Jika

Akhirnya, kembali jua aku ke desa permai ini. Keindahannya masih sama dan asli, seperti mana aku tinggalkan 3 tahun yang lalu demi setitik ilmu Allah. Kelapa nan sebatang melambai-lambai seakan-akan menyambut kepulangannku. Bayu bertiup lembut membelai pipi yang sekian lama dielus oleh angin sejuk kota London, tempatku belajar. Kicauan beburung dan unggas seakan-akan satu temasya girang meraikan dirku.
Sila rujuk kebawah untuk membaca keseluruhan cerpen

Ah..betapa aku rindukan desa ini. Yang lebih penting, senyuman dan belaian ibu sentiasa menggamit kepulanganku. Kehangatan pelukan ibu tidak dapat menandingi apa jua. Bau masakan ibu sentiasa terawang-awang di dapur rumahku di kota London bila lebaran menjelma. Kini segalanya ada di depan mata. Anak desa ini pulang jua untuk menabur benih bakti di tanahair tercinta. Hati ini seakan-akan terpanggil untuk menikmati angin bendang. Kehijauan padi yang baru tumbuh, pepatung yang terbang dan hembusan angin yang girang menenangkan hati. Di bendang inilah segala pahit dan manis kehidupanku tercipta.

Dari jauh, kelihatan seseorang menghala ke dangau. Penglihatan ku cuba ku tajamkan. Mata ini seolah-olah tidak percaya bila berdiri di hadapanku seorang insan yang amat aku rindui. Engkaukah itu, Ameer? Demi Tuhan, kalau tidak kerana sepasang mata helangmu dan senyuman yang amat ku rindui itu, pasti dirimu tidak aku kenali. Engkau jauh berubah, badanmu yang sasa semakin kurus, kulitmu yang cerah, berubah dimamah cahaya mentari dan aku lihat matamu menyimpan sesuatu yang tidak dapat aku tafsirkan. Sekilas renunganmu, dan pujian yang kau berikan membuatkan aku tersenyum malu. Betulkah aku semakin cantik atau engkau cuba mengambil hatiku sebagaimana yang biasa engkau lakukan dahulu. Pelawaanku mempersila kau duduk kau tolak dengan hormat. Maaf, katamu, badanmu bersalut lumpur dan berkeringat. Seketika kemudian, engkau memohon diri. Aku mengangguk cuma.

Langkahmu ku soroti dengan imbasan nostalgia yang sentiasa ku simpul rapi dalam peti ingatan. Segala-galanya bermula lewat 10 tahun yang lalu bila ayah ditukarkan ke Bandaraya Bersejarah ini. Selepas mendaftar, aku termanggu-manggu keseorangan di hadapan Bilik Pengetua. Sapaan mesramu ku sambut dengan baik. Engkaulah yang membawaku ke kelas, dan kebetulan mejamu di sebelahmu kosong. Akulah peneman setia di sebelahmu dari saat itu hinggalah berakhir zaman persekolahan. Seperti seorang pemandu pelancong, engkaulah yang membawaku ke seluruh kawasan sekolah, ke kutub khanah, rumah Allah dan ke kantin. Setelah masa berlalu menghampiri waktu tamat persekolahan, barulah engkau bertanyakan namaku. Tergelak kita bersama-sama kerana lupa untuk mengenali diri masing-masing. Bila ku katakan namaku Ameera Diana, engkau seakan terperanjat kerana namamu Ameerul Hakim. Mulai hari itu, engkaulah yang melindungi diriku sehinggakan orang menyangka ada ikatan lain antara kita. Namun, hanya kita yang mengerti betapa tulus dan ikhlasnya talian kita ini.

Perkenalan dengan bonda dan ayahanda mengeratkan lagi perhubungan kita. Tiada rahsia yang tersembunyi, kita mencari ilmu, bergurau, bersedih dan bergembira bersama-sama. Kala itu, telah ada puteri yang bertapak di hatimu, Sa’adah namanya. Kepadaku kau curahkan segala rasa hatimu tentang gadis kesayanganmu itu, tentang impianmu, anganmu dan harapanmu terhadap si manis itu. Tiada secalit rasa cemburu langsung yang terbit dalam diriku mendengar ceritamu itu, malah pengharapanku panjatkan pada yang Esa supaya terkabul impianmu untuk mempersuntingkan dirinya.

Namun, tiada siapa yang tahu apa yang terkandung dalam helaian suratan. Sa’adah kembali menemui-Nya dalam satu kemalangan. Saat itu, engkau hampir gila, Meer. Tapi mujurlah semangatmu masih kental dan disertai dengan dorongan dan kasih sayang Yang Esa, engkau dapat juga melalui PMR dengan baik dan membuahkan keputusan yang cemerlang. Ketika kita berdua mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke MRSM, ada cahaya yang terpancar di wajahmu berserta dengan titisan kesyukuran.

Kejauhan dengan keluarga menyebabkan aku lebih intim dengamu. Engkaulah segala-galanya bagiku, tempat aku menumpang teduh dan kasih, kerana tiada sesiapa lagi yang boleh ku harapkan di MRSM ini. Kasihku padamu, seperti lautan tidak bertepi dan kau ku anggap seperti saudara kandung sendiri. Engkau amat mengambil berat tentang diriku. Penempatan kita di kelas yang sama sekali lagi mencetuskan pertanyan pelajar lain tentang keakraban kita.

Setelah tamat alam persekolahan, kita bekerja di bandar sementara mendapat keputusan peperiksaan SPM. Saat itu, ayahandaku yang tercinta pula meninggalkan diri ini, berdua dengan bonda. Bermula dari detik itu, engkaulah yang sentiasa berulang-alik ke rumahku, memastikan aku dan bonda selesa, membelikan barang-barang dapur dan sentiasa cuba menceriakan hati kami. Hati bonda tersentuh dengan kasih-sayang yang kau hulurkan sehingga bonda mengambilmu sebagai anak angkat. Nendamu juga nampaknya merestui ikatan kasih-sayang ini, apatah lagi engkau tidak pernah merasai nikmat kasih sayang dari keluarga sendiri yang lebih dahulu dimamah bumi.

Sedikit demi sedikit, aku sedari ada perasan baru yang menjalar dalam nadiku terhadap dirimu. Tetapi, aku sering mencantas putik itu dari fikiranku. Aku malu mengakuinya sedangkan aku tahu ianya benar. Mungkin kau juga menyedari perubahan diriku. Aku rasa segan bila berhadapan denganmu. Degupan jantungku kencang dan nafas seakan-akan tersekat. Saat kau ada di sisiku, aku merasa amat bahagia. Gilakah aku, Ameer?

Awal Februari, aku merengek minta engkau mencarikan benih bunga mawar untuk diriku sebagai hadiah hari jadi. Engkau tersenyum dengan permintaanku. Bila kau katakan engkau akan hadiahkan sireh junjung sebagai hadiahnya berserta dengan bunga rampai, aku terdiam seketika. Aku tahu ada makna tersirat di sebalik kata-katamu itu. Tapi, aku tak berani untuk bertanya lebih lanjut, dan perbualan ku ubahkan kepada perkara yang lain. Bila suria melimpahkan cahayanya pagi itu, ku dapati telah ada 2 pasu bunga mawar yang sedang berkembang di depan halamanku. Keriangan membaluti diri ini.

Di dangau itulah kali pertama kau lafazkan kata sayang kepadaku. Katamu, perasaan itu tak dapat kau sorokan lagi. Ia seolah-olah lalang, makin dipotong, ia lebih lebat meninggi. Terasa panas wajahku bila kata-kata itu kau lafazkan. Aku juga tak dapat menghalang lagi rasa cinta yang menjalar dan melilit tangkai hatiku terhadap dirimu.

Sejak itu, kita lalui hari-hari ini dengan cahaya kebahagiaan. Keputusan peperiksaan membawa berita tentang masa depan yang lebih bercahaya. Berkat usaha kita, menara gading menjemput kita menimba ilmu. Kali ini, kita terpaksa berpisah, Meer. Engkau akan pergi ke UTM di selatan sana dan aku pula ke ITM di bandar metropolitan.

Kejauhan membuahkan kerinduan, kejauhan mengajar kita erti kesetiaan. Helaian demi helaian bertukar tangan, disertai dengan madah-madah cinta kita yang sering mendambakan pertemuan. Kedatangan musim cuti tidak kita lepaskan untuk bertemu muka.

Desa kita kemudiannya dikunjungi seorang guru muda yang telah banyak membawa perubahan. Salah satu pembaharuan yang dibawanya ialah mengadakan kelas tuisyen untuk putera-puteri kampung kita secara percuma. Balai raya yang disediakan kerajaan digunakan sebagai pusat mencurahkan ilmu. Kebetulan, aku sedang bercuti ketika itu, dan tenagaku untuk mengajar bahasa Inggeris amat diperlukan. Dengan rasa bangga bercampur terharu aku menerima pelawaan tersebut. Tugas membuatkan aku rapat dengan guru muda itu yang membahasakan dirinya sebagai Abang Sham. Bibit-bibit cemburu mula bersarang dalam hatimu. Ah.. engkau terlalu berprasangka, Meer. Masakan aku ada hubungan dengan Abang Sham itu.

Hari itu, seperti biasa, aku ke balai raya mencurahkan baktiku. Setelah ilmu yang dimiliki di kongsi bersama, putera-puteri harapan bangsa melangkah pulang. Kala itu, hanya aku dan Abang Sham saja yang tinggal. Hembusan angin yang agak garang menerobos tiba-tiba melalui dedaun tingkap. Berkejar kami berdua untuk mengutip kertas-kertas yang bertaburan. Ketika itulah engkau masuk, Meer. Demi melihat kami berdua, engkau terus berlalu sambil menendang pintu tanpa bercakap sepatahpun. Kenapa dengan dirimu, Meer?

Peristiwa tempoh hari mengusutkan fikiranku. Puas aku memujukmu, tapi kau enggan bertemu denganku. Abang Sham, dengan rasa bertanggungjawab dan penuh kelakian menjejakimu di rumah dan menerangkan perkara yang sebenar. Walaupun kebenaran telah engkau ketahui, kau tidak langsung meminta kemaafan dariku. Tapi, tidak sedikit pun aku berkecil hati, bagiku, kedatanganmu ke rumah petang itu membuktikan yang engkau tidak marah lagi padaku.

Bila aku melangkah ke tahun kedua, diriku semakin dicemburui masa. Aku terlalu sibuk diuliti tugasan, ilmu dan persatuan. Masa yang ada harus aku peruntukan sebaik-baiknya. Mungkin juga silapku, aku agak lambat membalas warkah-warkahmu dan kedatangan helaian surat dariku kepadamu juga agak jarang diutus. Engkau mula menyangka yang bukan-bukan terhadapku. Katamu, aku sudah beralih pandang pada jejaka-jejaka kota yang lebih hebat darimu. Kelemahanku mula kau cari dan kelemahanmu juga kau jadikan alasan.

Tanpa pengetahuanku, engkau telah menjejakkan kaki ke Bandar Anggerik ini bersama temanmu. Sumpah, Meer, aku benar-benar tidak nampak dirimu ketika berada di Kafe Budisiswa itu. Ketika itu, aku sedang makan dengan rakan setugasku untuk subjek Mooting, Fidayatul Naim. Kemudian, kau juga nampak kami berdua naik kereta bersama-sama. Meer, kalaulah engkau ikut bersama-sama, pasti engkau tahu arah tujuan kami. Kami ke Perpustakaan Negara, Meer.

Mengeluh aku bila temanmu yang sekampung dengan kita menceritakan betapa marahnya engkau padaku hinggakan sutera biru yang kau belikan untukku kau campakkan jauh di bawah katil. Puas aku mendail telefon bimbit rakanmu dan merayu untuk berbicara denganmu, tetapi engkau enggan bersuara dengaku. Surat-surat yang ku beri tidak lagi mendapat balasan. Cuti semester memberikan peluang untuk aku bersemuka denganmu dan memberitahu cerita yang sebenar. Dangau di sawah itu juga yang menjadi saksinya. Malangnya, engkau tidak mahu menerima alasanku. Patutlah aku jarang menulis surat padamu, rupa-rupanya aku berubah kasih, itulah katamu padaku. Kemudian, kau mula menimbulkan berbagai-bagai alasan. Kononnya, lumpur yang terpalit di badanmu dan keringat yang mengalir di tubuhmu menyebabkan aku jijik melihatmu. Harta dunia yang tidak kau miliki juga menyebabkan kau mengatakan aku perempuan materialistik yang memilih lelaki kerana hartanya.

Engkau silap Meer. Kerana kehalusan budi-bahasamu itulah aku jatuh cinta padamu. Disebabkan oleh perhatianmu dan sikap ambil beratmu itulah aku sayang padamu. Soroton matamu dan manis senyummu itulah yang menyebabkan kerinduan menjerat diri bila kau tidak aku ketemui. Sedih sungguh aku mendengar tuduhanmu itu, Meer. Tidak ku sangka seorang bakal jurutera mempunyai fikiran sesempit dirimu. Sangkaku, percampuran di menara gading akan mematangkan dirimu, tapi aku silap. Bagaimana engkau akan berhadapan dengan dunia andainya perkara seremeh inipun tak dapat kau tangani.

Cemburumu meledak bila aku dipinang oleh Abang Shariman, peguam muda dan anak Ketua Kampung. Meer, pinangannya ku tolak dengan baik. Masakan aku sanggup menerima pinangan dari orang lain sedangkan dalam hatiku ini hanya terpahat namamu saja. Entah syaitan mana yang merasukmu hinggakan kau mahu talian kasih yang kita bina sekian lama ini diputuskan. Sudah lupakah engkau pada janji-janji yang kita sulamkan bersama, tidak ingatkah kau pada mimpi-mimpi yang kita lakarkan berdua? Mana ikrarmu untuk bersama dengan diriku hingga akhir nanti?

Aku cuba memujukmu dan mengatakan aku amat menyayangimu, dan jika kau mahu aku menjadi milikmu, aku sedia mendirikan mahligai sekarang. Tapi, kau menolak. Katamu, kau masih lagi belum bersedia. Waktu menyaksikan penderitaan yang aku alami setelah perpisahan itu. Teman-teman menasihatiku supaya melupakanmu, tapi semakin kuat aku cuba untuk melupakanmu, semakin kuat akar ingatan itu mencengkam segenap sarafku.

Aku rindukan kau dan aku tahu kau juga masih rindukan aku, sayangkan aku dan yang penting kau masih lagi mencintaiku. Menurut bonda, engkau semakin kurus dan mukamu cengkung, kau juga tak pernah lupa bertanyakan keadaan diriku setiap kali kau menjenguk bonda, engkau juga sering merenung gambarku bila album diselak. Mengapa engkau terlalu ego untuk meminta kemaafan kepadaku? Sungguh Meer, jika kau menemuiku dan meminta kemaafan, pasti dirimu ku sambut bagaikan putera.

Dalam diam, ku akui yang aku masih lagi menaruh harapan yang engkau akan bersama-samaku semula. Alhamdulillah, berkat kesungguhanku, akhirnya berjaya juga aku menamatkan pengajianku dalam bidang undang-undang ini. Semenjak engkau bekerja, jarang sekali kau menjenguk bonda. Dia rindukan engkau, sering si ibu tua itu bertanya tentang dirimu padaku. Apa yang harus aku katakan?

Aku sudah puas berendam air mata mengingati dirimu. Adakah kau telah lupakan kami, Meer? Harapanku untuk melihat kita bergembira bersama semula bagai sehelai kapas yang melayang bila nendamu datang membawa perkhabaran yang kau akan membina mahligai dengan gadis sepejabatmu. Geram? Sedih? Kecewa? Marah? Entahlah, tak dapat aku gambarkan perasaanku ketika itu. Kolam air mata telah kemarau bila kau tutup hatimu untukku.

Ketika kita bertemu di dangau itu, kau menunjukkan muka yang selamba. Bila aku menyuruh engkau merenung mataku dan menyatakan yang cintamu tiada lagi buatku, kau tidak dapat melakukannya. Matamu berkaca saat aku lafazkan yang aku masih menyayangi dirimu. Tapi, kau tetap tidak mahu mengakui kebenaran yang engkau sendiri tahu. Katamu, gadis pilihnmu itu lebih baik dari aku yang telah bergelumang dengan nista dan dusta. Cukuplah semuanya, katamu dan kau meninggalkan aku yang tenggelam dalam sendu bila kau katakan kau tidak mahu melihat diriku di hari persandinganmu, kau tak mahu majlismu rosak dengan kehadiranku. Sampai hatimu, Meer.

Peluang untuk melanjutkan pelajaran ke seberang laut tidak aku lepaskan. Aku sudah bosan dengan masalah dan kenangan denganmu yang melilit diriku. Tentang bonda, usahlah kau risau, anak angkat bonda akan datang untuk menjaganya. Selamat tinggal, Meer. Aku doakan kau bahagia hingga ke akhir hayat.

Surat dan telefon menjadi penyambung kasih antara aku dan bonda nun di desa. Kata bonda, mahligai yang kau bina hancur di usia setahun. Kata bonda lagi, kau sering membandingkan isterimu dengan diriku. Bila dia memasak, kau katakan masakannya tidak sesedap hasil tanganku, bila dia berpakaian, kau katakan warna itu tidak sesuai dan hanya cantik dipakai olehku dan macam-macam lagi. Perempuan manalah yang sanggup dibandingkan dengan perempuan lain setiap hari, lebih-lebih lagi oleh suami sendiri. Kau terlalu kejam, kau menghukum insan yang tidak berdosa itu kerana dendammu pada diriku. Natijahnya mungkin tidak kau terima sekarang, tapi ingatlah, Meer… sesungguhya hari pembalasan itu milik yang Esa!

Saat bonda nyatakan yang aku akan pulang, engkaulah orang yang paling gembira. Penuh halaman rumah kau tanamkan dengan mawar kegemaranku. Kau mengecat rumah, membelikan kain untuk bonda dan bermacam-macam lagi. Saban detik, kau menghitung hari kepulanganku.

Cahaya merah yang mula memenuhi alam menyedarkan aku dari lamunan. Terlalu jauh aku bawa diriku, menyelak dan menerjah semula ke memori usang kita berdua. Engkau kini rajin ke rumahku.. Seakan-akan ada makna yang tersembunyi di sebalik setiap kedatanganmu ke teratak burukku itu.

Tiap kali kau hadir, kau cuba mengajak aku kembali ke zaman silam, di kala kau dan aku hanyut bersama dalam alam percintaan. Ada kalanya kau berkias, menyatakan kau sunyi tanpaku dan kau mahu aku mengisi kesunyian itu. Sedangkan Nabi ampunkan umat, inikan pula aku yang kau tahu memang tidak pernah berdendam dengan sesiapapun. Apa sebenarnya yang kau mahu?

Pelawaanmu ke dangau petang itu tidak ku tolak. Hembusan angin dan kicauan beburung menyambut kehadiran kita. Padi yang menguning emas melambai-lambai ditiup angin. Satu demi satu lembaran memori ketika kita bersama-sama dulu kau lerai dari ikatan. Aku hanya menjadi pendengar. Sesungguhnya, memori itu sentiasa dan masih lagi tersimpan kukuh dalam ingatanku. Sejurus kemudian, kau berhenti dan meminta aku memandang wajahmu. Perlahan-lahan kau keluarkan sebuah kotak baldu kecil berwarna merah dari kocekmu, kau buka dan kau suakan kepadaku. Terkesima aku seketika, kelu lidahku untuk berkata-kata. Kau pandang wajahku, dan kau renung mataku. Ada cahaya keemasan di matamu ketika kau ucapkan kata-kata kemaafan pada diriku. Ada getar dalam suaramu ketika nyatakan sesalan yang amat sangat di atas kelakuanmu padaku dahulu. Kau mahu menebus kesilapan lalu dengan menyunting aku sebagai ratu hidupmu…tanpa ku, dunia ini tidak bermakna…itu kata penutupmu. Ku pandang sekilas ke arah cincin itu, dan kemudian kepadamu. Segaris senyuman terukir di bibirku… Ku lihat kau juga tersenyum..

Tapi, maaf, Meer. Senyuman ini bukan untukmu! Senyuman ini untuk tunangku, Zamree Iskandar yang sedang meniti batas di belakangmu. Bingkas aku bangun dan mendapatkannya, lantas mengucup tangannya. Ketika aku kenalkan tunang ku itu kepadamu, tiada kata-kata yang kau lafazkan.. Kaku badanmu, dan pucat wajahmu. Seketika kemudian, kita bertiga diselimuti kesepian. Kau lantas meminta diri, katamu banyak kerja yang belum kau selesaikan. Tanpa menoleh lagi, kau tingglkan kami berdua. Terluka kah engkau, Meer?

Abang Zamree aku kenali ketika sama-sama menuntut di luar negara. Dia 3 tahun lebih tua dariku. Ketika diri ini hampir lumpuh dan tumbang disebabkan luka yang kau toreh, dia sentiasa di sisiku, memberi semangat, perangsang dan perlindungan. Aku merana, terseksa dan kesakitan. Mujurlah Allah utuskan lelaki itu untuk merawat lukaku.

Sememangnya, bukan mudah untuk aku melupakan dirimu….Tapi, kau sendiri yang memberikan racun utuk aku matikan dedaun kasih, bebunga sayang dan akar-akar cinta yang membelit dan membenam setiap urat-sarafku.. Sikapmu membuatkan aku tawar hati padamu.. Hari ini hari persandinganku.. hari ini bermakna segala-galanya adalah nokhtah antara kita berdua. Akan aku buangkan jauh memori yang kita ciptakan berdua.

Jika kau cepat mengakui kesilapanmu, pasti aku akan memaafkanmu. Jika kau nyatakan cintamu tak akan berbelah bahagi pada ku, pasti aku masih lagi milikmu. Jika tidak kerana egomu, pasti kita masih lagi bersama. Jika… jika.. ah!! Terlalu banyak kemungkinan yang akan berlaku jika perkara ini tidak terjadi. Cukuplah sampai di sini, paluan kompang telah kedengaran di luar sana. Maaf Meer… fikirkanlah….. hanyalah JIKA….

5 Respons

  1. warghhhh..tersentuh hatiku..huhuhu

  2. jika ianya tidak terjadi…

  3. wow…mcm ader pengalaman je..anything itis a hapening story good job love 2 read it

    love rubybaby

  4. kenapa aku rasa cam kena kat btg idung aku je ni..uhuk..

  5. touching giler…xpe…this is what people say “ada hikmah disebaliknyer”..hehe

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: