Orang sebelah 2

Suria Shafie

Aku bertugas sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah rendah di ibukota. Memang amat jarang aku pulang ke kampung. Cuma apabila cuti sekolah saja aku menjengukkan diri ke kampung. Lagipun aku runsing dengan pertanyaan-pertanyaan saudaraku. Semuanya seakan mendesak aku menamatkan zaman bujangku.

Aku mengurut dahiku yang terasa berdenyut-denyut. Mungkin terlalu memikirkan tentang emak. Aku mengeluh perlahan sambil mataku menatap buku kerja anak muridku.

“Hai… banyak hutangkah Fitriah? Sampai berkerut-kerut dahi.” Kedengaran suara Cikgu Sabri menyapaku dari belakang.

“Tak adalah cikgu, kepala sakit sikit. Agaknya tak cukup tidur…” Balasku tanpa berpaling kepada Cikgu Sabri.

“Aik? Apa kau buat sampai tak cukup tidur? Nak kata ada suami, masih bujang. Nak kata ada anak, tak nampak pula kau mengandung!” Sinis sekali sindiran Cikgu Sabri. Telingaku terasa panas. Hish… dia nie. Semenjak aku tolak pinangan dia dua tahun lalu, asyik nak mengenakan aku saja. Pergilah cari perempuan lain. Bukan aku seorang perempuan kat Malaysia nie!!

“Cikgu Sabri, tak semestinya orang yang tidur lewat ada anak dan suami. Kenapa, orang bujang macam saya tak boleh tidur lewat?” Suaraku sedikit meninggi. Ketika itu hanya ada beberapa orang guru sahaja di dalam bilik guru itu.

“Bukan begitu…”

Belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, aku cepat memintas.

“Haa… jadi, cikgu jangan nak menyibuk hal saya. Ikut suka sayalah nak tidur lewat ke… tidur awal ke… atau tak tidur langsung. Lagipun tak baik jaga tepi kain orang sedang kain sendiri koyak rabak.” Aku menghempaskan pen dan kemudian mengambil buku lalu terus bangun dan beredar menuju ke kelas.

Puas hati aku dapat mengenakan dia. semenjak aku menolak pinangannya, dia seolah-olah menganggap aku sebagai musuhnya. Sejak dia masuk ke sekolah ini, aku tahu dia menaruh perasaan padaku. Tetapi, aku cuba melayannya sebiasa yang mungkin. Entah bagaimana dia boleh menyalah tafsirkan layanan aku terhadapnya. Ish… susahnya bila ada orang yang cepat
perasan!!!

*****

“Lisa, aku rasa mak aku marahkan akulah.” Rungutku pada satu petang sewaktu kami sedang berjoging di sekitar taman perumahan tempat kami menyewa.

“Kenapa pula?” Soal Lisa kehairanan.

“Dua bulan lepas, ada orang masuk meminang aku. Aku tolak. Mak aku marah sampai dia hempaskan telefon.” Aku berterus-terang dengan Lisa tentang masalah aku. Aku akui, aku tidak pernah rasa bersalah sebegini sebelum ini. Walaupun peristiwa itu sudah dua bulan berlalu, namun ianya masih menghantui hingga kini. Entahlah!

“Hai… lakunya kau ye! Masuk nie kalau tak silap aku, dah lima kali kena pinang tapi semuanya kau tolak. Kau nak tunggu siapa? Kau nak tunggu putera raja datang meminang kau?” Gurau Lisa lalu ketawa besar. Aku turut sama ketawa.

“Eh, kalau betul putera raja datang meminang aku… kau pun untung juga.”

“Kenapa pula?”

“Aku akan ambil kau jadi pengapit aku. Kemudian kenduri kahwin mesti 40 hari 40 malam. Kalau nasib kau baik, manalah tahu ada adik putera raja tu berkenan pada kau, haa… berbiraslah kita nanti.” Aku ketawa besar melihat wajah masam Lisa kerana dipermainkan oleh aku.

“Perasan!!” Cebik Lisa kepadaku. Aku hanya tersengih.

Kami berhenti berlari lalu melepaskan lelah di bangku. Aku mengesat peluh yang membasahi wajahku. Lisa pula sedang melakukan senaman ringan di hadapanku. Aku sudah tidak mampu untuk berlari walau semeter lagipun. Memang aku jarang bersenam. Tambahan hari minggu begini, aku lebih suka menghabiskan waktu dengan tidur.

“Tak baik kau asyik menolak hajat orang Fitriah. Apa lagi yang kau tunggu? Orang sebelah rumah kau tu?” Lisa pun tahu mengenai Hairi. Antara aku dan dia memang tiada rahsia. Kami memang rapat sejak zaman belajar di maktab lagi. Untungnya selepas habis belajar, kami ditempatkan di sekolah yang sama.

“Habis tu, takkan kau nak aku terima semua hajat orang. Teruklah aku. Aku bukannya lelaki, yang boleh kahwin sampai empat.”

“Aku tak kata begitu. Cuma, sikap kau yang selalu sangat menghampakan harapan orang, itu yang aku kurang gemar.”

“Kahwin sekali seumur hidup Lisa. Kalau boleh aku mahu hidup bersama dengan orang yang aku cinta. Aku tahu, cinta dan kasih itu akan hadir selepas berkahwin tapi masalahnya sekarang hati aku sudah dimiliki oleh lelaki lain. Mana mungkin aku dapat menerima lelaki lain dalam hidup aku. Kau bayangkan aku kahwin dengan lelaki lain dan lelaki yang aku sayang pula berada di sebelah rumah aku saja. Hah, aku mungkin akan hilang akal bila tiba masa bernikah nanti. Silap haribulan, aku lari time majlis pernikahan itu nanti.” Begitu panjang lebar aku meluahkan rasa yang terpendam di hati sekian lama ini.

“Betul juga kata kau. Tapi, kau fikirkanlah tentang emak dan abah kau. Sanggup kau lukakan hati mereka semata-mata mempertahan kasih dan sayang kau yang belum pasti berbalas pada Hairi tu?”

Pertanyaan Lisa seakan menyentapkan jantungku. Lidahku kelu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: