Alamak … Dia Lagi! 2

“Assalamualaikum. Boleh saya duduk di sini?” soal seorang pelajar lelaki yang pada telahanku mungkin pelajar baru di sekolahku kerana sebelum ini aku tak pernah melihatnya.

“Waalaikumsalamwarahmatullah. Boleh, duduklah,” jawabku seraya berpaling ke arah padang kerana pada saat itu keadaan di kantin amatlah lengang daripada keriuhan manusia. Aku tak mahu dikatakan yang bukan-bukan, lebih-lebih lagi oleh guru-guru sekolahku.

Ternyata aku begitu berhati-hati dengan insan yang bergelar lelaki ni. Bukanlah aku nak jual mahal, tetapi keluargaku telah mendidikku supaya mewujudkan batasan di antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim.

“Nama saya Rahazman b. Abdurrahman, panggil Hazman je. Saya pelajar baru di sekolah ni. Baru seminggu saya pindah ke sini.Boleh saya tahu nama awak?” tanya pelajar baru itu untuk memulakan perbualan setelah menyedari keadaan agak kaku ketika itu.

“Oh, Hazman. Nama saya Raihana, panggil Hana je,” ujarku sedikit terketar-ketar. Yelah, kalau bab-bab lelaki ni memang terus hilang sikap brutal, kalau pasal lain aku main taram aje semuanya! Rock beb! Tapi, rock pun rock juga, macam mana nama bapa dia boleh sama dengan nama bapa aku?

Setelah setengah jam kami berbual atau dalam kata lain, aku mendengar dia bercakap barulah aku tahu yang budak baru ni rupa-rupanya sekelas dengan aku! Aku manalah perasan kewujudan dia dalam kelas aku tu, sebab dia duduk di barisan belakang!

“Hoi Hana, kau dah habis practise ke? Aku dah selesai ni,” sanggah Ila tak semena-mena. Terkejut aku dibuatnya.

“Amboi, amboi cik kak kita ni! Main hoi je yek? Aku dah habis practise tadi lagi, kau ni apahal la lambat sangat? Hampir tinggal tulang aku dibuatnya menunggu kau ni,” susulku sebaik sahaja Ila menghabiskan ayatnya tadi.

“Ala, kau ni Hana. Macam la tak kenal aku lagi. Selagi tekak aku ni tak rasa kemarau, selagi tu la aku main!” seloroh Ila sambil mencapai botol air mineralku yang betul-betul terletak depan muka pelajar baru yang bernama Hazman tu.

“Oopss… maaf. Tak perasan pula ada orang kat sini,” kata Ila sambil menarik kerusi untuk duduk di sebelahku. Tangannya pantas memasukkan peralatan sukan ke dalam beg galasnya sebaik sahaja selesai meneguk air. Aku lantas mengajak Ila pulang apabila melihatkan jarum pendek jamku sudah tercacak pada angka enam petang. Ya Allah, dah petang la! Ni semua kerja si Ila, tak pernahnya nak puas kalau training basketball. Penyudahnya aku la yang kena tunggu!

“Ila, cepatlah sikit kemas tu. Dah pukul enam lebih ni, kau tu belum solat Asar lagi. Karang tak pasal-pasal kena qada’ pula angkara hal duniawi ni,” bisikku perlahan agar tak didengari oleh seorang insan yang masih lagi tercongok di hadapan kami berdua.

“Baiklah ustazah. Jom kita balik,” sahut Ila seraya memautkan lengannya ke bahuku.

Kasihan pula aku tengok Hazman tu. Terkial-kial jugak nampaknya. Aku dengan Ila main jalan je, tak sempat pun nak ucap bye. Apa boleh buat, yang wajib perlu diutamakan. Tergaru-garu kepala juga dia dengan karenah si Ila tu.

“Kau ni apasal Ila? Tertoleh-toleh, terpusing-pusing ke belakang, dah tersangkut la tu kat mamat tadi! Buatnya teleng kepala kau tu siapa nak jawab?” soalku pada Ila bila aku lihat dia tak putus-putus memandang ke arah tempat duduk kami tadi.

“Ada pula aku tersangkut dengan si Hazman tu! Sebenarnya…, sebenarnya…,” tergagap juga kawan aku tu dibuatnya bila nak menceritakan perkara yang sebenar pada aku.

“Dah gagap pula? Cakap ajelah Ila, aku sentiasa menjadi pendengar kau yang setia. Takyahlah kau nak malu-malu ngan aku ni,” ucapku pula bila Ila dah seakan malu untuk menceritakan hal itu.

“Aku sebenarnya… bukan minat dekat Hazman tu, tapi kawan baik dia yang duduk kat sebelah dia dalam kelas kita tu! Nama dia Izwanshah. Budak tu pun baru pindah ke sekolah kita ni dengan Hazman minggu lepas,” jawab Ila setelah menarik nafas panjang.

Aku pun melihat sekali lalu ke belakang untuk melihat siapakah insan bertuah yang dimaksudkan oleh Ila tadi. Sememangnya ada manusia lain di sebelah Hazman, mungkin dialah gerangannya yang bernama Izwanshah tu. Apa la sahabat aku seorang ni, hal yang gempaq macam tu pun tak nak cerita kat aku!

“Kau ni kan kalau aku desak kau cakap, baru kau nak bagitau aku! Perkara sebegini best pun nak rahsiakan daripada aku. Kau tak payahlah nak sorok apa-apa daripada aku ni, Ilawaheena bt. Ilhamshah. Aku dah lama kenal kau, bukannya baru semalam. Whatever it is, aku sentiasa happy untuk kau,” sambutku selepas itu.Tersipu-sipu pula si Ila ni lepas aku cakap macam tu!

“Oklah, Ila. Aku doakan kau sentiasa berjaya dalam apa juga yang kau buat asalkan tak melanggar syariat Islam, itu yang mustahak. Lagipun, kaulah satu-satunya kawan baik aku yang faham dengan perangai aku yang pelik ni,” pesanku kepada sahabat baikku itu.

“Insya-Allah. Thanks a lot, Hana! You’re my true friend. Aku dah tak tahu nak cakap apa lagi. Sememangnya kaulah satu-satunya sahabat yang boleh aku harapkan. Kalaulah aku ada pakwe nanti, kau tetap menjadi yang pertama di hati aku. Kasih sahabat tak dapat ditukar dengan emas yang paling tinggi nilainya di dunia ni sekalipun,” balasnya sambil memelukku tanda kasih seorang sahabat yang tiada penghujungnya…

“Dah la tu, aku pun macam kau juga. Tiada siapa yang boleh runtuhkan benteng persahabatan kita yang berlandaskan hati yang ikhlas ni. Tapi, sebelum tu aku nak minta maaf buat pertama kalinya dalam hidup aku ni pada kau sebab hari ni kau kena balik seorang. Aku terlupa yang mak aku pesan suruh beli barang dapur tadi. Dibuatnya aku tak beli, maunya mak aku tu membebel sampai ke subuh hari. Kau bukannya tak tahu fiil mak aku tu. Kau pun tak boleh temankan aku sebab kau belum solat lagi kan?” seringaiku tak lama kemudian.

“Tak apa! Kau pergilah kedai tu, jangan tercicir pula barang yang nak dibeli! Aku nak balik solat dulu sebelum kau mula bagi syarahan kat aku macam tadi. Aku balik dulu yek? Assalamualaikum,” kata Ila sambil berlalu apabila tiba di persimpangan Jalan Rahmat yang memisahkan kawasan perumahan kami dengan deretan kedai runcit.

“Waalaikumussalamwarahmatullah, jalan tu elok-elok sikit. Janganlah vogue sangat! Kalau jatuh, bangunlah sendiri tau,” laungku lantang! Lantas tanganku cepat-cepat mengeluarkan senarai barang-barang dapur yang mak aku pesan. Masya-Allah! Panjangnya list ni. Mak ni pun, kalau memesan barang mesti listnya panjang meleret! Ooo…lupa pula, bulan Ramadhan dah nak datang lagi, mestilah stok banyak-banyak kan? Weh, puasa tahun lepas ada dua hari lagi belum ganti. Habislah aku kalau mak aku tahu, tak pasal-pasal aku pula yang kena ceramah dengan dia!

Kakiku terus melangkah menuju ke kedai. Mataku masih leka memerhatikan senarai barang-barang yang panjang berjela-jela tu. Kotak fikiranku ligat memikirkan pelbagai perkara yang belum selesai termasuklah homework yang berlambak tunggu masa untuk dihantar ke meja cikgu-cikgu yang bertanggungjawab.

Sedang tanganku leka menyeluk poket untuk memastikan duit untuk digunakan buat bayar harga barang-barang tu nanti mencukupi, tanpa disedari, Gedebush! Ya Allah, sakitnya. Hah, padan muka aku! Tadi punyalah nasihat Ila suruh jalan elok-elok, sekarang ni dah macam backfires pula nasihat aku tu. Ni lagi satu, siapalah tuan punya basikal yang ‘baik hati’ sangat park basikal depan muka pintu kedai ni? Macamlah dah tak ada tempat lain nak letak. Dah tu, bukannya nak tongkat betul-betul. Aku pula jadi mangsa yang keadaan.

Nadaku semakin meninggi melihatkan kakiku yang berdarah, walhal lukanya tak sampai pun satu sentimeter! Punya meleret aku membebel, tak ada seorang manusia pun yang datang nak tolong aku! Bila dah keadaan berterusan begitu, aku pun bangunlah.

Sambil menggulung kertas senarai barang-barang yang dah remuk akibat ‘accident’ tadi, aku terus menonong masuk ke dalam kedai runcit tu. Tak semena-mena, mataku tertancap ke arah sesusuk tubuh yang baru sahaja tadi aku jumpa. Alamak, dia lagi! Aah, buat tak tahu jelah…

Sedang aku memilih barang-barang dapur yang mak aku pesan, tiba-tiba ada satu suara dari belakang yang minta maaf. Aiik, pelik juga. Siapalah yang berhati mulia ni, belum kenal muka pun dah nak minta maaf! Aku yang selalu buat silap ni pun perit nak minta maaf dengan orang.

“Eh, awak Hazman!” kataku sedikit terkejut. Aduh, boleh pula dia trace aku kat mana! Dalam hati ni, Tuhan ajelah yang tahu.

“Macam mana awak boleh ada kat sini? Datang naik apa? Cari apa kat sini?” soalku bertubi-tubi lantaran terkena kejutan elektrik tadi. Baru je tadi aku nampak dia di bahagian alatulis, sekarang dah ada depan aku pula. Dia pula dengan selambanya menjawab soalan aku tadi seolah-olah tak menyedari yang muka aku ni dah pucat semacam! Jika ditoreh dengan pisau pun, confirm tak ada darah pun yang akan menitik. Terkejut punya pasal beb! Dan… jawapan dia adalah yang paling best untuk kita semua dengar…

“Saya datang nak beli test pad dengan basikal yang awak terlanggar tadi, tulah sebabnya saya sampai dulu,” jawabnya tak pakai satu noktah pun!

“Oh, ye ke?” Itu jelah patah perkataan yang keluar dari mulut aku untuk jawapannya yang serba lengkap tadi. Apa aku boleh buat, aku ni bukannya cerdik dalam perihal nak menyusun ayat elok-elok! Bila aje kena jawab soalan tatabahasa, akulah insan yang paling lambat, merangkap insan terakhir menghantar tugasan tu. Kalau tak kena gaya, mengamuklah Cikgu Aznah aku tu! Hairan bin ajaib juga aku dibuatnya, bila time exam, dapat pula aku jawab dengan flying colours lagi!

Sebermula dari waktu itu, aku dan Hazman berkawan rapat. Lagipun, dia anggap aku ni macam kawan lelaki dia je. Mana taknya, aku sikit punya brutal. Kalau berbual tak wujud ‘saya’ ‘awak’ lagi seperti mula-mula nak berkenalan dulu, sekarang ni ‘aku’ ‘kau’ je! Boleh katakan, semua rahsia dia ada dalam genggaman tangan aku je! Aku agaklah, dia memang percayakan aku.

Pada suatu hari tu, aku macam biasalah duduk lepak di kantin sekolah. Dengan siapa lagi kalau bukan Hazman, yelah,kononnya dah jadi kawan baik! Si Ila pula, entah hilang ke lubuk mana aku pun tak tahu. Lama juga kami berbual, entah apa-apa cerita yang keluar pun aku tak pasti. Yang paling aku pasti, dialah yang banyak bercakap terutamanya pasal sekolah lama dia. Pada pandangan aku secara rambang tentang Hazman ni, dia pandai juga buat lawak bodoh. Akulah yang jadi tukang gelak sampai berair-air mata aku ni!

Bila tekak kami berdua dah mula kering, masing-masing mencari minuman. Selang beberapa lama selepas itu, dua gelas milo ais dah pun sampai di depan aku, nasiblah budak Hazman tu rajin, tak payah aku bergerak ke kaunter di kantin tu. Syok gila aku bercerita, sambil-sambil tu terselitlah actions and sound effectsnya sekali. Tak pula aku sangka actions yang aku selitkan tu telah mencipta suatu cerita kelakar yang takkan aku lupa sampai bila-bila.

“Ya Rabbi, kau ni apahal Hana? Habis basah kuyup seluar aku!” pekik Hazman lalu terus berdiri apabila melihatkan seluarnya yang telah terbanjir! Itulah dia angkara kedurjanaan tanganku yang teramat ‘aktif’ ni! Dia nak marah aku pun tak boleh juga, dia bukannya nak mengelak masa gelas milo ais tu dah bergoyang nak terbalik! Penyudahnya, kami sama-sama tergelak. Apa nak buat, aku dan Hazman sama-sama brutal!

“Eh Hana,boleh aku tanya kau satu soalan?” soalnya tiba-tiba setelah ketawa kami kembali reda.

“Boleh, apa salahnya,” serius lain macam je bunyinya budak ni. Adakah dia nak meluahkan perasaan dia pada aku? Ceh…jangan perasan le minah brutal, macamlah ada umat manusia di dunia ni yang berkenan dengan insan yang serba kekurangan ni!

“Budak yang selalu berkepit dengan kau tu nama dia Ilawaheena kan?” tuturnya lambat-lambat.

“Yup, memang namanya dia Ilawaheena binti Ilhamshah,” bibirku lantas mengulas senyuman yang hanya aku dan Yang Maha Esa sahaja yang tahu apa maknanya.

“Dia best friend kau kan?”dahinya agak berkerut untuk melontarkan soalan yang satu itu. Mana tak berkerutnya, soalan yang penuh dengan makna disebaliknya!

“Yelah, dah dekat sepuluh tahun aku kenal dengan dia ni. Satu keluarga dia aku dah kenal,” balasku masih dengan senyuman yang sama seperti tadi.

“Ila tu salah seorang wakil daerah untuk team bola keranjang sekolah kita kan?” sambungnya lagi setelah menarik nafas yang agak panjang!

“Hai, takkan kau tak tau kot. Dia tu atlet harapan sekolah kita tau!” sergahku seraya menepuk meja di kantin tu. Ni memang dah sahlah si Hazman ni berminat dengan best friend aku yang cun seorang tu! Tersentak juga mamat depan aku ni dek aksi aku yang tak terjangka tadi!

“Eh, kau ni tadi kata nak tanya satu soalan. Sekarang ni dah jadi tiga soalan nampaknya,” hujahku padanya apabila aku dapati dia seakan hendak membuka mulut untuk bertanya lagi. Aku bukannya nak cemburu, tapi biarlah gentleman sikit. Nampak sangat macam nak tahu pasal Ila tapi pura-pura malu konon!

“Ops, sorry la ye, tak perasan pula dah jadi tiga soalan,” ucapnya tersenyum kambing. Ha… kan aku dah kata tadi, dia memang nak siasat pasal si Ila! Apa dia ingat dia pandai nak kelentong aku? Aku lagi pantas nak kesan taktik lama dia tu. Padan muka!

Kalau dia cakap betul-betul sedari awal yang dia nak tanya aku pasal Ila, boleh aku cerita biodata dia sekali. Ni kononnya nak tanya satu soalan je, tup tup jadi tiga! Kalau aku tak buat ‘benteng’ tadi, maunya sepuluh soalan yang dia nak ajukan pada aku. Dua jam lepas tu, aku pun melilau untuk mencari kelibat Ila yang dah ghaib entah ke mana. Bila dah sedar keadaan di kantin semakin lengang, aku mulalah nak jadi menggelabah.

“Woi, Hazman, jomlah masuk kelas. Orang dah tak ada kat kantin ni, karang kena marah dengan cikgu baru tau! Kau ni kalau dah start buat lawak antarabangsa kau tu terus tak ingat dunia. Eh, jomlah cepat! Aku takut nama kita blacklist lak sebab ponteng kelas,” getusku dengan nada cemas. Aku mula gelisah bila Hazman tak menunjukkan reaksi yang dia akan bangun dari kerusinya itu.

“Apalah kau ni Hana, hari ni kan hari Sabtu! Kau dah nyanyuk ke hilang ingatan ni?” soalnya agak kasar pada pendengaranku walaupun air mukanya masih seperti tadi dan ketawanya masih lagi bersisa. Hati aku yang selama berjam-jam asyik diselangi dengan cerita-cerita jenaka terus hilang keceriaannya serta-merta.

Tak semena-mena, ada takungan jernih yang mengambil tempat di pelupuk mataku. Ya Allah, janganlah biarkan ia tumpah di hadapan insan yang telah lama bertahta di hatiku ini! Aku tak mahu dia merasakan dirinya bersalah atas kekasarannya denganku sebentar tadi. Namun, semuanya sudah terlambat, ia telahpun gugur menyembah bumi tanpa sempat aku berpaling ke arah lain. Raut wajahnya serta-merta berubah lantaran melihatkan butiran jernih yang tumpah dari kelopak mataku. Sejurus kemudian, aku pun melangkah pergi tanpa sepatah kata pun yang keluar dari mulutku…

2 Respons

  1. tringat kat kisah lama..ngatkan brutal giler..tp klu dah girl 2,mmg girl jela.huhu..-nur-

  2. lo0rr..nape dier ngis..ckp cm2 pown ngis ke..adey..kte brutal,rock..huhu

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: