Lamunan terhenti

Aku masih lagi buntu, tak tahu ke mana arah tujuan dan penyelesaiannya. Baru sebentar tadi aku menerima surat dari bekas suamiku, Aziz yang ingin aku kembali semula kepadanya. Aziz, satu nama yang cukup agung dalam hatiku suatu ketika dahulu. Dia insan pertama yang mengajar aku erti cinta. Perkenalan kami tersulam ketika aku mengikuti kursus motivasi di Sekolah Menengah Sains Muar. Semuanya bermula bila Aziz dengan tidak sengaja terlanggar dan tertumpahkan air teh ke atas blazerku ketika aku ingin mengambil kuih untuk minum petang. Aziz agak panik juga, namun segera dihulurkan sapu tangan sambil mulutnya tak henti mengucapkan kemaafan. Aku hanya tersenyum sahaja dan meminta diri ke tandas untuk membersihkan kesan air tersebut.

Hari ketiga kursus motivasi itu, peserta dibahagikan kepada bahagian kumpulan. Tanpa aku duga aku ditempatkan sekumpulan dengan Aziz. Kesempatan itu aku gunakan untuk memulangkan sapu tangannya. Dia meminta maaf sekali lagi dariku, dan seperti biasa aku menjawab dengan senyuman. Pelawaannya untuk berkenalan denganku lebih rapat lagi setelah selesai kerja kumpulan itu aku sambut dengan baik.

Seminggu di kem motivasi itu memang banyak membawa manfaat kepadaku, di samping itu dapat juga aku menambah kenalan dari serata negeri. Sebelum bersurai, Aziz merapatiku dan meminta alamat serta nombor telefonku. Pada mulanya aku agak keberatan, namun, Aziz berjanji tidak akan ada masalah yang timbul, dia cuma ingin berkawan saja denganku.

Semenjak dari kursus motivasi itu aku semakin intim dengan Aziz. Surat demi surat dan deringan demi deringan berbalas. Ketika itu kami tahu, ada perasaan baru yang berputik, namun putik yang belum berkembang itu kami simpankan dalam taman hati kerana SPM bakal menjelang dan kami tahu masa depan lebih utama daripada perkara lain.

Beberapa hari selepas tamat SPM, Aziz menghubungiku dan menjemput aku untuk menghadiri kenduri perkahwinan kakaknya. Keizinan mama dan papa kupinta sebelum jawapannya kuberikan kepada Aziz. Ternyata, tiada bantahan daripada mereka. Hari Ahad, ditemani dengan Badariah, kami dihantar oleh Pak Mat ke rumah Aziz. Kedatangan kami disambut baik oleh Aziz yang kemudiannya mempelawa kami makan. Selepas makan, aku ke dalam untuk melihat pasangan pengantin. Sedang aku asyik memerhatikan pasangan pengantin itu, terasa bahuku diikuti. Di sisiku, Aziz berdiri sambil tersenyum dan berkata, “Farin, kalau nak bersanding dengan saya sekarang pun boleh. Kita pun sama-sama pakai baju biru hari ni!”. Tersipu-sipu aku seketika, memang aku berpakaian warna yang sama dengannya, tapi tidaklah kami berjanji terlebih dahulu. Seketika kemudian, aku dan Badariah meminta diri. Sebelum aku balik, Aziz memperkenalkan aku dengan mamanya. “Harap-harapnya, ini bukan kedatangan Farin yang terakhir ke sini ya. Kalau boleh biar selamanya di sini,” kata Auntie Khatijah ketika aku bersalaman dengannya. Aku tak faham maksud kata-katanya itu, tetapi Badariah di sisiku telah ketawa kecil. Di dalam kereta aku bertanya kenapa Badariah ketawa ketika Auntie Khatijah berkata sedemikian kepadaku.

“Kamu ni Farin, harap otak je pandai, perkara mudah macam itu pun kamu tak faham. Auntie tu berkenan kalau kamu jadi menantunya, faham?” jawab Badariah. Sekali lagi aku tersenyum dan terkesima seketika. Setelah pertemuan di rumah Aziz itu aku jadi tak keruan kalau tak mendengar suaranya. Oh Tuhan, inikah yang dikatakan cinta? Tanpa disedari, hari bertukar ganti dan keputusan SPM telah diumumkan. Berkat usaha dan doa dari keluarga tersayang dan bimbingan guru-guru yang berdedikasi, aku berjaya memperolehi pangkat satu dengan sembilan agregate. Aziz juga tidak kurang hebatnya, dia mendapat pangkat satu dengan tujuh agregate. Kejayaan itu disambut dengan penuh kesyukuran kepada Yang Esa.

Kejayaan kami dalam SPM melayakkan kami berdua untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Aziz ditawarkan mengikuti kursus kejuruteraan dan aku pula melanjutkan pelajaranku dalam bidang undang-undang. Bunga persahabatan aku dan Aziz juga telah berkembang ke alam percintaan, dan memandangkan kedua-dua belah pihak telah mengetahui perhubungan kami, aku telah diijabkabulkan dalam usia semuda 17 tahun. Saat itu, hanya kegembiraan yang aku rasakan, tanpa menyedari waktu masih panjang dan apa-apa saja akan berlaku dalam tempoh tersebut.

Akhirnya, tibalah masa untuk aku dan Aziz meninggalkan keluarga. Saat itu, tak dapat aku gambarkan betapa sedih dan berat hati ini, namun demi segulung ijazah yang bakal kujadikan bekalan untuk hari tua nanti, kucekalkan hati. Tetapi, gugur jua airmataku sederas hujan bila mama merangkul dan mencium pipiku. Selama 17 tahun aku hidup, aku tak pernah berenggang dengan mama dan sekarang aku terpaksa menguruskan diriku sendiri. Genggaman tangan Aziz menenangkan perasaanku, dan menyedarkan aku bahawa waktu berangkat telah tiba. Tinggallah Mama, Papa dan adik-adikku! tinggallah dulu Malaysia, aku akan pulang dan menjadi kebanggaan mu nanti!

Sebulan di Oxford ini mula mengajar aku dan Aziz erti kehidupan. Aku mula sibuk dengan tugasku sebagai isteri dan pelajar. Aziz juga nampaknya bertanggungjawab dan menjalankan peranannya sebagai seorang suami.

Tahun pertama kehidupan rumahtangga amat membahagiakan. Kehidupan kami berdua disulami dengan cinta dan kasih sayang. Di sini, aku dan Aziz tidak tinggal serumah kerana para pelajar diberikan rumah khas untuk siswa dan siswi. Aku tinggal dengan beberapa orang teman pelajar yang lain, begitu juga dengan Aziz. Untuk melepaskan rindu, kami biasanya menghabiskan cuti hujung minggu di tempat-tempat peranginan di sini. Kebanyakan rakan-rakan kami mengetahui status kami.

Sedar tak sedar, sudah hampir dua tahun kami berada di sini, dan tempoh itu juga telah merubah seorang lelaki yang bernama Aziz. Perkenalannya dengan Michael, telah menjuruskan Aziz ke jalan yang salah. Seringkali, menurut rakan-rakannya, Aziz pulang dari pub dalam keadaan mabuk, dan aku sendiri pernah terserempak dengannya dalam kedaan begitu sewaktu aku ke rumahnya untuk menghantar makan malam. Puas aku menasihatkan dia, namun nasihat ku itu bagaikan mencurahkan air ke daun keladi. Pelajaran Aziz juga semakin merosot, dan amaran telah dikeluarkan kepadanya. Tangisan menjadi peneman tidurku setiap hari.

Kemuncak kesabaranku meledak apabila melihat Aziz melakukan perbuatan sumbang di dalam bilik di rumahnya dengan seorang perempuan kulit putih. Ketika itu rakan-rakan serumahnya tiada kerana waktu itu waktu kuliah. Sepatutnya, aku yang berang melihat kejadian tersebut, tapi perkara yang sebaliknya berlaku. Sebaik saja melihat diriku, dalam keadaan tergopoh-gapah dia berpakaian dan menengking diriku, sambil itu tangannya yang sasa itu dihayun ke mukaku beberapa kali sehinggakan darah tersembur keluar dari mulut. Dalam keadaan tegang itu, rakan-rakan serumah Aziz pulang ke rumah dan dengan bersaksikan mereka gugurlah talak satu ke atas diriku.

Seakan ingin pecah hatiku dan terhenti denyutan nadiku seketika mendengarkan ungkapan cerai itu dari mulut orang yang aku cintai. Terduduk aku dengan fikiran yang berkecamuk. Setelah menceraikan aku, Aziz terus keluar berpelukan dengan gadis kulit putih tadi. Azmie, rakan sebilik Aziz yang menghantar aku pulang ke rumah. Seminggu aku menjeruk rasa, dan bila perkara tersebut kukhabarkan pada mama dan papa di Malaysia, mereka juga turut bersedih.

Jika diturutkan hatiku yang terluka, pasti pelajaranku terbengkalai, namun berkat kasih sayang dari Yang Esa dan keluarga tercinta, aku pulang juga ke tanah air dengan segulung ijazah dan keputusan yang cemerlang. Kepulanganku disambut dengan bangga dan ceria oleh keluargaku dan keluarga Aziz, juga. Mamanya, Puan Khatijah tak henti-henti memohon kemaafan dengan air mata yang berlinangan kerana tidak menyangka Aziz akan merubah sebegitu rupa. Perhubungan dengan bekas mertuaku masih lagi baik. Aziz juga telah menyesali perbuatannya, dan cuba untuk berbaik-baik denganku, namun luka yang ditorehnya ini sukar untuk diubati… dan mungkin tertutup untuk selama-lamanya untuk insan bergelar lelaki!

Berbekalkan keputusanku yang cemerlang, aku berjaya mendapat kerja di sebuah firma guaman terkenal di ibu kota. Hari pertama bekerja, telah aku rasakan keseronokkannya. Di firma ini, ada beberapa orang peguam muda yang lain. Mereka kuanggap seperti abang, kakak dan adik sendiri. Dorongan dan nasihat mereka aku jadikan sebagai petunjuk dalam menjalankan tugas harianku. Salah seorang peguam yang sentiasa mengambil berat tentang diriku ialah Azizul Hakim. Dia dua tahun lebih tua dariku. Aku memang senang bekerjasama dengannya kerana dia seorang yang teliti dan cekap dalam mengendalikan kes. Namanya juga amat dikenali kerana kepandaiannya berbahas dan kerapkali memenangi apa jua kes yang diambil. Dia kujadikan sebagai guru dan sumber inspirasi diriku. Namun demikian, aku sering rasa segan terutama apabila dia merenung aku, terasa keruan aku dibuatnya. Sepasang mata helangnya itu juga sering menyoroti pergerakkan aku. Bukan aku perasaan, tetapi teman sefirmaku, Sharifah juga menyedari keadaan tersebut.

Banyak sungguh kerja yang perlu aku selesaikan hari ini. Kes saman berkenaan dengan pampasan perlu aku selesaikan segera. Sedang aku sibuk membuat kerja, kedengaran salam diberikan. Bila kuangkat muka, aku dapati Azizul telahpun duduk di depanku. Entah mengapa, jantungku terus berdegup kencang bila dia merenungku dan menguntumkan senyuman di bibirnya. “Farin tak turun lunch ke?” tanyanya mesra.

“Tak sempatlah Encik Azizul, saya perlu kaji kes-kes yang berkaitan dengan kes saman untuk pampasan ni. Lagipun, saya masih kenyang lagi sebab tadi saya dah sarapan,” terangku, masih dengan jantung yang berdebar.

“Farin, tak payahlah berencik-encik dengan saya. Panggil Azizul aje kan senang. By the way, are you free tomorrow night?”

Aku terus memeriksa diari, “Yes, I’II be available tomorrow. Kenapa?”

“Actually, saya nak ajak sambut birthday saya dengan somebody special like you.”

Ayat terakhirnya itu membuat aku terdiam seketika. Rasaku wajahku merah bila dia berkata-kata begitu.

“What time shall I pick you up?” dia menyambung kata-kata.

“Esok Zul ambil Farin pukul 8.30 malam di rumah. You know my house, don’t you?” balasku.

Dengan senyuman dia mengganguk dan berkata “Terima kasih sebab sudi makan malam dengan saya.”

“No problem,” balasku.

Solat Subuh baru saja aku tunaikan. Entah mengapa, aku seakan tidak sabar menunggu malam.
Kepada mama dan papa telah aku khabarkan bahawa aku akan keluar dengan Azizul. Hadiah yang telah kubelikan semalam telah kubalut rapi dan terus aku letakkan di atas meja Azizul sebaik saja sampai di pejabat.

Tepat jam 8.30 malam, 12 Januari 2000, menjalar kereta Mercedes Azizul di depan rumahku. Ditemani dengan Mama dan Papa, kami ke halaman. Azizul nampak gementar ketika bersalam dengan orang tuaku. Tak lupa dia meminta kebenaran untuk membawaku keluar.

“Tak apa… Take your time. Jaga Farin baik-baik ya…”, kata papa.

Setelah memberikan salam, kami berdua membelah malam menuju ke destinasi. Sambil menunggu makan malam, Azizul tak henti merenungku, sampai tak senang duduk aku dibuatnya.

“Kenapa pandang saya macam tu?” tanyaku spontan.

“Saja… lagipun Farin nampak cantik sangat malam ni…” jawabnya kembali. Terasa panas dan merah wajahku dengan pujian tersebut.

Selesai makan, kami menikmati pencuci mulut sambil didendangkan dengan gesekan biola.
“Farin, ada sesuatu yang Zul nak cakapkan…” serius raut wajahnya. Aku memandang wajahnya dan dia menyambung, “Zul harap Farin dengar sampai habis, lepas tu, kalau ada apa-apa yang Farin tak suka, Farin boleh cakap. Firstly, terima kasih yang tak terhingga untuk hadiah tu. Saya menang suka warna biru. Secondly, dah dua tahun Farin kerja di firma kita tu, dan Zul mahu awak tahu yang dua tahun itu juga Zul menyimpan rasa cinta yang menggunung pada awak. Hari demi hari, perasaan ni bertambah dan tak dapat lagi Zul nak sembunyikan dan Zul rasa awak pun perasan perhatian Zul pada awak.” Nafasnya ditarik dalam dan disambung lagi, “Malam ni, bersempena dengan harijadi Zul, Zul nak Farin tahu yang Zul benar-benar cintakan awak dan berhasrat untuk mengambil awak sebagai isteri Zul. Kisah silam awak, Zul harap awak tolak ke tepi, dan kita bina hidup baru bersama. Zul faham kalau awak tak nak terima Zul, tapi Zul harap awak tak akan kecewakan Zul. Sekarang, awak cakaplah apa saja yang terbuku di hati…”.

Aku terkesima seketika… kehilangan kata-kata aku dibuatnya. Dalam diam, memang aku akui hati ini telah ditarik pada jejaka di depanku, tapi bila mengingatkan Aziz, seakan berdarah kembali lukaku. Aku tahu tak wajar aku meletakkan Azizul di tempat Aziz. Dalam masa sesingkat itu, aku menarik nafas sedalam-dalamnya, dan memandang Azizul. “Zul… terlalu cepat
andai saya katakan yang saya setuju jadi isteri awak. Terlalu banyak yang belum kita ketahui tentang diri masing-masing. Saya akui, saya juga ada hati pada awak, dan it’s an honour to be loved by someone like you. Kita berkawan dan kenal hati budi masing-masing dulu, boleh?”
soalku.

Tenang sungguh dia menerima jawapanku. “Farin, dua tahun Zul sanggup tunggu, takkanlah Zul tak sanggup tunggu lagi…” jawabnya sambil tersenyum. Bulan dan bintang jadi saksi percintaan kami yang baru berputik itu.

Setiap waktu dan detik merapatkan lagi hubungan aku dengan Azizul. Tidak keterlaluan seandainya aku mengakui bahawa aku telah jatuh cinta padanya. Suaranya, matanya, budi-bahasanya, membuatkan sayangku bersemi dari hari ke hari. Rakan-rakan sefirma tak kering idea untuk mengusik kami setiap hari. Hari-hari yang kulalui semakin membahagiakan dan aku lupa pada Aziz. Keluargaku tahu tentang Azizul dan mereka merestuinya. Sedikit demi sedikit kami membuat persiapan untuk menuju ke alam perkahwinan. Warna cream telah dipilih sebagai warna baju di malam pernikahan kami nanti, dan aku yang memang suka warna biru, memilih warna biru laut untuk pelaminku nanti.

Seperti hari-hari biasa aku sibuk dengan tugasku. Azizul tiada hari ini, kerana dia ada kes untuk diperdengarkan di mahkamah. Waktu lunch menyebabkan ofis lengang. Dalam kesibukan, pintu bilikku diketuk dari luar, segera aku mempersilakan orang itu masuk. Seorang wanita yang agak berumur dan seorang perempuan muda penuh bergaya masuk ke bilikku.

“Balqish Fatrina?” tanya wanita berumur itu kepadaku tanpa tersenyum sedikitpun.

“Ya, saya. Boleh saya tolong?” tanyaku sambil mempersilakan mereka duduk. Sangkaku, mereka ini seperti orang-orang lain yang memerlukan khidmatku sebagai peguam.

“Saya, Datin Azizah, emak Azizul Hakim, dan ini bakal tunangnya, Anis Sofilia,” katanya. Bilik yang berhawa dingin itu kurasakan seperti oven, terasa berputar pandanganku seketika. “Saya cuma nak kamu jauhkan diri daripada Azizul, saya dan Datuk Hisham, suami saya tak suka kamu berkawan dengannya. Kamu tu janda, ingat sikit. Tak layak kamu berkahwin dengan anak saya, rupa pun tak seberapa, terhegeh-hegeh. Cuba bandingkan diri kamu dengan Anis ni, memang jauh langit dengan bumi. Anis ni, seorang model terkenal dan siswi lulusan Universiti oversea, tahu?! …Ini, kad kahwin Azizul dan Anis, datanglah 25 Ogos ni, kalau tak sedar diri!”katanya angkuh.

Mereka terus keluar diiringi dengan mataku yang telah mula berair, sempat pula si Anis tu menjeling dan menjuihkan bibir padaku, terasa ingin kutampar mukanya yang sarat dengan make-up itu. Aku terhenyak di atas sofa entah berapa lama, tidak aku sedari. Aku seakan kembali ke alam nyata bila Azizul memegang bahuku, dan memanggil namaku beberapa kali. Demi melihat wajahnya, esakanku mula meninggi dan terus kupeluk dirinya. Dia termanggu-manggu dengan kelakuanku. Setelah agak reda tangisanku, aku terus mencapai kad yang dicampakkan oleh Datin Azizah ke atas mejaku tadi dan aku suakan kepada Azizul.

Mengucap panjang Azizul bila dia membaca kandungan kad itu. Menitik air mata lelakinya, bila dia memandang wajahku. “Yang, sebenarnya, Zul memang tahu emak dah ada calon menantu, tapi tak sangka pulak emak dah mengatur semua persiapan perkahwianan ni… Yang, awak jangan risau, balik nanti Zul akan pertahankan hak Zul habis-habisan. Saya cuma akan kahwin dengan awak saja…” dan gengaman tangannya dieratkan.

Parut lukaku yang hampir sembuh robek kembali, dan kali ini lukanya lebih dalam lagi, ditambah dengan nanah dan bisa yang amat sangat. Sehari selepas kejadian itu, Azizul seakan mahu mengelak diri dariku. Sedih sungguh hatiku, bilaku tanya, dia hanya mengatakan yang dia sakit kepala dan tak ingin diganggu.

Seminggu berlalu, aku masih lagi tak dapat kata putus darinya. Akhirnya, apa yang aku takuti berlaku sekali lagi. Malam itu, Azizul dengan keluhan dan rasa bersalah menyatakan bahawa percintaan kami tak dapat diselamatkan. Dia tidak sanggup menderhakai mama dan papanya. Air mataku sudah kering untuk mengalir lagi dan hati ini seakan telah hilang derianya. Aku hanya mengangguk lesu, dan pelukan Azizul serta air matanya yang gugur ke wajahku seakan telah hilang bisanya, tidak sehangat sentuhan pertama dulu. Bintang dan bulan menjadi saksi percintaan kami, dan ia juga menjadi saksi perpisahan kami.

25 Ogos, hari perkahwinan Azizul, dan hari itu juga aku berlepas ke Amerika membawa hatiku yang luka. Dua tahun sudah aku berada di Amerika, aku terlalu rindukan mama, papa dan adik-adik. Hanani, adikku akan berkahwin pada bulan Oktober ini, mama memujukku balik, adikku tak mahu melangsungkan perkahwinannya tanpa kehadiranku.

Meriah sungguh perkahwinan Hanani. Sedang aku sibuk melayan tetamu, aku dipanggil oleh mama. Aku bertemu dengan ibu saudaraku yang telah lama tidak aku temui kerana dia tinggal di Brunei dan jarang balik. Di sisinya, berdiri seorang lelaki yang kurasakan aku kenali. Ya Allah! Itu Azizi, sepupuku. Tersenyum meleret dia ketika melihat diriku. “Apa khabar budak sihat? You look prettier now!” katanya mengusik.

Dulu, waktu kecil, aku gemuk, sebab itulah aku dipanggil budak sihat oleh ahli-ahli keluargaku. Menurut Azizi, dia sekarang bekerja sebagai juruaudit di ibu kota. Mama kemudiannya mengajak ibu saudaraku makan. Pertemuan dengan Azizi membawa aku kembali ke zaman kanak-kanak. Dulu, Azizi tinggal dengan atuk, jadi setiap petang aku dan dia akan ke sawah bermain lumpur, dialah yang mencabut pacat dari kakiku, membelikan aku gula-gula bila aku merajuk dengannya dan dialah yang mempertahankan aku bila atuk memarahi kami, dia juga sanggup menerima rotan bagi pihakku semasa basikal yang kami naiki terjatuh ke dalam longkang dan menyebabkan kami cedera. Seakan-akan terdengar dia memanggilku si Montel untuk menyakitkan hatiku, bila aku menangis, tak tentu arah dia memujukku dan membelikan aku aiskrim. Kenangan-kenangan itu menyebabkan aku tersenyum seketika.

Seminggu sudah aku berada di rumah, dan aku jadi rindu untuk digelumangi dengan kes-kes dan tugasan. Kebetulan, syarikat tempat Azizi bekerja memerlukan seorang penasihat undang-undang. Setelah ditemuduga, aku diperlukan untuk bertugas esok. Sebagai balasannya, aku pun belanjalah Azizi makan. Sejak hari itu, dialah tempat aku mencurahkan segala masalah dan apa yang terbuku di hatiku. Bila aku bosan, pantas saja tanganku menelefon dan mengajaknya keluar, dan dia tak pernah menolak. Kadangkala, rasa bersalah juga aku kerana sering menganggu dan mengajak dia keluar, bimbang juga aku kalau teman wanitanya cemburu. Bila kuajukan soalan itu pada dirinya, dia cuma ketawa dan katanya, dia belum berjumpa dengan wanita idamannya. Mustahil, benakku. Masakan tidak, dengan kedudukan yang mantap, dan wajah seiras Salman Khan, ketinggian dan tegap, sesiapa saja mudah tergoda. Dia cuma tersenyum dan menggosok kepalaku bila kunyatakan ketidakpuasan hatiku.

Rasa hormat dan sayang pada Azizi menebal dari sehari ke sehari. Perangsang darinya banyak membantu aku untuk membina semula istana dari runtuhan kelukaanku dahulu. Bila bersama dengannya, hilang segala masalah yang membelenggu di dada. Dia juga banyak menasihatkan aku tentang hal-hal keagamaan. Dialah yang menyuruh aku bertudung. Dengan kiasan, dia menyuruh aku membayangkan ayam jantan tanpa balungnya, tentulah buruk, jawabku. Macam itulah perempuan tanpa bertudung, katanya. Seingatku, sepanjang keluar dengannya, tak pernah sekali tanganku dipegangnya. Kalau berjalan, dia akan berjalan di hadapan. Dia juga suka kalau aku berbaju kurung. Lebih ayu dan manis katanya. Dia juga sering mengajak aku menghadiri majlis-majlis agama dan mengikuti ceramah-ceramah agama. Azizi juga yang menggalakkan aku bergiat dalam kelab-kelab sukarela untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Bila mama menyatakan hasrat ibu saudara ku untuk menyuntingku untuk dijadikan isteri Azizi, hatiku tidak menolak. Usiaku telah masuk 30-an, aku telah matang dan aku telah bersedia untuk memikul tanggung jawab sebagai isteri sekali lagi. Aku pasti, pilihanku kali ini tidak salah. Sekalipun Azizi tidak pernah menyatakan cintanya kepadaku, perhatian dan matanya telah menyatakan segala-galanya. Moga kali ini perkahwinan ini kekal selamanya, dan diredhai oleh Allah. Ini juga cara untuk aku menghentikan gangguan Aziz ke atas diriku. Surat yang kuterima darinya pagi tadi aku renyukkan dan kucampakkan dalam tong sampah. Tinggallah kenangan lalu! Tinggallah Aziz, tinggallah Azizul, kenangan bersama kalian telah kucampakkan ke tepi, dan kini sebuah buku yang lebih menarik dan membahagiakan akan aku ciptakan dengan Azizi!

Lamunanku terhenti bila si kembar Ameera dan Ameer menangis. Di sisiku, suamiku, Azizi, tersenyum mesra. Pantas dia menyuakan susu ke mulut si kecil yang sedang kelaparan. Kedua-dua kembarku berhenti menangis dan seakan selesa dalam kehangatan pelukan kami. Semoga Allah sentiasa memberkati kami. Tangan Azizi kugenggam, tersenyum dia memandangku. Dialah jiwaku, syurga hatiku kini dan selamanya!

3 Respons

  1. keseluruhannya, sbg org baru yg baru blajar membaca cerpen dan novel, saya suka membaca cerita2 yg dipaparkan…. Insyallah, will be my favourite web in the future

  2. citer ni okla..pd farin jgn terlalu mudah jatuh cinta n aziz yg menganggap perkhwnan spt permainan..allahualam.

  3. jalan cerita menarik… gaya bahasa baik tapi boleh dipertingkatkan… plot lancar dan jelas…mesej yang baik iaitu walaupun pernah kecewa tapi berjaya keluar dari belenggu kekecewaan dgn sokongan keluarga , kekuatan diri dan pertolongan dari Yang Esa…apa2 pun perkara yang lepas biar berlalu…hidup mesti diteruskan dan cari keredaanNYA hingga akhir nyawa..Sesungguhnya hanya cinta pada Yang Esa yang kekal bawa ke mati.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: