inspirasi hati

Suriyana Azwani

Sekiranya ku mendapat pengganti
Ku harapkan insan sepertimu oh kasih
Banyak menbantu dan mendorongku
Menjadi hamba yang taat kepadaNYA

Gemersik alunan lagu ‘Inspirasi hati‘ nyanyian nasyid ‘DeHearty‘ yang berkumandang sayup di corong radio mencoretkan satu bingkisan memori lalu. Faizal berpaling dari meja komputer dan menghampiri sudut rak buku berhampiran. ‘Rahmat Disebalik Dugaan‘ Spontan, satu naskhah buku motivasi agama ditarik dan diselak satu-persatu muka halaman. Membaca seimbas. Dia tersenyum hambar dan merenung syiling dengan pandangan kosong.
“Julia..” Bibirnya bergerak perlahan melafazkan kalimah nama itu lantas mengutus ingatan padanya. Faizal redha!

“Dia tak mahu makan ubat. Dah puas kami nasihatkan..”Julia meletakkan rekod kesihatan yang ditanda lalu mengalihkan pandangan pada lelaki dihadapannya.
“Biarlah Lili, tinggalkan saja bekas tu atas meja..”arah Julia. Selepas pemeriksaan darah dan nadi dilakukan, jururawat itu beredar meninggalkan bilik wad itu.
“Mana doktor Azim?” Julia sedikit tersentak.Buku laporan yang memuatkan lampiran pengesahan pakar dan dialisis perubatan ditutup kemas.
“Saya akan gantikan tempatnya sementara waktu..”
“Kenapa?”
“Dia ke Kanada hadiri kursus perubatan selama dua bulan..”
Faizal memberikan reaksi bersahaja sambil membuang pandang ke arah jendela.Langsung tidak menghiraukan sesiapa biarpun doktor atau jururawat yang memeriksa. Lawatan keluarga juga diendahkan sekadar tidak acuh.
“Doktor..?” Kata-katanya terhenti disitu.
“Panggil saja saya Julia. Lagipun semua nurse kat sini panggil saya dengan nama biasa saja. Oklah, awak rehat dulu..” Pintu wad dikuak perlahan dan pandangan Faizal menyusuli langkah doktor muda itu berlalu.

——

“Faizal.. tak baik ikutkan perasaan. Kalau awak tak mahu makan ubat pun, jamahlah sikit makanan. Kalau berterusan begini, macam mana nak sembuh…” Hampa. Faizal terus diam seribu bahasa. Nasihat doktor Julia dipandang sepi tanpa memberikan respon. Sekejap tubuhnya beralih kekiri, seketika merubah posisi kekanan pula. Pasti tidak selesa terkurung di hospital. Sejak menghidap penyakit Leukemia yang dikesan baru-baru ini, hidup Faizal terpenjara. Tambah derita saat mendapat tahu keadaan kesihatannya kian kritikal dan tiada tanda-tanda positif untuk pulih. Rawatan demi rawatan berjadual seperti kebiasaan di Hospital Kuala Lumpur, tapi jiwanya sudah mati untuk menyambung hayat yang menghampiri penghujung usia. Argh..mengapa begitu mendadak suratan yang menimpa? Faizal meraup mukanya yang semakin cengkung ekoran kesan ubat dan rawatan kemoterapi bersilih-ganti dengan terapi radiasi yang dijalani.
“Dan dari penelitian kami, peluang untuk sembuh mungkin tipis..”Jelas. Pengakuan doktor Azim dua minggu lalu umpama meragut dengupan jantungnya yang hampir terhenti berfungsi.
“Dia cakap kat awak macam tu?”soal Julia suatu hari. Faizal mengangguk lemah dan menghela nafas perlahan. Buat pertama kalinya, dia berterus-terang meluahkan perasaan dan dilema yang terbuku dalam hati. Entah! Mungkin keterbukaan Julia merawat pesakit bukan setakat dari sudut luaran malah berinteraksi secara psikologi membuatkan Faizal makin selesa. Setiap hari, tak putus kata-kata motivasi yang dititipkan dan hanya itulah penawar bagi Faizal untuk memulihkan semangat hidupnya yang menjelang pudar.
“Takpe, nanti kalau saya jumpa doktor Azim, saya akan marahkan dia sebab cakap awak cam tu!” Sekadar mengusik, Julia menuntaskan lalu disambut jelingan tajam dari hujung mata Faizal. Tak lama itu, lelaki itu tergelak kecil.
“Oo..awak ingat saya budak-budak ya?”
“Ha, macam ni kan elok! Ceria saja.. Dahlah tu, jangan difikirkan sangat. Paling penting awak ikut prosedur dan rehat yang cukup. Insya ALLAH, segalanya akan berjalan lancar. Bawa banyak bersabar dan berdoa ya..”nasihat Julia sambil melakukan pemeriksaan. Mak Cik Zainab hanya memerhati gerak-geri doktor yang merawati anak lelakinya. Di kesempatan itu, Faizal tak lepas memandang raut wajah gadis yang begitu tenang menjalankan tugas. Jururawat yang mengiringi sekadar membantu apa yang perlu. Dengan bersarung tangan, Julia menyuntik cecair antibiotik dilengan Faizal dan mengambil sampel darah dengan berhati-hati. Alat Steteskop kemudian ditekap didada Faizal sambil menundukkan perhatian pada jam tangan dilengannya.Sejurus Mak Cik Zainab beredar ke surau menunaikan solat Zohor, doktor Julia masih tak berganjak di wad itu.
“Julia..” Perlahan Faizal bersuara namun nadanya cukup jelas kedengaran ditelinga. Julia terkesima. Buat pertama kali namanya diseru lelaki ini.
“Maafkan saya…”Tergantung disitu kata-kata yang terzahir. Julia mengangkat kening tidak mengerti maksud Faizal. Bangku disebelah dirapatkan menghampiri katil dan Julia melabuhkan pinggul diatasnya. Satu-persatu episod cerita lalu diluahkan.
“Hei, doktor tak nampak ke keadaan saya macam mana.. Dah lah bercucuk wayar sini sana, nak suruh solat pulak?..” Pernah Faizal membentak kasar sewaktu Julia bertanya tentang sembahyang.
“Err..kalau nakkan baju persalinan, nanti saya minta jururawat sediakan..”Dalam kegugupan, Julia menegur sambil memandang baju Faizal yang kelihatan sedikit kotor dicemari tompokan darah.
“Tak payah! Please..kalau dah abis kerja, boleh tak tolong keluar!” Malas ambil peduli, Faizal lantas menghenyak kasar tubuh atas bantal. Sememang, sikap moody dan panas barannya menyebabkan segelintir jururawat tak acuh melayan. Menyedari hal itu, Julia rajin meluangkan kelapangan masa untuk meredakan tegangan emosi yang dihadapi.
“Maaf, kalau dulu saya selalu berkelakuan kasar..” Tersentak Julia dari lamunan dan menoleh Faizal yang sugul disisinya. Dia tersenyum mesra dan bingkas bangun tatkala menyedari terlalu lama menemani.
“Oh ya, pemindahan transplant sum-sum tulang akan dijalankan dalam bulan depan dan doktor Shamsul akan ketuai pembedahan nanti..” Faizal mengangguk dan sedia maklum ibunya bakal menjadi penderma. Sungguh kasih ibu membawa ke syurga. Sepi, Faizal berdialog dalam hati dan mula insaf kerana terlalu cepat berputus harap.
“Awak rasa pembedahan akan berjaya tak?”
“Insya ALLAH.. bertawakal banyak-banyak. Minta supaya ALLAH mudahkan segalanya..”ujar Julia sebelum melangkah keluar. Baru beberapa saat menapak, Julia berpusing kembali. Renungan mereka bersatu.
“Faizal, minggu depan saya ambik cuti sampai hari pembedahan awak nanti. Jadi, jika tak berkesempatan berjumpa, saya minta maaf banyak-banyak kalau ada perkara yang menyinggung perasaan awak sepanjang ini…” Tersenyum manis, Julia menuturkan. Terasa kelainan dari nada suara yang dilafazkan. Faizal terkedu sejenak.
“Kenapa cuti?”
“Aaa..sebab masalah peribadi. Tak apalah, nanti bila awak sembuh akan saya ceritakan..” Sejurus salam Julia dijawab dalam hati, Faizal merebahkan tubuhnya semula. Buku agama pemberian Julia yang terletak atas meja disisinya digapai lalu menyelak satu persatu halaman. Tumpuannya terfokus pada satu baris ayat yang tercetak.
‘…Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH. Sesungguhnya, tiada yang berputus asa dari rahmat ALLAH melainkan kaum yang kafir..‘
-Surah Yusuf ayat 12

———-

Selepas pembedahan, kesihatan Faizal beransur pulih dari semasa ke semasa.Dua bulan berikutnya, dia mula bekerja semula dan menjalani kehidupan seperti sediakala. Cuma kudratnya tidak segagah dulu dan masih perlu berulang-alik ke hospital setiap dua kali sebulan untuk pemeriksaan lanjut. Di samping itu, Faizal tak putus dari mengambil selingan ubat-ubatan yang dinasihatkan oleh pakar.
“Faizal..” Renungan doktor Shamsul terpalit pada wajah pesakitnya yang sedari tadi leka mengelamun. Lengan baju kembali dilabuhkan setelah selesai diperiksa denyutan nadi.
“Sham..err berapa lama doktor Julia cuti? Tak pernah-pernah aku nampak dia kat hospital sekarang..”soal Faizal. Pernah dia bertanya kepada seorang jururawat selepas hari pembedahan dulu dan diberitahu Julia menyambung cutinya lagi. Kenapa terlalu drastik! Dulu, Julia pernah berjanji untuk bertemu setelah pembedahan selesai namun hampa. Hari-hari yang ditunggu terus menyisih sepi tanpa khabar dari insan itu.
“Sham.. doktor Julia masih kerja kat sini ke?”tanya Faizal lagi masih tidak puas hati. Kerjayanya yang terbengkalai hampir empat bulan menyebabkan Faizal ralit dengan kesibukan tugas lantas tak berkesempatan berhubung dengan pihak hospital.
“Tak..”
“Hah?”
Shamsul menarik nafas dalam-dalam dan melepaskan desah nafasnya perlahan.Seminit kemudian dia bersuara.
“Sepatutnya doktor Julia ada kat UK sekarang. Tapi, memandangkan kesihatannya makin tak stabil kebelakangan ni, terus ibunya bawa pulang ke kampung. Berehat kat sana..” Faizal mengerut dahi.Tidak difahami hujung pangkal cerita.
“Kesihatan apa?”
“Kau tak tahu, doktor Julia ada kanser otak?” Membulat mata Faizal seakan tidak percaya. Shamsul terus menjelaskan hal sebenar.
“Dah dua tahun dia kena kanser. Pertengahan tahun lalu, dah dibedah sekali keluarkan tumor tu tapi awal tahun ni, ketumbuhan otak membiak balik..dan tarikh 12 Julai kemarin sepatutnya dia jalani pembedahan di England tapi tak jadi pergi..”doktor Shamsul menanggalkan cermin matanya dan mengelap guna sehelai sapu tangan. Dia menghela nafas kemudian lalu menunjukkan laporan perubatan doktor Julia pada Faizal. Astaghfirullah.. Faizal meraup muka sambil beristighfar. Tak tahu-menahu langsung Julia menderita sakit barah otak.
“Petang ni, aku ingat nak pergi lawat dia. Kau ikut sekali ya?”pelawaan Shamsul dibalas anggukan lemah.

———-

Julia membuka mata perlahan. Terasa ubun-ubunnya disentuh lembut.
“Mak..” Mak Som tersenyum tawar dan mengelus tangan Julia penuh kasih. Satu kucupan singgah disitu.
“Tengok siapa datang sayang..”Lambat-lambat seorang lelaki menghampirinya dan duduk disisi katil bertentangan Mak Som. Terkebil-kebil Julia memandang. Sejak akhir-akhir ini penglihatannya seringkali kabur diikuti sakit kepala yang berulang-ulang.
“Julia, Faizal ni..kenal tak?”Faizal merapati. Julia menghela nafas lemah dan mengangguk perlahan. Dengan mata cengkung dan terpelosok sedikit kedalam menzahirkan derita yang ditanggung. Shamsul dan Lili yang duduk disatu sudut bilik menahan sebak.
“Faizal..”Julia mengamati jejaka yang berkemeja biru itu. Faizal tersenyum menyiakan tika namanya disebut. Tanpa menyedari, empangan matanya mula pecah berkaca-kaca.
“Jaga.. diri baik-baik… Jaga..kesihatan..”Dengan tersekat-sekat, Julia melafazkan. Linangan air mata tak henti mengalir dari kelopak matanya melihat Faizal; pesakitnya yang kian pulih. Matanya dipejam rapat dan dibuka sesaat kemudian melahirkan rasa puas dan syukur kerana termakbul doanya yang selama ini disisipkan.
“Boleh tak Faizal bacakan….”Nafas Julia seakan tak mampu meneruskan kata-kata lalu mengerdipkan kelopak matanya memandang Faizal disisi. Bagai menangkap maksud yang tidak terzahir, spontan Faizal bergegas ke bilik air mengambil wuduk. Tak lama beberapa minit berlalu, kedengaran sayup alunan Yasin dihening malam. Julia mengikut kalimah ayat yang terungkap dalam hati. Pautan tangan Mak Som terungkai perlahan-lahan dan sehembus nafas Syahadah, Julia mengakhiri hayatnya dipangkuan ibu dan disisi Faizal.
——————

‘…Walau kita tiada sebarang ikatan, namun kita masih bersaudara dunia dan akhirat. Muhammad Faizal.., saya amat menyayangimu!‘
ikhlas,
Julia.

Faizal menatap baris-baris ayat terakhir dan melipat kertas kajang itu kembali. Betapa teguhnya hatimu menyisipkan harapan dan kasih itu disaat-saat terakhir berpaut pada kudrat. Doktor Julia..kau inspirasi hatiku!

Bila sendirian fikiranku buntu
Mengingati dirimu
Dikau tiada lagi disisiku
Hatiku sayu bertambah pilu

Kasih kau inspirasiku
Kau mengajarku erti kehidupan ini
Takkan ku lupakan nasihatmu
Kerna ianya berguna untukku

Seringkali aku berdoa padaNYA
Agar tabah menyusuri hidup ini
YA ALLAH berilahku kekuatan
Untuk tempuhi dugaan yang mencabar

Sekiranya ku mendapat penganti
Ku harapkan insan sepertimu oh kasih
Banyak membantu dan mendorongku
Menjadi hamba yang taat kepadaNYA

Walau dirimu tiada lagi
Namun hatiku tetap kepadamu
Kenangan bersamamu subur mewangi
Takkan luput dari ingatanku..

———————————————————————
-SEKIAN: ‘Inspirasi Hati‘ (adaptasi lagu nasyid DeHearty)-

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: