Anugerah

Rohani Sulong

Angin petang menolak perlahan tudung yang menutup kepalanya. Dia termangu menghadap ketenangan tasik. Namun, dalam ketenangan tasik itu hatinya sebenarnya penuh dengan badai luka. Cukup kuat gelora di lautan jiwanya, menghempas satu rasa yang bercelaru di pantai kecewa. Tasik Shah Alam cuma memandang sepi pada wajah mendungnya. Keputusan yang satu masa dulu dirasakan betul, kini nampak goyah. Dia kalah. Tiada niat di hatinya untuk menyimpan rasa iri, namun, sesungguhnya dia kalah. Dia kalah pada Kak Salmah. Siapa yang harus dipersalahkan kini? Dia cuma menghela nafas panjang. Bahagia yang dia kecapi satu masa dulu, kini beransur pergi meninggalkannya. Dan, air matanya sudah kering meratapi perubahan hidupnya itu. Berita yang dia dengar lebih setahun dulu amat mendebarkannya. Satu berita yang amat menakutkannya. Walau pada hakikatnya dia gembira mendengar berita daripada Abang Othman, namun hatinya gundah mendengar kata-kata keramat daripada lelaki itu. Dia bimbang. Bimbang bakal ada perubahan yang akan mengecewakannya.

“Kak Salmah mengandung…,” bicara Abang Othman terhenti di situ. Senyum manis terukir di bibirnya, sambil memeluk mesra bahu Kak Salmah. Kak Salmah turut tersenyum riang. Nadia tergamam seketika. Petang yang nyaman kini terasa membahang. Menyedari dua pasang mata itu menikam wajahnya, dia turut mengukir senyum. Senyum yang bagaimana terpamer di bibirnya, dia tidak tahu.

“Tahniah kak…,” ucapnya separuh sedar. Kak Salmah tersenyum manis.

“Terima kasih, Nadia ,”

Nadia tersenyum tawar. Tiba-tiba dia berasa cemburu. Kenapa? Dia tidak tahu. Selama ini perasaan itu tidak pernah hadir.

“Mari masuk Sal…,” Abang Othman memeluk pinggang Kak Salmah sambil melangkah masuk ke dalam rumah, meninggalkannya tercegat di tengah laman. Hatinya tersentuh. Amat tersentuh. Kenapa dia menjadi amat sensitif hari ini? Dia merenung pasangan yang barangkali masih gembira dengan berita yang mereka terima tadi. Tanpa sedar Nadia terduduk di buaian besi di laman rumah. Abang Othman sudah berubah. Kak Salmah juga sudah berubah. Dia terasa diabaikan. Terasa terpencil di rumah itu. Dia sudah tidak diperlukan lagi. Barangkali itu hanya perasaannya. Nadia cuba memujuk perasaannya sendiri. Sudah 15 tahun Abang Othman dan Kak Salmah menanti saat ini, sudah tentu mereka gembira dengan berita ini. Dan kegembiraan itu telah membuat mereka lupa pada kewujudanku barangkali. Hati Nadia memujuk lembut. Dan untuk 9 bulan seterusnya dia terus memujuk hatinya sendiri. Abang Othman semakin meminggirkan dirinya. Masanya banyak habis dengan Kak Salmah. Dan, Kak Salmah tidak pernah bersuara tentang perubahan Abang Othman. Dia sendiri pula , tidak suka membesarkan hal itu. Dia tahu siapa dirinya. Sudahnya dia menderita di dalam diam.

“Kak Salmah sedang sarat sekarang… jadi abang kenalah selalu bersamanya. Nadia pun selalulah perhatikan Kak Salmah tu…,” itulah kata-kata yang keluar dari bibir Abang Othman setiap kali Nadia meminta perhatiannya. Sudahnya dia cuma mendiamkan diri. Tidak mahu ada pertelingkahan yang berlaku. Biarlah. Biarlah Abang Othman bahagia. Biarlah Kak Salmah gembira. Dirinya? Biarlah dia bertahan selagi dia mampu. Perit hatinya setiap kali melihat Abang Othman terlalu mengambil berat tentang Kak Salmah. Sedang dirinya, perlahan-lahan terabai daripada perhatian Abang Othman. Abang Othman tidak seperti dulu lagi. Kak Salmah pun sudah tidak sebaik dulu. Dalam diam dia mula menghirup pahitnya madu yang terhidang di hadapannya. Hatinya makin terseksa melihat tingkah suami isteri itu. Saban hari hatinya menangis menahan rasa. Ingin lari daripada situasi yang menyeksakan itu, Nadia nekad untuk sambung belajar. Dalam diam dia menghantar surat permohonan dan apabila dia suarakan kepada Abang Othman selepas itu, Abang Othman tidak menghalang. Hampir tiga bulan selepas Kak Salmah selamat melahirkan seorang bayi lelaki yang comel untuk Abang Othman, dia berangkat ke Shah Alam. Memperjudikan nasib sebagai seorang pelajar. Dia hanya mampu menitiskan airmata apabila Abang Othman hanya melepaskan dia sendirian datang ke sini tiga bulan yang lalu.

“Armin demam kuat. Nadia tak kisah kan kalau Nadia pergi sendiri? Nanti… bila dah sampai, inform pada abang.”

Nadia mendongak. Merenung tajam wajah Abang Othman. Beg pakaian disisihkan seketika.

“Takkan Nadia nak pergi sorang. Nadia bukannya ada siapa-siapa lagi. Nadia hanya ada abang je.Temankanlah Nadia. Bukannya lama pun. Dua tiga hari je,” Nadia cuba memujuk.

“Tapi… Armin tak sihat. Nadia kena faham…,”

“Asyik Nadia je nak kena faham. Abang langsung tak hiraukan Nadia sekarang ni…”

“Nadia kena faham…,” kata-kata Abang Othman terputus apabila mendengar panggilan Kak Salmah.

“Abang! Armin muntah!”

“Abang pergi tengok Armin dulu ya,” Abang Othman terus berlalu meninggalkan Nadia dengan perasaan yang terbuku. Sampai hati Abang Othman. Sakit hati dengan sikap Abang Othman , Nadia tidak lagi menggesa malah tidak lagi bersuara di hadapan Abang Othman. Dia terlalu berkecil hati dengan Abang Othman. Terasa sangat terpinggir dengan layanan Abang Othman. Sudahnya dia pergi sendirian ketika Abang Othman dan Kak Salmah tiada di rumah. Abang Othman sibuk. Sibuk menghantar Armin ke klinik. Bukan sedikit airmata yang tumpah saat dia melangkah keluar dari rumah tanpa ada sesiapa yang mengiringinya. Perlahan dia menyeka airmatanya. Tasik Shah Alam sudah berwajah suram. Sudah lama dia di sini rupanya. Tanpa sedar perlahan dia mengusap perutnya. Di situ ada tersimpan darah daging Abang Othman. Hatinya masih goyah untuk mengkhabarkan berita itu pada Abang Othman. Dia tawar hati sebenarnya untuk berkongsi berita itu dengan sesiapa pun. Lagi pun Abang Othman sudah ada Armin… Empat bulan dia merahsiakan berita itu. Biarlah ianya menjadi rahsia selamanya. Abang Othman pun amat jarang menghubunginya. Selama tiga bulan dia di sini hanya dua kali Abang Othman menghubunginya. Kali pertama dia memohon maaf kerana tidak dapat mengiringi pemergiannya dan kali kedua apabila dia mendapat tahu yang Nadia tidak sihat. Itupun kawan serumah Nadia yang memaklumkan kepada Abnag Othman tentang keadaan Nadia secara diam-diam. Tanpa pengetahuan Nadia. Selepas itu tiada lagi berita daripada Abang Othman. Pasti Abang Othman tengah sibuk melayani kerenah anak sulungnya dan sedang bahagia hidup bersama dengan Kak Salmah tanpa ada dia sebagai pengganggu lagi. Dia mengeluh perlahan. Gusar kadang-kadang apabila dia memikirkan nasib anak di dalam kandungannnya. Dia pernah berjanji untuk melahirkan seorang bayi yang comel untuk Abang Othman dan kini… janjinya hampir tertunai. Tapi rasanya sudah terlambat. Zuriat daripadanya mungkin tidak diperlukan lagi… sebagaimana dirinya tidak lagi diperlukan olah pasangan suami isteri itu. Jemarinya erat menekan perutnya. Dia bagai dapat merasakan penderitaan yang bakal ditanggung oleh anaknya itu.

*****

“Nadia … ada orang nak jumpa,” suara Nita kawan serumahnya menyentuhlembut telinganya selembut ketukan di pintu biliknya. Nadia mengesat airmata yang laju mengalir. Entah kenapa sering sangat dia menangisi nasibnya sendiri. Dia tahu tindakannya itu tidak betul. Namun dia tidak berdaya. Dia amat sedih dengan sikap lepas tangan Abang Othman. Daripada dia mulamenjejakkan kaki di Shah Alam sehinggalah kandungannya hanya menunggu harisahaja, sekali pun lelaki itu tidak menjengah muka. Memang Abang Othman tidak tahu dia mengandung… namun Abang Othman patut mengambil tahu tentang dirinya. Kerana…. dia adalah isteri Abamg Othman yang sah. Perlahan dia mengangkat punggung sambil memegang perutnya yang memboyot. Untuk seketika dia memandang wajahnya di cermin. Memastikan segala kesan air mata tersisih daripada wajahnya. Kemudia dia melangkah perlahan membuka pintu bilik. Nita masih tercegat di depan pintu biliknya.

“Siapa Nita?,” soalnya perlahan.

“Entah. Aku tak kenal.”

Nadia tersenyum nipis. Perlahan dia melangkah keluar. Ingin melihat siapa tetamunya. Hatinya tiba-tiba disentap sayu melihat susuk tubuh yang membelakanginya di ruang tamu. Dia amat kenal tubuh itu. Abang Othman. Apa yang Abang Othman buat di sini? Langkahnya terasa kaku tiba-tiba. Namun dia gagahkan jua.

“Abang…,” dia bersuara perlahan. Suara tanpa nada. Rasanya dia sedang berdepan dengan seorang yang amat asing. Abang Othman berpaling dan wajahnya disapu riak terkejut yang amat sangat. Untuk seketika dia terdiam. Cuma matanya memendang perut Nadia yang sarat.

“Nadia…,” akhirnya dia bersuara perlahan. Nadia mengalihkan pandangannya ke arah lain. Sekali lagi airmatanya mengalir dengan amat mudah. Segera disekanya. Dia tidak mahu menangis lagi. Dia harus kuat.

“Apa abang buat di sini?,” soalnya menahan sendu.

“Abang ada urusan di KL. Terus abang ke sini. Ingat nak jenguk Nadia.”

Nadia merenung wajah Abang Othman seketika.

“Nadia sihat. Tak ada apa-apa yang nak dirisaukan. Tak payahlah abang susah-susah datang jenguk Nadia. Kesian Kak Salmah tinggal sorang. Kesian Armin tak ada siapa nak jaga.”

Abang Othman melangkah mendekati Nadia. Perlahan dia menyentuh jemari Nadia. Nadia menarik perlahan.

“Nadia …kenapa tak beritahu abang?”

“Beritahu apa?”

“Nadia mengandung. Kenapa abang tak tahu? Kalau abang tak ke sini… sampai Nadia bersalin pun abang tak tahu Nadia mengandung..,” Abang Othman bersuara. Ada nada geram di dalam alunan suaranya.

“Abang ada masa ke untuk dengar berita ni? Abang senang hati ke mendengar berita ni?”

“Sudah tentu abang suka. Nadia mengandungkan anak abang… kenapa Nadia rahsiakan? Berbulan-bulan Nadia menanggung beban ini sendirian. Kenapa Nadia?”

“Nadia harus belajar untuk hidup susah…”

Abang Othman diam. Cuma matanya tajam menikam wajah Nadia. Dia dapat rasakan ada kelainanan pada bicara Nadia. Nadia tidak pernah bercakap begini di depannya.

“Apa maksud Nadia?”

“Nadia dah penat menjadi pengacau kebahagiaan abang dan Kak Salmah. Nadia dah tak sanggup nak hadapinya lagi.”

“Apa Nadia cakap ni? Abang tak pernah anggap Nadia macam tu.”

“Dan… Nadia tak pernah ada di hati abang. Abang kahwin dengan Nadia kerana anak. Cuma kerana anak. Bila Kak Salmah mengandung… Nadia terus diketepikan.”

“Nadia… jangan cakap macam ni..”

Nadia merenung tajam wajah Abang Othman. Segala layanan pahit yang diterimanya tiba-tiba menyerbu di ingatan.

“Nadia tak mungkin lupa dengan apa yang dah abang lakukan pada Nadia. Sejak daripada Kak Salmah mengandung… sehingga dia melahirkan Armin. Itu semua cukup untuk sedarkan Nadia yang Nadia sebenarnya tidak diperlukan. Langsung tidak diperlukan. Abang sanggup lepaskan Nadia datang ke sini sendirian padahal Nadia ni isteri abang. Mana tanggungjawab abang sebagai seorang suami? Dan berapa kali abang datang jenguk Nadia selama Nadia di sini? Tak pernah! Entah Nadia sihat ke sakit ke… entah Nadia hidup…entah Nadia mati…. Abang tak pernah nak ambil kisah. Abang tak pernah ambil berat pasal Nadia. Sampai hati abang buat Nadia macam ni..” Nadia menarik nafas. Letih bercakap tanpa henti.

“Nadia …abang minta maaf. Abang langsung tak bermaksud untuk meyingkirkan Nadia. Abang sayangkan Nadia. Mungkin selama ini abang lalai dengan Armin. Nadia harus faham… 15 tahun abang nantikan kehadiran seorang anak. Akhirnya impian abang termakbul…”

“Dan… abang boleh singkirkan Nadia macam tu saja?” pintas Nadia bersama sekuntum senyuman pahit.

“Abang mengaku abang silap. Maafkan abang..”

“Saya dah tawar hati…” ujar Nadia ringkas. Abang Othman memegang erat tangan Nadia. Nadia mengalihkan muka ke arah lain.

“Beri abang peluang untuk berubah ya..”

“Setahun abang sia-siakan peluang yang saya bagi. Berilah peluang untuk saya pilih cara hidup yang boleh membahagiakan saya…,” Nadia mula menggunakan ganti diri ‘saya’… cukup memberi kesan sayu di hati Abang Othman. Daripada seorang gadis yang manja dan lembut, kini Nadia menjadi seorang wanita keras hati.

“Anak kita perlukan bapa…”

“Jangan gunakan anak saya sebagai alasan. Anak ini satu anugerah untuk saya lalui hidup ini dengan berani. Cuma satu yang Nadia nak… jagalah isteri dan anak abang baik-baik. Dan jangan ganggu saya lagi.”

“Nadia… abang sayangkan Nadia dan abang adalah bapa kepada anak ini..” ujar Abang Othman sambil menyentuh perut Nadia.

“Nadia sendiri tidak mampu megubah kenyataan itu. Kenyataan tetap satu kenyataan. Sebagaimana pahitnya kenyataan yang abang berikan pada Nadia… dan Nadia tak mampu mengubahnya. Cuma … Nadia minta abang faham perasaan Nadia dan biarlah Nadia pilih cara hidup Nadia sendiri.”

Abang Othman diam seketika. Tidak sangka begini akhirnya. Dia mengambil mudah tentang Nadia kerana Nadia seperti tidak kisah dengan apa yang dia lakukan. Nadia tidak memberontak malah tidak pernah mencari masalah selama ini. Namun, hari ini Nadia tiba-tiba berubah. Amat berubah. Puncanya? Memang dia yang salah. Tapi tidak bolehkah Nadia memaafkannya? Tiba-tiba bibir matanya terasa panas. Dia menangis di bahu Nadia. Menagis semahu-mahunya.

“Maafkan abang…,” bisiknya di dalam sedu penyesalan.

“Dah lama Nadia maafkan abang. Cuma.. untuk lupakan kepahitan itu… Nadia tak berdaya…”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: