Warkah usang buat abang

Abang, Maafkanlah Utih kerana menulis akan warkah ini buat tatapanmu. Tidak pernah Utih terniat untuk menyakiti hatimu yang terlalu besar itu tetapi niat Utih adalah suci kerana Utih tidak sanggup untuk terus berpura-pura dengan kenyataan ini.

Adakah abang tahu bahawa selama ini betapa Utih menderita dengan sesungguhnya. Utih menderita dalam senyuman. Utih tidak sanggup lagi untuk terus menghadapi dan mengharungi akan penderitaan ini. Cukuplah Utih seorang yang menderita, pada ketika itu Utih merasakan bahawa Utih tak mampu untuk melihat ibu dan adik-adik yang bertiga yang masih tidak mengerti apa-apa itu juga turut menderita akan keperitan hidup ini. Utih tak sanggup melihat Acik, Usu dan juga Adik mengalami penderitaan sekejam ini.

Abang tahu tak? Selama ini aruah abah dan ibu sungguh berbangga dengan kejayaan abang, maklumlah anak seorang pengayuh beca boleh menjejakkan kakinya ke pusat pengajian tinggi di luar negara. Aruah abah mencanang-canangkan ke seluruh kampung bahawa anak abah itulah yang paling bertuah sekali dikalangan penduduk di kawasan Kampung Setinggan Roda Tiga. Seboleh-bolehnya aruah abah ingin satu Malaysia mengetahui tentang kejayaan anaknya, kalau kesampaian biar satu dunia pun akan melopong mendengarkan kejayaan abang itu. Dengan mulut yang tersengih-sengih, aruah abah mengharung keperitan hidupnya semata-mata ingin melihat abang berjaya! Apa yang aruah abah inginkan selama ini telah abang capai tetapi Utih merasakan bahawa aruah abah masih lagi berputih mata sekiranya aruah abah masih hidup lagi. Menitis air matanya bila melihatkan kedaifan keluarganya yang masih belum ada pembelaan. Merembes air matanya bila melihat kemewahan hidup abang disamping Kak Erdy. Mungkin sekiranya aruah abah masih bernyawa lagi, kesalannya tidak akan lekang daripada mulutnya mengenangkan masih tuanya yang dibiarkan oleh abang.

Tujuan Utih melayangkan warkah ini adalah sebagai meluahkan segala isi hati yang Utih pendam selama ini. Utih sungguh kesal kerana kelancangan ini kerana Utih sedar bahawa kelancangan ini akan menjauhkan abang dengan Utih serta keluarga lagi tetapi tidak mengapalah abang. Utih ingat lagi pesan ayah yang terakhir. Wasiat ayah yang terakhir buat Utih. Aruah abah meminta Utih menjaga ibu dan juga adik-adik Utih yang bertiga itu. Aruah abah meminta Utih berjanji tidak akan mensia-siakan mereka. Utih pada masa itu hanya mampu termanggu lantaran menganggukkan kepala Utih semata-mata tidak mahu melihat aruah abah merayu-rayu dikali terakhirnya. Utih termanggu dalam sedar bahawa Utih ini menanggung tanggungan yang maha besar sedangkan usia Utih belum pun menjangkau 17 tahun pada ketika itu.

Hati Utih tertanya-tanya kenapa Utih yang dipinta? Kenapa tidak abang selaku anak yang sulung? Sedangkan Utih selama ini adalah anak pungut dalam keluarga ini yang dipilih. Kenapa Utih yang diwasiatkan bebanan ini. Kenapa tidak abang selaku pewaris sulung Keluarga Mohammad Diah. Kenapa anak pungut yang tidak tahu hujung pangkalnya seperti mana yang pernah abang lontarkan kepada Utih tempohari dulu, yang dipilihnya untuk menanggung bebanan ini.

Abang tahu tak betapa ibu bersusah payah untuk menanggung abang di luar negeri sehingga barang-barang kemas pusaka Opah Midah tergadai di Kedai Leong Seng. Ibu sanggup bergadai dan menjual harta pusakanya semata-matanya untuk melihat abang berjaya sehinggakan kerana itulah Utih terpaksa bekerja selepas tamatnya Peperiksaan SPM Utih kerana tidak mahu melihat ibu menderita lagi. Utih sanggup menolak tawaran ke Pusat Pengajian Luar Negeri semata-mata tidak mahu melihat ibu menderita dan terus menanggung penderitaan ini. Biarlah abang mendapat kejayaan abang terlebih dahulu dan memperolehi ijazah yang abang idam-idamkan. Utih sanggup menanti sehingga abang pulang kerana mengikut perkiraan Utih, sudah pastilah abang akan membantu Utih dalam menyara kehidupan Utih di dalam kampus kelak. Tapi sayang impian dan harapan hanya tinggal menjadi abu dan berterbangan Tiada irama yang mengundang kesedihan ini tetapi senandung itulah yang memaksa Utih untuk terus sedar akan kedudukan Utih dan keluarga di sisi abang. Utih dan keluarga bukan lagi menjadi kesayangan abang. Kami telah abang ibaratkan semacam sampah yang tidak berharga sehingga Utih teringat lagi peristiwa di pagi Hari Raya Aidil Fitri setahun yang lepas. Ibu menitiskan air matanya mengenangkan anak yang diharapkannya selama ini rupanya adalah pohon dedalu yang hidupnya tidak layak untuk dikasihani sebaliknya kehidupannya hanyalah untuk menghancurkan kehidupan insan lain. Ibu teresak-esak menangis nasib malangnya bila abang sendiri menghalau ibu dari rumahnya pada malam 27 Ramadhan itu. Adakah dengan kesalahan terpecahkan pasu antik Kak Erdy di ruang tamu itu sehingga abang sanggup memperlakukan ibu sebagai seorang pengemis yang boleh dihalau-halau tanpa ada sebarang kasih dan simpati abang. Hina sangatkah ibu di mata abang? Adakah tinggi nilainya pasu antik tersebut sehinggakan melebihi nilai kasih sayang abang terhadap ibu yang banyak berkorban buat abang selama ini. Tidakkah abang tahu bahawa Syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu. Tidakkah abang tahu betapa remuknya hati ibu sehinggakan kami adik beradik turut menangisi keadaan ibu yang selepas itu demam tak kebah. Seminggu lamanya ibu terlantar kelesuan. Tiada langsung kemeriahan Hari Raya yang dapat kami gambarkan ketika itu. Ibu mungkin terperanjat dengan sikap anak kesayangannya selama ini. Siapa sangka, anak yang dibelai dan dijaga dengan penuh kasih dan sayang itu akhirnya menghalau ibunya sendiri dari rumahnya. Anak yang dijaga dengan penuh kasih dan sayang akhirnya menjadi racun dalam hidup bila ianya tidak tahu membezakan antara pengorbanan suci seorang ibu dengan kasih seorang isteri. Utih sendiri tiada niat untuk menghina kedudukan Kak Erdy tetapi Utih kesal kerana Kak Erdylah abang berubah sikap sehingga kami dipandang jijik di mata abang.

Abang ingat tak lagi, tanggal 7 Februari 1994? Semasa abang meminta ibu mengirimkan sejumlah wang sebanyak RM7,000 bagi tujuan abang kembali ke tanahair, ibu begitu kebingungan bagi mencari wang sebanyak itu itu. Akhirnya ibu bernekad untuk menggadaikan segala harta pusakanya yang masih ada lagi dalam simpanannya itu. Harta Pusaka tinggalan Opah Midah. Tapi tidak cukup dengan itu, ibu merayau-rayau memohon hutang daripada jiran-jiran sebelah menyebelah. Kasihan Utih melihat ibu merayu-rayu jiran terdekat untuk membantu kepulangan abang itu. Dan akhir sekali Utih terpaksa mengeluarkan wang simpanan kerja Utih selama ini yang tidak sampai RM2,000 itu untuk membantu abang. Bukan niat Utih untuk mengungkit-ungkit segala yang Utih serahkan itu tetapi Utih kesal kerana Utih yang selama ini berpenat lelah mengumpul duit bagi tujuan melanjutkan lagi pelajaran setelah sekembalinya abang dari luar negeri akhirnya terkubur begitu sahaja. Mungkin duit tersebut bukannya rezeki Utih tetapi rezeki abang. Tapi Utih sungguh kesal dengan kepulangan abang dengan segulung ijazah itu akhirnya membawa penderitaan kepada Utih dan keluarga. Ibulah orang yang paling sedih dengan kejadian itu. Kegembiraannya hanya seketika dan ianya bertukar menjadi muram apabila melihat abang berjalan keluar daripada lapangan terbang tanpa mempedulikan ibu. Ibu yang bersusah payah datang dari Teluk Intan ke Kuala Lumpur hanya untuk menyambut kepulangan abang tapi malangnya ibu hanya dapat melihat abang sekali imbas kerana abang sudah lupa bahawa abang adalah anaknya. Yang Utih tahu cuma abang bersalam dengan ibu dan kemudian menghala keluar dengan seorang perempuan di sisimu. Akhirnya Utih mendapat tahu bahawa perempuan itu adalah isteri abang yang sah. Yang telah abang nikahi di luar negeri lagi. Yang telah abang nikahi dengan duit yang telah ibu kirimkan tempohari. Rupa-rupanya RM7,000 itu adalah habuan hangus perkahwinan abang dengan Kak Erdy. Tapi kenapa pula abang tidak mahu memperkenalkan Kak Erdy kepada ibu. Abang nampaknya terlampau memandang hina

ke arah ibu mungkin kerana pakaiannya yang tidak sesempurna insan lain yang turut berada di lapangan terbang tersebut. Utih tahu mungkin kerana pakaian ibu tidak menunjukkan bahawa ibu adalah besan Keluarga Datuk Harun, pemilik kilang besi waja di selatan tanah air. Besan ibu pun seolah-olah memandang ibu dengan pandangan yang hina dan seolah-olah ibu ini adalah dari kaum HARIJAN. Abang pun kejam dengan tidak mempedulikan kehadiran ibu. Agaknya abang malu beribukan balu seorang penarik beca? Malu beribukan Hatimah Binti Mohammad. Malu dengan kedaifan ibu. Utih tahu bahawa mungkin abang malu dengan Kak Erdy dan juga keluarga mentua abang yang kaya raya itu lantaran itu tidak layak untuk bersekongkol dengan ibu.

Abang tahu tak, selepas peristiwa itu ibu termangu sendirian umpamakan orang bodoh di ceruk dapur. Utih jugalah yang membantu ibu dalam segala hal. Utih jugalah yang menjadi abah dan ibu kepada Acik, Usu dan Adik. Mereka terlalu kecil untuk mengetahui masalah dunia ini. Mereka masih belum mengerti dengan kehidupan yang penuh kepura-puraan. Seminggu selepas itu, ibu tak habis-habis menangis dan meracau menyebut-yebut nama abah. Nama abang juga tidak lekang daripada mulutnya. Tapi sayangnya walaupun abang telah diberitahu namun bayangan abang tidak kelihatan. Agaknya abang malu untuk menjejakkan kaki abang ke pondok buruk Mohammad Diah lagi. Pondok yang telah uzur keadaannya sehinggakan pondok kambing Pak Leman pun lebih kukuh daripada pondok kami. Utih tahu bahawa abang takut untuk mengotorkan kaki abang ke pondok buruk ini. Siapalah kami di mata abang. Sepi dan tiada berpenghuni. Kami hanyalah sekadar bayangan yang tidak pernah wujud lagi dalam hidup abang sehinggakan abang sanggup membuang kami jauh-jauh.

Abang tahu tak, kehidupan ibu selepas itu tidak tenteram dengan perasaan rindunya yang terlampau mendalam buat abang. Ibu asyik terkenang-kenang abang sehinggakan pada 25 Ramadhan 1994 itulah ibu merayu agar Pak Leman, sepupu aruah ayah mencarikan ibu sebuah teksi untuk ke Kuala Lumpur bagi bertemu dengan abang. Utih tahu tujuan murni ibu adalah semata-mata ingin menjemput abang balik berhari raya tahun ini Biasanya pada ketika inilah ramai insan yang pulang berhari raya ke kampung halaman tetapi malangnya ibu pula yang pergi meninggalkan kami untuk bertemu dengan abang. Tapi abang terlalu kejam sehingga menyebabkan ibu pulang dengan kehampaan dan penuh dengan tangisan air mata. Kami akhirnya merayakan hari lembaran pada tahun itu sama seperti tahun-tahun yang lepas walaupun ibu sering terbayang-bayangkan bahawa Hari Lembaran tahun ini adalah tahun yang paling meriah sekali buat ibu. Maklumlah anak kesayangan ibu akan berhari raya buat pertama kalinya dengan ibu dan keluarga sejak 5 tahun merayakannya di perantauan.

Utih tahu bahawa warkah Utih kali ini memang terlalu kejam dan terlalu perit untuk abang tatap. Bukan niat Utih untuk melukakan hati abang tetapi Utih hanya sekadar ingin melepaskan keluhan yang seringkali ibu hantui diri Utih selama ini. Utih tiada berniat untuk mengungkit-ungkit kejadian itu tetapi Utih sedar bahawa Utih siapalah di dalam keluarga Mohammad Diah, hanya sekadar anak angkat Lainlah abang anak kesayangan aruah abah dan juga ibu.

Abang tahu tak? Siapa yang bersusah payah menjaga abang sewaktu abang kecil sehinggalah mendapat ijazah. Siapa yang paling banyak bergolok dan bergadai? Siapa yang telah menjadi mangsa keadaan? Cuba abang jawabkan pertanyaan ini? Utih sendiri semakin bosan dengan sikap abang. Utih bernekad bahwa Utih tidak punya abang pun di dalam dunia ini lagi. Abang Utih yang bernama Akmaluddin itu telah mati di luar negeri. Abang Utih yang bernama Akmaluddin itu telah terkorban di puncak kejayaannya. Abang Utih yang bernama Akmaluddin itu telah meninggalkan dunia kemiskinan ini. Utih sedih. Utih Kesal. Utih kecewa.

Abang tahu tak? Sekiranya Utih dilahirkan sebagai seorang lelaki sudah pastilah Utih tidak akan menyesali segala tindakan abang itu. Utih mampu menanggung segala tanggungjawab ini tetapi Utih hanyalah seorang perempuan yang lemah untuk menanggung segala tanggungjawab ini. Utih tak layak menjadi abah dan ibu kepada Acik, Usu dan juga Adik. Utih adalah insan yang lemah. Utih tidak berdaya.

Agaknya sememangnya takdir yang menentukan segala-galanya. Abang semakin bongkak dengan kehidupan abang yang mewah. Kami di sini bagaikan melukut di tepi gantang dan tiada siapa yang pedulikan nasib kami. Ibu semakin hari semakin kurang sihat dan kestabilitas hidupnya semakin terancam serta jiwanya semakin gundah. Abang tahu tak selepas itu, kami kehilangan segala-galanya. Kami kehilangan ibu tempat kami bergantung dan kami papa dalam pencarian yang masih jauh lagi.

Pagi itu, ibu menyebut-yebut nama abang di pembaringan. Nafasnya semakin payah dan hidupnya semakin tertekan. Utih menangis semalaman mengenangkan nasib ibu. Agaknya inilah nasib dan ketetapan yang telah Tuhan tetapkan. Utih cuba melawan tapi Utih hanyalah sekadar seorang perempuan dan tidak mampu untuk menangkis segala-galanya. Yang mampu Utih lakukan adalah membacakan surah Yassin di sisi ibu. Acik, Adik dan Usu kelihatan sayu dan sedih. Yang tidak dapat Utih menahan perasaan hati seorang insan yang bergelar perempuan ini apabila Acik terkulai layu di pangkuan Utih setelah melihat bagaimana siksanya panggilan Tuhan itu. Acik terkulai bila melihat mata ibu yang tersengkang melihatkan penderitaan kami dan akhirnya ibu telah pergi buat selama-lamanya. Usu menjerit memanggil nama ibu. Adik bertempiaran lari keluar rumah. Di luar raungan adik semakin galak. Utih hanya mampu mengeluarkan air mata kesedihan dengan penuh kekesalan. Abang tidak mampu menghadirkan diri abang dengan alasan terlalu sibuk dengan urusan perniagaan. Ya, urusan keduniaan abang. Masa itulah Utih tahu bahawa abang Utih tidak pernah wujud dan Utih kini menjadi ibu dan abah kepada Adik, Acik dan Usu. Utih menangis sepuas-puasnya selepas jenazah ibu dibawa ke tanah perkuburan. Utih meraung-raung memanggil nama ibu. Utih dapat merasakan betapa sedih hati seorang ibu yang ingin menatap bayangan anak kesayangannya sebelum ajal memanggilnya. Hati Utih tiba-tiba disentuh oleh seribu kepiluan. Entah mengapa Utih lupa bahawa semua itu suratan Ilahi. Utih lupa bahawa semua itu ketetapan Yang Maha Esa.

Mujurlah Mak Limah dan Mak Esah yang memujuk Utih agar mengucap berbanyak-banyak. Ingat akan Yang Maha Kuasa. Tapi Utih merasakan kegelapan dalam kehidupan Utih sehinggakan Mak Limah dan Mak Esah terpaksa mendakap Utih bagi mententeramkan perasaan Utih. Utih merasakan bahawa kehidupan Utih tamat sampai di sini sahaja. Utih menangis sepuas-puasnya.

Abang tahu tak? Peninggalan Ibu, Utihlah tempat Adik, Acik dan Usu bergantung. Abang tahu tak? Lihatlah kekejaman abang dalam membalas susu yang pernah ibu suapkan ke mulut abang? Lihat sahajalah bagaimana abang membalas laungan Qamat oleh abah di telinga abang sewaktu abang mula melihat cahaya? Abang juga lihatlah bagaimana abang membalas segala jasa-jasa kedua ibu bapa abang?.

Abang tahu tak!!! Utih sudah kehilangan segala-galanya dan kini Utih kesepian dalam memelihara Acik, Adik dan Usu. Utih ingin mendidik mereka agar mereka tahu untuk mengenali dunia ini dan mengenali erti sebuah pengorbanan. Utih ingin mendidik mereka bahawa kepayahan dan kesusahan itulah yang mengajar manusia untuk terus hidup dalam kematangan dan Utih ingin mengajar mereka menghargai pengorbanan ini. Utih ingin mereka lebih berjaya berbanding dengan abang dan Utih ingin segala-galanya buat mereka biarpun Utih yang menderita.

Hanya sekian sahajalah warkah usang Utih buat tatapan abang yang entah jauh dikelilingi oleh kemewahan dunia dan hanyut dalam kemodenan dunia penuh kepalsuan ini. Utih berharap agar segala kata-kata Utih yang tertera di atas warkah usang ini, sekiranya menguris hati abang, anggaplah bahawa itu semua adalah satu kenyataan yang pahit buat abang dan sepatutnya abang telan.

Maafkan Utih, abang!

6 Respons

  1. sungguh menyentuh jiwa & bait2 kata jelas & terang

  2. ada lg ank yg mnderhaka,tak kenang budi mcm 2 yek?erm,2la kcng lupekan kulit…ank2 sekalian..hargailah ibubapa kita..tanpa mereka xlahir kita tau..tata dr-nur-

  3. ya..allah… jadikanlah aku anak yang solehah…

  4. tak baik buat cite camni tau, mengada betoi la korang.

  5. SY PN ADA ADIK YG BJR SMPAI UNIVERSITY….MSA TNGH BLJR PN SY MCM DAH NAMPK DIE MESTI JD MCM ABG UTIH NI….YE LA….DIA LIAT SNGT NAK BLK KG JMP MAK…LGPN…DIA PN ANK KESAYANGAN MAK SY JGK….HEHEHEHHE….

  6. SUNGGUH MENYENTUH PERASAAN..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: