kejauhan cinta

Alamak. Macam kenal je mamat tu. Aduh! Betullah dia. Lebih baik aku lari cepat.

“Asri, takdelah baju yang ana nak tu kat sini. Jom gi kedai sebelah. Jom Yana. “ajakku.

“Mas! Belum sempat aku keluar dari butik itu, suatu suara yang amat aku ingin hindari menyinggah di telinga. Tanpa ada pilihan, aku terpaksa memalingkan wajah ke arahnya. Mata dan telinga ini tak pernah tertipu dengan insan di hadapan aku itu walaupun hampir 5 tahun tidak ketemu. Wajahnya masih seperti dahulu cuma penampilannya lebih kepada gaya karporat. Sudah punya syarikat perundingan sendiri mungkin. Sesuai dengan pemikiran dan minatnya dahulu. Malah mungkin sudah punya keluarga yang bahagia, isteri yang jelita dan anak yang comel pada jangkaan aku.

“Assalamualaikum Mas. Dah tak kenal aku ke?! bersungguh-sungguh dia bertanya kepada aku. Mana mungkin aku pernah melupakan lelaki itu. Terlalu banyak cerita dan memori hingga tak mampu untuk ditinggalkan walaupun jauh terpisah.

“Waalaikumussalam. Kenallah. Takkanlah aku lupa. Sorang je ke?! aku menjengahkan kepalaku ke kiri kanan mencari sesiapa yang menemaninya.

“Yelah sorang jelah. Ko nampak ada orang ke kat sebelah aku ni?! dia berkata sambil tersenyum. Tiba-tiba aku teringat kepada kak Farah. Kak Farah pernah meluahkan perasaannya kepada jejaka di hadapan aku itu. Aku sendiri yang menemaninya. Dia tidak menolak dan tidak pula menerima. Cuma memberi harapan. Meletakkan segalanya di tangan Allah. Itu yang aku tahu. Ingin saja aku bertanya tapi lidah aku kelu.

“Datang butik ni buat apa sorang-sorang? Cari hadiah kat zaujah ke?! tanyaku menduga.

“Mengarutlah kau ni. Aku mana ada zaujah lagi.Kenapa? Lelaki takleh datang sini ke? Mak aku suruh datang amek baju yang dia tempah la.! Dia menjawab sambil menunjukkan baju tempahan ibunya yang berada di dalam beg. Sedari tadi matanya asyik memerhati Fazli yang berada di dalam dukungan Asri dan Yana yang sedang melihat-lihat barang di dalam butik.

“Ummi!! Yana melaungkan namaku. Kelihatan wajah jejaka di hadapan aku itu sedikit terkejut dan kemudian mengukirkan senyuman yang amat bermakna. Aku mula jadi tidak keruan.

“Sape tu? Suami dan anak ko ek? Dah dua anak? Sampainya hati, kawin tak jemput aku pun.! macam manalah aku boleh terlupa nak kenalkan Asri, Fazli dan Yana kepada dia. Aku malu sebenarnya. Majlis pertunangan aku yang dulu pun tak beritahu sesiapa. Macam mana nak cakap ni?

“Yang comel tu Yana. Sorang lagi tu Fazli. Anak-anak sedara akulah. Yang hensem tu, ?.! Aku tertunduk malu. Jarang aku berperasaan sebegini apabila berbicara dengan dia tapi sekarang kekok rasanya.

“Ala malu-malu pulak dia. Takpe. Aku lawak jelah. Alhamdulillah dah kawin kawan aku sorang.!

“Pandai-pandai je kau buat serkap jarang ek. Belum suami, bakal.! Terang aku malu-malu. Entah kenapa hatiku tidak mempercayai yang dia masih belum berpunya. Dengan rupa paras, kerjaya, penampilan dan agama yang ada padanya pasti perkahwinan adalah perkara terakhir yang mampu melengkapkan kehidupan dan agamanya.

“Aku jugakla yang jadi anak teruna tua.! Usianya yang 5 tahun lebih tua dariku menyebabkan aku menghormati dia seakan abang aku. Aku amat kagum dengan semangat yang ditunjukkannya. Walaupun dalam usia yang hampir menjengah 30 tahun, dia masih bersemangat untuk menyambung pelajaran di peringkat sarjana muda bersama kami yang pada waktu itu masih mentah. Maklumlah baru keluar dari matrikulasi. Dia pula setelah memiliki diploma, mengambil peluang untuk menimba pengalaman dalam pekerjaan sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah. Jadi tidak hairanlah kenapa dia seringkali diberi jawatan penting dalam setiap kegiatan kampus.

Tiada yang kurang pada dirinya namun sesuatu yang membuatkan aku kurang senang adalah kerana peristiwa hitam yang berlaku dalam usrah kami kaum muslimat. Dua orang kawan aku tak bertegur sapa kerana masing-masing bersaing untuk memiliki hatinya. Layanannya yang begitu luar biasa terhadap muslimat setelah aku menegur tentang caranya yang terlalu jumud dan berfikiran tertutup itu rupanya lebih banyak mengundang fitnah. Mungkin dia belum cukup faham dengan apa yang ingin aku sampaikan. Banyak hati yang terluka dan sengsara.

Malahan kawan aku pernah berkata dia menghadiri usrah sekadar untuk menatap wajah itu. Mujurlah dia cepat sedar apabila diberi teguran. Bukan salah Yusuf tapi perempuan manalah tidak merasakan diri mereka istimewa di sisinya jika diberi layanan sedemikian rupa. Mungkin inilah bezanya antara dia dan Asri. Memang dulu kami agak rapat atas urusan rasmi dan kegiatan jemaah. Dia dan kak Farah banyak memberi tunjuk ajar dan meyakinkan aku untuk memegang jawatan di dalam jemaah. Tapi setelah masing-masing menggenggam segulung ijazah, hubungan menjadi agak renggang kerana sibuk dengan kerjaya dan keluarga sendiri. Tambahan lagi, aku mendapat tahu Kak Farah berniat untuk menyambung pelajaran ke Mesir.

“Sape suruh jual mahal sangat! aku menempelak. Dia sekadar tersengih. Ramai yang mengintai ruang hati dan menanti kata cintanya namun tiada satupun yang berjaya menambat hatinya. Entahlah siapa yang ditunggu tapi pastinya wanita yang terpilih itu adalah amat bertuah.

“Marilah, aku kenalkan dengan tunang aku.! Ajakku walaupun agak berat. Sedari tadi Asri asyik menjeling. Aku faham dia kurang senang melihat aku berbicara bersama lelaki lain. Sudah berapa kali aku ditegur kerana terlalu mesra dengan rakan sekerja. Serasa aku, aku belum pernah bergurau yang bukan-bukan. Perbincangan pun sekitar ruang lingkup kerja. Bergurau pun apabila masing-masing kelihatan tertekan dengan kerja yang dilakukan.

“Asri, ni kawan ana di U dulu. Mohd Yusuf Darwisy. Ni tunang aku, Mohd Asri Hamzi. Yang hensem macam Osama Laden ni, Syed Fazli Furqan. Kan sayang?Yang comel ni anak sedara, Syarifah Sofiyana namanya.! aku mencuit hidung mancung anak sulung berketurunan arab itu. Dilahirkan di Mesir ketika kakak aku menuntut dalam bidang perubatan di sana menjadikan dia petah berbahasa Arab. Pada usianya 9 tahun barulah kakak dan abang iparku yang mempunyai darah kacukan arab dan cina itu menjejakkan kaki di bumi Malaysia setelah masing-masing menamatkan pelajaran di peringkat Phd. Fazli pula dilahirkan di Malaysia.

Semangat besar yang ditunjukkan oleh kakakku itu sedikit sebanyak mengalir dalam tubuhku. Kini aku masih menuntut dalam bidang Clinical Psychology. Insya Allah dalam masa setahun lagi aku akan menamatkan pengajian di universiti tempatan di Malaysia. Pernah juga terlintas di hati untuk meninggalkan Malaysia, kata orang jauh berjalan makin bertambahlah kagum kita kepada kebesaran Illahi tetapi memandangkan ikatan pertunangan telah dimeterai, terpaksa aku lepaskan demi menjaga hati Asri. Walaupun dia begitu memahami dan memberi keizinan namun aku tidak sampai hati untuk melakukannya. Tambahan lagi kesihatan ayah tidak begitu menentu pada ketika ini.

“Mohd Asri Hamzi. Tentu tegas orangnya.! Duga Yusuf sambil bersalaman dengan Asri. Asri hanya mengukirkan senyuman.

“Terpaksalah bertegas dengan orang nakal macam ni.! Balas Asri sambil memandang ke arahku. Aku hanya menjeling tajam. Malu rasanya digelar ?nakal?. Macam aku ni budak degil je. Nantilah, dalam kereta nanti aku berleter panjang-panjang. Getus hatiku. Tapi kebiasaannya tak pernah menjadi. Setiap kata-kata Asri tak pernah sekalipun aku simpan di dalam hati walaupun adakalanya menyakitkan hati aku. Tegurannya pula memang berhikmah tapi tegas. Melihatkan wajahnya yang dihiasi dengan sedikit janggut yang nipis, sepasang cermin mata tanpa bingkai, malahan berpersonaliti seakan seorang ustaz dan punya ilmu yang lebih tinggi berbanding diriku, membuatkan aku sentiasa hormat dengan pendapat dan nasihatnya.

“Takkan tak berubah lagi wahai Masyitah.! Yusuf pula mengenakan aku. Ah! Malas aku nak melayan.

Keduanya sama saja. Personaliti mereka agak seiras cuma mungkin Yusuf lebih kacak berbanding Asri namun itu bukanlah menjadi perbandingan bagi seorang gadis sederhana seperti aku. Paling penting adalah ilmu agama yang menjadi kekuatan pada diri masing-masing. Dahulu aku senang bersahabat dengan Yusuf kerana tegurannya yang lembut dan dia tidak pernah memandang rendah kepada orang lain. Sikapnya yang lebih kepada seorang abang itu menjadikan aku selesa berkongsi pendapat dan menerima teguran daripadanya. Begitu juga dengan Asri, namun kekadang tegurannya agak pedas. Membuatkan aku kerap kali mengalirkan air mata. Dia nak pujuk? Jangan haraplah. Dibiarkan aku bermuhasabah sendiri. Setiap kali itu jugalah aku memujuk hati bahawa dia sebenarnya sayangkan aku dan inginkan yang terbaik untuk agamaku. Jarang dia mengungkapkan sayang dan cinta apatah lagi bermain dengan kata-kata rindu.

Pertemuan kami boleh dikira dengan jari. Selalunya aku akan ditemani oleh ibunya tapi hari ini ibu tidak begitu sihat dan kami terpaksa juga keluar untuk mencari keperluan hantaran untuk perkahwinan kami yang akan berlangsung tidak kurang dari 3 bulan sahaja lagi. Aku memang mencari lelaki seperti itu, tapi kenapa kini aku selalu saja membandingkan dia dengan jejaka lain? Tidak pandai bersyukurkah aku? Ya Allah. Tiba-tiba aku tersedar. Dialah yang aku doakan selama ini. Lelaki yang tidak pandai berpura-pura dan bermain lidah semata-mata. Lelaki yang benar-benar menjaga agama hingga keseluruhan hidupnya diamalkan atas nama Islam. Lelaki yang takkan memberitahu cintanya sehingga terlafaznya ikatan pernikahan. Ya! Dialah lelaki itu. Malah Yusuf juga sendiri mungkin tidak terlawan dengan peribadi Asri.

“Masyitah! Asri memanggil namaku.

“Apa yang enti menung tu? Sahabat enti dah nak balik ni.! Tegur Asri. Jauh benar aku mengelamun.

“Aku balik dulu ek. Nak kahwin nanti jangan lupa jemput tau.! Pesan Yusuf.

“macam mana nak contact ko?! tanyaku kembali apabila aku menyedari nombor telefonnya telah hilang bersama telefon bimbitku yang dicuri ketika aku sedang membeli belah di pasar raya tidak lama dahulu.

“Aik. Takkan dah buang number aku kot!

“Taklah. Henset aku hilanglah.! Jawabku menafikan andaiannya. Asri hanya tekun mendengar dari tadi.

“014-4785960.! Jawabnya ringkas.

“ok. Nanti ada pape aku contact k. Bagi salam kat uncle Yusuf, sayang.! Tundukku sambil membisikkan sesuatu ke telinga Yana .

“Assalamualaikum, uncle Yusuf.! Kata Yana sambil melambai ke arah Yusuf.

“Walaikumussalam.! Yusuf hanya tersenyum manis dan meninggalkan kami bertiga.

Pak Cik? Dah tua ke aku ni! Rasa terlalu berusia pula apabila diberi gelaran sebegitu. Dah jadi tunangan orang sekarang rupanya engkau Masyitah. Bisik hati kecil Yusuf. Perkenalan mereka mula menjadi rapat setelah masing-masing mempunyai kepentingan di dalam jemaah. Sememangnya gadis itu sukar untuk didekati dan kekadang kelihatan terlalu ego. Banyak kali aku ditegur tentang cara pimpinan aku di dalam jemaah olehnya. Katanya aku terlalu jumud dan berfikiran tertutup. Sebelum ini tiada siapa yang pernah seberani itu meluahkan ketidak puasan hati mereka. Kebanyakannya lebih selesa menggunakan perkhidmatan pesanan ringkas atau orang tengah berbanding menegurku secara bersemuka. Pada mulanya aku agak marah dan sukar menerima tetapi lama-kelamaan aku cuba mencari kelemahan diri dan mula bermuhasabah sendiri. Aku berbincang dengan ramai ustaz dan setelah itu barulah aku yakin dengan kata-katanya dan amat berterima kasih kepadanya. Di hati pernah juga terdetik untuk menyunting dirinya tetapi aku belum cukup berani untuk meluahkan perasaan itu kerana sebelum ini aku pernah dikecewakan dan aku lebih selesa sendiri. Ramai yang cuba mencuri hatiku namun sekalipun tidak pernah aku berikan peluang. Tetapi apabila melihatkan gadis berdagu lekuk itu telah dimiliki orang lain, terasa cemburu pula di hati. Terdetik juga satu persoalan di hati bertanyakan bagaimanakah insan bernama Asri Hamzi itu mampu menambat hati Masyitah sedangkan Masyitah yang aku kenali bukanlah mudah menerima cinta dari adam. Dia yang aku kenali amat terjaga pergaulannya, amat sukar dilihat bermanis muka dengan mereka yang bukan mahramnya, amat garang dan tegas apabila berbicara tentang larangan Illahi serta amat lantang apabila menyuarakan kebenaran. Bertuahnya Asri berjaya menambat hati serikandi berjiwa lembut itu. Adakah dia kecewa? Menyesal kerana tidak meluahkan perasaannya terlebih dahulu? Entahla. Yang pasti, segalanya adalah ketetapan Allah. Dia yakin akan diterima jika lamaran itu bukan kepada Masyitah tetapi dia menjadi ragu-ragu apabila hatinya pernah memberontak ingin menyatakan perasaannya kepada Masyitah. Mungkin inilah jawapan kepada Istikharahnya tidak lama dahulu. Asri kelihatan agak tegas dan dari wajahnya, aku dapat meneka, dia bukanlah calang-calang orang. Mustahil orang seperti Masyitah akan memilih muslimin yang tidak punya fikrah.

“Kenapa enti bahasakan diri aku dengan Yusuf tadi?! tanya Asri. Dia hairan mendengarkan perkataan itu keluar dari mulut bakal zaujahnya. Jarang dia mendengar perkataan yang agak kasar itu diucapkan oleh Masyitah. Tetapi hari ini Masyitah bukan seperti Masyitah yang dikenalinya. Masyitah yang lembut pada percakapan dan tingkah lakunya.

“Ana dah biasa dengan Yusuf tu dari dulu lagi macam tu.! Habislah aku kali ni. Tentu dapat ceramah ?free? daripada Asri.

“Berapa umur dia?! Asri bertanya sambil matanya menghala ke cermin belakang melihat wajahku. Sofiyana duduk di bangku hadapan.

“31! jawabku ringkas.

“Enti kan 26, enti lebih muda dari dia. Kenapa guna perkataan macam tu? Bukan ke kita kena hormatkan yang lebih tua?!

“Dia pun tak pernah tegur ana. Lagipun kami selesa macam tu. Takkan nak panggil abang pulak kot.! Aku tidak mahu mengalah. Asri suka membangkitkan isu walaupun perkara itu aku anggap remeh. Sememangnya aku seharusnya menghormati yang tua tapi itu cerita lama. Asri hanya berdiam diri tapi di wajahnya aku dapat meneka ada pelbagai lagi soalan yang mahu dikemukakannya.

“Ana nampak seronok benar enti berbual dengan dia. Sampai ana pun enti lupa.! Terkedu aku sejenak. Benarkah apa yang aku dengarkan ini? Atau hanya mimpi di siang hari? Asri berkata-kata bukan lagi dalam bentuk teguran tapi lebih kepada perasaan cemburu. Aku kembali tersenyum dan melupakan ketegangan sebentar tadi.

“Kenapa enti senyum pulak ni?!

“Takdelah. Tadi ana terkejut sebab dah lama tak jumpa dia. Tak sangka hari ni terserempak dengan dia.!

“Asri, kenapa enta nampak lain macam je hari ni! tanya Amir teman serumahku.

“Kenapa dengan ana?! tanyaku kembali. Entah kenapa sejak pulang dari butik tadi hatiku rasa tidak senang. Tidak senang melihatkan pergaulan Masyitah bersama Yusuf. Jejaka kacak yang seperti punyai segalanya itu.

“Orang tanya dia. Dia tanya kita balik. Tadi enta keluar dengan Masyitah kan?! aku hanya membalas dengan anggukan. Teman yang sudah agak lama tinggal serumah dengan aku itu sudah masak benar dengan perubahan wajahku. Amat sukar untuk disembunyikan perasaan ini daripada perhatiannya.

“Bergaduh?! Sepanjang tempoh pertunangan ini rasanya aku belum pernah bergaduh dengan Masyitah. Cuma mungkin ada juga kata-kataku yang menyentuh hatinya tetapi jarang dia merajuk lama kerana tidak pernah aku memujuk. Pernah aku ditegur oleh sahabat siswi, kenalan baik Masyitah kerana terlalu bertegas dan keras dengan Masyitah. Bertegas dan berkeras bukan bermakna aku tak sayang. Berjauhan dan jarang berkirim khabar bukan bermakna aku melupakan dan apabila dia merajuk dan aku tidak mahu memujuk bukan bererti aku ego, cuma aku tidak mahu hubungan kami dilalaikan dengan mainan hati dan perasaan. Pertunangan belum menjanjikan apa-apa. Hatinya juga boleh berubah. Apatah lagi aku adalah calon pilihan bapanya dan mungkin bukan atas kehendaknya.

“Yelah. Lepas balik terus diam je. Cakaplah. Apa masalahnya.!

“Entahlah Am. Ana rasa tak sedap hati lepas tengok dia mesra sangat dengan kawan lama dia tu.! Terus terang aku nyatakan kecelaruan dalam hatiku. Jarang aku berperasaan begini. Adakah aku cemburu? Yang Allah. Jangan kau benarkan syaitan membisikkan kealpaan dalam diriku Ya Allah. Segera dia beristighfar. Fitnah syaitan bisa meruntuhkan kepercayaannya kepada Masyitah.

“lain macam je ana dengar. Betul ke apa yang ana dengar ni? Setahu ana Hamzi, maksudnya tegas dan Asri ertinya, kemajuanku mengikut masa. Takkan dia berbual dengan kawan pun, enta dah cemburu. Kita hidup dalam zaman ni, komunikasi kan keperluan.!

“Memanglah. Tapi? Entahla. Ana tak sedap hati. Boleh ke kalau ana telefon dia?!

“Dia tunang enta. Tak salah enta nak call. Tapi cakap perkara yang penting sajalah. Macam berat je benda ni sampai enta terpaksa call. Kenapa tadi tak terus terang dengan dia?! setahu Amir, Asri tidak pernah berhubungan dengan Masyitah kecuali ada perkara yang benar-benar mustahak. Memang itu prinsipnya. Pernah juga dulu Asri berkenalan dengan seorang muslimah namun hubungan mereka tidak kekal selama hubungannya bersama Masyitah kerana sikapnya yang sebegitu. Mana ada wanita yang tahan dengan lelaki yang tidak pandai menunjukkan kasih sayang dan perasaan ambil berat terhadap mereka. Lalu hubungan mereka putus begitu sahaja kerana Asri takkan sesekali mengorbankan prinsipnya semata-mata untuk memiliki hati seorang hawa.

“Ana nak cakap tapi ada anak sedara dia. Rasanya tak elok pulak budak kecik dengar perbincangan orang tua.! Balas Asri.

Masyitah menyisir rambutnya yang ikal itu. Tiba-tiba dia teringatkan kisah Masyitah di zaman Firaun. Kecekalan hati seorang wanita beriman yang sanggup mati kerana agama. Sanggup mengorbankan anak kecilnya walaupun naluri keibuannya begitu mendesak agar anak itu tidak dilibatkan. Namun kuasa Allah penentu segala. Anak kecil yang hanya pandai menangis di saat itu mampu berkata-kata. Memberikan kekuatan kepada si ibu untuk mencari cinta hakiki Maha Pencipta. Maka, hilanglah seorang serikandi Islam dari bumi yang fana ini dengan kesakitan dunia. Namun janji Allah itu pasti, harum semerbak persemadiannya tanda shahidnya seorang mujahadah yang berjasa. Kisah itu selalu aku sematkan dalam hati. Mungkinkah aku mampu seteguh itu, Ya Allah. Berikan aku kekuatan memelihara agama-Mu. Berikan aku keteguhan dalam menjalankan dakwah-Mu. Sedang aku khusyuk memikirkan serikandi bernama Masyitah itu, sikatku lantas terjatuh ke lantai. Mulutku pantas menyebut Ya Allah. Semuanya kerana terkejut mendengarkan telefon bimbitku berlagu tanda ada pemanggil. Aku teliti sebetul-betulnya ke skrin telefon bimbitku itu. Mustahil! Seakan tidak percaya nama pemanggil yang tercatat di skrin itu adalah Akhi Asri. Cepat-cepat aku menekan butang hijau pada telefon bimbitku itu.

“Assalamualaikum.! Ucap suatu suara yang amat mahal untuk didengari pada corong telefon.

“Waalaikumussalam.!

“Ana ada benda nak cakap.! Tegas benar dia berkata-kata. Segalanya tidak pernah berkias.

“Cakaplah.! Pasti ada benda penting, kalau tidak masakan dia akan menelefon aku sedangkan baru siang tadi kami bertemu. Aku harap bukanlah berkaitan dengan Yusuf. Hati aku kuat menyatakan Asri kurang senang dengan hubungan aku bersama Yusuf.

“Tentang siang tadi.!

“Kenapa?! Aduh! Tepat sekali sangkaan aku.

“Sape Yusuf sebenarnya?! soalan apa pulak ni? Ya Allah. Mesra sangatkah aku berbicara dengan Yusuf tadi? Pelik. Selama ini tak pernah Asri terlalu mengambil berat sehingga begini sekali.

“Dia sahabat ana. Kami satu kelas dulu. Satu jemaah. Satu persatuan. Di bawah satu pimpinan. Itu je.! Tak mahu aku bertanya kenapa dia bertanyakan sebegitu kerana pastinya nanti wujud dugaan yang beribu.

“Enti pasti setakat tu saja?! Asri..Asri.. Mungkin kepercayaan kau terhadap aku terlalu nipis dan keraguanmu amat dalam terhadapku. Bagaimana Asri? Bagaimana nak aku buktikan bahawa aku telah menerimamu sepenuhnya dalam hatiku. Tiada lagi kompromi kepada lelaki lain walau sekacak Nabi Yusuf sekalipun. Sekacak Nabi Yusuf? Yusuf? Segera aku beristighfar. Lain yang ingin aku maksudkan, lain pula yang bermain di hati.

“Ana pasti.! Itu saja yang aku mampu lafazkan. Tunggu sajalah di hari pernikahan kita nanti wahai Asri Hamzi. Engkau akan kenal siapa bakal zaujahmu ini.

“Ana harap enti ingat apa yang enti dah lafazkan tadi.! Lega hatinya mendengarkan jawapan dari mulut Masyitah walaupun tanpa melihat riak wajah gadis berdarah Jepun itu. Ada keihklasan dan keyakinan pada suaranya tadi.

“Enta tak perlu risau. Ana lebih tahu hati ana sendiri. Assalamualaikum.! Cepat-cepat aku letakkan ganggang. Air mata aku mengalir lagi. Begini rupanya adat orang bercinta. Penuh dengan perasaan cemburu dan risau. Baru hari ini aku terasa disayangi dan diberi perhatian oleh Asri. Bukan mudah untuk membuat dia berbicara tentang hati dan perasaan. Aku benar-benar kagum melihatkan istiqamahnya dia dalam amalan dan jalan hidupnya. Dan kerana itu aku terima setiap apa sekalipun tindakannya kerana itu yang terbaik untuk memperoleh redha Illahi.

“Berapa lama kat sana?! tanya Asri ketika menghantar aku ke lapangan terbang.

“Tak lama. Kejap je. Lepas habis seminar ana baliklah.! Ujarku sambil melihat kembali tiket yang berada di tangan.

“Siapa jemput kat sana?!

“Kak Amnah. Ingat lagi tak?! tanyaku kembali. Dia pernah bertemu dengan Kak Amnah ketika Kak Amnah melawat ke rumahku di Pulau Pinang.

“Ingat. Jaga agama.! Itu yang sering dipesannya setiap kali bertemu aku. Tidak pernah sesekali dia berkata ?jaga diri?. Tapi aku lebih dari faham maksudnya. Banyak yang aku pelajari sejak menjadi tunangannya. Dia banyak mengajar aku berfikir.

“Insya Allah. Eh tu macam?! Kata-kataku terhenti. Dia ikut sekali? Habislah aku. Asri mesti susah hati lagi.

“Assalamualaikum. Sihat Asri?! Yusuf bersalaman dengan Asri.

“Waalaikumussalam. Alhamdulillah sihat. Nak ke mana ni?! aku dapat melihat perubahan pada wajah Asri. Mungkin dia terkejut dengan kehadiran Yusuf. Jangan dia ingat aku berjanji dengan Yusuf sudah. Aku tak tahu menahu langsung.

“Ada seminar kat Sabah. Asri nak pergi mana pulak?!

“Ana tak ke mana. Masyitah pun ada seminar juga. Sama ke dengan Yusuf, Masyitah?! matanya mengarah kepadaku. Aku hanya mengangguk.

“Lah. Sama ke. Tak sangka.! Yusuf pula memandang wajahku.

“Dah calling tu. Ana pergi dulu. Jaga agama.! Aku pula berpesan kepada Asri. Kesian Asri. Pastinya hati dia tidak senang melihatkan kehadiran Yusuf. Kenapalah aku boleh satu penerbangan dengan dia. Tiada apa yang mampu aku bicarakan sedangkan di minda tersimpan beribu persoalan yang nak aku ajukan. Hanya awan yang memahami mendung di hatiku. Aku lihat wajah Yusuf. Dah tidur rupanya. Letih benar aku lihat air mukanya. Mungkin terlalu sibuk dengan kerja dan urusan jemaahnya.

Sepanjang 3 hari di sana, aku banyak ditemani oleh Yusuf. Ada juga kenalan di universiti dahulu yang turut menghadiri seminar tersebut tetapi semuanya berasal daripada Sabah. Jadi hanya aku dan Yusuf sahaja yang menginap di hotel. Agak janggal rasanya keluar berdua bersama dia. Namun aku tiada pilihan. Sudah lama aku tidak menjejakkan kaki ke negeri di bawah bayu ini. Jadi, bimbang juga hendak keluar berseorangan. Kebanyakan rakan yang dikenaliku di situ turut ditemani ahli keluarga masing-masing, jadi agak segan untuk aku meminta bantuan. Sepanjang aku di sana, setiap hari pasti Asri menghantar mesej yang berisi tazkirah kepadaku. Jarang dia bertindak begitu. Kehadiran Yusuf benar-benar merubah Asri. Kadang-kadang aku tersenyum sendirian apabila memikirkan Asri. Dialah lelaki yang aku harap bakal menjadi zaujku. Insya Allah hati aku takkan berubah, Asri Hamzi.

“macam mana kau kenal dengan Asri ek?! persoalan itu timbul ketika kami bersama-sama menikmati makan malam sambil ditemani seorang guru kenalanku di hari terakhir seminar.

“Kenapa tiba-tiba tanya soalan macam ni?! merah mukaku menahan malu kepada Cikgu Surtina.

“Ala Mas, takkan itu pun nak segan? Saya pun nak tau jugak.! Cikgu Surtina pula kelihatan bersemangat untuk mengetahui detik-detik perkenalan aku dan Asri.

“dia pilihan ayah.! Jawabku pendek. Pertemuan kami diatur oleh ayah. Memandangkan Asri merupakan anak kepada kenalan rapat ayah iaitu guru mengaji Al-Quran aku sendiri, maka hubungan mereka agak rapat. Ayah tidak pernah memaksa aku untuk menerima Asri apatah lagi untuk membataskan perhubungan aku dengan rakan lelaki yang lain, ayah memberi aku ruang yang luas untuk membuat keputusan sendiri dan keputusan aku pastinya tidak pernah menghampakan ayah. Sedari awal lagi aku menyerahkan urusan jodohku diatur oleh kedua ibu bapaku. Bukan kerana aku takut untuk membuat pilihan tetapi aku yakin, restu kedua ibu bapa adalah yang terbaik dalam hidup aku di sini dan di sana nanti. Kami hanya mengenal hati budi masing-masing setelah pertunangan. Namun aku akui hingga kini aku masih belum memahaminya sepenuhnya.

“Ooo..macam tu. Susah nak cari anak yang menurut kata macam awak ni Masyitah. Zaman sekarang ni manala ada anak nak jodoh ni ditentukan mak ayah.! Cikgu Surtina memegang bahuku. Aku hanya tersenyum. Yusuf pula masih dengan sengihnya yang memanjang.

“Bila nak kahwin?! Yusuf masih tidak segan bertanya tentang hubunganku bersama Asri.

“Insya Allah kurang daripada 3 bulan. Jangan risau, nanti aku jemput. Engkau ni bila pulak? Asyik tanya aku je.! Yusuf hanya menguntumkan senyuman.

“Dari dulu lagi kau macam ni Yusuf. Bila tanya pasal rumah tangga, kau asyik sengih je. Takde keje lain. Bosan aku.!

“Sabarlah. Bila kau dah 10 anak, aku kahwin la.! Balas Yusuf. Masih dengan senyumnya.

“Ye la tu. Macamla sempat 10 anak. Aku dah tua tau tak.!

“yela lupa pulak kau tu dah tua. Aku muda lagi. So jangan nak kalut k.!

“Mudala sangat.! Kak Surtina hanya tersenyum melihatkan gelagat kami berdua. Telefon bimbitku berbunyi. Yusuf hanya memandangku sambil memberikan senyuman penuh makna. Mungkin dia beranggapan panggilan itu datangnya dari Asri. Betul tekaannya. Aku sendiri kurang percaya. Segera aku berlalu meninggalkan mereka.

“Assalamualaikum.! Sudah hampir 3 hari tidak mendengar suara itu setelah perpisahan di lapangan terbang yang lepas.

“Waalaikumussalam. Ada apa Asri?! aku benar-benar ingin tahu apa pula tujuannya menghubungi aku kali ini.

“Sihat ke?! aneh soalannya.

“Alhamdulillah, sihat.!

“Kat mana tu?!

“Kat hotel. Kitorang turun makan.! Jawabku tanpa berselindung.

“Makan dengan sape?! Soalan perangkap.

“Dengan kawan-kawan!

“Siapa?! Terasa benar seperti aku sedang disoal siasat oleh seorang polis bertauliah.

“Kak Surtina dan! kata-kataku terhenti. Haruskah aku menyebut nama itu jika ia membuatkan hati Asri gelisah.

“Dan siapa? Yusuf?! tekaannya mengena.

“Ye.! Nyata aku tidak pandai merubah bicara apabila itu kenyataannya. Bibirku terkunci rapat. Mungkin ada lagu sendu di hati Asri. Namun aku tak mampu menyenangkan hati insan lain dengan cara menipu. Aku tak pandai.

“Jaga agama. Assalamualaikum.! talian terputus malah salam belum sempatku sambut. Salahkah aku menyatakan kebenaran dalam keikhlasan daripada menyenangkan tapi penuh kepuraan?

Penerbangan yang hanya memakan masa 3jam itu terasa begitu lama bagi diriku. Tidak keruan di hati sejak Asri diam membisu tanpa khabar. Memang kami sudah terbiasa sepi berpanjangan tapi di kali ini anehku rasakan. Hati berdebar-berdebar. Jarang aku berperasaan sebegini. Kali terakhir aku begini ialah pada hari perginya arwah nenekku. Ya Allah, siapa pula selepas ini. Aku takut. Bimbang yang teramat. Setapak aku melangkah keluar dari penerbangan, pantas aku menghidupkan telefon bimbitku. Seperti ada satu gelombang yang memberi arahan aku menunggu sebuah panggilan mahupun pesanan ringkas. Tepat jangkaanku. Pantas aku mendapat panggilan daripada ayah.

“Assalamualaikum, ayah. Ayah sihat?! Alhamdulillah sekurang-sekurangnya aku tahu ayah sihat.

“Alhamdulillah sihat. Cuma..! bicara ayah terbiar tanpa sambungan.

“Kenapa dengan mak, ayah?! hati aku kembali berdenyut kencang.

“Mak kamu sihat. Asri.! kata-kata ayah kembali tergantung dan aku di sini asyik membuat perhitungan sendirian.

“Kenapa dengan dia, ayah?! Ya Allah, aku bertawakal kepada-Mu.

“Dia meninggal dalam tidur.! jawab ayah. Sepi seketika. Sendu teramat. Permata jernih dari sepasang mataku tanpa segan silu mengalir laju.

Selepas pemergian Asri, aku sibukkan diri dengan kerja-kerja yang tiada sudah. Terlupa sebentar tentang jodoh dan rumah tangga. Walaupun perkenalan belum mendalam, namun cinta padanya masih mekar. Menerima perpisahan itu wajib bagi aku tetapi melupakan kenangan bersamanya mungkin takkan pernah sesekali. Lelaki pertama yang membuka pintu hatiku untuk mengenal cinta kerana Allah. Jejaka yang ikhlas menyayangi aku dan agamaku. Ketemukah lagi aku dengan insan sepertinya? Persoalan itulah yang sering aku ajukan kepada sesiapa yang asyik bertanyakan tentang penggantinya. Mereka tak mengerti betapa istimewanya lelaki itu pada jihad dan fikrahnya. Cuma aku saja yang merasa betapa terjaganya agamaku apabila dia di sisi. Namun aku redha Ya Allah. Dia milik-Mu. Bukan milikku. Dia perlu menyambut seruan-Mu. Mana mungkin mampu diengkari walau sesaat apabila masanya sudah tiba.

Riuh satu kampung aku dipinang orang bandar. Aku pekakkan telinga. Aku biarkan mak dan ayah menentukan persetujuan. Cuma satu syaratku, aku tak mahu sekalipun bertemu dengannya. Aku tak mahu langsung mendengar suaranya. Paling penting aku tidak mahu langsung mengetahui segala-galanya tentang dirinya. Biarlah begini. Andai perpisahan terjadi sekurang-sekurangnya kesedihan itu tidak berpanjangan. Pinangan diterima. Mungkin semua kriteria yang ayah nak ada pada jejaka asing itu sebagaimana yang ada pada Asri. Ya Allah, buanglah nama Asri dari dalam ingatan dan hatiku andai telah terpatri jodohku bersama jejaka pilihan ayah itu.

Hari dinanti tiba. Begitu pantas aku rasakan. Gelaran tunang yang aku pegang pada 3 bulan lepas kini akan bertukar menjadi isteri. Beratnya untuk aku menerima gelaran itu tambahan pula lelaki yang bakal aku nikahi tidak langsung aku kenali. Bagaimana agaknya untuk aku membina percintaan selepas pernikahan tanpa perkenalan. Namun aku yakin dengan jodoh dan dialah jawapan kepada istikharahku. Di saat pintu dikuak, air mataku menitis. Perasaanku menjadi kosong. Tidak mampu untuk merasai apa-apa sehinggalah jemariku disentuh dan cincin tersarung. Debaran kencang hebat menghentam ruang hati. Wajahku masih tunduk merenung lantai sehinggalah tangan kasar jejaka asing itu memegang lembut daguku dan mengucup dahiku. Ya Allah. Benarkah dia? Jejaka asing itu bukanlah asing bagiku. Aku tahu namanya, aku tahu siapa dirinya, aku tahu segalanya tentang dirinya, Cuma satu je yang aku tak tahu. Aku tak tahu yang dia adalah bakal suamiku yang kini sememangnya suamiku… . Aku kini milikmu Mohd Yusuf Darwisy

6 Respons

  1. bestnye…tak tau nak cakap ape dah…harap2 aku pun boleh jadi camtuh…

  2. Saya minat baca novel n cerpen…..saya Cerpen nie best…

  3. bestlah cite ni….

  4. mm..mmg best citer nh..tak sabar nak tau akhirnya…:)

  5. best tull…..tahniah kpd pnulis…

  6. best la citer ni

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: