Orang sebelah 1

Suria Shafie

“Mak… tolonglah jangan paksa Fitriah. Fitriah tak mahu!!” Bentakku dengan wajah masam mencuka. Ganggang telefon yang melekap di telinga, kurasakan begitu panas. Aku menumbuk-numbuk dinding bersebelahan dengan meja kecil yang mana telefon terletak di atasnya.

“Bila lagi? Nak tunggu apa lagi? Umur kau pun dah dekat tiga puluh tahun. Masuk nie, dah lima kali. Malu mak nanti!!” Emak membebal panjang. Aku mengeluh perlahan. Aku menggaru-garu lenganku.

“Fitriah…” Ayatku mati di situ.

“Apa? Kau tunggu orang sebelah rumah kita nie lagi?” Soalan emak menyentak jantungku. Aku tersengih sumbing. Kali ini aku menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal.

Di mataku terbayang wajah Hairi, jiran sebelah rumahku di kampung. Dulu kami pernah rapat, namun belum pun sempat janji diikat ianya sudah terputus. Walaupun begitu, kami tetap mesra. Tiada kata yang pernah diluahkan kerana masing-masing tahu perasaan sendiri. Hanya sendiri yang memahami maksud yang tersirat di dalam hati masing-masing.

Teringat lagi aku sewaktu berbual-bual kosong dengan emak lima tahun yang lalu. Gara-gara majlis perkahwinan sepupuku, aku juga turut terkena tempiasnya. Semua orang sibuk bertanya bila aku hendak naik pelamin.

“Fitriah, kalau nak cari suami… carilah lelaki yang baik, sayang pada Fitriah, taat pada ALLAH dan sentiasa ambil berat pada orang tua.” Ucap emak sewaktu aku sedang sibuk memasukkan telur rebus ke dalam kotak-kotak kecil yang bakal diberikan kepada tetamu-tetamu esok.

“InsyaALLAH mak…” Balasku tersipu-sipu malu.

“Fitriah dah ada calon? Kalau ada, kenalkanlah pada mak.” Emak seperti mengumpan aku. Aku pula tidak menjawab, sebaliknya hanya tersengih.

“Nie senyum-senyum nie, mesti dah ada…” Usik emak kepadaku. Di fikiranku terbayang wajah Hairi yang baru kutemui sebentar tadi. Waktu sekarang mungkin dia sedang sibuk membantu mengacau lauk di dalam kawah atau menggodak gulai. Dia turut sama menyumbang keringat dalam majlis perkahwinan sepupuku ini. Adat orang hidup sekampung. Bila ada kenduri-kendara, saling tolong-menolong. Tambahan pula rumah kami bukannya jauh, sebelah rumah saja.

“Ish… tak adalah.” Jawabku perlahan. Pipiku sudah merah menahan malu. Kukilas ke wajah emak di sebelahku. Dia hanya tersenyum.

Suasana senyap seketika. Aku pula tekun menyiapkan kerjaku.

“Ermm… mak!” Panggilku sambil memandang tepat ke wajahnya.

“Ada apa?” Emak menyoal aku.

“Kalau Fitriah kawan dengan orang sebelah tu… mak suka tak?” Takut-takut aku mengeluarkan kata-kata. Aku melihat matanya terbeliak besar. Seperti terkejutkan hantu.

“Orang sebelah? Siapa?” Nada suara emak bertukar. Tegas!

“Orang sebelah…” Jawabku sambil memuncungkan bibirku ke sebelah kiri, ke arah rumah Hairi.

Emak mendengus tiba-tiba. Aku mula cuak. Mengapa pula nie?

“Hairi yang Fitriah maksudkan?” Soal emak tidak puas hati. Aku mengangguk cepat.

“Mak bukan tak sukakan Hairi tu. Dia baik, cuma mak tak berapa suka dengan perangai emak dia. Fitriah sendiri tahukan perangai mak si Hairi tu. Suka sangat membangga-banggakan anak dia. Lepas tu suka sangat menyibuk hal orang lain.” Emak mengeluh perlahan. Hatiku tiba-tiba saja menjadi sayu. Nampaknya tak ada harapanlah aku ingin bersama dengan Hairi. Awal-awal lagi emak dah reject.

Dan sejak hari itu, aku cuba melupakan tentang perasaan aku terhadap Hairi. Tetapi aku tak berjaya. Aku semakin sayang padanya. Namun begitu, aku yakin bahawa kami masih mempunyai peluang untuk bersama iaitu dengan bersabar. Walaupun begitu aku lebih mengutamakan keluarga. Biarlah aku korbankan kasih sayang aku pada Hairi untuk sementara waktu asalkan itu memuaskan hati mereka dan aku tidak mahu ‘dicap’ sebagai anak derhaka.

Walaupun antara aku dan Hairi, tiada ada apa yang pasti dalam perhubungan kami, aku seakan yakin dengan hati ini. Aku yakin, dia turut merasakan apa yang aku rasa. Cuma masing-masing tidak meluahkan perasaan itu. Aku mengatakan begitu kerana Hairi memang amat rapat dengan diriku. Walaupun kami berjauhan namun sebulan sekali, dia sanggup turun ke ibukota semata-mata untuk berjumpa denganku. Bilaku tanya mengapa dia sanggup bersusah-payah begitu, dengan senyuman dia akan berkata, “Rindu…” Hai… terasa cair perasaan aku apabila dia mengungkapkan kata ‘rindu’ itu.

Tapi, aku bukannya mahu mengalah begitu saja. Aku seakan membalas dendam pada emak secara halus. Masuk kali ini sudah lima kali rombongan peminangan dihantar ke rumah. Namun, semuanya aku tolak dengan alasan belum bersedia. Padahal dalam hati aku, Hairi tetap menjadi pilihan. Hmmm… emak pun seakan faham mengapa aku menolak semua peminangan tersebut. Semuanya kerana ‘orang sebelah’. Aku ketawa kecil.

“Hah! Apa yang kau ketawakan tu?” Suara emak yang menerpa ke corong telingaku, menyentakkan aku dari lamunan panjang.

“Tak ada apa-apa. Mak… cakap saja Fitriah tak bersedia lagi.”

“Fitriah… Fitriah… sampai bila kau nak bersedia? Bila ‘orang sebelah’ tu yang datang meminang?” Sekali lagi emak menyindirku. Aku mula bosan. Aku hanya mendiamkan diri. Malas mahu membalas kata-kata emak. Jika boleh aku mahu menamatkan panggilan itu sekarang juga, namun tidak mahu dikata anak kurang ajar.

“Baiklah… kalau dah tak mahu, nak buat apa? Bukan mak yang nak kahwin, kau juga! Ini kali terakhir mak ikut cakap kau Fitriah. Lepas nie, kalau ada siapa-siapa yang masuk meminang kau… mak terima saja!” Ugut emak dan serentak dengan itu emak meletakkan ganggang dan talian telefon terputus begitu saja. Aku terkedu sendirian…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: