Jeriji Kasih

Janah

Menikmati senyum mentari dari celah-celah batu angin di dalam ruang sempit itu sudah cukup membahagiakan aku. Biar tidak lagi berpeluang menatap senyuman sang suria dan menikmati kesegaran bening pagi, aku tetap bersyukur. Aku puas kerana dapat menikmati erti bebas. Memang pada pandangan dasarnya aku terkurung dan tersisih dari dunia luar namun pada hakikatnya aku bebas sebebasnya.

Kamar sempit dan suram ini ibarat syurga buatku. Tembok tinggi dan jeriji-jeriji besi yang menggerunkan pandangan mata bagaikan sudah sebati dengan jiwaku. Tidak pernah ada kalimah kesal dalam kamus hidupku meskipun terpaksa menghabiskan sisa usia ini di dalam dunia serba terkongkong. Aku benar-benar mengecapi erti kedamaian yang selama ini kudambakan.
Biar apa orang kata, persetan kepada mereka……….. aku tidak peduli. Yang penting hatiku puas, ya puas sekali. Walau dituduh perempuan kejam, aku terima. Biarpun dikata sadis, juga aku rela. Segunung cacian, selaut makian atau selangit kutukan pun sanggup aku kendong, aku redha atas ketentuan itu. Bagiku, apapun umpat keji dan tuduhan umat Adam terhadapku, semuanya tidak penting. Yang merasa, yang menanggung, yang merintih dan menggalas segala beban keperitan itu adalah diriku sendiri. Tika aku memerlukan perlindungan, tiada siapa yang menghiraukan. Aku terkial-kial sendiri menongkah onak dan duri mencari jalan keluar sendiri. Masyarakat hanya tahu menuding jari bila aku melakukan kesalahan, pun tiada siapa yang tahu apa yang sebenarnya tersirat di sebalik tembok kehidupanku selama ini.

Perlahan-lahan aku bangkit, berkeriut bunyi katil besi yang sudah separa usang itu. Kuhayunkan kedua belah tangan ke depan dan ke belakang berulang kali. Matanku terhenti pada parut-parut luka yang menghiasi kedua belah lengan yang terdedah. Tiba-tiba hati ini dipagut pilu, jiwaku bagai disayat sembilu. Waima senakal manapun semasa kecil dahulu, tidak pernah sekalipun aku menerima tanda-tanda seperti itu sebagai hukuman. Tidak menduga tidak menyangka, lafaz ijab dan kabul yang penuh keramat itu adalah permulaan sumpah jahanam kehidupanku. Kaca-kaca jernih mula bergenang di tubir mata……. biar rasa terkilan, pun tiada maknanya ketika ini.

Kuhenyakkan semula punggung di birai katil. Terasa ada gerakan-gerakan kecil dari dalam perutku. Pantas tanganku mengurut lembut perut yang semakin memboyot.

“Sudah suratan nasibmu begini nak. Maafkan mama….” bisikku sendiri.

Pipiku sudah dicemari air jernih yang turun semakin laju. Terlepas juga esak yang terhenti-henti dari kedua belah bibirku yang kering merekah. Argh!! Aku tidak akan menyerah kalah begitu mudah. Aku harus kuat dan berani menghadapi hari-hari yang bakal mendatang biarpun ia tidak menjanjikan apa-apa. Demi anak yang bakal lahir ini, aku perlu terus mempertahankan hak yang telah lama dirampas dan dipijak oleh seorang lelaki bergelar suami. Mungkin orang tidak percaya yang segala bekas luka dan parut ditubuh ini adalah hasil tangan Shakir. Tapi itulah kenyataannya.

Tiga tahun aku terseksa, selama itu aku merana….. memang bukan jangkamasa yang pendek. Sepanjang itulah aku menerima apa saja buah tangan dari lelaki durjana bernama Ahmad Shakir, lelaki yang tidak layak menjawat gelaran suci seorang “suami”. Kerana ketaksuban abah kepada pangkat dan harta kekayaan Syakir, aku menjadi mangsa. Abah khayal diulit timbunan duit dan kesenangan yang dicurahkan Syakir hingga sanggup menutup mata, hati dan fikirannya dari menilai peribadi sebenar Syakir. Bukan abah tidak tahu siapa Ahmad Syakir Bin Dato Jamaludin, kaki perempuan, kaki botol dan entah kaki-kaki apa lagi. Bagi abah wang dan kekayaan adalah segala-galanya hingga sanggup menukar ganti dengan satu-satunya zuriat keturunannya. Bukan aku tidak mahu melawan. Tapi aku tidak sanggup bergelar anak derhaka sedangkan tiada lagi payung kasihku di dunia ini selain abah. Aku tidak tegar untuk menolak kemahuan abah meskipun hati ini remuk tidak terkira. Menerima jodoh yang di atur abah bermakna aku mengecewakan dua jiwa. Tapi apalah dayaku………

**********************************

“Abah dah terima pinangan dari Dato Jamal. Abah dah suruh mak long buat persiapan apa yang patut,” keras bicara abah pada suatu petang sekembalinya aku dari kerja.

Belum lagi kering peluh yang merecik di dahi ini, kata-kata abah bagaikan halilintar menyambar tangkai jantungku.

“Kenapa abah buat keputusan terburu-buru? Kenapa abah tak tanya Rin dulu…?” soalku agak kecewa.

“Sejak bila pula abah perlu minta izin dari kau. Apa yang kau nak tunggu lagi…? Nak harap pada budak Hisyam tu, jangan mimpilah!! Nak beli alas kaki aku pun tak cukup!” jerkah abah dengan mata membuntang.

“Kenapa abah nak hina Hisyam? Walaupun dia miskin, tapi dia lebih baik dari anak Dato Jamal tu. Rin tak mahu suami seperti Syakir tu abah, tolonglah…..” aku merayu lagi.

“Apa yang engkau gila sangat pada si Hisyam tu hah? Apa yang dia boleh beri pada kau? Satu habuk pun tak de. Raziz lebih kaya, engkau tak perlu bersusah payah kerja bila dah kahwin nanti. Semuanya cukup. Aku pun boleh menumpang senang.” Abah menegakkan pendapatnya.

“Kaya saja tak cukup abah…..”

Belum sempat aku meneruskan kata-kata, satu tamparan kuat hinggap di pipi kirinya. Cecair pekat merah keluar dari celah bibir.

“Engkau jangan nak tunjuk pandai dengan aku. Aku mahu engkau kahwin dengan Raziz, noktah. Kalau aku tau kau berhubung lagi dengan budak Hisyam keparat tu, nahas aku kerjakan kau dua orang!!” jerit abah sambil menumbuk meja.

Aku terus lari ke biliknya. Dadanya benar-benar sesak. Fikirannya sarat dengan pelbagai kemungkinan. Airmatanya berhamburan mengenangkan sikap abah yang tidak berhati perut. Ya Allah, berilah aku petunjuk agar bisa menghadapi dugaanmu ini.

“Maafkan aku, Syam…”

**********************************

Di awal perkahwinan, Syakir menunjukkan kebaikannya. Ahmad Syakir Dato Jamaludin seolah-olah baru dilahirkan ke dunia. Dia romantik, berbudi bahasa dan lembut melayanku. Biar hati ini hancur, aku cuba untuk menerima Syakir seadanya. Aku pasrah pada takdir jodohnya. Pun, disangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Perubahan Syakir tidak lama, masuk bulan ketiga segalanya bertukar wajah. Syakir mula liar semula, acapkali pulang lewat malam beserta mulut berbau arak dan bekas gincu beraneka warna melekap di baju. Pantang ditanya, maka penampar dan terajang menjadi jawapannya. Lantas kubiarkan saja Syakir menari bersama alunan muzik hidupnya. Kesepian dan kekosongan semakin menggigit mencengkam jiwaku. Aku terkurung di dalam sangkar emas yang penuh dengan kesakitan. Setelah sekian lama menanti, aku disahkan mengandung. Tentunya ia satu rahmat kurniaan yang tidak ternilai bagiku, pun bukan bagi Syakir. Dia tidak mahu menerima benih yang semakin membesar di dalam rahimku. Dia mahu aku menggugurkan kandungan ini dengan alasan dia masih terlalu muda untuk bergelar ayah. Aahh!! Suami apa itu?? Setelah kemanisannya engkau teguk, tapi hasilnya mahu kau buang bagai barang tidak berharga! Aku benar-benar buntu dan hilang punca. Pun kubulatkan tekad biar apapun yang terjadi, anak ini berhak untuk hidup meskipun tanpa seorang ayah. Kerana kedegilan itu, bermulalah episod-episod sedih dalam hidupku. Hari-hari yang kulalui dihidangkan dengan kata cerca, dibelai dengan tampar terajang Syakir, dilayan bagai perempuan jalang layaknya. Kerana tidak tertahan lagi dek perbuatan Syakir, aku melarikan diri ke rumah abah. Namun kepulanganku kerumah abah disambut dengan sumpah seranah dan maki hamun. Kata abah aku hanya memalukan keluarga dan keturunannya.

Fitnah dan hasutan Syakir memenuhi ruang minda abah hingga tidak dapat membezakan mana yang salah dan mana yang benar. Aku dipaksa kembali semula ke rumah neraka itu. Semakin galaklah perlakuan ganas Syakir terhadapku. Aku seolah-olah boneka yang dijadikan tempat melepaskan geram dan marahnya yang tidak bertepi. Pun kesabaranku ada batasnya. Hinggalah pada suatu malam, Syakir yang seperti dirasuk syaitan membelasahku hanya kerana ada orang menyampaikan padanya aku menjalinkan hubungan dengan Hisyam. Memang aku akui ada bertemu dengan Hisyam tetapi itupun secara kebetulan kerana Hisyam bertugas di hospital tempat aku menjalani pemeriksaan kandungan. Sungguh mati aku tidak tahu Hisyam bertugas di situ. Syakir menendang-nendang perutku sambil menjerit-jerit mengatakan bahawa anak itu adalah hasil mukahku bersama Hisyam.

Astaghfirullah…… sehingga begitu sekali hinanya aku di mata Syakir? Entah dari mana kekuatan untuk melawan itu datang, aku sendiri tidak pasti. Sekelip mata gunting di atas meja berada di dalam genggaman. Dan tanpa sedar, perut Syakir bocor kutusuk dengan gunting berulang kali. Bukan niatku untuk bertindak demikian namun Syakir yang sengaja mengocak kolam kesabaranku yang sudak sekian lama pecah melimpah. Tiada setitis pun airmataku yang tumpah tatkala melihat Syakir meraung kesakitan. Usah kata ketakutan hatta simpatipun tidak terbit dari perasaanku. Tuhan maha berkuasa….. umur Syakir masih panjang. Tapi dia lumpuh separuh badan, pergerakannya terpaksa bergantung kepada kerusi roda. Dan aku di sini mejalani hukuman duniawi. Pun aku bersyukur ke hadrat Allah kerana dikurniakan kudrat mempertahankan hakku yang satu ini……

Semoga masih ada harapan di luar sana.

3 Respons

  1. pembahasaan yg bagus!saya amat berpuas hati!

  2. cerita yg menyayat hati…bagus

  3. wanita harus mempertahankan haknya…kenapalah pendam masalah … bila meletup tindakan dah parah… cuba gi pej.agama atau buat laporan polis… untuk semua wanita bagi mempertahankan hak perlu di tempat yang betul dan sah

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: