka berjalan dengan baik, mereka berdua memang jenis peramah orangnya. Dari satu topik ke satu topik mereka bercerita. Begitu cepat mereka menjadi sahabat yang saling faham-memahami antara satu samalain. Sahabat sejatimungkin? “Murni, awak pandai ambil hati orang. Kan bagus kalau orang yang saya sayang pun macam awak,” ujar Zaid cemburu pada keunikan gadis sederhana itu. “Buah hati awak siapa?” “Kawan baik awak.” “Maksud awak Yani?” Zaid menganguk. “Sampai hati dia buat saya macam ni. Dia gadis pertama yang bertandang di hati ini. Sangka saya, kami akan kelihatan seperti pasangan bahagia lain. Tak sangka pula, dia boleh berjalan dengan lelaki lain di depan saya. Kalau tak sukakan saya sekalipun, kenapa perlu nafikan saya sampai begitu sekali di hadapan awak.”Ada keperitan dalam nada suara Zaid. “Zaid… bawa bertenang. Murni kan ada, Murni punkawan Zaid juga kan?” Senyuman ikhlas yang terukir dari bibir nipis itu menyejukkan kembali amarah di hati Zaid. “Entah kenapa Zaid luahkan semua ni pada Murni?” Zaid seolah-olah dalam kebuntuan. “Tak mengapa Zaid. Saya dah biasa macam ni. Mungkin sebab orang terlalu cepat mempercayai saya. Begitu mudah mereka meluahkan emosi mereka kepada saya.” “Sebab awak mudah memberi kepercayaan Murni. Sebab tu jugalah orang mudah mendekati awak.” “Hati saya akan tetap tersimpan untuk Yani, awak tolonglah saya Murni.” Rayu Zaid kepadanya. Murni mengangguk. Macam perunding cinta pula lagaknya. Walaupun sebenarnya dia hanyalah perunding hiasan dalaman. “Kenapa kau buat macam tu pada dia tadi?” Soal Murni sebaik sahaja Yani mahu melabuhkan punggungnya di sofa empuk rumah sewa mereka. “Buat apa?” Soal Yani pura-pura tidak tahu. “Kalau orang dah suka pada kau janganlah buat macam tu walaupun kau tak sukakan dia.” Murni cuba memberikan nasihat kepada teman serumah baiknya itu. “Aku nak kamu berdua digandingkan bersama. Zaid lebih sesuai dengan kau.” “Senangnya kau nak pas-pas macam tu? Kau ingat dia bola? Perasaan dia untuk kau. Begitu mudah kau melampiaskan dia pada aku?” Soal Murni agak berang dengan sikap Yani. Walaupun pengalaman cintanya tidak sedalam Yani, tetapi, dia tidak perlukan ejen pencari jodoh. Tambahan pula, orang yang hendak dijodohkan pula hatinya pada orang lain. Bukankah tidak masuk akal namanya? “Kau tak perasan ke dia banyak persamaannya dengan kau. Terlalu emosi dalam soal-soal cinta.” “Kau kata cinta sejati itu emosional? Suka hati kaulah. Esok-esok kau nilailah sendiri ada apa dengan cinta?” Pesan Murni sebelum berlalu ke biliknya. Ilyani tersenyum memikirkan dia sudah terlepas daripada satu bebanan. Dia tidak perlu fikirkan lagi mengenai Zaid. Zaid sudah diberikan kepada Murni. Tetapi dia tersilap buat kedua kalinya apabila Zaid masih menuntut cinta daripadanya. Pernah mereka bertelagah kerana persoalan ini. Dan akhirnya, kedua-duanya mengadu kepada Murni tentang apa yang terjadi. Murni juga yang menjadi perunding mereka. Sejak makan hatidengan tingkah laku Yani, Zaid bersumpah supaya Yani jatuh cinta dengannya suatu hari kelak. *** *** *** *** *** *** *** *** Yani terpaksa berpindah ke rumah yang disediakan oleh syarikatnya. Sejak dia dinaikkan pangkat, dia jarang dapat bersua muka dengan Murni. Yani berpindah ke sana untuk memudahkannya berulang-alik ke tempat kerja. Rumah baru itu lebih hampir dengan pejabatnya. Walaupun Yani dan Murnitidak sehaluan dalam soal kehidupan, namun mereka tetap sahabat sejati. Masing-masing tetap mengambil berat dan menyayangi antara satu sama lain. Hubungan mereka masih seperti dahulu, cuma masa untuk bersua semakin terhad. Zaid pula semakin menumpukan kepada soal kerjayanya. “Saya mahu kejar masa depan saya. Saya tidak mahu sia-sia kan kehidupan ini lagi. Biarlah orang lain kata saya gila duit, biarkan! Macam mana nak bagi makan anak dara orang kalau tidak berduit?” Ujar Zaid kepada Murni ketika mereka sedang menikmati hidangan tengah hari bersama pada hari minggu itu. “Nampaknya awak sudah buat mind setting yang negatif tentang perempuan.” Murni sudah biasa dengan telahan seperti itu daripada manusia bernama lelaki. “Apa yang negatifnya? Tak betul ke apa yang saya cakap? Perempuan sekarang… ” “Materialistik?” Sambung Murni. Zaid merenung wajah Murni. Dia tahu baca fikiran aku kah? Zaid malu untuk menyatakannya kepada Murni, kerana dia tidak sepatutnya membuat jangkaan begitu kepada semua wanita. Murni tidak begitu. Walaupun pendapatan bulanannya sendiri lebih daripada Zaid, tidak pernah pula dia meninggi diri. Penampilannya sederhana, makan di gerai tepi jalan pundia tidak kisah. “Maaf Murni. Sebenarnya, saya tidak tujukan kepada awak.” Zaid cuba menjernihkan suasana. Murni tersenyum. “Jangan pernah menyanjung seseorang, jika tidak mengerti makna kehidupan ini. Zaid cuma mencipta alasan untuk tidak mendekati perempuan kan?” Zaid diam memikirkan kata-kata Murni. “Fikirlah untuk kedua orang tua mu jika bukan untukdiri mu. Pastinya, mereka pun ingin menimang cucu kan?” Soal Murni. Zaid cuma tersenyum. *** *** *** *** *** *** *** *** Kegusaran hati Yani menerjah apabila dia seringmendengar cerita-cerita keintiman sahabat baiknya dengan Zaid. Dahulunya, memang itu hajat Yani. Namun kini, dia tidak tahu apakah perasaan ini perasaan cemburu. Murni sering menyampaikan berita-berita terkini mengenai Zaid kepadanya setiap kali mereka berhubung melalui telefon ataupun berchatting di internet.Bagaimana kalau Murni benar-benar sudah jatuh hati dengan Zaid? Tak mungkin… Zaid tu gilakan aku. Zaid pun dah tukar kereta baru sekarang. Tak lama lagi hendak beli kondominium pula. Bodohnya aku menolak dia dulu! Aku mesti dapatkan dia! He is my Mr. Right! Sudah lama Murni dan Yani tidak bertemu sejak Yani berpindah ke rumah kerana bertukar ke cawangan lain syarikatnya. Tiba-tiba sahaja Yani mahu bertemu dengannya. Memang sudah lama Murni mahu bertemu dengan Yani, terlalu rindu dia pada Yani. “Memang bodoh untuk aku suarakan perasaan hati ini,tapi aku yakin hanya kau yang mengerti soal hati macam ni,” ujar Yani dalam nada lemah. Dia kelihatan pucat, tidak cukup tidur agaknya. “Hmm… sejak bila kau pandai berbicara persoalan macam ni. Kenapa? Ada apa-apa yang tidak kena antara kau dengan Rifki?” Murni cuba mendalami perasaan sahabat baiknya itu. Biar pun hatinya pernah terluka kerana Yani, tetapi dia tahu Yani juga manusia biasa, dia bisa berubah jika diizinkan. “Hari ni, kita jangan sesekali bicarakan soal Rifki. Aku ada masalahlain.” Tegas permintaan Yani. “Ish! Takkan lah kau dah ada yang lain pula? Hari tu kau kata kau cuba nak jadi kekasih yang setia, mana janji-janji manis mu?” Soal Murni kembali. Setahu Murni, senarai kekasih Yani sudah tidak terkira, dia tahu perangai Yani yang kerap bertukar-tukar pasangan. Cepat boring katanya. “Kau jangan nak perli aku pula. Aku sebenarnya hendak beritahu kau yang aku benar-benar dah angau sekarang.” “Jejaka handsome mana pula kali ni?” “Kawan baik kaulah. Zaid! Siapa lagi?” Zaid! Bagai halilintar yang menyambar bumi. Sekalilagi hatinya dirobek, baru saja kasih sayang yang tersimpan sekian lama mahu dilontarkan kepada jejaka itu, tetapi Murni terpaksa padamkan saja api cintanya. Dia perlu redakan hatinya dahulu. Lama renungan matanya singgah ke anak mata Yani, mencari keikhlasan yang pasti. “Kenapa? Tak percaya ke? Aku cakap betul-betul ni Murni. Aku takmain-main.” Yani menggenggam erat tangan beku Murni. Dia mahu Murni merasakan gelodak hatinya. Resahnya yang bertandang malam demi malam kerana Zaid! Sumpahan Zaid jadi nyata! Murni mengukirkan sebuah senyuman buat menilai hati Yani yang sedang terbuka untuk memberi sebelum menerima cinta. “Aku faham. Sejak dahulu kasih orang yang tulus terhadap kita. Aku tahu Zaid tidak seperti lelaki-lelaki lain yang pernah kau kenali. Kau kata Zaid tak memenuhi selera kaulah… lelaki yang emosionallah… Ha, sekarang baru kau tahu. Cinta yang suci selalu menang tau!” Murni cuba bergurau dengan Yaniwalaupun dia tahu itu sindiran tajam buat Yani. “Itu dulu. Sekarang ni, aku dah sedar. Mana satuintan, dan mana satu kaca. Aku terlupa bahawa aku insan yang lemah. Aku lemah dalam menghadapi saat-saat ini. Murni, tolonglah aku… ” rayu Yani penuh mengharap kepada Murni. Ya, memang betul Yani. Kita insan yang lemah, manamungkin untuk hati ini juga bertahan dengan emosi yang bermain antara kita. Apa aku juga tak punya perasaan setelah hati ini ditoreh dan sekian lama aku cuba merawatnya sendiri. Akhirnya luka ku berdarah semula. Ya Allah… tabahkan hati hamba mu ini. Murni menarik nafas dalam-dalam. Direnung anak mata Yani lagi, mencari kejujuran. “Kalau kau benar-benar ingin jumpa dia, aku akan tolong,” terasa perit untuk meluahkan kata-kata itu walaupun seikhlas hati dia jujur menyatukan mereka. “Betul ke Murni? Kaulah sahabat aku dunia akhirat. Aku bukannya tak nak contact dia sendiri, aku cuma takut dia tak akan ambil serius perkara ini. Lagipun, aku pernah tolak dia mentah-mentah dulu.” “Demi aku, dia akan menerima kau. Tapi, kau mesti janji, jangan nak main-mainkan perasaan orang lagi.” Murni seboleh-bolehnya akan sentiasa menyatukan hati mereka berdua ini. Biarlah dia terpaksa menelan hempedu, menyembunyikan satu-satunya cinta yang bertakhta di hatinya ketika itu. “Aku janji. Kali ni, aku tak main-main. Kau tolonglah aku Murni..” “Rifki macam mana?” soal Murni kembali. “Aku nak minta putus dengan dia. Aku nak berterus terang dengan dia bahawa aku tak punya apa-apa perasaan terhadap dia.” Tajam renungan Murni terhadap Yani. Dia tahu Murni tidak suka dia buat macam tu. “Itu kau jangan risau, aku akan uruskan sendiri.” Yani cuba meyakinkan Murni. *** *** *** *** *** *** *** *** Getaran handset di dalam poket seluar mengejutkan Zaiddari lamunan. Dia baru saja berangan-angan menyusun ayat untuk menyuarakan suara hatinya kepada Murni. Gadis istimewa yang sentiasa menggembirakan hatinya. Dia melihat nama Murni tertera di skrin. Mesej dari Murni, panjang umur! Murni: Boleh tak awak tolong saya? Penting! Zaid: Tolong apa? Murni: Saya nak jumpa awak. Zaid: Bila? Murni: Ahad ini. Zaid: Di mana? Pukul berapa? Murni: MidValley, 2.30 petang. Zaid: OK! Tiada lagi SMS daripada Murni. Ringkas, tetapi amat bermakna buat Zaid. Zaid pula tidak sabar untuk menunggu hari itu tiba. Biar pusat membeli-belah terbesar di Malaysia ini menjadi saksi cintanya! *** *** *** *** *** *** *** *** Zaid terkejut melihat Yani datang bersama-sama dengan Murni di tempat yang dijanjikan. Mereka kelihatan amat mesra dan gembira sekali. “Lama tunggu?” Soal Murni ramah seperti biasa. Zaid cuma tersenyum. Hilang semangatnya untuk menyatakan isi hatinya apabila melihat kehadiran Yani. “Kenapa Yani ikut sekali?” “Takkan tak boleh? Lagipun, saya nak cantumkan semula rangkai hati awak.” Bersahaja jawapan Murni. Yani masih senyap. Zaid masih buntu. Hanya Murni yang melakonkan wataknya. “Peluang kamu berdua masih cerah. Masakan sudah padam puisi penyair cinta?” usik Murni kepada Zaid. “Oh Tuhan! Maha pedih untuk aku terima semua ini. Apa lakonan yang cuba dipentaskan mereka.” jerit suara hati Zaid. “Aku ada temu janji dengan klien, minta diri dulu.” Sebuah kucupan hangat singgah di pipi Yani. Kucupan sebagai tanda perginya dia membawa kisah lukanya sendiri. “Err… Zaid hendak makan apa? Biar Yani belanja ya?” Soal Yani membuka pekung kebuntuan mereka di meja makan Junction Food Court itu. “Takut Yani tak terbelanja nanti.” “Cakap sajalah, semuanya ada dekat sini.” “Zaid nak makan hati berulam jantung.” Sindir Zaid tajam. Yani ketawa terkekek-kekek mendengar sindiran Zaid. “Mana ada menu macam tu, tunggu sekejap ya, Yani bawakan makanan kegemaran Zaid.” Zaid masih termenung dengan kejutan demi kejutan perasaan yang diterimanya. “Orange juice dengan spaghetti bolognese.” “Macam mana pula dia tahu kegemaran aku. Ah! persetankan semua ini.” Zaid mendengus lagi dalam hati. Zaid masih lagi seorang lelaki yang waras, jika tidak sudah lama dia melarikan diri dari situ. Sukar untuk ditatap muka Yani lagi, gadis yang telah merobek perasaannya suatu tika dahulu. “Zaid, Yani nak minta maaf. Yani tahu, Yani bersalah pada Zaid. Yani pernah lukakan hati Zaid. Yani… ” “Cukup Yani, jangan ungkit semua itu.” Pinta Zaid tegas. “Yani bersalah dalam soal kita ini. Yani nak kita cuba berikan peluang pada diri kita sendiri” “Kita?” “Ya. Kita! Yani mahu kita tautkan kembali kasih kita yang terputus.” “Pernah kah kita menjalinkan sebarang hubungan selama ini? Rasanya tidak ada apa-apa untuk kita tautkan kembali.” “Jadi, saya harus pulangkan hati awak kembali… begitu?” “Jika takdir Tuhan menyebelahi saya, itulah yang saya inginkan.” “Lalu… hendak diberikan kepada siapa?” Yani mula membuat sangkaan bahawa hati Zaid telah dicuri oleh rakan baiknya sendiri. Dia tahu Murni lebih berhak, walaupun Murni tidak pernah nyatakan pada sesiapa, walaupun kepada dirinya sendiri. “Pada yang lebih berhak.” Ringkas jawapan Zaid. “Jangan berkias lagi dengan saya Zaid. Katakan sahaja hati kamu hanya untuk Murni Sabila!” “Ya. Hati saya hanya untuk Murni! Insan yang merawat saya selama ini. Insan yang telah memberikan nafas baru dalam kehidupan saya setelah gagal pada cinta pertama. Awak tahu kan betapa pedihnya cinta pertama itu ditolak?” “Jadi, awak dan Murni bercintalah?” “Dia belum tahu perasaan ini. Saya tidak mahu terburu-buru.” “Jadi, kenapa tidak diberikan sahaja peluang itu kepada saya?” “Yani. Saya tidak mahu melukakan perasaan sesiapa, saya harap awak dengar baik-baik apa yang hendak saya katakan ini. Cinta saya bukan seperti menukar pakaian. Saya tidak mahu perasaan istimewa yang Tuhan ciptakan untuk saya ini, terjatuh pada tangan yang salah. Lagipun, masih ramai yang berharap pada mu, simpan saja sayang mu itu pada mereka.” Guruh berdentam-dentum di luar, kilat sabung-menyabung, menyaksikan kepedihan hati yang terperangkap dalam cinta tiga segi. Mungkinkah masa dapat diputar kembali? Kelibat Murni Sabila tidak pernah dilihat lagi. Entah ke mana dibawa hatinya yang terluka itu. Padanya pengorbanan itu tanda persahabatannya yang jujur. Namun, apakan daya Tuhan penentu segalanya. Pengorbanannya hanya sia-sia, cintanya pada Zaid menjalar menjadi duri yang berbisa. Zaid masih teraba-raba pada kasih yang satu. Yani pula mengambil keputusan untuk menerima lamaran Rifki Irwan. Murni tidak mungkin merubah takdir Tuhan.

Satu Respons

  1. citer nie best..tapi aper jadi kat murni tu..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: