Kasih Di Hujung Rindu 16

Bab 54 – Farah
Hari minggu merupakan hari yang aku nanti-nantikan. Ini kerana pada hari minggulah aku dapat mengemas rumah dan melihat-lihat keadaan persekitaran halaman rumah. Selalu juga aku menggembur-gembur tanah pokok-pokok bunga yang aku tanam di halaman rumah. Sedikit sebanyak keluar juga peluh. Sekali sekala aku akan mengajak Hanim suami isteri datang ke rumah untuk makan tengahari. Tapi kini Hanim sudah tidak lagi menetap di kota ini. Dia mengikut suaminya yang telah ditukarkan ke Sabah sebulan lalu. Kini hanya telefon sahaja yang menghubungkan kami. Ahh… rindunya aku pada gelak tawamu, Hanim. Rindu dengan usikan dan jenaka nakalmu. Bilalah kita dapat bertemu kembali.
Mentari terik yang menyerakkan cahayanya ke seluruh alam agak mengganggu kerjaku mencabut rumput-rumput liar yang tumbuh di dalam pasu bunga yang aku tanam dengan bunga kertas. Peluh membasahi wajah dan leherku. Aku mengesat dahiku dengan belakang tapak tangan. Hmmm… tinggal sepasu ini saja lagi. Lepas habis mencabut rumput-rumput nie, bolehlah aku berehat.
“Assalamualaikum… ” Tanganku terhenti mencabut rumput-rumput liar itu apabila terdengar seperti suara memberi salam. Cepat-cepat aku menghabiskan kerjaku. Aku yang sedang duduk bersila, cuba untuk bangun. Aduhh… kakiku agak lenguh apabila bersila agak lama di atas halaman rumah yang berumput halus. Kakiku juga bengkak semenjak kandunganku berusia empat bulan hingga aku tidak boleh memakai kasut yang biasa kupakai ke tempat kerja. Jadi, terpaksalah aku membeli sandal biasa.
Suara memberi salam kedengaran sekali lagi. Aku cuba meninjau dari kejauhan tapi tidak dapat melihat orang yang mungkin sedang berdiri di luar pintu pagar rumahku. Hanya bahagian belakang kereta berwarna putih sahaja yang kelihatan. Aku cuba untuk berjalan pantas, namun keadaan aku yang sudah sarat menghalangnya.
“Waalaikummussalam… ” Sahutku dari jauh. Aku semakin hampir dengan pintu pagar.
Tiba-tiba langkahku kaku. Betulkah apa yang aku nampak ini Emak Khairul sedang berdiri di hadapan pintu pagar bersama-sama dengan Khairul sendiri dan anak-anaknya. Minggu lepas aku dikejutkan dengan kemunculan secara tiba-tiba oleh Khairul. Dan hari ini dia muncul sekali lagi. Kali ini bersama-sama emaknya dan anak-anak. Apa yang dia cuba lakukan
“Mama… mama… bukalah pagar nie. Azim nak masuk!!” Azim menggoyangkan pintu pagar berkali-kali sambil memanggilku. Farhan pula melambai-lambaikan tangannya kepadaku. Adakah aku sedang bermimpi
“Mamaaa!!!” Aku tersentak apabila Azim memekik. Aku bagaikan baru tersedar dari mimpi ngeri. Perlahan-lahan aku menapak mendekati mereka yang sedang menanti di pintu pagar. Kulihat wajah Khairul yang kelihatan serba salah. Aku tatap pula wajah emak. Dia tersenyum kepadaku. Biar betul!!! Emak senyum kepadaku Aneh sekali perangainya hari ini. Jika dulu, wajahku pun tidak ingin dilihatnya. Apatah pula mahu memaniskan muka kepadaku!
Adakah kedatangan mereka pada hari ini terselindung makna yang bisa menggugat pendirianku Jangan-jangan mereka mahu mengambil anak yang sedang aku kandungkan ini. Tidak!! Tidak!! Ini anak aku. Aku takkan serahkan kepada mereka. Inilah saja ‘harta’ yang aku ada. Peluh dingin memercik di dahiku. Nafasku menjadi tidak teratur.
Pelbagai kemungkinan sedang berlegar-legar di benakku. Aku dapat merasakan tanganku menggigil ketika sedang membuka pintu pagar. Perlahan-lahan aku menarik nafas sedalam-dalamnya dan berkata di dalam hati bahawa kedatangan mereka hanyalah sekadar untuk melawatku sahaja. Kemudian aku menghembuskan nafas. Lega rasanya perasaanku seketika.
“Apa khabar mak” Kataku lalu tunduk menyalami serta mengucup tangannya lembut. Walaupun perbuatannya telah mengguris hatiku, namun dia tetap ibu mertuaku. Sebaik sahaja aku menegakkan kembali badanku, dengan tak semena-mena dia terus memelukku. Aku terpinga-pinga dalam pelukan erat emak Khairul. Mengapa jadi begini
Aku memandang kepada Khairul seolah-olah meminta penjelasan. Dia hanya tersenyum hambar dan kemudiannya melarikan pandangannya dariku. Kemudian aku bagaikan terdengar esakan halus. Emak Khairul sedang menangis! Tetapi, mengapa
Aku cuba meleraikan pelukan erat emak Khairul. Perlahan-lahan aku menggenggam tangannya. Memang, dia menangis! Tetapi mengapa dia menangis Sesuatu yang buruk telah menimpa keluarga inikah Hatiku menjadi tidak enak.
“Mari mak, kita masuk dulu. Abang, bawa anak-anak masuk.” Ujarku lalu memimpin emak Khairul masuk ke rumahku. Di dalam rumah aku menjemput emak Khairul duduk di ruang tamu. Kemudian, aku meminta diri seketika dan menghilang ke dapur. Farhan dan Azim mengekoriku ke dapur.
“Auntie Mama, kenapa Opah nangis” Soal Farhan kepadaku. Tanganku sedang ligat membancuh nescafe terhenti seketika.
“Ini mesti Farhan nakal. Sebab itulah Opah nangis.” Balasku lalu ketawa kecil semata-mata untuk menutup keresahan yang sedang terbuku di dalam hati.
“Mana ada. Kan A’an dah janji dengan Auntie Mama tak nak nakal-nakal.” Tingkahnya lalu memasamkan muka. Terhibur aku melihat mimik mukanya. Azim ketawa melihat abangnya seperti merajuk.
“Sudah, mari kita ke depan. Farhan tolong Auntie Mama bawa kuih nie ke depan ya! Bawa baik-baik, jangan bagi jatuh!” Aku menghulurkan sepiring kuih cara berlauk yang aku masak untuk sarapan pagi tadi kepada Farhan. Dia mengangguk lalu menyambut piring kuih dari tanganku dan terus berjalan menuju ke ruang tamu.
“Azim nak bawa apa” Tanya Azim pula kepadaku. Aku tersenyum lalu tunduk dan mengucup dahinya.
“Azim pun nak tolong mama” Dia menganggukkan kepalanya bersunguh-sungguh. Aku ketawa gelihati melihat telatahnya.
“Tak apalah sayang. Lain kali sajalah ya!” Balasku lalu mengusap-usap rambutnya. Kemudian aku berjalan beriringan dengannya menuju ke ruang tamu. Aku menarik nafas dan menghembusnya sebelum melangkah.
Di ruang tamu kelihatan emak Khairul sedang melayan perasaannya sendirian. Khairul pula sedang menatap suratkhabar. Aku mendekati mereka perlahan-lahan. Dadaku berdebar kencang. Agaknya apa tujuan mereka datang mengunjungiku Dan mengapa ibu mertuaku menangis
“Jemput minum mak.” Cawan berisi air nescafe yang masih kelihatan wap panas kuhulurkan kepada emak Khairul. Dia menyambutnya lalu tersenyum kepadaku. Dia tidak terus minum, sebaliknya meletakkan kembali cawan itu di atas meja.
“Farah apa khabar” Perlahan saja emak Khairul bersuara. Dia merenung wajahku mesra. Tidak seperti dulu, renungannya begitu tajam hingga membuatkan aku gerun.
“Alhamdulillah mak, sihat. Emak macam mana pula Farah tengok emak macam dah kurus sedikit. Muka emak pun cengkung. Emak sakitkah” Aku pula menyoalnya. Memang, wajahnya bagaikan kehilangan seri. Kalau dulu aku cukup mengagumi akan kejelitaan emak mertuaku walaupun sudah berusia, namun wajahnya tetap cantik.
Dia tidak menjawab sebalikny hanya mendiamkan diri. Kemudian wajahnya berkerut-kerut menahan tangis. Aku semakin bingung dengan gelagat emak Khairul. Apa yang sedang berlaku sekarang Perasaan ingin tahuku melonjak-lonjak. Namun, aku cub menahan daripada bertanya kepadanya. Aku mengalihkan pandanganku kepada Khairul. Matanya tetap tidak beralih dari menatap suratkhabar yang berada di tangannya. Aku kembali mengalihkan pandanganku kepada emak Khairul di hadapanku.
“Kau memang seorang perempuan yang baik. Emak yang jahat menghasut anak sendiri hingga membuatkan kau terseksa begini.” Terkedu aku mendengar kata-kata emak Khairul.
“Apa… apa yang emak cakapkan nie Farah tak faham.” Tergagap-gagap aku membalas kata-katanya. Aku menatap Khairul yang sedang memerhatikan kami. Tiada reaksi darinya.
Air mata menitis laju menuruni pipi emak Khairul. Terkesima aku melihatnya. Aku semakin kebingungan. Apa yang telah terjadi
“Maafkan emak Farah. Emak telah berdosa terhadap kamu. Emak telah memfitnah kamu. Emak mengada-adakan cerita tentang kecederaan yang menimpa Farhan. Disebabkan mulut jahat emak, kamu berdua suami isteri telah bergaduh hinggalah kamu telah dihalau keluar dari rumah. Apalah gunanya hidup seorang isteri jika tidak dapat berada di samping suaminya. Engkau bagaikan digantung tak bertali. Emak telah memporak-perandakan rumahtangga kamu berdua. Maafkan emak Farah.” Hatiku terharu mendengar kata maaf dari emak Khairul. Lidahku kelu, tidak dapat berkata. Air mataku gugur tanpa kusedari. Hatiku menjadi hiba.
Ya Allah, Engkau telah memperkenankan doaku selama ini. Sesungguhnya Engkaulah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang serta Maha Mengetahui. Aku bersyukur ke hadrat-Mu Ilahi. Namaku yang tercemar selama ini akhirnya menjadi bersih kembali. Aku bagaikan telah mendapat kemenangan mutlak!
“Sudahlah emak. Farah tak ambil hatipun tentang kejadian itu. Sudah ditakdirkan nasib Farah begini. Farah redha mak. Mungkin ada hikmah di sebalik perpisahan kami ini.” Balasku memujuk emak Khairul. Hatiku hiba melihat dia menangis terisak-isak. Terasa besarnya dosaku kerana membuatkan dia menangis. Khairul dan anak-anaknya terpaku melihat ‘drama air mata’ di hadapan mereka.
“Betapa mulianya hatimu nak. Walaupun kamu mendapat layanan buruk dari emak, kamu tak pernah merungut atau melenting. Kamu menerimanya dengan sabar dan tabah. Bertuah emak dan ayah kamu kerana mendapat anak yang sebaik kamu. Emak yang tidak pernah bersyukur kerana dapat menumpang tuah emak dan ayah kamu. Emak layan kamu dengan buruk, emak sindir kamu… emak hasut cucu-cucu emak supaya bencikan kamu… namun Allah Maha Besar, Dia tahu kamu tak bersalah dan melindungi kamu. Emak benar-benar menyesal sekarang Farah. Maafkanlah emak. Emak sebenarnya terhutang nyawa kepada kamu. Seumur hayat emak pun belum tentu emak dapat membalasnya.” Panjang lebar emak Khairul berbicara. Namun, ayat terakhirnya menyentakkan aku. Adakah dia sudah tahu
“Terhutang nyawa Apa maksud emak” Soalku dengan dada sarat dengan kebimbangan.
“Kamu sudah menjadi sebahagian dari hidup emak. Emak dapat hidup sampai hari inipun semuanya kerana kamu, Farah. Ini… ” Dia menarik tanganku ke sisi pinggangnya. Aku menatap wajahnya, cemas!
“Buah pinggang yang berada dalam tubuh emak sekarang adalah kepunyaan kamu,kan” Terpana aku mendengar kata-kata emak. Betullah tanggapan aku tadi bahawa dia telah mengetahuinya. Aku memandang wajah Khairul meminta penjelasan.
“Abang, bukankah kita sudah berjanji!” Ucapku dengan bibir bergetar.
“Jangan kamu marahkan suami kamu. Dia tidak pernah membuka mulut tentang hal ini. Ayahnya yang telah membuka rahsia ini. Maafkanlah ayah kamu.” Lembut suara emak Khairul menusuk ke dalam telingaku. Aku menghela nafas.
Tiada kata yang dapat aku ungkapkan tika ini. Aku dikejutkan dengan pelbagai kejutan. Hinggakan adakalanya aku terasa bagaikan mimpi sahaja. Mula-mula aku dikejutkan dengan kedatangan Khairul. Kemudian kedatangan emaknya dan sekarang pula rahsia yang aku simpan selama ini akhirnya terbongkar juga. Aku tidak pasti adakah kejutan-kejutan ini memberi tanda baik kepadaku atau sebaliknya. Aku sendiri tidak tahu apa peraasaanku sekarang Gembira Lega Sedih Takut Tapi, yang pastinya aku sedang keliru!!!
“Kamu maafkan emak tak Farah” Lamunanku terhenti pabila suara emak Khairul menerjah ke telingaku. Terpinga-pinga aku seketika.
“Emak tak pernah buat salah pada Farah. Emak tak perlu minta maaf. Farah yang bersalah kerana tak dapat menjadi seorang menantu yang baik buat emak dan isteri yang baik kepada Khairul.” Aku bersuara merendah diri. Aku menggenggam erat tangan emak mertuaku.
“Kamu terlalu baik sebenarnya… terlalu baik.” Perlahan-lahan emak Khairul merapatkan bibirnya ke dahiku. Dahiku dikucup lembut. Terasa perasaan bahagia menyelinap ke dalam jiwaku. Ya Allah, aku bersyukur di atas rahmat yang Engkau curahkan kepadaku pada hari ini. Aku harapkan ianya takkan berakhir. “Sudahlah mak. Perkara yang lepas, tak perlulah kita ungkitkan lagi. Saya tak pernah menyalahkan sesiapa yang menyebabkan saya jadi begini. Saya salahkan diri saya sendiri kerana telah tersilap langkah dalam membuat percaturan hidup dan masa depan saya. Tapi, semuanya telah berlaku. Tak mungkin dapat diundurkan kembali masa itu untuk membetulkan keadaan. Yang berlaku tetap berlaku. Itu hakikatnya, saya akur. Cuma yang dapat saya lakukan sekarang hanyalah berwaspada dan berhati-hati agar tidak mengulanginya buat kali kedua.” Jelasku lalu tersenyum hambar. Aku menarik Azim agar duduk di pangkuanku. Kasihan mereka berdua yang tidak memahami apa yang sedang berlaku sekarang. Mungkin yang menjadi tanda tanya mereka hanya mengapa aku dan Opah mereka menangis Agak sukar untuk menjawab pertanyaan mereka nanti jika ditanya.
“Emak tahu, kamu serik dengan apa yang telah terjadi. Tetapi, emak amat berharap kamu berdua dapat hidup sebumbung seperti dahulu. Berilah kesempatan kepada kami untuk menebus kesalahan yang telah kami lakukan. Mendapat kemaafan dari kamu belum cukup untuk melepaskan kami dari rasa bersalah yang menggunung ini.” Aku tersentak. Wajah emak Khairul kutatap tanpa berkelip. Wajahnya menggambarkan pengharapan yang sungguh tinggi.
“Maafkan saya emak. Tak mungkin… tak mungkin! Saya bukanlah seorang isteri yang baik untuk Khairul.” Dadaku berdegup kencang. Aku amat cemas sekali.
“Jangan begitu Farah. Jangan kamu hukum Khairul kerana kesalahan yang emak lakukan. Dia sayangkan kamu. Hidupnya tak terurus semenjak ketiadaan kamu. Kembalilah kepadanya. Emak merayu kepada kamu, Farah. Terimalah suamimu kembali.” Mendayu-dayu suara emak Khairul merayuku. Hatiku goyah melihat air mata yang mengalir lesu dari kelopak matanya. Ya Allah, kuatkanlah semangat hamba-Mu yang lemah ini.
“Betul Farah, terimalah abang kembali ke dalam hidupmu. Abang amat memerlukan Farah dalam hidup abang. Kaulah kekuatan abang untuk meneruskan hidup setelah ketiadaan Linda. Mungkin tanpa abang sedar abang telah lama jatuh cinta kepadamu, ketika kita sepejabat dulu. Namun Allah telah takdirkan jodoh abang bersama Linda dahulu, kemudian barulah bersamamu. Abang berjanji akan menjagamu dengan baik dan tidak akan mensia-siakan dirimu lagi. Berilah abang peluang sekali lagi untuk membuktikan kata-kata abang pada hari ini.” Wajahnya juga penuh penyesalan. Aku menatap wajah Khairul dan emaknya berulang kali.
Mengapa aku dikelirukan begini Aku benci jika aku terpaksa membuat pilihan yang terlalu sukar untuk dilakukan. Tersepit dengan kemahuan sendiri dengan kemahuan orang lain. Perlukah aku memberi peluang kepada mereka atau mengabaikan sahaja permintaan mereka ini Aku tak mahu terluka lagi. Aku cukup selesa dengan kehidupan aku sekarang. Mengapa mesti mengganggu hidupku lagi setelah mereka merosakkannya Memang aku tidak menaruh perasaan benci ataupun dendam, cuma aku serik!! Serik untuk kembali hidup bersama keluarga ini. Kejadian-kejadian itu pasti akan menghantui aku setiap masa. Aku tidak mahu ia mengganggu kehidupan baru aku jika kembali menyertai keluarga ini.
“Jika kamu mahu emak melutut kepada kamupun… emak sanggup asalkan kamu dapat kembali kepada keluarga kami.”
“Emak!! Jangan begitu emak.” Hampir aku menjerit apabila melihat emak Khairul cuba untuk melutut di hadapanku. Cepat-cepat aku menahannya dan sebaliknya ku yang melutut di hadapannya. Aku menangis di pangkuannya.
“Fikirkanlah Farah, demi anak yang berada dalam kandungan kamu ini. Dia memerlukan kasih sayang ayahnya. Janganlah kamu mahu memisahkan kasih sayang itu sedangkan ayahnya masih hidup. Kamu lihat sajalah apa yang telah terjadi kepada Farhan dan Azim yang kehilangan kasih sayang Linda, mama mereka ketika masih kecil. Takkan kamu mahu perkara yang sama berlaku kepada anak kamu ini. Jika tidak kerana Khairul sendiri, fikirkanlah demi masa depan anak dalam kandungan kamu, demi Farhan dan Azim yang telah menganggap kamu bagaikan ibu kandung mereka sendiri.” Emak Khairul tidak jemu-jemu memujukku agar kembali ke pangkuan mereka sekeluarga.
Aku mengangkat kepalaku lalu memandang wajah mulus Farhan dan Azim. Mereka duduk mendiamkan diri di pangkuan papa mereka. Kedua-duanya membisu. Aku sayangkan mereka. Terlalu sayangkan mereka. Mereka bagaikan nyawaku. Mana mungkin aku dapat hidup tanpa kehadiran gelak ketawa dan telatah nakal mereka. Aku amat merana di awal aku kehilangan mereka dulu. Dan kini aku diberi peluang untuk kembali menjadi ibu mereka. Sudah tentu aku dapat menjaga dan membelai mereka. Aku dapat memperdengarkan kisah sewaktu mereka hendak tidur. Aku dapat memasak makanan kegemaran mereka. Haruskah aku menerima peluang ini Bolehkah ku hidup bersama keluarga ini dan menganggap kejadian itu semuanya seperti tidak pernah berlaku
Bab 55 – Farah
“Farah!! Jangan duduk di luar waktu maghrib begini. Tak elok. Sudah, masuk dalam. Khairul, bawa masuk isteri kamu ke dalam!” Emak mertuaku melaung dari dalam rumah. Aku hanya tersenyum sambil mengangguk tanda faham. Aku menghabiskan kerjaku menyiram pokok bunga di halaman rumah. Khairul pula sedang menyapu daun-daun pokok yang berselerak gugur ke bumi. Sesudah selesai menyiram, aku menuju ke paip lalu memutarnya untuk menghentikan pengaliran air. Aku menyangkut paip getah itu di kepala paip lalu menuju ke buaian. Aku melepaskan lelah di atas buaian. Tidak lama kemudian, Khairul menyertaiku yang sedang berbuai di atas buaian.
Aku akhirnya kalah dengan perasaan sendiri. Demi kebahagiaan anak dalam kandunganku dan juga anak-anak tiriku, aku kembali ke dalam hidup Khairul. Aku rasa langkahku kali ini tidak silap. Aku dijaga dengan penuh perhatian. Emak mertuaku juga sudah berubah sikap. Dia benar-benar berubah. Diriku dan juga kandunganku dijaga rapi. Pelbagai pantang dan nasihat buat wanita yang sedang hamil, diperturunkan kepadaku. Aku benar-benar bahagia dengan kehidupan aku sekarang.
Malah dia sanggup tinggal bersama kami di kota semata-mata mahu menjagaku sehinggalah aku bersalin nanti. Yang membuat aku semakin terharu, ayah mertuaku juga sependapat dengannya. Dan yang kelakarnya, dia menawarkan diri untuk menjaga aku sewaktu berpantang nanti! Semuanya aku terima dengan hati yang terbuka. Biarlah aku membahagiakan diri mereka selagi hayatku dikandung badan.
“Jauhnya melamun. Ingat pakwe lama ke” Usik Khairul lantas memelukku. Pipiku dikucupnya berkali-kali. Aku ketawa kegelian.
“Haah, ingat pakwe lama. Agak-agaknya… bagaimana keadaan dia sekarang” Balasku lalu ketawa kecil. Dia tersentak mendengar kata-kata yang keluar dari bibirku.
“Eh, betulkah sayang teringatkan pakwe lama Siapa dia Abang kenalkah dengan dia” Bertubi-tubi soalan diajukan kepadaku. Dia memusingkan badanku supaya berhadapan dengannya. Wajahnya sedikit cemas. Aku ketawa gelihati melihat gelagatnya.
“Cemburu yaa..!!!” Usikku sambil menarik hidungnya.
“Eh, mestilah. Siapa yang tak sayang bini oii!!!” Balasnya lalu ketawa besar. Aku turut ketawa bersamanya.
“Tak adalah. Mana Farah ada pakwe lain. Abanglah pakwe pertama dan terakhir Farah. Tapi, tak tahulah pula abang. Agak-agaknyalah… Farah nie makwe yang ke berapa ya” Aku cuba mengujinya. Dia tersenyum lebar mendengar bicaraku.
“Ermm… yang pertama Peah, yang kedua Minah, yang ketiga Temah, yang keempat… ermmm siapa ya” Katanya sambil mengira-ngira jarinya.
“Amboi!!! Banyaknya dalam senarai… gatal ya!” Lengan tangannya yang terdedah kucubit manja. Dia ketawa terkekeh-kekeh. Suka benar dia dapat mengusikku. Kemudian dia terus memelukku erat.
“Kekasih abang yang pertama sudah tentu Linda. Harap Farah tak marah dengan pengakuan abang ini.” Aku hanya tersenyum. Tiada sekelumitpun perasaan marah apabila dia berkata begitu. Malah, aku amat maklum tentang itu.
“Farah faham bang. Farah tak marah.” Tangannya membelai wajahku. Betapa bahagianya hidupku tika berada dalam pelukan suami tercinta.
“Dan kekasih terakhir abang, sudah tentu ‘mak buyung’ nan seorang nie.” Selorohnya lalu mencubit pipiku. Aku ketawa besar. Selalu sangat dia mengusikku dengan memanggil ‘mak buyung’. Mentang-mentanglah aku sedang ‘boroi’. Suka hati dia dapat mengusikku.
“Aduhh..!” Kaki anak dalam kandungan menendang perutku. Terasa bergegar perutku. Aku memegang perutku yang sudah menjangkau sembilan bulan. Hanya menanti hari saja.
“Kenapa sayang Sudah terasa sakitkah” Khairul kelihatan cemas. Aku menggelengkan kepala dan melemparkan senyuman.
“Taklah. Baby nie nakal, agaknya tak sabar-sabar hendak keluar. Asyik menendang saja. Bergegar kita dibuatnya.” Aku ketawa bahagia.
“Lega hati abang mendengarnya. Ingatkan dah sampai masa tadi.” Dia menghela nafas kelegaan sambil mengurut-urut dadanya.
“Hai bang! Anak dah nak masuk tiga pun masih cemas lagi” Usikku. Dia tersenyum.
“Memanglah. Inikan anak pertama buat Farah. Sudah tentu abang risau jika ada kesulitan.” Ucapnya bersungguh-sungguh. Aku ketawa lagi. Dia yang lebih-lebih risau. Aku biasa saja!
“Insyaallah bang. Takkan ada apa-apa yang berlaku. Jika ada apa-apa berlaku pada Farah, abangkan ada untuk menjaga baby kita nie.” Luahku lalu mengusap-usap perutku. Dia turut sama mengusap perutku.
“Ya Allah… tak masuk-masuk lagi Takkan hendak tidur di luar tu budak-budak oii!!” Kali ini ayah mertuaku pula melaung dari ambang pintu. Tersentak aku dan Khairul dibuatnya. Kami berdua ketawa gelihati. Cepat-cepat kami bangun dari buaian. Khairul memimpin aku berjalan dengan berhati-hati.
“Oppsss… terlupa pula Farah nak ambil kain tuala yang Farah sangkut di buaian tadi. Sekejap ya bang… Farah pergi ambil.” Ujarku lalu hendak berpusing semula ke buaian.
“Tak mengapa, biar abang tolong ambilkan.” Ucap Khairul pula.
“It’s okay… I can do it! Don’t worry.” Bahunya kutepuk-tepuk perlahan. Kemudian aku berpusing lalu melangkah perlahan-lahan menuju ke buaian. Tanpa aku sedari kakiku tersangkut pada paip getah yang bergulung di halaman rumah. Aku gagal untuk mengimbangkan diri. Badanku terdorong ke depan dan jatuh terhempap ke bumi.
Ya Allah!!! Sakitnya perutku.
“Abang!!!” Aku menjerit kesakitan. Khairul terkocoh-kocoh mendapatkan aku.
“Sakitnya bang!! Tolong bang… sakit.” Rintihku perlahan menahan kesakitan. Tiba-tiba aku terasa air hangat mengalir di pehaku. Aku meraba pehaku.
“Abang, darah bang! Darah..!!” Aku menghulurkan tanganku yang berlumuran darah. Khairul semakin cemas.
“Sabar sayang.. sabar. Abang bawa sayang ke hospital ya! Emak!!! Ayah!! Tolong saya. Farah jatuh!!” Suara laungan Khairul sayup-sayup kedengaran di telingaku. Aku semakin lemah… lemah… Pandanganku semakin kabur dan kelam…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: