Ada Cinta di hatinya

Aku mula memekakkan telinga. Irama-irama kata yang meluncur laju keluar dari mulut ibuku terdengar cukup sumbang. Cukup untuk membuat sepasang gegendang telingaku yang nipis menjadi semakin nipis. Dengan sekuntum senyuman yang kelat aku sabar mendengar luahan hati si ibu. Tidak berani menjawab. Belum bersedia rasanya untuk aku menjadi anak derhaka. Bimbang tiba-tiba muncul lagi orang jadi batu di awal millineum ini. Biarlah. Dengarlah dengan sabar rintihan seorang ibu. Pujukku pada hati yang sekejap dingin sekejap membara.
Sila rujuk kebawah untuk membaca keseluruhan cerpen

“Kamu dengar tak apa yang mak cakap ni, Mira?” Satu tepukan yang agak kuat singah di bahuku, membuat aku tersentak.

“Dengar mak…,” jawabku lemah. Cukup lemah dengan topik ibuku yang satu ini.

“Dengar… Kalau dengar kenapa tak jawab soalan mak?”

Aku termangu. Apa soalannya? Aku menatap wajah ibuku dengan pandangan yang amat kosong. Dan keluhan ibuku cukup menyatakan yang dia amat sedar aku sedang menipu.

“Mak… berapa kali Mira nak cakap ni? Bukan Mira tak nak. Tapi belum masanya,” ayat kususun seelok mungkin . Tidak mahu hati ibu terluka dengan kata-kataku.

“Belum masanya… belum masanya… asyik belum masanya, bila masanya nak tiba?”

Mak… apa yang anak kesayangan mak ni boleh buat kalau dah tak ada orang nak? Mak ingat nak cari boyfriend ni senang macam cari CD kat pasar malam ke? Soalan itu cuma berlegar-legar di ruang hatiku. Tidak sampai hati hendak diluahkan. Jangan sampai ada orang tahu yang kita ni tak laku… Aku tersenyum sendiri. Hai…sudah nasib badan. Dari zaman sekolah menengah hingga ke zaman belajar di universiti, dan sekarang… setelah hampir dua tahun aku mengenali alam kerja, hatiku tidak pernah diusik oleh insan yang bernama lelaki. Aku sendiri tidak tahu mengapa. Bukan aku tidak mempunyai keinginan tapi, memang tidak pernah ada lelaki yang jatuh berkenan padaku. Kenapa? Itu memang satu soalan yang killer . Lebih susah daripada soalan Matematik Tambahan yang aku jawab semasa aku mengambil SPM. Sebab sehingga ke saat ini soalan itu masih belum berjawab. Malah barangkali ibuku pun tak mampu nak jawab soalan itu. Sekali lagi bibirku mengukir senyum.

“Asyik tersenyum ni…apahal?,” mulut ibuku terus berlagu . Aku merenung lagi wajah itu. Mencari pahala tambahan.

“Mak… makin marah, makin cantiklah,” usikku ikhlas. Memang ibuku cantik orangnya. Kalau tidak manakan ayahku boleh terpaut. Ye tak? Aku tersengih panjang. Dan bertukar menjadi tawa kecil apabila ibuku mula menarik muncung, bersama satu jelingan tajam. Mendengar tawaku yang merdu barangkali, senyum mula terukir di wajah ibuku.

“Sudah… orang cakap pasal dia, pandai dia melencong ke lain,” bebel ibuku masih tidak berpuas hati dengan jawapanku tadi.

“Mak… apa lagi yang mak tak puas hati ni?”

“Mak risau tengok kau ni, Mira. Kita orang perempuan. Makin hari makin tua. Cuba tengok kawan-kawan kamu semua dah ada anak. Kamu bila lagi?”

“Jodoh diaorang awal, mak.”

“Budak ni ada saja jawapannya. Mak teringin nak menimang cucu…”

“Alaa… anak abang Long,… Kak Ngah… Kak Alang tu pun dah lebih cukup kalau mak nak timang.”

“Mak nak timang anak kamu…sebelum mak mati…”

Allah! Mak dah keluarkan ayat yang cukup kuat untuk mematahkan segala hujah yang sudah tersusun cantik di minda. Wajah ibuku sudah mula mendung sedang cuaca di luar rumah cukup cerah. Melihat wajah ibuku sudah bersarang rasa sedih membuat aku gundah.

“Mak… janganlah macam ni. Ada jodoh Mira kahwinlah…ye mak?,” aku mula memujuk .

“Kalau dah susah-susah sangat , biar mak dengan abah je yang carikan jodoh untuk kamu.”

Aku yang baru hendak bangkit dari sofa terus terduduk. Mataku bulat memandang wajah wanita di hadapanku itu . Wajah itu nampak serius. Sah! Ibuku tidak bergurau. Tiba-tiba wajahku pula yang berubah cuaca. Daripada cerah dan ceria sebentar tadi, wajahku kini berubah kelam. Cukup kelam. Walau 10 pek JC Jacinta yang kutempek di wajah saat ini aku yakin tidak akan meninggalkan apa-apa kesan .

“Mak janganlah macam ni.”

“Kalau tak macam ni, kamu nak macamana? Mak tak memilih menantu. Mana yang kamu suka dan boleh jaga kamu, itulah pilihan mak…”

“Masalahnya mak…,” kata-kataku terhenti di situ.

“Apa masalahnya?”

Aku menggeleng perlahan. Masalahnya mak, anak mak ni… memilih sangat. Inginkan lelaki yang memang sukar untuk dicapai. Ye ke? Aku rasa tak jugak. Masalah utama ialah, memang aku tak laku! Aku mengeluh perlahan. Susah untuk membuat keputusan. Beri segala tanggungjawab ini kepada ibuku? Bagaimana kalau pilihan ibuku bukan pilihanku? Itu satu masalah yang lebih besar daripada masalah yang aku hadapi sekarang. Dan… kalau aku kekal dengan pendirianku, pasti mulut ibuku tidak akan berhenti membicarakan soal jodoh. Pantang aku pulang ke kampung, isu ini akan menjadi isu paling hangat di telingaku.

“Macamana? Kamu setuju ke tidak?,”

“Mak kalau Mira tak suka dengan pilihan mak, macamana?”

“Kalau tak setuju… cari cepat-cepat,” mudah sungguh jawapan ibuku. Selamba sahaja dia mengangkat punggung berlalu dari ruang tamu, meninggalkan aku termangu mendengar keputusannya. Nampaknya jawapan ibuku sudah muktamad. Apa aku nak buat sekarang? Macamana nak cari bakal suami dalam masa terdekat ini? Kepalaku ligat mencari calon yang barangkali sesuai. Namun, hampa.*****

Mataku terkebil-kebil memandang bekas pen di mejaku. Satu, dua ,tiga. Tiga batang pen sahaja yang ada di situ. Mana sebatang lagi penku? Pen paling berharga buat aku. Pen pemberian daripada abah tersayang. Mataku melilau mencari di atas meja. Tiada. Aku pandang sekitar bilikku. Juga tiada. Segera aku terbongkok, mencari di bawah meja. Mana tahu, kalau-kalau terjatuh. Tiada. Hatiku mula merintih. Pen kesayangan aku. Nilainya begitu tinggi pada aku. Aku menyelongkar bakul sampah, takut-takut terbuang secara tidak sengaja. Tidak ada. Longgokan kertas sudah berterabur di lantai. Pen tidak juga ku temui.

“Mira…….,”

Aku berfikir–fikir sendiri. Cuba mengingat di mana aku letak pen berwarna pink yang paling aku suka itu. Gagal. Mindaku seakan tidak berfungsi.

“Mira….,” Suara yang agak keras menyentuh gegendang telingaku, membuat aku tersentak dan terduduk di lantai, berdepan dengan bakul sampah. Aku mendongak. Bertemu pandang dengan Encik Wahyudi. Senyuman manis mekar di bibir majikanku itu. Aku terkebil-kebil seketika menahan malu. Segera tanganku mencapai gumpalan-gumpalan kertas di lantai lalu dimasukkan semula ke dalam bakul sampah. Tanpa disuruh, baik pula hati Encik Wahyudi, turut sama terbongkok mengutip sampah di lantai. Terasa seperti zaman sekolah pula bila aku lewat ke sekolah, inilah denda yang menunggu. Kutip sampah. Hatiku tersenyum lucu..Cuma di hati. Bibirku kaku untuk mengukir senyuman saat itu. Selesai memungut sampah, perlahan aku bangun. Encik Wahyudi juga sudah tercegat di sisi mejaku.

“Cari apa ni?,”soalnya ramah. Memeng dia peramah orangnya . Mesra dengan semua staffnya.

“Cari pen,” jujur sahaja jawapan yang keluar dari bibirku. Mata masih melilau di meja. Manalah tahu, kalau-kalau terjumpa.

“Tuu..,” panjang muncung Encik Wahyudi ke arah bekas pen. Aku menggeleng.

“Bukan pen tu…,” ujarku perlahan. Hatiku seakan memberitahu yang majikanku itu sedang memerhatiku. Aku mendongak. Benar. . Sepasang matanya melekat kemas pada wajahku, membuat darahku berderau naik ke muka. Encik Wahyudi tersenyum. Aku turut tersenyum.Entah senyuman apa yang terukir di bibirku, aku tidak tahu.Yang nyata senyuman itu senyuman menutup gementar yang muncul di hatiku.

“Pen warna merah jambu ke?” soal Encik Wahyudi tiba-tiba. Laju aku mengangguk.

“Ya… Encik ada ambik ke?” soalku laju, bersama satu tuduhan yang langsung tidak logik. Mana mungkin Encik Wahyudi mengambil pen aku, sedang dia amat jarang masuk ke bilikku. Lelaki itu cuma tersenyum. Dia bergerak menghampiriku, membuat aku bertambah gundah. Tangannya menghala ke wajahku kemudian mengambil sesuatu yang terselit di telingaku.

“Telinga awak yang ambik,” ujar Encik Wahyudi sambil menghulurkan pen itu padaku. Cukup halus sindirannya. Maaflah Encik, bukan niat saya nak menuduh.. ujar hatiku. Aku menyambut pen itu, bersama senyuman yang cukup lebar.

“Special benar pen tu…”

“Hadiah abah saya,” ujarku sambill menghulurkan tangan sebagai isyarat mempelawa Encik Wahyudi duduk. Dalam diam hatiku sempat mengomel. Ini semua angkara kata-kata ibuku. Semua aktiviti anaknya yang seorang ini menjadi kelam kabut gara-gara saranan yang bernas dari ibu.

“Apa hal Encik? Ada apa yang boleh saya tolong?” soalku, melihat Encik Wahyudi masih tercegat di hadapanku tanpa suara.

“Oh… saya nak tengok akaun syarikat sehingga bulan lepas…”

“Oh itu… kenapa tak call je? Boleh saya hantar.”

“Dah terlanjur saya lalu depan bilik awak, apa salahnya saya datang ke sini.”

Aku tersenyum. “Encik nak sekarang ke?”

“Sekarang kan lunch hour. Saya pun nak pergi lunch ni. Lepas lunch nantiawak hantar ke bilik saya.”

Lunch hour? Aku mengerling ke arah jam di mejaku. Pukul 1 tengahari . Langsung aku tidak sedar. Ini semua kerana melayan rasa resah penangan dari ibu.

“Jom.”

Aku mendongak memandang wajah Encik Wahyudi. Jom? Ke mana?

“Ke mana, Encik?” soalku lurus.

“Ke mana lagi? Makanlah. Jom.”

“Oh… Encik pergi dulu. Saya kenyang,” balasku sambil menyimpan pen merah jambu di dalam bekas pen.

“Kenyang? Betul ni?”

Aku mengangguk bersama sekuntum senyuman manis. Encik Wahyudi menjungkit bahu.

“Well… kalau macam tu, saya pergi dulu,” ujar Encik Wahyudi sambil merenung wajahku. Aku senyum lagi dan dia turut tersenyum sebelum berlalu pergi.*****

Aku termenung panjang. Tiba-tiba teringatkan Encik Wahyudi. Teringat senyum manis Encik Wahyudi. Teringat renungan menawan Encik Wahyudi. Teringat debaran di hatiku. Pintu hatiku akhirnya telah diketuk oleh seseorang. Dan orang itu rupa-rupanya majikanku sendiri. Aku tersenyum kecil. Senang melayan perasaan sendiri. Kuch-kuch hota hai? Kuch-kuch hotak hang!

Tiba-tiba hatiku tersentak disergah suara hati sendiri. Aku tercampak ke alam realiti. Tersedar dari lamunan yang panjang. Tak usahlah kau nak perasan Mira! Kau siapa? Encik Wahyudi tu siapa? Suara hatiku bergema lagi, membuat aku kaku. Siapa aku? Jawapannya ada di depan mataku. Aku terlalu kerdil di mata Encik Wahyudi. Lelaki itu terlalu sempurna untuk digandingkan dengan aku. Aku jadi malu sendiri. Nampaknya aku terlalu mengikut perasaan. Memuja Encik Wahyudi terasa seperti memuja bintang dil angit. Tak tercapai dek tangan. Aku ditimpa perasaan kerana keramahan Encik Wahyudi yang memang peramah.

Perlahan aku pejamkan mata. Membuang jauh-jauh perasaan yang baru mahu bertenggek di ranting hati. Perlahan aku membuka mata. Dan sepasang mataku bulat memandang Encik Wahyudi bersama empat orang gadis manis di sebuah meja yang agak jauh dari mejaku. Semuanya staff yang bekerja di bawah lelaki itu. Eja, Salmah, Noni dan Laila. Pian dan Budin juga ada bersama Encik Wahyudi. Memang Encik Wahyudi peramah dan pemurah orangnya. Dia baik dengan semua orang dan aku tersalah faham dengan kabaikannya itu. Aku tersenyum sinis, menyesali kebodohan diri sendiri.

“Mira.”

Aku mendongak. Mata berlaga dengan sepasang mata yang cukup malas untuk ku pandang. Aku berpaling ke arah lain. Tanpa disuruh Halim melabuhkan punggung di hadapanku, bersama dengan lagak machonya. Sebuah senyuman manis terukir di bibirnya.

“Mak kirim salam,” ujar Halim membuat aku berasa sebal yang amat sangat.

“Mak? Mak siapa?”

“Mak abanglah.”

“Abang? Bila mak saya beranakkan awak?” soalku menyampah. Memang aku cukup menyampah dengan lelaki seorang ini. Dia cuma tersenyum manis mendengar sindiranku.

“Memang mak Mira tak lahirkan abang. Kalau mak Mira lahirkan abang, macamana nak jadi menantu dia?”

Bulat mataku menikam wajah lelaki yang pernah kupuja satu masa dulu. Tapi tidak lagi kini. Lelaki inilah yang telah memandang sepi perasaan hatiku dan menjaja kesilapanku pada teman–temannya. Kesilapanku kerana jatuh minat padanya.Sungguh memalukan. Dan, mulai saat itu aku nekad aku tak akan biarkan hatiku terus hanyut dan terlajak mencintainya. Dan kini , aku terlajak membencinya, sedang dia pula mula mendekatiku. Jangan harap! Dulu jual mahal. Padan muka.

“Kenapa pandang abang macam tu?”

Aku mengalihkan pandangan . Kita pandang bukan sebab awak handsome, kita pandang sebab terkejut… hatiku mengomel sendiri.

“Awak nak jadi menantu mak saya? Awak nak kawin dengan siapa?”

“Dengan anak bongsu dia.”

Hampir tersedak aku mendengarnya. Nasib baik saat itu aku belum sempat meneguk jus tembikai di hadapanku. Kalau tidak, pasti muka Halim basah dengan jus tembikaiku. Seleraku mati tiba-tiba. Pinggan berisi mee goreng ku tolak ke tepi. Segera aku mengangkat punggung.

“Nak ke mana tu?”

“Balik.”

“Abang hantar?”

“Tak apa. Bas banyak… teksi banyak,”

“Takkan tak sudi kot?,”

Bukan setakat tak sudi. Malah tak ingin . Tak ingin aku naik keretanya. Tak ingin aku menjadi isterinya. Mak! Kenapa dia yang mak pilih jadi bakal menantu mak?! Pilihlah Encik Wahyudi.

“Mira dah berubah sekarang…,”

Memanglah. Dulu aku bodoh. Cepat terpikat dengan orang lelaki.Tetapi, sejak aku terpikat dengan Halim dan dimalukan pula oleh lelaki itu, hatiku betul-betul tertutup untuk mendekati lelaki. Dan.. lelaki pun tidak berminat untuk mendekatiku. Kenapa? Manalah aku tahu.

“Suka hati sayalah… saya nak berubah ke… tak nak berubah ke. Apa kena mengena dengan awak?”

“Tak baik cakap macam tu dengan bakal suami tau,” sempat lagi lelaki ini bergurau.

“Hai… sejak bila pulak awak nak beristerikan budak muka tak malu ni?,” bidasku cukup sinis.

“Sejak budak muka tak malu ni, pandai jual mahal…,” balas Halim cukup selamba membuat telingaku cukup hangat dan jemariku cukup ringan. Nampaknya ada orang yang benar-benar tak sayang pipi. Tidak tunggu lama, aku terus berlalu. Kang… tak pasal-pasal pipi yang licin tak berjerawat tu, merah terkena penamparku. Tidak ubah seperti cerita Hindustan, Halim melangkah laju cuba bersaing denganku.

“Marah ke?,” soalnya lembut.

“Tak… suka …suka sangat.”

“Suka apa? Suka abang?” sempat lagi dia berjenak . Lawaklah tu. Tanganku cepat menahan teksi dan sebuah teksi berhenti betul-betul di hadapanku.

“I love you Mira,” ungkapan lembut itu singgah di telingaku, saat aku membuka pintu kereta. Tanpa berpaling terus aku melangkah masuk ke perut teksi. Sempat aku menjeling ke luar dan melihat bibir Halim bergerak tiga nada. Aku tahu apa yang disebutnya. I love you. I hate you… hatiku menjerit kuat.

“Apa dia, cik?”

“Tak ada apa-apa ,” jawabku bersama sekuntum senyuman yang memang dipaksa untuk diukir. Pemandu teksi itu terus diam.Muncungku sudah panjang sedepa. Gagang telefon masih terlekap di telingaku. Dan suara ibuku masih menyanyi-nyanyi menyentuh gegendang telinga.

“Mira…,”

Aku mengeluh . Memang dari tadi ibuku bercakap seorang diri. Aku membisu seribu bahasa. Sakit hati dengan saranan ibuku masih terasa. Hendak menjawab, tidak elok. Yang mampu ku buat hanyalah mempamerkan wajah yang cukup tak lawa. Tidak mengapa. Ibuku tak nampak wajahku yang mencuka ini.

“Mira… kamu dengar tak?”

“Dengar … mak,” cukup malas aku menjawab. Malas bercakap banyak. Bimbang ada air mata yang bertenggek di pipi.

“Dah tu kenapa diam dari tadi?”

“Mak nak Mira cakap apa lagi? Mira tak suka dia…,”

“Halim tu baik. Apa lagi yang kurang Mira?”

Aku membungkam. Kurangnya sebab dia pernah malukan saya, mak. Dia tolak cinta saya. Jerit hatiku.

“Mak yakin Halim boleh bahagiakan kamu.”

Haa… yelah tu. “Mak… Mira banyak kerja sekarang . Kita cakap lain kali ya mak.,”

“Yelah. Jangan lupa balik hari minggu ni,”

“Yelah,” jawabku sambil meletakkan gagang.Aku mengeluh panjang. Dan keluhanku menjadi semakin panjang melihat Halim tercegat di meja penyambut tetamu, bersama sekuntum senyuman yang manis. Disambut mesra pula oleh gadis penyambut tetamu.Apa yang dia buat di sini? Entah kenapa hatiku digaru resah. Tidak lama dia di situ, kemudian langkah lelaki itu laju menghala ke bilik Wahyudi.Tanpa dipinta kakiku laju melangkah keluar dari bilik.

“Siapa tu,” soalku pada Rita, gadis penyambut tetamu yang memang murah dengan senyuman.

“Encik Halim. Katanya kawan lama Encik Wahyudi. Kenapa?”

Aku tersenyum kelat sambil menggeleng perlahan. Kawan lama Wahyudi? Jadi mereka saling mengenali. Aku mengeluh perlahan.

“Kau sibuk tak?,” soal Rita tiba-tiba. Aku menggeleng.Rita tersenyum manis.

“Ganti aku kejap. Aku nak ke toilet ,” ujar gadis itu terus berlalu, meninggalkan aku tercegat di situ. Dan aku cuma mampu merenung wajah Halim yang baru melangkah keluar dari bilik Wahyudi. Lelaki itu nampak terkejut namun sekuntum senyuman terukir di bibirnya sama manis dengan senyuman yang dilemparkan pada Rita tadi. Tiba-tiba hatiku berasa sakit.Tidak tahu kenapa.

“Apa Mira buat di sini?”

“Itu urusan saya.”

Halim cuma tersenyum kecil. Dia tidak lagi bertanya.

“Mana receptionist tadi?” soal Halim selamba membuat darahku menyirap tiba-tiba.

“Hai…dah nak ajak keluar dating ke?” soalku cukup sinis.

“Itu urusan saya,” jawab Halim selamba. Aku mengetap bibir. Sakit hati mendengar kata-katanya. Halim merenung wajahku lama kemudian berbisik perlahan di telingaku.

“Mira cemburu…,”

Bulat mataku memandangnya. Baru sahaja aku ingin menjawab, Encik Wahyudi sudah keluar dari biliknya.

“Kamu dah berjumpa ya. Mira, kenalkan kawan saya di oversea dulu, Halim. Lim… ini akauntan aku, Mira.”

“Ini tunang aku…,” ujar Halim selamba membuat aku hampir tercekik. Halim sudah melampau.

“Oh… aku tak tahu pun. Sorry. Awak tak pernah cerita awak dah bertunang, Mira.”

Aku tersenyum kelat. Halim turut tersenyum.

“O.klah aku balik dulu,” ujarnya sambil menyalami tangan Wahyudi

“Mira….abang balik dulu…”

Aku menarik tangannya keluar dari pejabat, meninggalkan Wahyudi termangu-mangu. Halim mesti diajar. Dia sudah melampau.

“Bila saya bertunang dengan awak, hah?”soalku geram sambil menatap tajam wajah Halim. Halim tersenyum manis.

“Kenapa? Mira tak suka ke?”

“Tak! Saya tak suka. Awak jangan kacau saya lagi. Saya tak sukakan awak! Faham!?,” ujarku marah. Halim diam. Matanya merenung wajahku. Aku mengalihkan pandangan ke arah lain.

“Betul Mira tak sukakan abang?”soalnya cukup lembut. Aku menatap wajahnya. Renungannya membuat aku kelu seketika.

“Mira…”

“Ya. Saya tak sukakan awak.”

“Ok . Abang tak akan ganggu Mira lagi…,” Halim bersuara perlahan setelah agak lama mendiamkan diri. Perlahan juga dia melangkah pergi meninggalkan aku yang terdiam tiba-tiba.****

Aku termenung di jendela. Tiba-tiba aku teringatkan Halim. Lelaki itu tidak menggangguku lagi. Kenapa aku harus mengingatinya?

“Mira… kamu tak jumpa Halim ke?”

“Buat apa, mak?,” soalku hairan.

“Kan dia nak ke London,”

“Bila?”

“Pagi ni lah..,”

Aku mengeluh perlahan. Sudah pukul dua petang. Pasti Halim sudah berlepas ke London. Mataku menatap kosong screen tv yang dari tadi bercakap seorang diri.. Tiba-tiba isi berita yang disiarkan membuat jantung aku berdebar kencang. Tidak! Tak mungkin! Kakiku longlai tiba-tiba.

“Mak!” jeritku kuat dan selepas itu pandanganku menjadi gelap.

**********

Perlahan aku membuka mata. Aku terbaring di katil . Menoleh ke kanan ibuku bersimpuh disisiku. Kenapa aku di sini? Tiba-tiba aku teringatkan berita di tv. Pesawat yang menuju ke London terhempas. Bagaimana keadaan Halim?! Segera aku bangkit.

“Mak…. Abang Halim ….Macam mana dengan abang Halim?,” soalku tiba-tiba. Tanpa dipinta air mata melaju membasahi pipiku. Aku tidak mahu kehilangan Halim. Aku sayang kan Halim! Aku cintakan Halim!

“Mak! Macam mana dengan Abang Halim….”aku semakin mendesak melihat kebisuan ibuku.

“Bertenang Mira… Halim tak apa-apa…,”

Aku merenung wajah ibuku. Perlahan ibu mengangguk. Aku menyeka air mata. “ Betul abang Halim tak apa-apa?”

Ibuku tersenyum. Halim tercegat di ambang pintu bilikku, membuat aku tergamam. Halim tersenyum manis, sambil melangkah mendekatiku. Perlahan dia melabuhkan punggung di sebelahku. Aku merenung lama wajah lelaki itu. Hampir-hampir aku kehilangannya.

“Awak tak ke London?”

“Abanglah,” ujarnya lembut bersama sekuntum senyuman nakal. Dan baru aku sedari aku amat rindukan senyuman itu. Aku tersenyum kecil.

“Abang tak jadi pergi…sebab mak kurang sihat,” ujar Halim masih merenung wajahku.

“Saya betul –betul takut tadi….,” ujarku perlahan.

“Kenapa?”soal Halim tersenyum panjang membuat wajahku terasa membahang. Aku menggeleng perlahan.

“Sebab Mira cintakan abang,” ujar Halim tersenyum sambil diperhatikan oleh bakal ibu mertuanya. Aku tertunduk malu.

7 Respons

  1. wahhh!!..
    sweet nyerr cterr nie…
    sker sgt..

  2. aww… tesentuh i…
    good story fun 2 read
    teringat plak story dulu2
    masa first2 bercinta
    wawawawawawa malu nye…..

  3. seriauu!!

  4. bes je.baru nak gabra kalau x jual mahal

  5. Tak teruk sangat tapi best jugak……..

  6. best la….tp klu trus x lyn halim lg bgus…

  7. serius mmg lawak glr..sempat suspen la jgk.bagus2.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: