cerpen : Tak Mampu Gapai Pelangi

huggy_aerwen

Dia mengeluh lagi. Keluhan kali ini bukan kerana penat. Bukan juga kerana letih. Keluhan kali ini atas rasa sedih. Habis sudah ikhtiar diri agar tidak dijadikan musuh malahan sepanjang tempoh perkenalannya dengan wanita itu dia lebih banyak beralah. Dia tahu di mana letaknya duduk bangun diri di mata wanita yang hampir sebaya ibunya sendiri. Sudah tertanam rasa hormat setinggi itu buat wanita yang acapkali mencari setiap kesalahan diri.

Seolah tiada ada hatta satu perkara pun yang betul yang mampu dilakukannya sendiri. Selama itu jugalah dia banyak memendam perasaan. Airmatanya sudah tidak terkira di curahkan namun segalanya di sembunyi rapi di sebalik senyuman mans yang di paparkan buat si dia yang tersayang. Setiap kali di tanya mengenai hubungannya dengan wanita itu, dia hanya gemar mendiamkan diri dan mengelakkan dirinya daripada menjawab.

“ Kakak kacau Lisa lagi?”, tanya lelaki itu lembut.

“ Takde. Lama dah tak dengar cerita tentang dia……Tak baik syak wasangka terhadap Kakak, Bang”, jawabnya sambil mengelus lembut rambut lelaki yang sedang asyik membaca suratkhabar di atas pangkuan ribanya. Pada lelaki itulah tertumpahnya semua rasa cinta kasih sayang seorang isteri yang sentiasa mengharapkan restu dari suaminya.

*************************************************

Pernikahannya dengan lelaki itu hampir 6 tahun yang lepas mengejutkan semua pihak, lebih- lebih lagi Abah dan Emak yang agak terpukul dengan jejaka pilihannya. Puas sudah di herdik, di marah dan di maki oleh mereka di sekelilingnya, namun keputusan tidak berganjak. Hatinya terpaut sudah dengan lelaki bernama Harryth Daniel bin Ku Johari, seorang pilot berusia 46 tahun dari seberang Tambak Johor.

“Astaghfirullahal’Azim, Lisa…Mana Abah dan Emak nak letak muka? Daniel yang kau tergila- gilakan sangat tu dah tua benar. Hampir sama baya dengan Abah!!!! Sudahlah begitu, apa kau dah hilang akal ke menyua diri nak jadi isteri kedua???Apa nak jadi dengan kau ni, Lisa…Kau dah buang tebiat? Hah! Apa dah takde jantan lain dah yang boleh nak kau jadikan suami? Apa…Sebab dia bagi kau rantai emas seutas dua, cincin emas, itu ini yang buatkan kau jatuh cinta? Kau fikirlah..Kau tu muda lagi, apa yang kau nak sangat kat dia tuh??”, jerit emak.

Saat itu, tidak tahu dari mana datang sumber keberaniannya menghadapi wajah menyinga emak. Sumpah bukan niatnya mahu melawan ibunya sendiri yang melahirkannya, yang selama ini bersusah- payah membesarkan dan menyayangi diri ini sepenuh hati. Abah sudah lama tidak mahu bercakap dengannya. Jangankan hendak bersapa, menatap wajahnya langsunglah tidak sejak nama Daniel di bangkitkan. Lisa berani menatap mata emak, seolah- olah sedang mencari kelembutan seorang ibu di sebalik ketegasan yang cuba emak tunjukkan sekarang. Namun dia hampa, emak benar- benar mengamuk saat ini dan langsung tidak memberikan peluang untuk dia mempertahankan diri.

Esoknya selesai kelas di Bukit Jalil, Harryth menjemputnya di kampus. Meskipun penatnya masih berbaki setelah selesai mengemudi penerbangan dari Kota London- Kuala Lumpur, dia masih mampu mencuri masa mengunjungi Lisa di kampus saat libur. Dari kafeteria jelas ternampak kelibat Mercedes M- series, kereta mewah pacuan empat roda kepunyaan kekasih hati. Jika selama ini, kehadiran lelaki itu di sambut meriah dan sebaiknya, hari ini seolah- olah hilang sudah semangat diri.

Pintu kereta di kuak dan punggungnya di labuh perlahan. Mulutnya membisu. Daniel juga diam membisu,seolah- olah cuba memahami apa yang sedang bermain di benak hati wanita muda itu.

“ Semalam Lisa bertelagah dengan emak”, katanya mendatar.

“ Pasal Daniel lagi?”, soal lelaki itu lembut.

“ Lisa buntu Nel. Apa lagi yang tak kena, Nel? Apa yang buruk sangat mengenai Nel yang mereka langsung tak boleh nak di bawa berbincang mengenai kita? Lisa bukannya nak buat benda jahat kan? Lisa cuma nak ikatan cinta kita ni disahkan mengikut hukum, sebagaimana sepatutnya..Salah ke apa yang Lisa minta, Nel?”, jawabnya sambil mula menahan sebak. Pandangan di lontar ke luar tingkap. Seboleh- bolehnya dia tidak mahu Daniel melihatnya dalam keadaan rapuh begini.

“ Nel yang mungkin tak sedar diri.Mengharapkan agar diri Nel di terima mudah oleh ibubapa Lisa. Nel dah katakan, mereka takkan setuju dengan hubungan kita. Lisa…I am as old as your father. Kita takkan dapat menutup mulut orang mengata yang bukan- bukan terhadap famili Lisa, sayang”,lelaki itu berkata lesu.

Lisa hanya mendiamkan diri. Membatu.

Saat sampai di depan pagar rumah, alangkah hancurnya hati. Beg baju dan kotak barangan miliknya sudah siap tersusun di luar rumah. Lisa kelu. Fahamlah sudah apa yang di katakan oleh emak malam tadi bukanlah satu gurauan.

“ Kalau betul kau dah gilakan sangat jantan tu, aku tak larat dah nak halang kau dengan peel keras kepala kau tu. Kau berkeras sangat nak menikah dengan dia, kau jangan jejak lagi rumah aku!!!!”.

Dengan perlahan, digagahkan kaki mengatur langkah ke arah barangannya dan cuba untuk memunggahnya satu persatu ke dalam kereta. Air matanya cuba di seka menggunakan hujung baju kurung kedahnya. Daniel tidak mampu berkata apa, namun tangannya menghalang saat Lisa cuba mengangkat barangannya sendiri.

“Sudahlah, Lisa. Biar Nel angkatkan. Lisa duduk dalam kereta”, katanya memujuk.

Saat diri di dalam perut kereta, dia bagaikan terlihat kelibat emak di tingkap sebelum emak laju menutup langsir cepat, menunjukkan rasa benci. Emak…………………………

*************************************************

3 bulan selepas kejadian itu, dia selamat di ijabkabulkan berwalikan wali hakim setelah Abah langsung tidak mahu berganjak tidak mahu menikahkan mereka. Meskipun majlis berlangsung meriah namun hati kecilnya meraung tika menyedari bahawa Abah dan Emak takkan lagi menerima diri.

Daniel sendiri rasa bersalah. Namun takdir Tuhan menjanjikan bahawa mereka akan bersama sebagai suami isteri. Kun fayakun….Apa yang terjadi, akan tetap terjadi. Hatinya juga hancur mengenangkan diri isterinya kini yang terbuang dek hanya kerana menyintai dirinya. ‘Abang takkan sia- siakan Lisa, sayang’, janjinya teguh. Sebagai anak, Daniel juga faham akan perasaan seorang anak yang disisih keluarga sendiri. Dia juga kagum dengan Lisa yang semakin kuat menempuhi kenyataan bahawa kini dia berdiri di atas dua kakinya sendiri dan dia tekad mahu sentiasa menyokong Lisa agar tercapai cita- citanya suatu hari nanti.

Daniel sendiri tidak mahu Lisa melayan perasaan, maka setelah selesai tempoh ‘honeymoon’ mereka Daniel terus membelikan sebuah kondo buat Lisa di ibu kota yang terletak betul- betul di belakang Hotel Vistana. Kondo mewah itu terletak agak jauh dari Bukit Jalil namun segalanya bukan suatu masalah kerana stesen LRT menghubungkan Jalan Pahang dan Bukit Jalil dalam masa tidak sampai 15 minit. Sekurang- kurangnya Lisa tidak perlu berpanas, berhujan membawa kereta di dalam kesesakan lalulintas di kota kosmopolitan itu.

*************************************************

“Ni rumah Lisa sekarang. Lisa hiaslah ikut citarasa Lisa, ye?”. Dia hanya mengangguk lesu. Tidak di nafikan tanggungjawab sebagai isteri benar- benar merubah rutin sehariannya. Syukurlah juga tugas Daniel sebagai juruterbang membuatkan dia punya ‘ruang’ untuk belajar dan juga menghias kondo pemberian Daniel sebaik mungkin.

Meskipun grednya di Kolej Perubatan Bukit Jalil agak jatuh namun Lisa tetap cuba berusaha keras untuk memperbaiki prestasinya di wad mahupun di kelas. Setiap masa yang terluang digunakan untuk mengulangkaji pelajaran meskipun ada masanya pernah terbetik rasa penat di hati kecilnya itu. Mujur Daniel suami yang memahami. Saat semangatnya patah, lelaki itu sudi memberikan bahunya sebagai andalan penguat, menyuntik motivasi agar Lisa lebih menumpukan perhatian buat pelajaran. Malah saat dia bersengkang mata menelaah, Daniel tidak jemu menemaninya di ruang tamu saat meja makan kondo mereka penuh sarat dengan nota kuliah Lisa. Apatah lagi saat Lisa tidak sempat masak, Daniel lebih dulu laju ke kedai membungkus nasi dan lauk buat mereka berdua.

“ Jangan risau, Lisa. Abang faham Lisa sibuk, sayang”, terang lelaki itu saat Lisa berehat di dalam pelukan mesra Daniel. Dia tahu benar Lisa tenang setip kali dahi isteri mudanya itu di kucup dan saat jemarinya bermain di alis mata bundar itu. Kerap kali juga dia terlena dalam belaian lembut suaminya itu namun Daniel tetap membangunkannya untuk sambung menelaah buku- buku yang masih perlu di baca dan fakta- fakta yang perlu di fahami.

*************************************************

Sambutan hari raya pertama kali sebagai seorang isteri menggugat kedudukannya sebagai isteri. Daniel seolah- olah serba salah. Kak Khairani menuntut tahun itu supaya di sambut bersama di Singapura sedangkan kalau boleh Lisa mahu merayakan hari mulia itu bersama Daniel. Apatahlagi ketika itu, dia tidak lagi di terima keluarga dan hanya Daniel lah keluarga yang ada untuk dirinya. Saat di lihat suami dalam kekalutan, hati kecilnya sebak namun diikuatkan perasaan untuk membantu meringankan bebanan suami.

“Lisa rasa ada baiknya Abang pulang ke Singapura, anak- anak perlukan Abang. Pasti mereka hampa tak dapat bersalaman dengan Abang di pagi raya. Lebih- lebih lagi ni tahun pertama Izzat mahu bersolat di Masjid, kan?”, tanyanya sopan.

“ Kalau Abang balik ke Singapura, Lisa nak sambut raya dengan siapa?”, tanya suaminya kehairanan.

“ Ramai foreign students dari Lebanon dan Afrika yang tak pulang ke kampung. Cuti raya tahun ni pendek, lebih- lebih lagi selesai cuti ada Peperiksaan Profesional Tahun Akhir. Lisa juga perlu belajar. Janganlah Abang risau. Insya-Allah Lisa selamat di sini”, jawabnya memujuk.

“ Biarlah Abang fikirkan dulu 2- 3 hari ni’. Lisa hanya tersenyum sebelum kakinya di atur ke dapur untuk menyiapkan segelas susu suam, minuman kegemaran suaminya sebelum masuk tidur.

Tatkala Daniel selesai mengerjakan solat Isya’ berjemaah pada malam terakhir berpuasa, Lisa laju menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Daniel. Dicium tangan Daniel dan pipi lelaki itu di kucup lembut. Kemudian di ambilnya kedua telapak tangan suaminya lantas di cium mesra sebelum mencium kepala lutut Daniel, kiri dan kanan. Di pohon pada suami agar di ampunkan dosa, di halalkan makan dan minum selama mereka bersama. Menitis juga airmatanya saat itu. Sebak. Sedih mengenangkan Daniel akan memandu berseorangan pulang ke Singapura untuk menyambut Hari Raya bersama keluarga isteri pertama. Perasaannya ketika itu bercampur- baur. Mungkin kerana semangat keibuannya terhadap anak- anak tirinya begitu menebal, dia rela mengalah demi ‘anak- anak Umi’.

*************************************************

Izzatlah anak yang pertama menggelarkan dirinya UMI. Kata Izzat,panggilan Mommy lebih ranggi dan seolah- olah panggilan Mommy begitu cocok dengan ibunya, Puan Khairani. Izzat kata Uztazahnya menerangkan bahawa panggilan Umi itu asalnya ialah dari bahasa Arab yang bermaksud IBU dan kerana Lisa bertudung litup Izzat kata, panggilan Umi sesuai dengan dirinya. Ah! Anak kecil itu begitu nakal namun petah berbicara. Sering dia kehilangan kata- kata setiap kali di ajak berbual dengan anak terunanya yang bakal menginjak ke usia 7 tahun ini.

Iman, 18 pula lebih gemar mendiamkan diri namun suka jika di ajak berbual mengenai agama. Tindakan Iman mengenakan tudung dan baju kurung pada awal tahun baru membuatkan Mommynya tidak senang duduk. Lisa di tuduh cuba mempengaruhi anak- anak untuk mengikut jejak langkahnya dalam pertuturan dan juga pemakaian. Iman lancar menyebut bahawa itu adalah tindakannya, dan bukan atas paksaan isteri muda Daddynya. Namun saat itu jelas kelihatan Kak Khairani memang tidak gemarkan perubahan anak daranya itu. Gadis ayu yang lebih mirip kepada Daddynya mewarisi kulit cerah seperti Kak Khairani, seorang bekas model pada awal tahun 80-an dahulu.Iman jelas kelihatan lebih ayu dan manis berselindung di balik kain tudung menutupi dada dan auratnya.

Saat Ilham, 15 juga mula bertudung, Kak Khairani melancarkan perang besar- besaran terhadapnya. Habis semua koleksi baju- baju Iman dan Ilham yang mahal- mahal dan skirt pendek, baju renang dan segalanya di bakar di dalam tong sampah besar di simpang jalan besar. Mengalir air mata Lisa saat kedua- dua anak daranya iu mengadu lemah tentang tindakan Mommy. Apa sahajalah yang mampu diperkatakan kepada kedua anak daranya itu selain dari bersabar dengan segala dugaan- Nya.

Daniel sendiri mula jarang bertandang ke rumah atas alasan- alasan kecil yang Lisa tahu berpunca dari Kak Khairani. Dia hanya mengiyakan segala kata- kata suaminya kerana tidak mahu lagi menyumbang ke arah tahap keserabutan suaminya dengan karenah isteri yang seorang itu. Pernah sekali Izzat di tampar laju hanya kerana mengatakan bahawa kedua- dua kakaknya lawa bertudung sama sepertinya. Lisa terkedu. Begitu sekali kebencian Kak Khairani pada dirinya?

Bila tiba giliran Daniel menghabiskan masa bersamanya di Kuala Lumpur, anak- anak kerap di bawa sekali. Tidak pernah sekalipun Lisa membangkang. Malah Lisa makin menggalakkan tindakan suaminya itu.

“Abang harap Lisa tak kecil hati Abang bawa anak- anak tanpa bagitau Lisa. Abang tahu patutnya saat- saat begini Abang seharusnya menghabiskan masa dengan Lisa namun Abang kesiankan anak- anak jadi mangsa Kakak yang suka benar melenting tak tentu pasal”, jelas suaminya lemah.

“ Api cemburu masih membara dalam diri Kakak, Bang. Biarlah. Rezeki Lisa juga nampaknya. Dapat juga Lisa capaikan hajat Lisa nak lebih mesra dengan anak- anak”.

*************************************************

Saat kelahiran puteri kembar mereka hampir 5 tahun berumahtangga, RanaFiryal Adiva dan RaykelFildza Amira, dia bersyukur kehadrat-Nya. Lidahnya tidak berhenti memuji kebesaran Ilahi atas kurniannya yang tak terhingga.Iman dan Ilham sendiri tidak putus- putus melayani adik- adik mereka, maklum sahaja saat itu sudah hampir 12 tahun umur si Izzat. Maksudnya sudah hampir 12 tahun mereka tidak dapat bermesra dengan bayi comel lagi mongel seperti Rana dan Raykel.

Izzat sendiri sekarang sudah pandai membahasakan dirinya sebagai Abang kepada dua puteri kembarnya itu. Dicanangnya satu sekolah bahawa dia baru sahaja mendapat adik baru, sepasang kembar comel. Berita kelahiran puterinya itu makin menyemarakkan rasa benci Kak Khairani pada dirinya. Saat suaminya diperlukan di sisi dalam proses pemulihan setelah kelahiran jugalah Kak Khairani meminta yang bukan- bukan. Tiba- tiba dia di kejutkan bahawa mereka sekeluarga akan ke Hawaii pada cuti yang akan datang.

“ Mommy kata sempena hadiah Izzat dapat masuk “Express Class” untuk peperiksaan lepas, Umi”, terang Ilham. Dia hanya terkedu. Takkan Kak Khairani tak tahu sedangkan dia sendiri pernah lalui kelahiran Iman, Ilham dan Izzat bahawa dia masih belum lepas tempoh pantang dan Rana dan Raykel masih terlalu kecil untuk menaiki kapal terbang, apatahlagi untuk jangka masa yang lama. Sedih hatinya namun untuk menghalang suaminya tidak sama sekali.

“ Dia rasa tersisih dengan kehadiran ahli baru kita, Abang. Puaskanlah hatinya. Dia juga mahukan masa bersama- sama Abang dan anak- anak, sayang, katnya memujuk walau hatinya saat itu terguris pedih dek kelakuan madunya sendiri. ‘Inikah padahnya melawan cakap Emak, Ya Allah? Bantulah hamba-Mu ini menghadapi segala dugaan dengan rasa tabah, Ya Allah..Sesungguhnya hnya pada-Mu lah aku bermohon’.

Lisa sendiri gagahkan diri menghantar mereka berempat ke KLIA. Kak Khairani akan menyusul dari Changi dan bakal menyertai suami dan anak- anaknya di Narita kemudian. Walau berat hati Daniel meninggalkan Lisa sendirian, Daniel terpaksa jua pergi kerana telah berjanji dengan Izzat seawal dulu.

“Tak baik memungkiri janji terhadap anak, Abang. Nanti dia akan merasakan bahawa ianya suatu perkara lazim dan akan memungkiri janjinya pula terhadap orang lain. Jangan kita tunjukkan sesuatu yang tidak baik sebagai kebiasaan hidup, sayang”, terangnya perlahan.

Anak- anak menciumi tangan dan pipi tanda hormat buat seorang ibu. Izzat menangis saat mahu berjalan ke arah dewan berlepas. Iman dan Ilham pula seakan memahami hati kecilnya kali ini.

“Umi, Ilham tak mahu ikut tapi Mommy paksa. Umi jangan sedih,ya? Kami pergi tak lama….Nanti Ilham dan Kakak belikan Umi cenderahati dari Hawaii”, pujuk anaknya itu.

“Abang pergi tak lama, Lisa. Dua minggu saja. Insya- Allah belum sempat Lisa rindukan Abang dan anak- anak, kami dah ada di depan mata”, kata Daniel lemah.

“ Insya-Allah…Nanti jangan lupa telefon bila dah selamat sampai ye? Kalau sempat, hantarlah gambar dan berita. Insya-Allah Lisa akan check e-mail. Oh yea, jangan lupa digicam Lisa ada pada Izzat. Janganlah sedih..Umi okay”, katanya ceria, cuba menyembunyikan rasa sedihnya sendiri.

*************************************************

Bila semuanya selamat berada di dewan berlepas, dia mengatur langkah perlahan sambil menyorong stroller berisikan putri kembarnya yang kelihatan sungguh gebu di pakaikan baju sejuk oleh Iman sebelum mereka bertolak dari rumah di Jalan Pahang tadi.

“Nanti adik- adik Kakak sejuk, Umi”.

“Bismillah…………………”

Perjalanan dari KLIA menuju ke rumah agak lama juga dan mungkin kerana esok hari bekerja, tidak begitu banyak kereta yang menghuni Lebuhraya Utara- Selatan malam ini. Sambil memandu, mata Lisa cuba juga mencuri – curi kelibat Rana dan Raykel yang lena di bahagian belakang kereta Lexus Harrier RX 300, hadian pemberian Daniel saat dia berjaya meraih gelaran doktor pakar awal tahun baru- baru ini.

Matanya semakin layu. Digagahkan diri memandu sehingga ke R&R Serdang. Niat di hati mahu minum barang secangkir kopi. Lagipun dia tidak perlu berebut pulang kerana dia yakin saat ini suami dan permata hatinya semua berada di dalam perjalanan ke Narita sebelum meneruskan penerbangan ke New York dan seterusnya ke Hawaii. Namun dia tersentak bila merasakan satu tujahan kuat dari sudut kiri bahagian kereta Lexusnya itu.

“Masya-Allah. Kenapa ni?”, tanyanya panik. Pedal minyak di tekan agar kelajuan kereta Lexus bertambah dan signal dihidupkan, memberitahu bahawa dia mahu ke lorong tengah. Namun tujahan demi tujahan menggoncangkan kereta 4WD itu. Rana dan Raykel terjaga dan menangis kuat saat tidur terganggu. Lisa panik. Ya Allah, Ya Tuhanku..Selamatkanlah hambaMu ini…

Kepalanya di pusing ke belakang mahu melihat anak- anaknya dan belum sempat dia memandang ke hadapan, pemandu di lorong paling kiri menjerit ke arahnya.

“ CAREFUL!!!!!!!!!! THERE’S A BUS IN FRONT OF YOU!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!”.

Stereng di putar dan brek di tekan sepnuh hati dan selepas itu semuanya kelam. Yang jelas kedengaran hanyalah bunyi kaca pecah dan bertaburan, bunyi hon yang semakin membingitkan telinga. Tiada suara Lisa. Tiada tangisan Rana dan Raykel. Tiada. Yang ada hanya kegelapan.

*************************************************

Di Narita, Daniel penat cuba menghubungi Lisa di rumah. Bila tiada siapa pun menjawab panggilan, Daniel cuma mendail nombor telefon bimbit Lisa. Juga tiada jawapan.

“ Daddy!!!!!!”.

“ Kenapa Ilham??”, tanya Daniel cemas.

“ Umi dan adik- adik, Daddy”, jawab Ilham sambil tersedu.

“ Kenapa dengan Umi dan adik- adik?”, tanya Daniel keras.

Izzat yang sudah menangis berat, teresak- esak sambil menarik lengan Daniel, menyuruhnya duduk di kerusi berhadapan dengan monitor komputer di cafe siber yang berada di tingkat 4 Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun itu. Mata Daniel tertancap ke arah cebisan berita di laman rasmi Berita Nasional.

“ DOKTOR PAKAR SARAF DAN DUA BAYI KEMBAR DALAM KEMALANGAN DI SERDANG

Khamis- Seorang doktor pakar saraf dari Ampang Specialist Hospital yang di kenal pasti sebagai DR Halisa Rasydan,31 terlibat di dalam sebuah kemalangan ngeri yang membabitkan kereta yang dipandunya, Lexus RX 300 bernombor plet SBE 2828 hampir bertembung dengan sebuah bas ekspress, Ekspres Sinaran Kota di Lebuhraya Utara- Selatan kawasan Serdang malam tadi. Beliau yang memandu di lorong paling kanan sewaktu kejadian berlaku di laporkan adalah mangsa pembuli jalanraya yang hampir 10 kali melanggarnya dari bahagian belakang kereta.

Seorang saksi berkata kereta Dr Halisa ketika itu sudah terlalu hampir dengan bas Sinaran Kota yang pada ketika itu cuba memotong sebuah kenderaan lain dari lorong paling kanan lebuhraya tersebut. Kereta Lexus Dr Halisa kemudiannya membrek secara terkejut membuatkan kereta itu agak tersasar dari lorong asal lantas berhenti secara mendadak sebelum kelihatan senget and berpusing hampir 3 kali atas kesan impak pemberhentian mengejut dan sistem ABS Lexus RX 300 itu sendiri.

Dr Halisa dan kedua – dua bayi perempuannya yang berusia kurang sebulan di laporkan di hantar ke Hospital Kebangsaan di Cheras dan kini berada di dalam keadaan kritikal. Suami dan juga ahli keluarga terdekat Dr Halisa kini dalam usaha untuk di hubungi oleh pihak berkuasa.Pembuli jalanraya yang di kenalpasti berdasarkan kereta yang dipandu oleh saksi di tempat kejadian dan kini telahpun berada di dalam tahan pihak polis…………………………..”

“Lisa!”.

Daniel hilang arah. Mujur Iman laju mengawal keadaan. Tangannya laju mendail nombor telefon Mommy. Hampa. Tiada siapa di rumah. Di cuba pula menelefon telefon bimbit Mommy yang tentunya mempunyai sistem ‘roaming’ canggih tajaan Singtel, juga tiada jawapan.

“ Daddy, mari kita balik Malaysia. Umi dan adik- adik perlukan kita”. Daniel hanya mampu mengangguk lemah.

*************************************************

Saat Lisa membuka matanya, kedengaran kekecohan para jururawat memanggil doktor, memberitahu bahawa dia sudah sedarkan diri. Matanya melilau memerhatikan sekeliling, mencari- cari wajah yang dikenalinya. Tangannya juga cuba di genggam kuat. Tidak terasa apa. Jarinya dan tanganya yang merupakan asetnya sebagai seorang pakar bedah saraf kini tidak memberi sebarang respon positif. Masya-Allah…..Ya Allah Ya Tuhanku, Janganlah Kau menarik kembali rahmat pemberian-Mu ini dari diriku..Sesungguhnya aku hanyalah insan-Mu yang lemah , Ya Allah……………..

“Umi…Kakak, panggil Daddy. Umi dah sedar!”, jerit suara itu.

“ Lisa ini Abang, Lisa. Daniel. Syukurlah Lisa selamat…Abang dan anak- anak semua risaukan Lisa”.

“Rana………Raykel’, hanya itu yang termampu di keluarkan dari rongga mulutnya.

“Rana dan Raykel selamat sayang. Cuma Rana ada sikit lebam- lebam di tangan dan Raykel patah tangan kirinya but other than that, they’re safe. Syukur”.

*************************************************

“Umi, Izzat cuma nak bagitau Umi polis dah dapat tangkap pemandu yang buat Umi macam ni. Tapi macam mana ek Izzat nak cakap…Izzat takut Umi tak sayang Izzat lagi kalau Izzat bagitau Umi”, kata Izzat sebak setelah hampir 3 minggu Lisa sedarkan diri dan semakin pulih.

“ Takkan lah Umi nak letakkan kesalahan ini semua pada hero Umi yang seorang ni?”, jawabnya cuba bergurau sambil jarinya cuba menggemgam sebiji bola getah yang kenyal sebagai salah satu cara rawatan fisioterapi setelah kemalangan tempohari. Syukurlah jemarinya kini sudah semakin pulih…

“ Umi…….Yang cuba cederakan Umi, Rana dan Raykel ialah Mommy. Mommy Izzat…”, terang anak teruna itu sambil menangis kuat. Berkaca mata Lisa mendengarkan pengakuan luhur anak itu.

Lisa terdiam. ‘Kuat benar rasa bencimu, Kak Khairani? Apa tiada langsungkah perasaan keibuan buat puteri- puteri ku saat kau hampir mahu membunuhku?’

Daniel, bawalah Lisa dan anak- anak pergi. Jelas sudah kini tiada yang indah di sebalik warna itu. Saat ini terbukti bahawa Lisa gagal capai pelangi…..

Satu Respons

  1. cerita yg menarik dan best tapi endingnya yg terakhir sekali tidak berapa jelas maksudnya…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: