Seindah Mawar Berduri 2

Khazinatul Asrar menarik nafas lega. Dia tidak mahu konflik itu berlarutan. Kehadiran nota itu benar-benar menenangkannya. Dia bertahmid meluahkan kesyukuran. Namun setelah seketika, nota Hijriah yang berwarna biru lembut itu mengembalikan ingatannya terhadap nota-nota misteri yang sering kali diterimanya.
Dia sebenarnya cuba melupakan persoalan itu kerana ianya bagaikan suatu mainan yang sia-sia. Tiada motifnya. Masih banyak lagi perkara lain yang perlu difikirkan.
Namun, situasi ini mengundang persoalan tentang nota misteri itu untuk hadir lagi.
“Tulisannya tidak sama.Jenis kertas pun berlainan,” Khazinatul Asrar membanding- bandingkan nota Hijriah dengan nota-nota yang diterima sebelumnya. Wajahnya hampa. Dia bingkas bangun memperbaharui wudhuknya. Di saat-saat resah begitu, al-Quranlah penawar paling mujarab baginya kerana Al-Quran adalah warkah cinta dari Pencipta. Allahlah Kekasih yang paling memahami. Masakan tidak, Dialah raja segala cinta kerana Dialah sebenarnya Pencipta cinta. Lihatlah hanya dengan satu sifat cinta-Nya yang dilontar ke bumi, berkasih sayanglah semua makhlukNya hatta binatang sekalipun. Bayangkanlah 99 lagi sifat cinta yang masih bersama-Nya.
Subhanallah! Agungnya cinta Ilahi…

Pada kuliah pagi itu, awal-awal lagi Khazinatul Asrar mengajak Suwaibah Aslamiyyah duduk di sebelahnya. Dia mengambil langkah berjaga-jaga sebelum Tsabit mengambil kesempatan untuk duduk di sebelahnya kerana Hijriah tak datang.
Suwaibah Aslamiyyah memenuhi perlawaan Khazinatul Asrar tanpa banyak soal.

Untuk kali inipun, nota berwarna biru lembut hadir lagi dalam buku yang dibawanya.

“Wahai pencuri, saya bertai biru di Cyber Café Kajang pada pukul 5.00 petang ini. Ayuh kita buat perhitungan!”

Pandangannya segera beralih kepada pemuda yang berkedudukan di posisi belakangnya. Entah mengapa dia begitu curiga dengan pemuda yang memakai baju kemeja putih berbintik biru itu. Warna biru memang ada kaitan dengan pemuda itu.
Tsabit yang menyedari Khazinatul Asrar sedang memandangnya dengan spontan membetulkan songkok di atas kepalanya sambil tersengih-sengih. Hati Khazinatul Asrar bertambah geram. Kali ini dia tidak berfikir panjang lagi.Hatinya penuh yakin.
Lantas dia mencoretkan sesuatu di atas kertas dan menghulurkannya kepada Tsabit.

*Perhitungan! Cyber Café Kajang, 5.00 petang.

Khazinatul Asrar berazam pertemuan yang akan diadakan seringkas yang mungkin dengan Tsabit petang ini bakal mengajar Tsabit sesuatu. Berkeriuk dahi Tsabit menatap nota itu. Namun selepas seketika, dia tersenyum sendirian. Entah apa yang difikirkannya. Suwaibah Aslamiyyah juga mengeriukkan dahi melihat telatah aneh Khazinatul Asrar.

“Duhai kekasihku Ya Allah, peliharalah diriku dari fitnah..” hatinya berdoa tatkala menyedari temannya mula memikirkan sesuatu.

Pada petang itu…

“Kenapa dia bertai hitam? Kemeja pula merah jambu…” bisik hati kecil Khazinatul Asrar tatkala dia melihat dari jauh telatah Tsabit yang sedang mencari-cari seseorang di muka pintu Cyber Café. Lagaknya bagaikan orang yang sudah lama menunggu. Langkahnya terus disusun kemas menuju ke situ. Tsabit mula menyedari kemaraan gadis itu. Dibetulkan tainya agar lebih kemas. Entah keberapa kali dia membetulkannya…

“Saudara terlupa pakai tai biru?” sindir Khazinatul Asrar tatkala langkahnya betul-betul berhenti di hadapan Tsabit. Tubuhnya di hala ke arah lain. Tidak tergamak untuknya bertembung mata dengan pemuda kacak kacukan Libya itu. Ghoddul basor.

“Tai biru?” dahi Tsabit berjalur dengan tandatanya.

“Ya…tai biru! Atau…mungkin tai biru itu sebenarnya yang telah saya curi. Maklumlah saya ni kan pencuri..” Khazinatul Asrar menyindir lagi.

“Asrar, apa yang awak cakap ni?” wajah Tsabit kebingungan.

“Maafkan saya saudara…saya datang ni pun untuk mengucapkan terima kasih kerana memberi gelaran pencuri kepada saya. Sebagai penghargaan dari saya, saya pun ingin menggelarkan saudara sebagai perompak. Perompak ketenangan orang lain. Maafkan saya…” kata-kata Khazinatul Asrar bagaikan duri mawar yang menusuk kalbu. Dia pantas berlalu dari situ dan segera menaiki teksi yang sedia menanti. Tsabit masih terpinga-pinga di muka pintu. Tiba-tiba badannya dirempuh oleh seorang pemuda bertai biru yang berlari tergesa-gesa seperti mengejar seseorang. Pemuda itu sempat meminta maaf daripada Tsabit. Tsabit semakin keliru.

Tidak seperti selalu, Khazinatul Asrar hanya duduk di bilik pada malam itu.
Badannya direbahkan di atas tilam. Peristiwa di Cyber Café petang tadi masih segar di fikirannya. Hatinya puas. Dia berharap agar Tsabit tidak akan mengganggunya lagi dengan nota-nota berwarna biru lembut itu. Namun dia masih dilanda persoalan bagaimana Tsabit boleh meletakkan nota-nota itu ke dalam bukunya tanpa disedari.
Sesuatu yang mustahil. Secara logiknya, hanya orang yang terdekat sahaja boleh melakukannya. Orang terdekat? Hijriah… Mungkinkah Hijriah terlibat dalam hal ini?
Hijriah? Ah…tak mungkin Hijriah. Perkara kecil sekalipun Hijriah tak mampu nak rahsiakan daripada Khazinatul Asrar. Dia sahabat yang baik dan berterus terang.
Nota-nota yang terkumpul itu terus dibelek-belek untuk mencari clue. Tsabitkah pengirimnya? Hatinya tiba-tiba dilanda serba-salah kerana membuat tindakan yang terburu-buru terhadap Tsabit. Segalanya didasari perasaan geram yang meluap-luap.
Dia beristighfar menghitung dirinya. Hatinya terus berdialog sendiri. Tiba-tiba, suatu suara halus mengejutkannya dari lamunan… suara yang tidak asing lagi. Dia bingkas berlari ke pintu dengan senyuman yang manis terukir.

“…oh, saya gembira awak dah kembali,” wajah Khazinatul Asrar penuh ceria menyambut kepulangan Hijriah. Salam dihulur dan mereka berdua saling bersalam berpelukan. Wajah Hijriah juga berseri dengan keceriaan.

“Saya ingat nak balik sini secara surprise sebab biasanya waktu-waktu begini awak dah ke perpustakaan… macam dah tahu-tahu saja saya nak balik sini…” Kedua-dua sahabat itu beriringan ke katil masing-masing.

“Entahlah…hati saya berat semacam jea nak ke perpustakaan malam ni… tak sangka pulak itu petanda yang sahabat saya yang sorang ni nak balik sini,” senyuman Khazinatul Asrar masih tak lekang di bibir.

“Ha…mesti siang malam awak asyik rindukan saya…” Hijriah mengusik disambut ketawa kecil Khazinatul Asrar. Dalam pada itu, mata hijriah melirik pada helaian-helaian nota berwarna biru lembut dalam genggaman Khazinatul Asrar.

“Nota apa tue?” Hijriah ingin tahu sambil tangannya pantas mencapai nota-nota itu dari genggaman Khazinatul Asrar. Kazinatul Asrar merelakan.

Entahlah Hijriah… nota-nota ni sering mengganggu fikiran saya sejak akhir-akhir nie.
Mungkin ini ujian Allah supaya saya sentiasa memuhasabah diri. Allah takkan bagi ujian kalau bukan kerana Dia sayangkan kita,kan?!” kata-kata itu menyebabkan Khazinatul Asrar direnung dalam-dalam oleh Hijriah. Mata Hijriah langsung tidak berkelip. Bagaikan ada rahsia besar yang tersimpan. Khazinatul Asrar agak terkejut apabila direnung begitu.
“Hijriah….???” Bibirnya mengungkap. Hijriah masih jauh meneroka anak mata Khazinatul Asrar.

“Hijriah, kenapa ni?” Khazinatul Asrar yang kehairanan cuba menduga. Air muka Hijriah segera berubah seperti orang yang baru disedarkan dari mimpi. Namun, dia hanya berdiam diri dengan pernyataan Khazinatul Asrar.

“Eh, ganjil sekali perangainya…” bisik Khazinatul Asrar kebingungan.

Serentak dengan itu, Hijriah tiba-tiba bangun dari katilnya dan mendapatkan handbeg yang baru sebentar tadi diletakkan di atas meja study. Dia mencari-cari sesuatu. Khazinatul Asrar hanya mampu melihat telatah aneh Hijriah itu. Pelbagai soalan dan andaian menujah-nujah kotak fikiran. Hijriah mengeluarkan sekeping nota berwarna biru dari handbegnya dan nota itu diselitkan dalam salah satu fail kepunyaan Khazinatul Asrar yang tersusun kemas di atas meja study. Khazinatul Asrar yang menyaksikan semua itu bertambah keliru. Lidahnya kelu untuk menuturkan sesuatu kepada Hijriah yang berkelakuan ganjil itu.Hijriah kemudiannya menyerahkan fail yang diselitkan dengan nota berwarna biru itu tadi kepada Khazinatul Asrar. Dengan kebingungan, tangannya akur menyambut fail itu tanpa
alasan biarpun mindanya sarat persoalan. Nota berwarna biru itu ditatapnya.

##Wahai pencuri, kau mungkin telah ke Cyber Café…namun tuntutan saya masih belum terlaksana. Masakan tidak, si perompak pula yang kau temui…not me!!##

Nota itu benar-benar menyentak naluri. Hijriah pula direnungi sedalam mungkin.

“Apa semua ni?” soalan yang terpacul itu memang sarat dengan tanda tanya.

Serentak dengan itu peristiwa petang tadi terngiang-ngiang di ingatannya. Kerana nota-nota berwarna seumpama itulah, Tsabit digelarnya perompak. Namun itu bukanlah suatu jawapan…sebaliknya menambahkan persoalan.
“Hijriah! What’s up?
Teka-teki apa ni? Saya tak faham…” Khazinatul Asrar terus dan terus mendesak.
Bingung. Pelik. Hairan. Ganjil. Ajaib. Ahhh..

Hijriah hanya menunjukkan reaksi tenang dengan persoalan yang diwujudkannya itu.
Namun akhirnya, hati dan perasaan seorang sahabat beralah jua pada redup mata Khazinatul Asrar yang jelas memendam persoalan.

“Asrar, maafkan saya!” ungkapnya perlahan.

“Untuk apa? Kenapa? Hijriah…???” luahan persoalan itu benar-benar meresapi sanubari Hijriah. Timbul pula rasa bersalah dalam dirinya kerana mendera perasaan Khazinatul Asrar dengan persoalan. Ibarat membalas dendam kesumat yang bersarang.

“Asrar, saya tak tau bagaimana harus saya jelaskan. Kalau awak nak tahu sangat tentang nota tue, awak daillah nombor ni. Saya dah tak sanggup menyembunyikan sesuatu daripada awak kerana memang saya tak mampu untuk berbuat begitu…”
manik-manik jernih mula menitis di pipi Hijriah sambil tangannya menulis beberapa susunan angka. 017-3410170.

Biarlah air mata itu menyucikan sekeping hati yang kadang-kadang dikuasai dendam dan iri hati.

Satu persatu angka 017-3410170 dari handsetnya ditekan. Khazinatul Asrar memang amat mengharapkan satu jawapan dan kepastian.

“Hello!” suatu suara garau menyambut panggilan bisu dari Khazinatul Asrar.

“Hello, siapa ni?” beberapa kali suara itu mendesak. Khazinatul Asrar hanya mendengar dengan penuh keliru akan suara yang langsung tidak dikenalinya itu sambil matanya tidak berganjak dari anak mata Hijriah, Yang pasti ianya bukan suara Tsabit.

“Hello,Hellooo…awak ni nak main-main ke?” nada suara itu semakin tinggi.

“err, siapa di sana?” terkeluar juga pertanyaan itu dari lidahnya yang kelu.

“Eh, kau pulak yang tanya saya siapa?” suara itu masih geram.

“Maafkan saya…saya…saya…saya cuma nak tahu siapa di sana?” terketar-ketar lidah Khazinatul Asrar dilanda persoalan.

“Kenapa? Saudari ni nak berkenalan dengan saya ke?” suara itu kembali rendah dan cuba bergurau pula. Khazinatul Asrar geram dengan gurauan itu. Bibirnya digetap.
Bukan prinsipnya gatal nak mengenali seorang lelaki.

“Maaf! Kalau bukan Hijriah yang suruh, saya takkan telefon awak!” luahan Khazinatul Asrar itu menyentak suara itu.

“Apa? Hijriah?” suara itu menjadi cemas. Sangat cemas.

“Saudari ni Khazinatul Asrar ke?” suara itu bertanya dengan nada takut.

“Emm…” jawab Khazinatul Asrar ringkas. Dia semakin pelik apabila lelaki itu telah mengenali dirinya.

“Hijriah mungkir janji! Saya dah agak dia mesti dedahkan juga hal ni akhirnya. Suara itu berbaur hampa meluahkan ketidakpuas hatian.

“Jadi awaklah rupanya menyuruh Hijriah menyelitkan nota berwarna biru tu dalam buku-buku saya?” soal Khazinatul Asrar.

“Err..jangan salah faham. Sya…saya..” suara itu seakan-akan menyusun ayat.

“Apa yang saya telah curi daripada awak?” Khazinatul Asrar semakin berani berhadapan dengan suara lelaki itu. Dia benar-benar ingin meleraikan persoalannya.

“Khazinatul Asrar…biarlah dengan peluang ini saya berterus-terang, sejak pandangan pertama lagi, awak telah mencuri hati saya, mimpi saya dan impian saya. Saya langsung tidak boleh melupakan awak.” Suara itu langsung tidak mahu berselindung sesuatu. Beristighfar panjang Khazinatul Asrar mendengar kata-kata itu. Butang End ditekan tiba-tiba untuk mengakhiri perbualan itu. Susulan daripada itu, beberapa kali handsetnya berirama minta disambut namun dibiarkan sahaja. Dia sedih kerana dirinya telah melalaikan hidup seorang lelaki.

“Hijriah, tolong jangan buat saya begini!” Khazinatul Asrar seakan menahan marah. Persoalannya bukan terjawab malah kian bertambah.

“Sabar Asrar…biar saya jelaskan,” udara disedut sedalam mungkin untuk memulakan bicara.

“Lelaki tu Ahmad Mukhlisin namanya. Dia siswa tahun akhir course Medic. Jiran saya…Dialah yang menyuruh saya selitkan nota-nota nie dalam buku awak.” Handset Khazinatul Asrar berirama lagi. Dia segera memilih profile silent.

“Tapi kenapa awak lakukannya?” celah Khazinatul Asrar.

“Kerana cinta dan harapan……Asrar, saya sebenarnya menaruh impian cinta terhadapnya namun ternyata dia mencintai awak. Sejak pertama kali dia menyuruh saya menghantar nota-nota nie, sejak itulah saya tahu bahawa dia tak pernah mencintai saya bahkan terlalu menyukai awak, Asrar. Dia merapati saya pun hanyalah kerana ingin mengenali awak. Mulanya saya terlalu kecewa dan mendendami awak tanpa rasionalnya. Kuliah yang saya ponteng tempoh hari sebenarnya kerana saya terlalu melayan kekecewaan ini. Saya sedar kesilapan saya dan berjanji untuk membantu Mukhlisin menawan hati awak semata-mata untuk membuktikan pada diri saya sendiri bahawa betapa tidak patutnya timbul perasaan dendam terhadap sahabat semulia awak. Maafkan saya. Harapan saya agar dia akan memiliki awak..”
Hijriah menitiskan air mata lagi. Khazinatul Asrar sebak dengan penjelasan itu.
Tulusnya hatimu Hijriah.
“Hijriah, usahlah menangis begini. Awak tak bersalah apa-
apa terhadap saya! Saya yang seharusnya meminta maaf kerana membuat tafsiran yang bukan-bukan. Kerana hanya timbul sedikit rasa dendam, awak diburu rasa bersalah begini…itu sebenarnya cerminan kepada sucinya hatimu Hijriah.” Tubuh itu dirangkul erat. Mekar kembali kuntuman ukhuwwah dan mahabbah.

“Asrar, Mukhlisin seorang lelaki yang baik dan penyayang. Dia mengenali awak sewaktu awak turut dicalonkan mewakili Fakulti Pengajian Islam dalam pilihanraya kampus tahun lepas. Gadis semulia awak memang layak untuknya, Asrar. Hati saya sendiri akur dengan hakikat ini walaupun saya pernah mencintai Mukhlisin. Sekuntum mawar berduri yang dikagumi sang kumbang… awak memang contoh yang tepat untuk apa yang awak pernah katakan,” raut wajah Hijriah memancarkan keikhlasan.
Khazinatul Asrar hanya berdiam diri dengan kata-kata Hijriah. Setelah seketika dia bersuara,

“Hijriah, saya harap saya takkan mengenalinya!”

“Asrar..awak tak nak bagi peluang padanya?” Tanya Hijriah. Khazinatul tidak memberi respond terhadap persoalan itu. Hijriah menyambung lagi,

“Janganlah begitu..Mungkin awak tak suka cara dia approach awak. Yealah, siapa suka dititlekan ‘pencuri’ ?! Tapi itu suatu hakikat…awak memang telah benar-benar mencuri hatinya. Mukhlisin sedar awak memang sukar didekati lelaki tanpa sebarang urusan. Dia sedar bahawa dia tiada alasan untuk mengenali awak kerana tak mungkin dia mempunyai urusan dengan awak. Kalau dia luahkan dalam surat pun tentu awak tak layan. Apatah lagi, mustahil baginya untuk keluar dengan awak.
Saya sendiri yang menjadi penasihat utamanya. Sebab itulah dia hadirkan dirinya dalam hidup awak melalui cara ni. Dia tak salah, kan?!” beria-ia Hijriah membela Mukhlisin.

“Cukuplah….saya dah cukup teruji dengan makhluk Allah bernama lelaki sejak di bangku sekolah lagi. Saya takkan tewas lagi! Pengalaman mengajar saya bahawa cinta Allah tak boleh diganti sesiapa. Hanya cinta Allah yang memberi kebahagiaan, bukan kelalaian dan angan-angan. Cinta manusia sifatnya sementara. Ada yang bersifat dusta. Ada yang melalaikan dari cinta Pencipta. Saya tak nak dipisahkan dari cinta suci Kekasih Agung di saat ini semata-mata kerana cinta sementara manusia.” Luah Khazinatul Asrar agak emosi.

“Pengalaman? Khazinatul Asrar si mawar berduri ni pernah bercinta?” Hijriah cuba mencungkil sesuatu.

“Hijriah, cinta adalah fitrah yang akan dirasai oleh semua orang…sesiapapun takkan terkecuali. Ingin disayangi dan ingin menyayangi adalah ujuan Allah yang paling berat untuk hamba-Nya bergelar remaja.” Tersirat pengakuan di sebaik kata-kata itu.

“Jadi, benarlah awak pernah bercinta?” Hijriah semakin berminat untuk tahu.
Khazinatul Asrar tidak keberatan untuk mencaritakan pengalamannya. Moga Hijriah boleh belajar sesuatu.

“Waktu di sekolah dulu, Allah banyak uji saya dengan lelaki. Mula-mula rasa tak suka tapi lama-lama saya rasa seronok apabila diminati. Banyak surat cinta dan hadiah yang saya terima tanpa dipinta. Ada yang mengatakan inilah cinta kerana Allah. Hari-hari yang saya lalui terasa lebih ceria apabila saya mengetahui diri saya ini amat dihargai… ramai lelaki rupanya yang concern pasal diri saya. Namun sifat pemalu saya membuatkan saya kelihatan seperti jual mahal jea, hakikatnya hati saya suka. Waktu itu hidup saya penuh dengan angan-angan. Kadang-kadang syaitan membisikkan agar saya melayani surat-surat tersebut. Tapi, Alhamdulillah, berkat tarbiyyah yang saya dapat secara sedar atau tidak di sekolah agama tu, saya rasa malu dan bersalah untuk berbuat begitu biarpun waktu-waktu dalam hidup saya kian dibuai keasyikan.
Then, keasyikan itulah yang menjejaskan pelajaran saya.

Saya mula bertanya diri, apakah yang telah angan-angan berikan dalam hidup saya? Hanya kegagalan…dan cinta lah punca angan-angan. Saya mula rasa keliru dengan dunia cinta walaupun ianya cuma berlegar di sudut hati. Bukan secara zahir. Saya tak pernah terjemahkannya. Tapi hatilah yang menjadi raja, pemberi arahan kepada seluruh anggota badan. Saya bertanya lagi, bersihkah hatiku ini? Layakkah hatiku ini untuk menadah nur ilmu kerana ilmu itu adalah cahaya dan cahaya takkan menembusi hati yang berbuat maksiat. Saya rasa lebih bersalah lagi apabila ummi dan abah sedih tengok keputusan peperiksaan akhir tahun saya. Saya cemburu kepada kawan-kawan yang sebelumnya tak pernah mengatasi saya dalam pelajaran tiba-tiba jauh meninggalkan saya. Saya buntu. Tak tau nak mengadu pada siapa. Saya sedih dengan kesedihan ummi dan abah. Saban hari, dengan tazkirah dan usrah yang menjadi aktiviti wajib kat sekolah, entah bagaimana saya rasa tertarik pada ungkapan CINTA ALLAH.

Menurut ustaz-ustaz dan naqibah, saya dapat simpulkan bahawa CINTA ALLAH tak mengecewakan. Cinta-Nya sentiasa membawa kebahagiaan kepada hati, perasaan dan kehidupan. Baru saya sedar bahawa dalam hidup ini, saya ada Allah untuk dicintai.
Allah sentiasa menanti dengan penuh cinta terhadap hamba-Nya, cuma saya yang tak kenal cinta Allah. Pintu taubat-Nya sentiasa terbuka luas untuk dikunjungi. Saya mula bertekad untuk mencari cinta agung itu. Saya cuba bersihkan hati dengan mengamalkan banyak amalan sunat dan zikir qolbi. Tika tu, susah juga nak istiqomah terutamanya tahajjud. Namun menyedari ada rahsia cinta Allah disebalik amalan-amalan tu, saya paksa juga diri agar ia sebati menjadi sebahagian daripada kehidupan saya…darah daging saya. Saya mula dapat rasai kelainan pada suasana hati saya.
Melihat kawan-kawan yang tak diuji dengan lelaki seperti saya, saya terfikir alangkah indahnya kalau cintaku untuk Allah ini tak pernah dicemari oleh cinta manusia. Rasa macam bodoh pulak hidup dalam angan-angan cinta, dahlah masih sekolah. Semua tu sia-sia. Buang masa dan boleh tergadai cita-cita. Sweet 17, saya ada azam baru. Saya ketepikan lelaki daripada fikiran saya. Hati saya dah tekad bahawa cinta Allah mampu mencemerlangkan akademik saya kerana Allahlah penentu segalanya. Bukan sekadar akademik, tapi cinta Allah mampu membawa kebahagiaan yang sebenar-benarnya.
Saya boleh rasakan bahawa saya amat perlukan Allah untuk
bantu saya dalam fatamorgana dunia remaja. Cinta lelaki hanya akan merampas perasaan ini terhadap Kekasih saya. Saya mula concern pada study dan habiskan masa lapang untuk mengikuti majlis-majlis ilmu kerana saya yakin bahawa tarbiyyah inilah yang mampu menyemarakkan lagi cinta saya pada Pencipta. Siang malam saya berdoa agar Allah hadirkan cinta dan rindu-Nya dalam diri saya yang kosong ni. Saya ingin jatuh cinta pada Allah. Saya dapat rasakan ketenangan jiwa yang lebih bermakna. Hinggalah result SPM diumumkan. Saya menjadi salah seorang top-ten di sekolah. Macam tak percaya! Semuanya kerana cinta Allah sebenarnya.
Saya bertambah yakin bahawa cinta Allah tidak engecewakan. Hanya bila tersemai semangat mencari cinta Allah dalam jiwa, barulah saya kenal nikmat cinta sebenarnya. Kudus dan suci. Sebab itulah di usia ini, cinta Allah tidak boleh dikongsi sesiapa. Itu prinsip saya,” panjang lebar Khazinatul Asrar menceritakan dunia remajanya yang membentuk peribadinya pada hari ini. Hijriah mendengarnya dengan penuh minat dan khusyuk, sepatah perkataan pun dia tidak menyampuk.

“Err…awak tak nak kahwin ke? Macam Rabiatul Adawiyyah…” setelah sekian lama membisu, Hijriah mula bertanya dengan muka bodoh.

Khazinatul Asrar tersenyum. Manis.
“Siapalah saya untuk sehebat Rabiatul Adawiyyah. Cintanya tiada hijab dengan Allah hingga ibadahnya memenuhi setiap saat dan detik. Sebenarnya, saya pun ada cita-cita nak melahirkan ummat Rasulullah. Saya redha jika suatu hari nanti saya perlu sandarkan cinta Allah pada seorang lelaki bernama suami. Cinta sesama manusia itu adalah fitrah kerana memang Hawa diciptakan daripada Adam dan keduanya saling memerlukan. Allah jadikan Adam dan Hawa cenderung antara satu sama lain kerana itulah fitrah cinta. Awak perlu faham bahawa saya bercakap tentang cinta dalam konteks kita yang masih belajar dan cinta Allah menuntut kita supaya cinta pada ilmu dan tanggungjawab lebih daripada cinta pada lelaki. Kita masih belum bergelar isteri, so tak perlu lagi ada cinta lelaki dalam diri. Cinta pada lelaki hanya khusus dan istimewa untuk lelaki bernama suami sahaja. Andainya kita dah saling menyukai dengan seseorang, tahanlah dulu perasaan tu untuk situasi masih belum bersedia seperti sekarang ni. Bergantunglah harapan itu pada Allah. Luahkanlah rasa cinta apabila kita dah betul-betul bersedia untuk walimah. Barulah banyak pintu syaitan tertutup. Sucinya cinta kita kalau dijaga sedemikian rapi kerana tiada unsur kelalaian dari cinta Allah. Inilah sebenarnya cinta kerana Allah. Moga-moga Allah anugerahkan pula seorang lelaki yang turut dicintai-Nya. Lelaki yang mampu membimbing kita yang lemah ni ke jalan yang lebih Allah redhai dan mampu mengemudi bahtera rumahtangga menuju ke negeri abadi,” jelasnya lagi.

“Kalau Mukhlisin tu bakal suami awak?” Hijriah membuat muka bodoh lagi.

“Apa yang awak Tanya ni? Awak masih tak faham dengan penjelasan saya?” Khazinatul Asrar buat-buat marah.

“Takkk…” balas Hijriah spontan.

“Okey, kalau dia adalah lelaki yang ditaqdirkan Allah untuk jadi suami saya, saya redha. Allah Yang Maha Bijaksana menentukan yang terbaik untuk saya. Tapi, untuk situasi sekarang ni, tak perlulah saya nak cakap I LOVE YOU ke, nak ajak dating ke,nak bagi hadiah ke, coz untuk apa semua tu? Untuk ganggu study saya? Untuk bazirkan waktu saya? Untuk tukarkan pemikiran saya dari perjuangan kepada khayalan? Untuk gelapkan hati saya? Untuk lalaikan solat saya? Untuk jauhkan saya dari Allah kerana asyik ingatkan dia? Nau’zubillah. Tahanlah dulu cinta tu sebab Islam suruh tahan pun bukannya lama sangat. Lepas kahwin nanti luahkanlah…cinta sesama insan atas nama suami isteri adalah cinta yang amat Allah redhai.
Bukannya cinta khayalan sepasang kekasih, kotor dengan tipu daya syaitan. Cinta lepas kahwin lagi bermakna! Lagipun, rumah tangga yang dibina atas dasar cinta yang terpelihara dari murka Allah insyaAllah akan lebih diberkati Allah. Permulaan yang diredhai insyaAllah akan dibalas dengan keredhaan pula. Dah faham ke Cik Hijriah? Saya dah ngantuk ni… esok kuliah awal tau, 6.30 pagi,” Khazinatul Asrar ingin bebas dari persoalan Hijriah.

“Alah..janganlah ngantuk lagi. Banyak soalan lagi ni!” Hijriah mengeluh. Khazinatul Asrar mendengus perlahan. Dia dapat menduga tentu soalan yang berkisar tentang nama itu lagi akan Hijriah utarakan.

“Asrar, kalaulah Mukhlisin….”…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: