Aku Yang Kalah

Azie Adrina Jasry

Abang sudah mengerti sebab aku datang berjumpanya tergesa-gesa petang itu. Nasib baik abang sudah selesai membuat kerja sekolah. Aku terus duduk di sampingnya selepas dia mempersilakan aku masuk. Bilik abang tetap kemas. Tersusun. Teratur. Cuma mejanya berselerak. Buku-buku telah lari dari rak masing-masing. Gumpal-gumpal kertas juga banyak. Sisa-sisa pensil diraut turut masuk senarai. Kotornya meja abang!

“Bolehlah bang… tolong Balkis, kali ni aje. Tapi, kan… lain kali bolehlah minta tolong abang lagi. Heheheh….”

“Nampaknya abang ni asyik kena tolong Balkis ajelah seumur hidup ye? Amboi-amboi…!” Hidungku dicuitnya. Gamat suasana seketika. Akhirnya, abang mengangkat ikrar akan menolongku. Sebelum aku keluar bilik, aku sempat mengemas meja abang yang berselerak. Sebagai tanda terima kasih sebenarnya!

***

Saat yang dinanti telah jelma. Sebelum senja, aku dan abang sudah terpacak di pondok usang tempat Karl dan gengnya melepak. Aku bermonolog sendiri. Biasanya, budak seekor bermata kuyu itu sering melepak di sini dengan kunco-kunconya. Di sinilah juga dia mencurahkan isi hati dan perasaannya terhadapku sambil disaksikan oleh semua sekutunya. Bahkan bangku buruk, pokok rambutan tua dan pondok usang ini juga turut sama menyaksikan cerekarama itu. Mukaku entah, semerah warna darah barangkali ketika itu! Manakan tidak, semua yang ada di situ melihat dan mendengar dengan jelas dan terang ayat dan kalimah yang terluah dari bibir nipis Karl itu!

“Saya suka kat awak, Balkis. Dah lama saya asyik perhatikan awak. Dari dulu-dulu lagi!”

“Gila! Mana awak kenal saya sebelum ni? Saya pun tak pernah nampak awak!”

“Saya gila sebab awaklah, Balkis. Tolonglah… terimalah cinta saya ini..”

“Cis! Ingat saya ni apa? Senang-senang je nak terima cinta awak! Eh, excuse me… Mana awak tahu nama saya?”

“Itu… rahsia!”

“Woi, bebeh! Mana budak tu? Tak nampak-nampak pun!”

Lamunanku yang kejap tadi hilang bercemperana. Abang tanya aku ke?

“Alamak, kejap lagilah bang! Hari ini agaknya diorang lambat sikit. Kita jalan-jalanlah dulu…”

Abang aku cuma mengangguk. Begitulah dia. Sikapnya yang tidak banyak karenah itu membuatkan aku amat sayang padanya. Tambahan pula, hanya dia saudara sedarah dan sedagingku di dunia ini. Aku tak punyai kakak dan adik. Dan dia pula, hanya ada aku sebagai adik. Tiba-tiba telinga ini menangkap bunyi batuk-batuk kecil serta deheman yang memang dibuat-buat. Bersama batuk-batuk dan deheman itu, selang seli bunyi petikan gitar yang merdu dari jemari kiri Karl. Semua bunyi-bunyian itu datang dari arah belakang kami. Aku mengangkat kening ke arah abangku. Dia faham. Lantas, kami berjalan seiringan sambil berpegangan tangan.

“Aik, baru semalam kena tackle, hari ni dah dapat balak lain? Melepaslah kau nampaknya, Karl…” Pijol yang kulitnya gelap ala mamak itu tersenyum kambing ke arahku. Masing-masing menilik abang aku dari atas, ke bawah. Macam nampak hantu lagaknya. Karl tenang sahaja. Mereka terus mengambil tempat di pondok usang dekat simpang tiga itu.

“Cakap baik-baik sikit, Pijol. Ini bukan sapa-sapa. Ini tunang saya, faham?!” Aku menegaskan dengan bangga.

“Tunang?!” Semua mereka berkata serentak.

Peliknya! Karl masih buat selamba. Terus memetik-metik gitarnya.

“Ooo… koranglah yang selalu kacau tunang saya ya? Sapa yang samseng sangat tu, berani kacau tunang saya ni?” Abang berlakon dengan hebat. Rasa lucu di sudut hati aku matikan. Aku ketepikan. Balik ke rumah, lain cerita.

“Saya. Mengapa?” Karl menjawab, berani tetapi masih tenang sambil memetik gitarnya. Sesekali, matanya memandang aku dan abang, silih berganti.

“Ohooo…. Awak! Tak ada perempuan lain lagi ke awak nak ngurat, emm? Balkis tunang saya… Kalau nak, carilah perempuan lain!”

“Perempuan lain?” Karl tersenyum sinis, tiba-tiba. “Sudahlah, brother! Selagi Balkis belum diisyhtiarkan jadi isteri awak, saya ada hak. Orang lain pun ada hak!”

Aku dan abang berpandangan. Telingaku berdesing. Geram. Berani sungguh mulutnya itu berkata sedemikian. Celupar sangat. Dia belum kenal siapa abang aku!

“Berani awak! Saya kerjakan awak nanti kalau ada apa-apa terjadi pada Balkis. Jaga awak!” Abang menggamit tanganku pergi. Aku sempat berpaling. Karl senyum. Dia kenyit mata. Hah?! Malunya aku! Kurang asam!

***

Seminggu berlalu. Aku tidak melihat kelibat Karl lagi di pondok usang itu. Ke mana dia? Kawan-kawannya- Pijol, Amat, Akin dan Lan saja yang masih setia terpacak di situ. Seperti dulu juga, setiap kali aku lalu di situ mereka akan mengusik aku. Tapi sekarang, aku tidak memperdulikan lagi usikan mereka. Aku diamkan saja.
Hati bagai digamit-gamit, ditarik-tarik hendak bertanyakan Karl. Namun, malu mengatasi segalanya. Aku pendamkan saja nawaitu ku itu.

Hari ini aku berkemas hendak ke kolej. Abang menghantarku hingga ke pintu pagar kolej. Besok, Isnin. Bermulalah Minggu Pendaftaran bagi IPT ini. Hati ini berdebar-debar.

Esoknya, aku ke dewan dengan hati yang masih berdebar sakan. Sudah agak ramai freshie yang datang menunggu giliran. Aku mengambil nombor. Tempat dudukku paling hujung, berdekatan kaunter Kewangan. Lama juga menanti nomborku dipanggil. Macam banduan pula! Aku atasi kebosanan dengan menghantar sms kepada abang. Aku tergelak, tersenyum sendiri macam orang bodoh. Lucu benar sms yang abang kirimkan!

“Nombor 177!”

Tiga kali nombor itu disebut, barulah aku angkat punggung. Sengaja. Aku ke meja pertama, khas untuk pendaftaran. Masamnya muka kakak senior itu.

“Hai, sampai tiga kali kena panggil baru muncul ye? Dah berapa kurun tak korek lombong tu?” Kakak senior itu tersenyum sinis. Aku membalas dengan senyuman pahit cuma.

Kakak senior itu menanyaku macam-macam. “Dulu SPM dapat berapa? PMR?”

Sabar ajelah aku. “Kat dalam fail ni ada semua. SPM, PMR UPSR, tadika pun ada….” Aku menyuakan fail hijauku kepadanya dengan geram yang amat. Dia sedikit tersentak. Padan muka! Hampir lima belas minit berlalu, barulah aku dilepaskan.

“Terus ke meja kewangan. Bayar yuran!” Ujarnya, sambil tersenyum.

Meluat aku. Aku hampiri meja kewangan yang dari tadi aku duduk berjiran itu.

“Nombor matrik?”

“4690.”

“Nama?”

“Amiera Balkis Mohammed Iskandar.”

Senyap sejenak. “Aik, datang seorang saja ke? Mana tunang awak?”

“Tunang?!” Aku angkat muka. Pandang betul-betul. Tiba-tiba aku hampir nak pengsan!

***

Abang hanya ketawa besar-besar mendengar aduanku di telefon malam itu. “Oh, ya! Minggu depan balik tak? Temankan abang ke majlis kahwin kakak salah sorang kawan abang, boleh?”

“Tengok dululah kalau tak sibuk.”

Aku meletakkan gagang setelah berkirim salam dengan papa dan mama serta mengucapkan salam. Rasa lapang dan lega di hati. Aku risau sungguh. Semenjak bertemu Karl di sini, wajahnya sering terbayang di ruang mataku. Entahlah! Kalau aku bagitahu abang, mesti dia juga gelak besar!

***

Minggu Orientasi dilalui dengan cekal dan tabah. Seminggu kami diberi cuti selepas MO. Aku pulang ke rumah. Janji abang hendak membawa aku ke majlis kahwin salah seorang kakak kawan abang. Kawan-kawan abang yang aku kenal cuma Jali, Adam, Farhan, dan ramai lagi. Itu yang memang selalu datang ke rumah mencari abang.

“Mengapa nak balik rumah? Cuti cuma seminggu… Bukannya sebulan, dua…”

“Suka hatilah!” cebikku, menyampah. Karl tersenyum saja. Akupun tidak tahu dan tidak faham. Mengapa dia turut menyibuk di sin i- di perhentian bas ini. Namun, jauh di sudut hatiku…

“Balkis, ada seorang senior, kawan saya… minat kat awak. Katanya, awak cute macam anak patung. Tapi, saya kata kat dia, Balkis tu garang macam singa… Baik tak payah la…”

Spontan, aku menampar lengannya. Geram. Meletus tawanya. Sudah pandai bergurau dengan aku nampaknya! “Kejap lagi tunang saya sampai. Jaga awak…”

“Tunang konon…” Karl senyum mengejek.

“Mestilah! Ingat saya main-main ke?”

“Yalah tu! Tunang awak… Kenapa tak cakap, suami awak?”

“Awak?!!!” Sekali lagi lengannya menjadi sasaran.

***

Walaupun abang membawa aku sama ke majlis perkahwinan itu, aku turut mengajak sahabat karibku pergi. Aku tidak biasa bergaul dengan orang ramai yang amat asing bagiku. Biarlah ada Farah. Boleh juga aku berloyar buruk kalau abang aku kena ‘pinjam’ oleh kawan-kawannya. Kalau ada apa-apa terjadi kelak, Farah ada.

“Ops, Balkis! Kawan abang nak kenal ngan Balkis. Lama dah dia nak kenalan dengan adik abang yang sorang ni…”

“Sapa, bang? Tak pernah tahu pun!”

“Alaa… dulu pernah abang cakap, ingat tak? Kawan abang yang menulis dengan tangan kidal tu. Kalau dia menyanyi, suara dia merdu. Ali XPDC pun tabik!”

“He’elleh!” Sejurus, aku mula teringat akan kebenaran kata-kata abang itu. Memang ada abang bercerita dulu. Tapi, dah lama. Akupun ingat-ingat lupa. Aku dengan Farah masih rancak berbual. Tidak sedar, abang menghampiri kami dengan lima orang kawannya dan salah seorang daripada mereka bercermin mata. Eh?!

“Haa… Haikal. Inilah adik kesayangan aku- Amiera Balkis…”

“Awak?!”

Tiba-tiba abangku, Karl, Pijol, Amat, Akin dan Lan ketawa terbahak-bahak. Cis!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: