perjalanan hidup ini

Musim hujan mula melanda pantai timur Semenanjung Malaysia dan kawasan rumah sewa kami ini tidak pula ketinggalan. Namun, alhamdulillah kami masih lagi mampu ke kuliah, satu tanggungjawab utama kami dihantar ke sini, keluar membeli peralatan seharian dan aktiviti rutin yang lain juga tidak terjejas. Segalanya telah di atur oleh Allah s.w.t.
Entah kenapa tiba-tiba sahaja aku teringat orang tua di kampung. Lama juga aku tak menjengah mereka. Namun cukuplah aku tahu bahawa mereka berdua sihat sejahtera, kurniaan Allah s.w.t. Aku balik selalu pun takkannya dialu-alukan oleh mereka kerana apa yang mereka mahu aku menumpukan perhatian kepada pelajaran di sini namun jauh di sudut hati, aku tahu mereka gembira dengan kepulanganku walaupun luarannya mereka tidak menunjukkan reaksi sebegitu. Aku bangga menjadi anak kalian ibu bapaku. Walaupun dahulunya aku masih ingat lagi kita sekeluarga ini tidaklah semewah orang lain namun aku bersyukur atas segala-galanya. Kesusahan itulah menyedarkan kita perlunya perubahan dan untuk perubahan perlunya ada usaha.
Ibu adalah wanita yang paling kukagumi.. masih teringat lagi waktu aku di tingkatan satu.. berkehendakkan sesuatu tapi ayah dengan tegas menghalangku. Membuatkan hati remaja ini memberontak. Namun kata-kata ibu membuatkan aku dengan mudah mengalah. Aku yang masih sedu-sedan menangis serta-merta berhenti dengan pujukan ibu. Ayah pada waktu itu masih lagi mempraktikkan ketegasannya yang di bawa sewaktu dalam pasukan tentera, walaupun pada masa itu beliau telah meninggalkan pasukan itu. Kami adik beradik ini tiada seorang pun yang berani untuk melawan kata-katanya. Kami ini hidup dengan disiplin yang ayah terapkan sejak kecil lagi.
Ibu itu wataknya tidak banyak bercakap. Tidak pula pandai mengambil hati persekitaran. Yang ada hanyalah sikap diri sendiri yang seadanya. Namun entah mengapa nenek menyayangi ibu melebihi menantunya yang lain. Ibu sendiri tidak tahu sehingga ada seseorang memberitahunya selepas kepulangan nenek ke rahmatullah. Terlalu banyak yang nenek luahkan kepada mereka tentang ibu. Patutlah selama ini rumah kami yang sering menjadi kunjungannya walaupun kami ini bukanlah kaya dengan kebendaan untuk di persembahkan kepada nenek. Namun rumah kami ini seperti rumah keduanya. Ibu sendiri tidak tahu mengapa apabila aku selalu bertanyakan perkara ini dahulu.
Akrabnya ibu dengan nenek pastinya menjadi perkataan orang lain. Tapi ibu buat tak dengar je dengan itu semua. Perkara kecil katanya. Banyak lagi benda lain yang nak di buat selain dari mendengar perkataan orang yang tak berfaedah. Dalam pada itu, kesabaran ibu di uji dengan gelombang yang melanda rumahtangganya. Kebahagiaan keluarga kami ini ada serangga perosak rupanya. Ada insan yang mencemburui kebahagiaan kami. Tak pernah di sedari ibu, jiran yang selama ini dianggap rakan baik yang berkongsi cerita dan kegembiraan telah menjadi duri dalam daging. Aku sendiri tidak redha jika ada insan lain selain ibu yang bertakhta di hati ayah. Tidak sama sekali! Dari peristiwa itu, aku telah mendapat satu theory. Betapa dalam hidup ini rupa-rupanya tiada siapa yang boleh di percayai dan adakalanya diri sendiri pun turut sama tertipu.
Ibu itu kepentingan dirinya telah lama di buang jauh-jauh. Sayangnya beliau pada kami.. kasihnya beliau pada kami… walaupun hatinya pedih , terlalu pedih di perlakukan sebegitu, namun dia tetap bersabar demi untuk memberikan sebuah kehidupan berkeluarga yang sempurna kepada kami adik beradik. Aku masih ingat lagi.. sesekali di waktu pagi ketika ibu ingin menyiapkan kami untuk ke sekolah, ku lihat mata ibu bengkak.. merah.. menangis mengenang nasibnya di perlakukan sebegitu. Namun sering sahaja dia mengelak untuk mengakui semuanya. Bila hatinya sedih mengenang semua itu dia akan membawa hati ke rumah nenek untuk mencari ketenangan. Kami adik beradik tidak mahu membebankan lagi hati ibu yang telah remuk. Kami ini hanya mampu berdiam diri kerana kami ini masih lagi anak-anak yang belum tahu sepenuhnya erti kehidupan yang sebenarnya.
Aku sememangnya tidak lari dari tabiat buruk. Dendamku tidak pernah hilang kepada wanita itu Aku tidak walau sedikit pun sanggup memandang wajah wanita itu apatahlagi menegurnya. Terasa dia sungguh hina.. jijik aku melihatnya pada waktu itu. Ye lah.. dia melukakan hati insan yang paling kusayang. Aku benci perempuan itu.. aku benci dia.. jiwa remajaku sepanjang tahun itu penuh dengan rasa dendam padanya. Sehingga suatu hari ibu mendapat tahu. Aku di marahi, di leteri ibu. Ibu kesal dengan sikapku ini. tidak pernah ibu mendidik anak-anak ibu bersikap sebagai pendendam. Ku fikirkan ibu akan menyokong tindakan ku ini, namun sebaliknya aku di marahi pula. Jangan campur urusan orang tua. Jangan libatkan diri dengan masalah orang lain. Biar ibu sahaja yang menanggung semuanya. Dosa ibu daripada perasaan marah ibu pada dia, ibu tak mahu anak-anak ibu menanggungnya sama. Tolonglah ibu.. bersihkan hati kamu semua dari terus membencinya.. Kami ini hanya akur. Hanya mampu menangis mendengar permintaan ibu. Walau apapun kehidupan mesti di teruskan. Kami sekeluarga sebolehnya mahu melupakan segala yang berlaku sebelum ini. Aku kini akur dengan apa yang terjadi adalah taqdir Ilahi. Pengalaman itu mendewasakan.
Terlintas pula di minda ini alam kanak-kanak yang menyeronokkan. Setiap petang bermain di halaman rumah. Selain di depan rumahku, kami akan bermain di surau di kampung kami. Boleh di katakan setiap petang jika cuaca mengizinkan, kami akan turun bermain bersama-sama. Semangat berkawan itulah yang membuatkan aku meminta kebenaran dari ibu untuk mengaji Al Quran bersama rakan-rakan di rumah seorang guru agama, walaupun pada waktu itu tidak seorang pun antara kami adik beradik yang diajar membaca Al Quran oleh orang lain. Semuanya didikan daripada ibu kami dan ayah pula sentiasa membantu dan memberi sokongan. Aku tidak pasti apa persepsi ibu pada waktu itu, tapi apa yang aku tahu aku ingin bercampur dengan rakan-rakanku yang lain. Kini baru kusedari semuanya. Harapanku ibu tidak berkecil hati.
Masa terus berlalu. Kami adik beradik semakin membesar. Lalu semakin bertambahlah aliran wang keluar dan bertambahlah perbelanjaan. Ibu tidak senang melihat hanya ayah seorang sahaja yang memerah keringat mencari rezeki untuk kami sekeluarga. Beliau seboleh mungkin ingin membantu ayah menambahkan pendapatan keluarga untuk menampung kehidupan kami. Ayah tidak pernah menggalakkan ibu melakukan semuanya. Dia lebih setuju jika ibu berada di rumah menguruskan rumahtangga. Namun ibu itu terlalu tebal kasih sayangnya pada ayah. Tidak sanggup melihat ayah bersengkang mata mencari rezeki sendirian. Kesusahan ayah, ibu mahu menanggungnya bersama. Kami .. apa yang kami tahu pada waktu itu, hanya meminta. Tidak lagi memahami sepenuhnya kesusahan keluarga.
Peperiksaan penentuan ke Institusi pengajian tinggi semakin hampir. Aku masih ingat lagi.. apabila tiba waktu malam aku menelaah, ayah selalu sama-sama berjaga menemaniku. Suatu hari, aku tidak dapat tidur kerana menyiapkan project paper sehingga ke subuh, ibu yang menemaniku. Tidak tidur ibu dan tidak pula lupa mengingatkanku supaya bangkit tahajjud. Namun, itulah aku.. bila di suruh baru teringat, bila ibu diam, aku pun alpa. Untuk peperiksaan ini, aku bertekad melakukan yang terbaik. Aku berazam pada diri sendiri biarpun tiada siapa yang mengetahui azamku ini Aku ingin kecapi kejayaan. Aku lemas dengan kegagalan. Aku cuba untuk buat yang terbaik. Alhamdulillah, peperiksaan telah berakhir. Aku puas kerana telah menghabiskan semua kertas peperiksaan.
Menunggu keputusan peperiksaan adalah waktu yang membosankan bagiku. Aku entah kenapa jadi sedikit liar. Kerap sahaja keluar rumah. Entah apa yang kucari. Ibu pula tidak menghalang namun aku tahu jauh di sudut hatinya risau dengan perubahanku ini. Tahukah.. betapa susahnya aku ingin meminta kebenaran daripada ayahku untuk keluar dari rumah sewaktu masih belajar dahulu. Betapa ayahku akan bertanya setiap satu alasan untukku keluar dari rumah. Dan sewaktu itu jugalah aku mendapat panggilan dari seseorang yang tidak ku kenali. Dia mengenaliku katanya. Ingin berkawan rapat denganku katanya.. Aku menerimanya sebagai sahabat. Saban minggu kami bertemu. Tidak di ketahui oleh orang tuaku. Akhirnya ayah dan ibu dapat juga menghidu perkara ini. Setiap panggilan darinya, ibu akan mencipta alasan aku tiada dan aku tidak pernah berpeluang menjawab panggilan itu. Aku bengang sungguh waktu itu. Kenapa aku dihalang sehingga begini sedangkan rakan-rakanku yang lain bebas bercerita tentang pasangan mereka. Namun aku tidak pula menentang tindakan orang tuaku itu terang-terangan. Dan sehingga kini aku dan dia tidak pernah lagi bersua. Cuma sesekali apabila aku pulang ke kampung, aku ternampak kelibatnya, namun untuk menegurnya jauh sekali kerna aku sedar kini dan waktu ini dia ternyata bukanlah idamanku. Benarlah … ibu itu lebih tahu apa yang baik dan yang buruk untuk anak-anaknya. Nasib baik ada ibu yang sering bersama, semuanya adalah untuk kebaikan masa depanku.
Tahun akhir aku di institut pengajian tinggi adalah tahun yang perit bagiku. Pelbagai ujian yang menimpaku. Yang paling menyedihkan kami ialah kemalangan jalanraya yang menimpa adik lelakiku. Beberapa minggu sebelum kemalangan itu berlaku, aku telah beberapa kali bermimpi perkara buruk yang menimpanya. Di dalam mimpi itu kami sekeluarga menangis mengenangkan nasibnya. Rupa-rupanya itulah yang terjadi. Kemalangan itulah yang telah menghilangkan upayanya sebelum ini. Agresifnya dia di padang bola sebelum ini, cekapnya dia memandu mengalahkanku walaupun pada waktu itu tidak lagi genap usianya untuk memperolehi lesen memandu, pendiamnya dia dahulu yang mana banyak sungguh perkara yang di rahsiakannya daripada kami dan gagahnya dia apabila sesekali membantu ayah. Semuanya kerana hanya dia seorang sahaja anak lelaki dalam adik beradik kami dan ayah terlalu sayangkannya, apa sahaja kemahuannya ayah akan laksanakan mengikut kemampuan.
Kurasa ibulah insan yang paling sedih pada waktu itu apabila mendapat tahu tentang kemalangan tersebut walaupun nyatanya kami ini semuanya sama merasai kesedihan itu. Aku jadi lemah pada waktu mendapat tahu kejadian itu. Selang seminggu lagi exam akhirku, aku gelisah, menangis mendapat berita adikku koma di hospital besar. Pagi lagi, selepas subuh aku menuju ke hospital. Namun, ayah, ibu dan adik-adik tiada kerana pulang sebentar. Aku masuk ke wad kecemasan itu. Kulihat lebam-lebam badannya. Entah wayar-wayar apa yang berada pada tubuhnya itu. Keras.. beku tangan dan kakinya apabila ku sentuh. Aku tak dapat menahan perasaan sensitive ini lantas mengalirlah airmata. Ayah sampai seketika kemudian lalu kucium tangan ayah. Lama.. ikutkan hati, aku ingin menangis di situ juga. Kupeluk ibu yang bengkak matanya. Kami basah dalam tangisan.
Sebulan lamanya dia koma di hospital itu. Dan selama itu jugalah saban hari tidak pernah putus kunjungan saudara mara dan jiran-jiran sekampung kami datang melawat. Seingatku dalam waktu itu, hanya sehari sahaja tiada kunjungan dari sesiapa melainkan kami sekeluarga. Itulah sokongan persekitaran yang menguatkan lagi semangat ibu untuk terus berusaha mencari penawar mengubati adikku. Tidak pernah pun kulihat di wajahnya erti putus asa untuk melihat adikku pulih seperti sediakala. Walaupun ayah adakalanya hilang sabar namun ibu selalu menenangkan ayah. Ujian Allah ini, ibu dengan sabar dan redha menerimanya.
Kepulangan ibu dan adikku ke rumah di sambut oleh saudara mara. Ibu menangis lagi mengenang sokongan saudara mara. Dan semenjak itu bermulalah tugas ibu menjaga dan mengasuh semula anaknya yang telah kembali seperti anak kecil yang baru lahir. Tidak ada kebolehan untuk memberi isyarat, bercakap apatahlagi bangun berjalan. Ibulah yang memandikan, menyarungkan pakaian, membelai, dan membisikkan ayat-ayat Allah ke telinga anak kecilnya itu semula. Reaksi pertama yang ditunjukkan adikku itu adalah mulutnya terkumat kamit menyebut perkataan ‘mak… mak..’ Tiada apa yang lebih menggembirakan hati ibu selain dari perubahan itu. Selama hampir dua bulan ibu menantikannya. Akhirnya Allah memakbulkan doa seorang ibu.
Keadaan keluarga membuatkan aku ingin membatalkan sahaja hasrat untuk meneruskan pengajian. Namun, ayah dengan keras membantah. Aku ini seorang yang tidak kuat untuk menghadapi tentangan tambahan pula ianya datangnya dari insan tersayang, orang tuaku sendiri. Tidak lengkap kiranya tindakanku tidak di sokong oleh kedua orang tuaku. Tentangan ayah untuk aku meneruskan hasrat untuk terus bekerja, aku dengan berat hati menerimanya. Aku tidak mahu sekali-kali melawan kata-katanya. Tidak mahu menyesal di kemudian hari nanti, walaupun dalam hati ini, aku ingin membantu ayah meringankan bebanannya. Aku tidak mahu hanya dia sahaja yang menanggung. Pada fikiranku, sudah tiba masanya aku membantunya. Namun, ayah itu sering sahaja berkata ” rezeki Allah ada di mana-mana.. asalkan kita ada usaha,” Aku sentiasa sahaja ingat pesanan ayah. Aku mengalah dengan keputusannya.
Bukan aku seorang, malah adikku yang baru sahaja menamatkan peperiksaan SPM nya telah di terima masuk ke institut pengajian tinggi. Maka akan bertambahlah tanggungan ayah. Bukannya sedikit wang yang di perlukan untuk membiayai kami dua beradik ini. Di tambah pula dengan perubatan yang di perlukan oleh adik lelakiku dan seorang lagi adik yang masih bersekolah. Masih teringat lagi, kata-kata ibu sebelum kemalangan itu berlaku. Kedua orang tuaku itu sudah mula menyimpan sedikit demi sedikit untuk perbelanjaan mereka menunaikan fardhu haji kelak. Namun, taqdir Ilahi mengatasi segala-galanya. Allah masih mahu memberi ujian kepada mereka dan alhamdulillah, mereka tabah menghadapinya. Kasihan ibu.. di saat-saat ini layaknya ibu hanya perlu berehat dan tidak memikirkan apajua masalah tapi sebaliknya yang terjadi. “Maafkan Ngah mak, kerna masih lagi tidak dapat membahagiakan mak,” namun, itulah ibu.. hanya tersenyum dan tidak pernah sekali-kali menunjukkan kesedihan dan kesusahannya kepada kami.
Tiba-tiba sahaja telefon bimbitku berbunyi, sekaligus mematikan lamunanku. Mendengar sahaja assign tone message, aku dengan pantas mencapai handphoneku. Harapanku moga-moga dia yang berada di seberang sana menghantar sms kepadaku. Sangkaanku meleset. Entah kenapa aku selalu menantikan sms darinya. Yang pastinya aku gembira dengan persahabatan kami ini. Aku mahu segala-galanya kerana Allah. Aku mahu ikatan ini di jalinkan kerana Allah.
Punca perkenalanku dengannya kira-kira setahun yang lalu itu adalah kerana aktiviti harianku yang kerap berbual melalui telekomunikasi terkini. Boleh di katakan setiap malam aku berdamping dengan komputer untuk menghilangkan ingatanku terhadap seseorang. Dan hampir setahun jugalah aku tidak dapat melupakan apa yang terjadi kepadaku sewaktu berada di institut pengajian tinggi sehinggalah kehadirannya menjadi pengubat luka di hati. Sungguh.. aku telah dapat melupakan segala-gala yang terjadi. Tidak kusangka perkenalan di skrin monitor itu berpanjangan hingga ke saat ini walaupun pada masa yang sama jauh di sudut hati, aku inginkan ikatan ini selamanya. Lama kelamaan, perasaan kasih dan sayang mula bersemi di hatiku ini. Entah bagaimana ianya terjadi aku tak pasti.
Aku tahu, tika dan waktu ini pastinya dia sedang mengulangkaji pelajarannya untuk exam yang akan tiba tidak lama lagi. Aku suka jika dia begitu. Doa selalu kupanjatkan pada Yang Esa agar dia beroleh kejayaan dalam apa jua yang di impikannya. Namun pada masa yang sama hati ini sering saja mengingatinya. Selalu saja perasaan rindu menerjah dan risau pun kekadang bertandang andainya dalam jangka waktu yang lama, tiada sms atau panggilan darinya.. Entahlah..
” Na… … .” suara housemateku dari luar rumah sekali lagi mematikan lamunanku. Pastinya mereka baru saja pulang dari melakukan aktiviti harian. Biarlah mereka dengan dunia mereka. Yang pastinya aku ada prinsipku yang tersendiri. Masih kemas lagi di ingatan ini nasihat orang tuaku supaya menjaga diri, jaga nama baik keluarga dan yang paling utama solat pada waktunya serta Al Quran harus di dampingi setiap hari. Jauhkan aku Ya Allah… Jauhkan aku dari tipu daya dunia. Kerna aku masih lagi mengingati bahawa “Iman yang paling utama adalah apabila kamu mengetahui Allah sentiasa bersama walau di mana jua kamu berada”… … …

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: