Alamak … Dia Lagi! 4

Sehingga ke dinihari, mataku masih belum mahu lelap-lelap juga. Entah mengapa, malam yang seringkali kurasakan begitu pendek seakan segan-segan untuk bergerak. Ia menjadi panjang dan begitu sunyi sekali. Hanya desiran angin malam yang berhembusan yang menemaniku malam itu. Berita yang kuterima daripada Ila sebentar tadi benar-benar menyusuk ke jiwa. Perihal Hazman yang masih dan tetap mahu mencari dan menemuiku itu menyebabkan begitu sukar untuk aku menenangkan mental ini. Segala kepenatan yang kudambakan sebentar tadi telah terbang menghilang entah ke mana. Yang ada cuma kegusaran dan perasaan yang tidak pasti. Semuanya bercampur baur menjadi satu…

“Ya Rabbi, dah pukul tujuh pagi. Teruklah aku macam ni, apa aku nak jawab pada boss aku ni? Dahlah Subuh pun terlepas!” Pagi itu sungguh membuatkanku menjadi kelam-kabut. Ditambah pula dengan kepalaku yang telah sedia berserabut sejak semalam. Sungguh aku tak menyangka bahawa perkara yang satu itu telah membuatkan hidupku pada hari ini menjadi serba tidak kena. Ya Allah, bantulah hamba Mu yang kerdil ini dalam mengharungi cabaran yang bakal tiba hari ini.

Setibanya aku di pejabat, aku dapati ruang legar pejabat masih lagi kosong dan sunyi daripada staf-staf sedangkan sekarang ini jam sudah menjangkau ke pukul sembilan pagi. Sepatutnya mereka semua telah memulakan tugasan masing-masing kerana waktu bekerja di pejabatku bermula pada jam lapan setengah pagi lagi. Dengan ligat serebrumku berfungsi untuk menghubungi Mila untuk merungkaikan kemusykilan aku ini. Malang lagi diriku pada hari ini kerana di dalam situasi yang kelam-kabut pagi tadi membuatkan aku tertinggal handsetku di rumah. Huh, apalah lagi musibah yang bakal menimpaku hari ini agaknya?

Langkah yang lemah-longlai kuatur ke receptionist counter di pejabatku itu untuk menggunakan telefon yang berada di situ. Tetapi, tiba-tiba… “Happy Birthday To You, Happy Birthday To You, Happy Birthday To Raihana, Happy Birthday To You!” Keseluruhan staf berkumpul sambil menyanyikan lagu Selamat Hari Lahir kepadaku. Kelihatan Mila membawa kek coklat kegemaranku dengan disusuli oleh bosku yang seorang itu. Masya-Allah, aku terlupa dengan tarikh lahirku sendiri. Mungkin permasalahan yang berselirat di kepalaku sekarang ini membuatkan tarikh penting seperti itu boleh kulupakan kerana ruang yang ada telah diisi dengan ‘perkara yang satu itu‘.

Sudah bertambah umurku setahun lagi. Kini, umurku mencecah 23 tahun. Bagiku, semakin bertambah setahun umurku, semakin dekat aku menuju ke alam akhirat untuk menemui Ilahi dan semakin banyak amal ibadat yang perlu kugandakan untuk menampung kekurangan di dalam amal-amal ibadatku sebelum ini. Seperti kata-kata Abu Bakar Al-Razi, Islam menjelaskan tentang kewujudan dua alam iaitu alam dunia dan alam akhirat selepas kematian. Segala tindak-tanduk mereka di dunia bakal dihitung dan dipertanggungjawabkan di hadapan Penciptanya. Di sana mereka akan ditentukan samada ke tempat nikmat, syurga ataupun ke tempat sengsara, neraka.

Hari yang kusangka dipenuhi dengan perkara-perkara yang akan mengusutkan pemikiranku, rupa-rupanya dipenuhi dengan perkara-perkara yang menggembirakanku. Tidak pernah aku menerima kejutan sebegini sejak mula bertugas di Syarikat Angsana Puteri dua tahun yang lalu. Benarlah bahawa Allah mengetahui segala-galanya yang terbaik buat hamba-Nya dan Dia

jugalah yang menentukan hala tuju hidup kita akan datang. Aku duduk berteleku di mejaku,mengenang masa-masa yang telah berlalu dan bagaimana aku menghabiskannya. Air mata hangat menuruni pipiku, kesedihan tiba-tiba menyelubungi diriku. Entah mengapa ianya begitu menghibakan hatiku. Wajah insan itu segera datang tanpa diundang. Bertambah sayu rasanya hati ini. Bila sahaja aku mendapati Mila merenungku kehairanan, air mata yang tumpah tadi segera kuhapuskan dan kuhadiahkannya seulas senyuman pahit…

Sepulangnya aku ke rumah pada hari itu, ada satu lagi kejutan yang menungguku di ambang pintu rumahku! Sebuah bungkusan hadiah yang berbalut kemas dengan pembalut bercorak hati berlatarbelakangkan warna hijau kegemaranku. Kuamati bungkusan itu dengan rasa hairan. Aku cuba mencari sebarang kad ataupun tulisan yang menyatakan siapakah pengirimnya tetapi semuanya hampa.Yang ada cuma sekeping kertas bertulisan tangan yang dilekatkan di bahagian penjuru kanan bungkusan itu yang mengandungi,

Kenangan-kenangan lalu kita tetap ada di depanmu,
Sekalipun mata kasar kita tidak dapat melihatnya,
Sekiranya masih ada sayang dan kasihmu padaku,
Nescaya mata hatimu akan melihat semula kenangan-kenangan itu

Kutekadkan hati untuk terus membuka bungkusan misteri itu untuk mengetahui isi kandungan bungkusan itu. Kalau nak kata yang bungkusan tu housemate aku punya, mustahillah pula sebab ada nama aku di atasnya. Itu bermakna si pengirim tu memang berniat untuk menghantarnya kepadaku. Naluriku kuat mengatakan supaya membukanya. Step pertama, aku bawa masuk bungkusan itu ke dalam dan meletakkan dia atas meja. Step kedua, apalagi? Buka la! Hadiah beb, siapa tak nak kan?! Korang semua mesti tak sabar nak tahu apa benda isinya kan? Aku lagilah tak sabar berbanding korang sebab hadiah itu ditujukan untuk aku! Jeng jeng jeng… Ada kotak kecil di dalamnya. Aku pun terus buka kotak itu tetapi yang sedihnya aku masih juga mendapati ada kotak yang lebih kecil di dalamnya. Sabar jelah dalam hati ni, pelik betul aku siapalah yang nak kenakan aku! Nak kata april fool,dah lepas?!

Semakin lama aku cuba menyelongkar isi perut bungkusan itu, semakin banyak kotak yang kudapati mengisi ruang di dalam setiapnya. Akhirnya, setelah menimbun kotak-kotak yang kukeluarkan dari isi perutnya, aku lihat ada sekeping lagi nota yang tersadai di dasar kotak yang paling kecil dan ianya berbunyi,

Pandai sungguh dirimu berpura,
Laksana tiada apa pun yang terluka,
Tetapi,bodohlah aku jika tidak merasa,
Pedihnya lukamu yang berparut di dada…

Allahu akbar, hamba Allah yang mana pula ni? Bila masa pula aku kenal dia ni? Pelik betul aku, akhir-akhir ni banyak betul aku dapat madah-madah misteri yang aku sendiri pun tak tahu nak tafsirkan macam mana. Semalam punya hal pun tak settle lagi,dah datang pula musibah baru. Siapa sebenarnya orang ni? Adakah orang yang sama dengan yang hantar SMS kat handset aku semalam. Macam orang yang sama je kalau lihat daripada cara penulisannya. Dan lagi satu, kalau diperhatikan dalam-dalam maksud tersirat madah-madah ni macam bersambungan dan boleh katakan merujuk kepada keadaan aku sekarang ni! Eh,tapi yang susahnya tu aku tak tahu siapa pengirimnya…

Seminggu berlalu dengan pantas sehingga aku tak berasa akan pemergiannya. Segala misteri yang bersarang di kotak fikiranku minggu lalu kubiarkan ianya kekal menjadi misteri. Sudah terlalu banyak masalah yang datang bertali arus dalam kehidupanku, tak perlulah aku tambahkan lagi dengan menyediakan ruang khusus di dalam kepalaku untuk sentiasa memikirkannya. Masih banyak perkara yang aku perlu berikan keutamaan di dalam hidupku terutama sekali keluargaku. Perjalananku untuk pulang ke kampung atas permintaan emakku pada kali ini menjadi fokus utamaku. Entah apa pula yang menantiku di sana. Hatiku digamit resah yang berpanjangan dan turut menjemput gundah bertandang di hatiku kala ini.

Bayangan rumahku sudah pun kelihatan dari jarak beberapa meter. Semakin kuat degupan jantungku.Untuk tujuan apa ia berdegup kencang pun aku tak pasti. Tak semena-mena, mataku tertancap ke arah sesusuk tubuh yang telah lama aku rindui dan dalam masa yang sama aku ingin hindari. Dialah insan yang sering mengganggu tidurku dengan mimpi-mimpi yang tak ketahuan hujung pangkalnya. Kami berada di jalan yang bertentangan tetapi mungkin dia tidak menyedari kehadiran keretaku di jalan itu. Degupan jantung yang kencang tadi secara automatik berubah menjadi normal! Huh, sampai juga aku ke rumahku, rumah yang penuh dengan keceriaan dan kegembiraan lantaran sikap emakku yang suka melatah. Dan, anaknya yang paling kuat menyakat adalah aku! Hehehe… sifat nakal tak pernah hilang daripada diriku.

“Assalamualaikum mak,” aku segera memberi salam sejurus melihat emakku sedang leka memarut kelapa di belakang rumahku sambil tanganku gatal mencucuk pinggang emakku! Apa lagi, melatahlah emak aku seorang tu. Hehehe… dengan mak sendiri pun aku nak kenakan.

“Eh,Hazman? Eh, kau siapa? Eh, waalaikumsalam, Hana! Hissh, budak ni. Suka betul terkejutkan mak. Perangai tu tak pernah nak matang sikit,” mukaddimah leteran emakku itu sudah pun kedengaran. Belum masuk isi, dan lambat lagilah jawabnya nak sampai ke penutupnya.

“Apa mak ni? Hana yang balik, Hazman pula yang mak latahkan,” soalku agak kehairanan. Yelah, bukan nama anak dia yang keluar, tapi nama orang yang anak dia minat pula. Dah la aku baru terserempak dengan dia tadi! Nasib dia tak perasan aku balik sini. Degupan jantungku kembali berdegup kencang. Hai, apalah pula ni? Tadi elok dah berhenti, sambung balik pula dah?! Pelik betul. Nak kata Hazman akan muncul macam sebentar tadi, taklah sebab kereta dia menghala ke arah yang bertentangan dengan aku. Habis tu kenapa yek? Aku menghitung sendirian.

“Ya Allah, belakang kau tu kan Hazman,” jawab emakku dengan tangannya yang masih memegang sebiji kelapa. Peluh dingin memercik di dahi tuanya.

Hah, dengan secepat kilat aku menoleh ke belakang dan mendapati….. Alamak,dia lagi! Aah, buat tak tahu jelah. Pelik betullah aku dengan dia ni, suka sangat buat magic show dengan aku.Tadi kan kereta dia menghala ke pekan? Macam mana pula boleh ada kat sini pula? Badanku sejuk menggigil, manakan tidak aku sedemikian, banyak persoalan yang meyerbu kotak fikiranku saat ini. Perlukah aku bercakap dengan dia? Nak cakap apa? Dan yang paling penting… nak ke dia bercakap dengan aku lagi? Dalam aku sedang berkira-kira itu, dia pun memulakan perbualan.

“Assalamualaikum, Hana sihat?”

Hatiku tersentuh apabila dia memanggilku dengan namaku dan bukannya ‘kau‘ ataupun ‘awak‘ seperti awal perkenalan kami dahulu. Suaranya seakan kelu dan terketar-ketar. Bagaikan dipaksa-paksa suara itu supaya jelas di pendangaranku. Di dalam hati ini meronta-ronta untuk segera beredar dari situ. Tidak sanggup lagi untuk mendengar bait-bait kata yang akan keluar dari mulutnya. Tidak berdaya lagi untuk melihat ketulusan dan kemurniaan hatinya yang terzahir di raut wajahnya yang tenang itu.

“Waalaikumsalam warahmatullah. Alhamdulillah Hana sihat,” kugagahkan diri untuk menjawab pertanyaannya tadi. Aku tidak mahu menimbulkan sebarang perkara yang membuahkan sangkaan yang bukan-bukan daripada emakku. Anak mataku ini segera kularikan saat bertembung anak matanya itu. Aku jadi serba tak kena. Tudung yang kupakai, entah keberapa kali aku betulkan pun aku sendiri tidak pasti. Lalu, aku mengambil keputusan yang drastik.

“Mak, Hana naik ke atas dulu ye. Berkemas-kemas apa yang patut,” tanganku menjinjing beg dan berlalu ke atas tanpa menoleh ke bawah buat kali yang kedua.

“Yelah, Hana. Kau mesti dah letih drive dari pagi sampai ke petang. Selesai berkemas tu, berehatlah. Bila habis kerja mak ni,mak naiklah ye,” ujar emakku memahami keletihanku yang hanya pada zahirnya sahaja. Emakku terus menyambung kerjanya sambil berbual dengan Hazman. Entah apa yang dibualkan pun aku takut untuk mengetahuinya.

Keadaan bilikku masih tidak berubah, susun aturnya juga masih sama. Emak begitu mengambil berat soal kebersihan bilikku hinggakan sebesar zarah sekalipun tidak terdapat kekotoran. Lantaran sudah lama aku tidak pulang, ibuku pula yang mengambil alih tugasan membersihkan bilikku itu. Perlahan-lahan aku letakkan begku ke katil tetapi tanganku terlanggar sesuatu yang berada di meja sisi katilku itu. Rupa-rupanya album lama ketika zaman persekolahan aku dahulu. Lantas kucapai dan mula membelek gambar demi gambar yang terdapat di dalamnya. Bola mataku berhenti pada sekeping gambar yang terselit di belakang gambar lain. Gambar apa pula yang menyelit belakang ni ha?

2 Respons

  1. dah mula nk berksh syg ar ni..jen jenggg-nur-

  2. haa..saspen arr plak..gmba pe ek..msti gmba hazman 2 an..hehe..;p

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: