cerpen: esah badang

“Bila kau mula kerja Esah?” tanya Milah sambil mengesat hidung yang dari tadi menitis macam paip rosak.

“Besok aku start. Itu pun kalau aku boleh sedar.”

“Bagus juga kau dah dapat kerja ye? Tak macam aku ni melangut kat rumah tunggu jantan masuk minang… boring ah macam ni,” keluh Milah.

Kau ni Milah, apa yang nak risaukan, bapa kau banyak duit…duduk rumah sudahlah. Lain la macam aku ni, mak bapa aku dah lama lari dari rumah, tinggal aku seorang nak sara diri sendiri. Kalau kurus tak pe juga, …kau tengok je lah saiz aku camner, besar kedobie woi…beras 5 kilo boleh tahan lima hari je,” balas aku selamba.

Milah atau Jamilah ialah kawan baik aku, aku kenal dia kat hospital. Masa tu aku kerja sebagai seorang jururawat, Milah pula pesakit yang aku rawati. Dia masuk hospital pasal overdose.

Dia anak orang kaya tapi tak sombong. Dia baru kecewa ditinggalkan Adam, tunangnya. Aku pun tak tahu apasal si Adam tu tinggalkan dia, padahal Milah ni boleh tahan juga orangnya, ada rupa.

“Oklah Esah, aku pun dah sampai ni, aku balik duluk ye? Nanti besok kau dah balik kerja kau telefon aku ye?”

“Ok , nanti esok aku tepon kau, oh ya hampir aku terlupa…kau cakap dengan adik kau yang aku minat nak join kelas aerobik tempat dia kerja tu, suruh dia ambikkan form ye?” Milah menganggukkan kepalanya sambil tersenyum.

Aku ni memang besar orangnya. Orang kat sini semua panggil aku Esah Badang. Walaupun agak keterlaluan panggilan itu, namun aku sedar, saiz aku yang heavyweight inilah yang membuat aku digelar begitu. Macam-macam gelaran diberi. Aku pernah dengar orang panggil aku Esah Esbok atau Esah WWF. Tapi yang popular ialah Esah Badang.

Sampai hati manusia ni, tidakkah mereka tahu yang aku juga hamba ciptaan Allah seperti mereka? Aku juga punya perasaan dan hati. Kerana saiz aku lain dari yang lain inilah aku diberhentikan kerja sebagai jururawat, mereka takut aku secara tak sengaja terklepet pesakit agaknya, dan kerana saiz inilah aku tidak mempunyai ramai kawan apatah lagi teman lelaki.

Aku tak pernah kenal erti cinta. Aku tak pernah bermimpi akan berkahwin dengan lelaki idaman aku. Aku anggap diri aku ini sebagai antara manusia yang tak ada keistimewaan untuk memilih calon atau bakal suami. Tak macam orang lain, tak berkenan ini boleh pilih yang itu. Aku bukan setakat nak pilih, nak tunggu pun aku rasa sampai kiamat belum tentu datang.

**********

Bunyi jam loceng memecah kesunyian pagi. Aku paksa diri bangun dari katil. First day at work, mesti nak datang awal. Kata orang tu, first impression lasts. Setelah siap menyarungkan uniform kerja berwarna biru nila dengan tag nama yang bertulis Noresah, aku pun keluar dari rumah menaiki kenderaan yang disediakan. Ada sepuluh pekerja baru termasuk aku. Kami dibawa ke sebuah bilek untuk diberi penerangan oleh Penyelia.

Penyelia kami seorang berbangsa Melayu bernama Encik Haikal. Orangnya bengis, misai tebal dan muka banyak berlobang. Setelah diberi penerangan mengenai tugasan yang bakal kami lakukan, Encik Haikal membawa kami semua berkenalan dengan pekerja-pekerja lain.

Aku perasan ada di antara pekerja di situ berbisik sesama sendiri bila melihat aku. Tapi aku buat bodoh je. Bukannya tak biasa aku mendapat perhatian sedemikian rupa. Bila dah selesai, Encik Haikal membiarkan kami dengan tugasan kami.

“Hai, nama saya Noresah, tapi orang panggil saya Esah saja. Errr…saya ni baru kat sini. Awak boleh tak tolong tunjukkan kalau ada bendar yang tak betul?” aku bersuara kat partner aku dalam line tu.

“Nama saya Maimon, tapi panggil Mon je cukup,” jawab Maimon sambil menyambut salaman aku.

“Dah lama Mon kerja kat sini?” tanya aku lagi.

“Dah nak dekat 5 tahun,” katanya lagi.

“Wahh lama juga tu,” jawab aku sambil tersenyum. Aku sudah mendapat teman pertama di kilang itu. Maimon lebih kurang sebaya dengan aku, dia dah kahwin dah ada anak dua pun. Tapi muka dia tak nampak macam wanita yang dah kahwin, badan dia slim.

Dia kenalkan aku dengan member-member dia yang lain waktu makan tengahari.

“You tak diet ke Esah?” soalan dari Azah teman Maimon seakan-akan menggigit cuping telingaku. Belum sempat aku menjawab, Kak Ros mencelah, “Eh kau ni Azah…apa tanya macam tu pula. Sudah Esah lupakan saja soalan tu.”

“Alah kak Ros ni takkan tanya tu pun salah? Azah cuma nak tahu je,” jawab Azah. Dari nada suaranya aku dapati ada semacam ketegangan di antara Azah dengan Kak Ros. Yang lain terus diam bila Kak Ros bersuara.

Siti mempelawa aku goreng pisang untuk memecahkan kesunyian yang datang secara tiba-tiba di meja tempat kami semua duduk. Tak lama selepas itu semua kembali berbual seperti biasa….cuma aku tak nampak Azah, tiba-tiba je dia menghilangkan diri.

Kak Ros sudah 10 tahun bekerja di situ, dia adalah line leader kami. Orangnya tegas, tapi di sebalik ketegasan itu ada terselit sifat lembut dan bertanggungjawab. Aku amat senang dengannya. Siti pula pendiam, dia suka senyum. Orang berbual serius dia senyum, orang berbual kelakar dia senyum. Dia tak suka kecoh kecoh.

“Maimon!” suara Encik Haikal memanggil Maimon kedengaran dari belakang meja kami. Maimon terus bangun, dan mengikut Encik Haikal masuk ke dalam pejabatnya. Aku mencekup goreng pisang dan terus masukkan ke dalam mulut sambil mengunyah dengan penuh kesedapan. Kak Ros mengeluh sambil menggeleng kepalanya sementara Siti hanya tersenyum.

Mungkin cara aku makan tidak sedap dipandang mata. “Maaf…saya lapar. Tak tahu pula yang Siti dengan Kak Ros nak goreng pisang ni,” aku bersuara dengan nada yang tersipu-sipu.

“Eh bukan awaklah Esah…” sahut Kak Ros, ” Kami sebenarnya meluat melihat mereka tu.”

“Errrr,,, maksud Kak Ros…Maimon dengan Encik Haikal?” tanya aku.

“Hmm, siapa lagi kalau bukan sepasang kekasih yang tak tahu malu tu lah,” jawab Kak Ros. Niat hatiku nak tanya, tapi aku tak mau jadi minah sibuk, maklumlah aku ni orang baru di situ.

Habis waktu makan aku teruskan kerja aku. Selang lima minit kemudian Maimon datang duduk di sebelah aku. Matanya merah dan hidungnya berair.

“Kenapa Mon? Mon nangis?” tanya aku. Maimon hanya diam, sepatah katapun tak keluar dari mulutnya hinggalah waktu kerja habis. Macam semut semua beredar keluar dari kilang itu.

“Mon, since kita tinggal berdekatan, apa kata kalau kita balik sama?” pelawa aku.

“Tak mengapa Esah, ada orang jemput Mon balek” jawab Maimon.

“Ooo, I see…oklah jumpa esok ye!” Cuaca panas terik…jalanraya penuh sesak dengan kenderaan, semua nak pulang ke rumah masing-masing. Aku nampak Kak Ros membonceng skuter suaminya sambil melambai ke arah aku.

Selesai mandi aku menelefon Milah dan menceritakan pengalaman hari pertama aku di kilang itu. Kami berbual panjang. Setelah mendengar cerita aku dengan panjang lebar, Milah menyampaikan hasratnya untuk bekerja di tempat aku.

“Aku boringlah Esah, kalau aku kerja kat tempat kau sekurang-kurangnya kita boleh jumpa hari-hari kan? jelas Mila di telefon.

“Eh kau ni Milah. Kau kan anak orang kaya, takkan kau nak jadi minah kilang macam aku pula?” balas aku.

“Yang kaya mak bapa aku Esah, aku ni tumpang kekayaan keluarga je. Lagipun aku dah lama duduk di rumah ni, aku ingat aku nak lupakan masa-masa lampau aku dengan Adam. Sekurang kurangnya kepala otak aku ni tak cramp kan?” Memang betul juga apa yang dikatakan oleh Milah tu, kalau dia asyik terperap je kat rumah sampai bila pun dia tak dapat melupakan si Adam tu, lebih baik dia kerja ikut aku. Aku pun ada geng juga.

**************

Sudah seminggu aku kerja di kilang itu, aku sudah dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran di situ. Maimon menjadi partner aku, tapi kami jarang berbual, aku perhatikan si Maimon ni macam ada masalah. Hampir setiap hari Encik Haikal memanggilnya ke dalam pejabat, aku pun tak tahu kenapa. Nak katakan urusan kerja tak pula, sebab segala urusan kerja dikendalikan oleh Kak Ros. Maimon hanya operator biasa je macam aku.

Sifat ingin tahu aku semakin meluap-luap. Ingin aku tanyakan pada Kak Ros cerita antara Encik Haikal dengan Maimon tapi aku batalkan niat tu. Mungkin lain kali kalau ada peluang aku akan tanya juga. Minggu ni aku gembira kerana kawan baik aku, Milah akan memulakan kerja sebagai operator. Milah ditempatkan di line lain berdekatan dengan line aku. Oleh kerana Milah ni cantik ramai yang berbisik-bisik sesama sendiri apabila Encik Haikal membawanya berkenalan dengan para pekerja lain.

“Milah aku kenalkan, inilah Kak Ros.” Milah senyum sambil menghulurkan tangannya dan disambut oleh Kak Ros.

“Milah ni kawan baik Esah Kak Ros, dah lama kami kenal,” sambung aku. Kami berbual bual sementara menantikan waktu makan tengahari habis.

Sedang kami berbual Encik Haikal datang. Kak Ros mendongak lalu bersuara, “Hai Encik Haikal, cari Maimon ke? Dia tak ada disini.”

“Eh, tidaklah,” jawab Encik Haikal sambil tersengeh. “Begini, sebenarnya saya nak jumpa Milah, ada beberapa borang yang perlu diisi. Milah, lepas ini awak ke pejabat saya ye?”

“Baiklah Encik Haikal, nanti saya sampai,” jawab Milah.

Dari gerak gaya Encik Haikal aku sudah dapat meneka yang dia ni seorang lelaki yang pantang nampak dahi licin. Bila dia berbual dengan Milah dia meletakkan tanggannya di belakang kerusi Milah dan tunduk rapat di sebelah Milah. Milah terkejut bila didekati oleh lelaki seperti itu. Bukan dia saja, kalau aku pun tentu tak selesa dibuatnya.

“Eh Milah, aku tengok Encik Haikal tu rapat dengan kau semacam je, rasa macam aku nak taji je kepala dia,” aku bersuara bila Kak Ros beredar.

” Haa, itulah, terperanjat aku tadi. Kalau iapun nak jumpa aku cakap ajelah tak payah nak rapat-rapat macam tu.”

“Hmmm aku rasa ni mesti ada udang di sebalik batu. Kau hati-hati ye lah Milah, lelaki ni bukan boleh dipercayai sangat,” balas aku.

“Biasalah tu Esah, lelaki kalau nampak yang cantik cepat terpikat, kalau dah muak dengan muka ni barulah diorang cari yang lain,” keluh Milah sambil merenung jauh seakan-akan teringatkan sesuatu.

“Hey, apa yang korang bualkan ni?” Kak Ros datang membawa sepiring buah. “Tak ada apa Kak Ros, pasal lelaki yang suka mainkan perasaan wanita,” jawab aku sambil memerhatikan buah tembikai yang dipotong dadu di dalam piring itu.

“Kita sebagai perempuan kenalah berhati-hati kalau nak memilih pasangan tu biarlah cari yang bertanggungjawab, harta dan rupa soal kedua. Tak guna dapat laki kaya tapi hidup menderita,” jelas Kak Ros.

“Memang betul tu Kak Ros, tapi kadangkala lelaki ni pandai bermuka-muka, di hadapan kita dia cakap dia sayanglah, cintalah kat kita, tapi kat belakang dia pasang spare tyre. Kita perempuan ni memang senang diperdaya,” sambut aku seperti pakar dalam hal hidup berpasangan.

“Kakak ni kesian tengokkan si Maimon tu,” keluh Kak Ros.

“Kenapa pula dengan Maimon?” tanya aku bersungguh-sungguh, sememangnya ini persoalan yang aku ingin tahu jawapannya.

“Suami dia suka pukul dia, suami dia tak bekerja, asyik nak berjudi. Pernah satu hari tu suaminya datang ke sini memekik-mekik nama dia.”

“Kenapa dia datang sini kak?” Milah pula bersuara.

“Nak minta duitlah. Habis kecoh satu kilang, Encik Haikal tenangkan keadaan dan suami Maimon beredar dari sini. Selepas peristiwa itu, Encik Haikal kerap memanggil Maimon ke pejabatnya. Kesian Maimon, keluar dari mulut buaya masuk pulak ke mulut naga,” jelas Kak Ros.

Perbualan kami terhenti begitu sahaja bila waktu makan tengahari tamat. Milah terus ke pejabat Encik Haikal sementara aku pulang ke tempat aku.

********************

Melihat pasangan remaja bersiar-siar di bandar membuat hatiku begitu terkilan. Mereka bahagia dengan pasangan masing-masing sementara aku masih menanti seseorang yang tak mungkin akan tiba. Sudahlah, kalau aku asyik pikirkan pasal ni takkan ke mana punya, lebih baik aku teruskan hidup aku ini sebaik yang mungkin.

Cuaca panas terik hari itu, keadaan di bandar penuh sesak, maklumlah hari cuti. Dah nak dekat lima gelas aku minum air oren kat Mc Donald, bayang si Milah belum nampak-nampak lagi. Dia janji nak jumpa aku pukul 2 petang tapi dah nak masuk pukul 3 belum sampai lagi.

Diam tak diam sudah hampir setahun kami bekerja di kilang itu, aku dan Milah dah sebati dengan kawan-kawan di sana, kami rapat dengan Kak Ros dan Siti. Azah pula, ada masanya dia berbual dengan kita kadang-kadang langsung tak bertegur. Dia tu ada attitude sikit, tapi gasak dialah, asal dia tak kacau aku sudah.

Maimon aku peratikan macam tak boleh get along dengan Milah, asal Milah datang je dia angkat kaki. Encik Haikal pula dah jarang panggil dia. Sekarang asyik terkejar-kejarkan si Milah je, cuma Milah tak layan sangat dengan jantan gatal tu.

“Eh Man aku rasa kan, kalau badan macam tu nak buat masak lauk lemak, satu ladang kelapa pun belum tentu boleh lemak lagi tau!” aku terdengar sekumpulan remaja lelaki berbual. Yang lain berdekah-dekah ketawa. Aku menoleh dan merenung ke arah lelaki yang mulut celupar itu. Aku tahu dia sindir kat aku tu.

“Engkau kalau nak masak lauk lemak pun mana ada periuk yang muat Dol..!” sambung seorang lagi kawan dia. Kurang ajar betul budak-budak tu, kalau ikutkan hati nak aje aku body slam dia orang tu semua kat tembok, atau nak aje aku kasi satu kompang nabi yang maha power kat pipi dia orang.

“Eh badan macam tu kan tak boleh naik escalator tau.”

“Kenapa pulak?”

“Ye lah kalau dia naik je escalator tu kan, escalator tu boleh jadi straight tau!” Berdekah-dekah semua ketawa macam tak pernah ketawa sepuluh tahun. Darah aku terus menyirap, mata aku dah merah. Aku bangun dan pergi ke tempat mereka semua duduk.

“Hoi!!! Apa yang korang cakap ni hah?”

“Hah Man, bentara guru sudah mari…kau pi jawab dia” aku terdengar salah seorang berbisik kepada kawannya kat sebelah.

“Kurang ajar punya budak!!! Mak bapa korang tak pernah hajar ke ha?” sambung aku lagi.

“Rilek kak, apasal jerit-jerit ni?” salah seorang dari mereka mencelah.

Saat itu aku membuat keputusan untuk tak mau meneruskan perbahasan, aku terus angkat kaki belah dari situ. Lega juga rasa dada ini, at least dapat juga aku tengking malaun-malaun tu.

Sedang aku menanti lampu trafik bertukar menjadi hijau aku ternampak kereta Encik Haikal bergerak perlahan di hadapan ku. Aku peratikan betul-betul dan alangkah terperanjatnya bila ternampak Milah ada bersama di dalam kereta itu.

Kedua dua mereka sedang berbual sambil ketawa sehingga tak perasankan aku. Dalam kepala aku dah timbul berbagai-bagai pertanyaan, apa kejadah si Milah tu keluar dengan Encik Haikal? Dia lupa yang dia sepatutnya jumpa aku ke? Takkanlah Encik Haikal tu dah berjaya pikat si Milah tu? Sudahlah, aku ingat aku balik masak maggi lagi bagus.

Malam tu aku telefon Milah. “Hello Milah, mana kau pergi petang tadi? Aku tunggu kau macam nak rak siot!”

“Alamakkkkkk Esah, aku lupa lah…sorilah, aku betul-betul lupa, aku keluar tadi dengan kawan aku.” Aku sengaja tak cakap dengan dia yang aku nampak dia dengan Encik Haikal.

Biarkanlah, mungkin dia saja keluar je tak lebih dari itu. Aku mula terasa sepi, seakan-akan satu dunia tak mau berkawan dengan aku, seakan-akan semuanya malu keluar dengan aku. Tanpa disedari air mata mula menitis membasahi pipiku. Aku menangis dan terus menangis hingga terlelap.

*******************

“Kurang ajar! Perempuan tak tahu malu!! Heyy! Tak ada lelaki lain ke kau nak goda hah?” Maimon menjerit macam singa kena sambar petir.

“Eh nanti dulu Mon, sabar, apa yang kau cakap ni?” Milah kehairanan.

“Kau jangan nak selindung dari aku Milah, satu kilang dah tahu yang kau ni ada skandal dengan Encik Haikal,” sambung Maimon.

Milah terdiam, dia tak tahu apa nak cakap. Pekerja-pekerja lain termasuk aku terhenti memerhatikan kedua-dua perempuan. Kak Ros terus bergegas ke arah mereka sebelum kilang ini menjadi medan pertempuran. Perempuan kalau dah bergasak memang buruk.

“Kenapa ni? Maimon, Milah?” celah Kak Ros.

“Saya tak tahu Kak. Dengan tidak semena-mena si Maimon ni serang saya,” jawab Milah.

“Kenapa ni Maimon? Awak terjerit-jerit macam orang kena sawan, kalau ada masalah pun cubalah bawa bertenang.”

“Kak Ros jangan masuk campur, ni urusan saya dengan Milah. Kak Ros tolong nasihatkan dia jangan pandai-pandai nak goda jantan. Baru saja kerja kat sini nak tunjuk pandai. Dia dengan kawan dia si gemuk tu sama juga!”

Aik? Aku pulak terbabit? Kata-kata si Maimon tu dah cukup buat darah aku menggelegak. Kalau ikutkan hati , nak saja aku pelepah pipi dia. Ni tangan dah lama tak makan pipi orang, satu kali swing boleh makan bubur nasi seminggu.

Tanpa disedari aku mula menghampiri mereka. “Maimon, apa cerita aku pulak terbabit? Aku tahu kau tak sebut nama aku, tapi bila kau cakap ‘si gemuk’ tu aku terasalah, tapi takkanlah kau sakit hati dengan Milah, aku pun kau nak bermusuh. Jaga sikit mulut kau tu Mon, aku dulu pernah terbunuh orang tau..” aku bersuara dengan nada perlahan tapi sikit punya sinis.

“Hah….betul tu, kau jangan nak babitkan kawan aku si Esah ni Mon, dia tak bersalah dalam hal ini. By the way, apa hal ni? Salah ke aku berkawan dengan Encik Haikal? Aku belum kawin lagi, tak macam kau,” sambung Milah.

“Sudahlah tu,” sampuk Kak Ros, “Sekarang ni waktu kerja, pergi buat kerja masing-masing. Kalau ada masalah selain daripada masalah kerja, settle lepas waktu kerja ok? Sudah.. pergi buat kerja masing masing.”

Maimon terus berlari ke tandas, air matanya berderai. Milah pandang ke arah aku sambil menaikkan bahunya tanda blur. Aku tahu apa yang dimaksudkan oleh Maimon tu bila dia bersemuka dengan Milah. Si Maimon tu terasa Milah telah merampas satu-satunya lelaki yang menjadi tempat dia bergantung. Sementara Milah pula tidak menyangka yang Maimon ada hati dengan Encik Haikal kerana dia tahu yang Maimon sudah berkahwin.

“Milah, aku nak cakap sikit dengan kau,” jelas aku sambil merapatkan kerusi aku berdekatan dengan Milah yang sedang makan.

“Hmm…apa cerita?”

“Kau dengan Encik Haikal ni ada apa apa ke? Sebelum kau jawab, aku ni bukannya nak kepoh tapi untuk pengetahuan kau aku nampak kau dengan Encik Haikal tempoh hari,” jelas aku.

Pada mulanya Milah hanya tersenyum, dia cuba nak selindung dari aku, tapi bila dia melihat air muka aku yang serius, dia pun bersuara. “Hmm…aku pun tak tahu lah Esah, tapi hati aku ni macam dah suka dengan Encik Haikal tu, memang betul dia tu nampak macam lelaki miang, tapi bila aku dah kenal dia dengan lebih rapat lagi ternyata dia ni lelaki yang ambil berat, dia faham akan perasaan aku bila aku ditinggalkan oleh Adam. He seems very caring towards me.”

“Aku sebagai kawan cuma boleh nasihatkan kau je supaya berhati hati, jangan sampai pisang berbuah dua kali Milah, sebelum kau buat keputusan apa-apa, kau fikir dulu masak-masak,” balasku.

“Terimakasih Esah, tapi aku hairanlah, macam mana si Maimon tu boleh tahu plak?”

“Sebenarnya, ramai yang dah tahu Milah, hampir setiap hari Encik Haikal tu jumpa kau, dan lepas kerja pun kita dah jarang balik bersama, kau asyik tumpang kereta Encik Haikal je…..ramai yang nampak Milah, bukan Maimon saja.” Milah hanya tunduk membisu.

Memang betul, ramai pekerja di situ dah heboh tentang hal Milah dan Encik Haikal. Tau tau je lah perempuan kalau dah bercerita…within one day the cerita boleh spread the whole building. Milah yang sedar akan hal ini mula rasa tak kena gaya.

Mungkin dia tahu yang dia masih baru kat situ dan macam tak appropriate untuk dia rapat terus dengan ketua di kilang itu. Dia tak mau dirinya di cap pembodek atau perampas. Tapi aku tak anggap si Milah tu perampas, pasal dia tak tahu apa-apa. Dia tak tahu yang Maimon tu dah ada affair dahulu dengan Encik Haikal sebelum dia masuk kerja.

“Esah..” Aku menoleh bila terdengar orang memanggil namer aku. Waktu aku tengah dlm perjalan pulang ke rumah. “Ah, Azah….apa hal?” jawab aku.

” Kau baik cakap dengan kawan kau si Milah tu jangan bodek boleh tak?” Azah dengan nada suara yang serius nak mampus.

“Huh aku? Apsal kau tak pi cakap je dengan dia? Apasal kau suruh aku?” jawab aku.

” Kau tahu tak pasal dialah Kak Ros kena turun pangkat”

“Hah??? Apa kau cakap ni Azah? Mana kau tahu ni semua. Jangan pandai-pandai buat ceritalah Azah.”

“Baru tadi sebelum balik aku nampak Kak Ros keluar dari bilek Encik Haikal, mukanya monyok, aku tanya Shanti apasal, Shanti cakap Kak Ros kena demote jadi operator balik…dan…” Azah toleh kiri kanan seblom sambung, “dan kau tahu sapa yang jadi leada gantikan tempat dia?”

“Sapa?” tanya aku.

“Sapa lagi kalau tak kawan kau si pembodek tu lah!” jelas Azah.

“Huh? ..tapi….apsal Kak Ros kener demote? Tentu ada sebabnya, takkanlah Encik Haikal itu tanpa sebab nak demote Kak Ros?” tanyaku lagi.

”Pasal ada satu mistake hari tu yang Kak Ros terlepas, tapi tu problem kecil je. Alahhhh si jantan tu saja je cari sebab. Dia nak mata air dia tu jadi leader.”

Aku memang cukup kenal dengan si Azah ni, dia ni kalau dah cakap tak fikir perasaan orang lain, main redah je. Apapun ternyata apa yang disampaikan kepada aku memang benar.

Keesokkan harinya Kak Ros tak datang kerja, aku nampak Milah dah gantikan tempat Kak Ros. Encik Haikal hanya memberitahu kami yang Milah ialah line leader baru. Apa lagi, topik perbualan semakin hangat perihal kenaikan pangkat Milah. Dan Milah pula makin hari terasa dirinya dah tak ada yang nak berkawan dengan dia.

Kesian pula aku tengokkan budak Milah ni. Aku sikit pun tak iri hati atau benci terhadap kawan aku ni. Aku tahu dia tak bersalah dan aku tahu dia berkawan dengan Encik Haikal ikhlas, tak menaruh niat apa-apa. Tapi orang-orang ni semua memandai-mandai yang buat cerita mengatakan yang Milah rapat dengan Encik Haikal pasal nak naik pangkat cepat.

“Aku tahu semua orang bencikan aku, semua tak mau berkawan dengan aku,” keluh Milah kepada aku.

“Sudahlah tu Milah, biarkan saja. Manusia memang pandai bercakap, kita tak boleh nak tutup mulut diorang ni semua, ” nasihat aku padanya.

“Kawan kawan kat kilang tu semua dah lah satu hal, ni Encik Haikal pun lagi satu hal. Serba salah aku dibuatnya,” sambung Milah lagi, kali ini wajahnya kelihatan betul-betul sugul dan sedih.

“Kenapa Milah? Apa halnya?” tanya aku.

“Baik aku berterus-terang pada kau Esah. Engkau seorang jelah kawan aku yang boleh aku percayai.”

“Apa cerita ni Milah?” tanya aku lagi. Kali ini aku perhatikan yang wajah Milah kelihatan seperti dalam ketakutan dan cemas.

“Encik Haikal Esah….Encik Haikal pernah nak buat tak senonoh kat aku.” “WHATTTT? Kau biar betul Milah? Apa yang dia dah buat kat kau?” tanya aku bersungguh-sungguh.

“Waktu tu aku keluar temankan dia beli hadiah untuk harijadi anak saudaranya lepas tu dia kata nak pi pantai kejap nak release tension. Aku ikut je, tak ingat apa-apa. Dia pandu kereta sampai ke pantai, tempat tu sunyi Esah. Aku tanya dia apasal dia berhenti kat situ. Dia hanya tersenyum, dia kata inilah tempat untuk release tension.

”Aku cakap aku takut pasal tempat tu terlalu sunyi, dia kata tak payah takut, dia kan ada. Lepas tu dia mula kata yang dia lonely, dia tak ada teman istimewa untuk luahkan isi hatinya, hari-hari dia asyik kerja jer. Aku cakaplah dengan dia, orang macam dia takkan belum ada teman istimewa lagi. Dia kata dulu ada tapi dah split pasal mak bapa perempuan tu tak suka. Lepas dia cakap gitu je tiba-tiba dia pegang tangan aku. Aku terperanjat lalu terus tarik tangan. Dia terus tarik aku dan cium pipi aku. Aku menolaknya tapi dia terus menarik dan mencekup leher. Aku menjerit dan meronta. Nasib baik pintu kereta tak berkunci. Aku buka pintu dan lari keluar. Dia terus kejar aku dan meminta maaf bertalu-talu, dia kata dia tak tahu apa dah jadi, dia tak sengaja. Tak sengaja kepala hotak dia aku cakap dalam hati, kebetulan ada teksi lalu, aku tahan dan terus cabut,” jelas Milah.

“Mak ai! Dia tu dah gila ke? Habis kau tak report?” cepat je aku mencelah.

“Aku terlalu terkejut masa tu, sampai rumah terus aku nangis kerana tak sangka dia boleh buat sampai macam gitu. Aku sangka dia lelaki yang baik dan bertanggungjawab, rupa-rupanya ada udang di sebalik batu. Sekarang ni aku tak tahu nak buat apa. Aku rasa dia naikkan pangkat aku pasal nak cover apa yang dia dah lakukan,” sambung Milah lagi.

“Kurang ajar! Kita tak boleh diamkan perkara ni Milah, aku rasa baik kita pi report polis sekarang juga.”

“Dahlah tu Esah, tak payahlah, lagipun dia tak sempat nak lakukan apa-apa kat aku. Lagipun, aku nak berhenti kerjalah. Lagi lama aku kat situ lagi macam-macam nanti jadinya.” Keputusan Milah amat baik sekali. Aku rasa ada baiknya kalau dia berhenti kerja.

Keesokan harinya, aku dengar riuh-rendah kat luar pejabat Encik Haikal. Aku nampak Maimon dah terpekik-pekik menghempas barang, Encik Haikal cuba memujuk Maimon supaya bertenang.

“Apa cerita ni Shanti?” tanya aku pada Shanti yang sedang menonton adegan itu.

“Ini Maimonlah, dia masuk ofis encik Haikal tadi. Dia terus keluar pekik-pekik dan baling gelas semua kasi pecah,” jawab Shanti.

“Apa pasal Maimon macam tu?” tanya aku lagi.

“Saya tak tahu lah Esah, lepas ini awak pergi tanya dia lah” jawab Shanti lagi.

Yang lain semua terdiam, masing-masing tak berani nak masuk campur, si Maimon dah terus macam orang kena sawan. “You lelaki tak guna! Lelaki sial! Celaka!” Maimon terjerit.

PELEPANGGGGGGGGGGGG!!!!!! Satu tamparan yang maha kuat singgah ke pipi Maimon. Dia tersungkur rebah. Aku memang pantang tengok perempuan kena pukul dengan lelaki. Dengan tak semena-mena aku terus ke depan dan menahan tangan Encik Haikal.

“Shanti! Telefon polis cepat!” kerah aku pada Shanti.

“Eh Esah!, lepaskan saya,” Encik Haikal bersuara sambil cuba melepaskan tanggannya dari genggaman aku.

“Sorry Encik Haikal, kali ni no way! Encik Haikal dah lakukan kekerasan kat perempuan! ” herdik aku. Encik Haikal menolak aku tapi tak jalan, yang lain dah terpekik, belum sempat aku kasi satu penumbuk polis pun datang.

“NANTI!” seorang daripada anggota polis itu bersuara. Sementara seorang lagi menahan Encik Haikal. “Awak berdua ikut kami ke balai buat laporan.”

Aku dan Maimon ikut polis ke balai untuk membuat statement.

Kami disoal oleh seorang polis bernama Inspektor Wan Faisal. Setelah habis, kami dibenarkan pulang. Inspektor Wan Faisal mengatakan yang dia mungkin menghubungi aku lagi jika ada keperluan seterusnya. Bila aku keluar dari Balai Polis tersebut, Maimon menghulurkan tangannya pada ku. Dia meminta maaf dan berterimakasih pada aku.

Aku hanya tersenyum. “Sudahlah Mon, lupakan saja, kita wanita, takkan tergamak hati ini bila melihat seorang wanita dipukul oleh seorang lelaki,” balas aku sambil memegang bahunya.

Setelah Maimon membuat pengakuannya di balai polis, ternyata ramai lagi wanita di tempat kerja aku yang membuat laporan terhadap Encik Haikal. Ternyata dialah yang menjadi musang di kilang itu.

Mulai hari itu juga aku begitu giat menyemarakkan semangat wanita yang pernah menjadi mangsa Encik Haikal supaya ke depan, hingga aku dengan Inspektor Wan Faisal dah jadi geng. Dia seorang pemuda yang berdedikasi dan tertib melakukan tanggungjawabnya dengan tegas dan adil. Di sebalik perwatakannya yang tegas itu terselit satu sifat yang lembut dan penyayang. Sukar untuk aku menerangkan sifat dia yang sebenar, tapi hati kecil ku boleh menduga perwatakannya yang sebenar.

Dia begitu prihatin dengan nasib 5 wanita yang menjadi mangsa tipu helah Encik Haikal, termasuk juga Milah. Encik Haikal dijatuhi hukuman penjara selama 2 tahun dan enam kali sebatan. Dia mungkin dipenjarakan lebih lama dari itu kalau ada bukti bukti yang lebih kukuh lagi, tapi 2 tahun dan 6 kali sebat sudah cukup membuat hatiku puas, sekurang-kurangnya dia tidak dapat melakukan perkara jijik ke atas kaum yang lemah lagi.

****************************************

Keadaan di bandar sesak dengan orang ramai yang keluar membeli-belah. maklumlah sekarang ni musim jualan murah, masing-masing berbondong-bondong keluar tidak sabar nak menghabiskan duit. Aku dan Milah sedang berjalan menuju ke Mc Donald’s bila kami terserempak dengan Inspektor Wan Faisal. “Hai Inspektor, seorang je? Shopping ke?” tegur aku dari belakang.

“Eh Noraesah, saya ingatkan siapa tadi,” itulah kali pertama aku mendengar orang memanggil nama penuhku. Aku hanya tersenyum lebar macam kerang busuk dan dia membalas senyumanku. Satu macam punya feeling yang tidak pernah aku rasai bila melihat wajahnya di depan mataku. Aku mengaku yang aku rasa sangat senang bila bersama dia, walaupun hanya terserempak di jalanan seperti itu.

“Kalau tak salah, ini Milah kan?” sambung dia lagi sambil menghalakan pandangannya ke arah Milah.

“Inspektor tak bertugas ke hari ini?” tanyaku lagi.

“Eh tak usahlah panggil saya Inspektor, panggil Wan Faisal cukup.”

“Oh, ah, errr Wan faisal tak kerja ke hari ni?”

“Saya baru balik dari tugas ni, singgah sini kejap nak beli barang, Noraesah dengan Milah nak ke mana?”

“Kami baru habis shopping, ni nak pi McD kejap, nak minum air…errr..” jawab aku sambil menjeling ke arah Milah, “…Wan Faisal nak join kita orang?”

“Boleh juga, I pun haus juga ni….errr..tak mengganggu ke you all kalau nak berbual ke?” jawab Wan Faisal yang tiba-tiba menyebut I & you je.

“Eh tidak…of course tidak… jom!”

Ketika bertugas Wan Faisal memang tegas orangnya, tapi bila tidak bertugas dia ternyata kelakar. Cara dia berbual dan gerak gaya dia membuat aku dan Milah tak henti ketawa. Aku dapat tahu yang Wan Faisal masih lagi single. Mungkin kerana terlalu sibuk dengan tugasnya hinggakan takder masa nak cari pasangan.

OK I have to admit that at this point of time aku dah tertarik dengan dia. Kadang-kadang dia menelefon aku di rumah bertanyakan khabar, apa aku buat, dah makan ke belum. Setiap kali telefon rumah aku berdering jantung aku berlonjak macam monyet berlonjat bila menang peraduan panjat pokok kelapa. Kehadiran Wan Faisal memberi nafas baru dalam hidupku.

Aku lebih bersemangat dan lebih ceria macam enjin kereta yang baru overhaul. Segala yang terpendam di dalam hati tidak aku beritahu pada sesiapa pun. Lama kelamaan perasan senang aku terhadap Wan Faisal bertukar menjadi kasih, bertukar menjadi cinta, hingga aku dah mula rindu kalau tak dengar suara dia. Dia tak telefon aku hari-hari, hanya sekali sekala saja. Untuk aku meluahkan perasaan aku yang sebenar amatlah tidak sesuai sekali. Aku takut kalau aku bertepuk sebelah tangan.

Tapi inilah kali pertama aku mendapat perhatian dari seorang lelaki. Kalau dulu satu lelaki pun tak mau kenal dengan aku. Aku pernah berkenalan dengan beberapa lelaki melalui internet. Time tu aku selalu main chat…ramai lelaki yang aku kenal..aku pakai nick “Putri Comel”.

Ada tu yang nak jumpa aku personally, dan selalunya aku tak pernah berjumpa lelaki yang aku kenali melalui internet lebih daripada sekali. Jumpa sekali je lepas tu semua senyap. Ok ..ok…aku sedar aku ni sapa…aku tak ada rupa…badan toksah cakap ah…they don’t call me Esah Badang for nothing man. I have to accept the fact that lelaki semuanya nak yang sempurna, nak yang cantik, nak yang lawa, and I don’t have all that.

Walaubagaimanapun aku bersyukur pada Allah. Ini semua adalah pemberian-Nya dan kita sebagai manusia jangan berlagak sangat. Badan dan rupa semuanya adalah pinjaman. Kerana lelaki-lelaki seperti inilah yang telah membuat aku lebih berazam dan kuat untuk meneruskan kehidupan. Jodoh di tangan Allah, kalau ada jodoh maka kahwinlah aku.

Wan Faisal berbeza sedikit daripada lelaki lelaki lain. Dia menghormati aku, dia memahami aku. Dia tak malu keluar dan berkawan dengan aku. Pernah sekali tu kita keluar berdua, semua orang tengokkan. Yelah sapa yang tak tengok kalau satu gemuk gedabak yang lagi satu tinggi hensem. Senang punya cakap kalau ditakdirkan kita berdua perumpamaan macam pinang dibelah dua sama sekali tidak boleh digunakan.

Telefon berdering. “Hello, Esah, akulah,” suara Milah kedengaran.

“Ha Milah…kau tgh buat apa?”

“Aku saja duduk duduk, eh Esah aku boring ah..ni ah telefon kau nak cakap-cakap”

” Lerrrrr..macam tak biasa plak kau ni,” jawab aku sambil ketawa.

“Esah, kau dah banyak tolong aku, engkaulah kawan aku dunia akhirat. Kalau engkau takde kan, aku tak tahu apa dah jadi dengan aku,” sambung Milah serius.

“Eh apa ni Milah?? Alih-alih je sentimental…apa sudah jadi?”

“Yelah Esah, aku ni tengah sentimental..I’m in love Esah.”

Aku ketawa bila mendengar Milah cakap camtu “Yelah kau kalau in love pun ada orang yang balas balik, aku ni, hai nampak gaya tunggu buah tak jatuhlah jawabnya.”

“Heheheh, sabarlah Esah, satu masa nanti mesti ada jodoh kau punya,” balas Milah.

“Eh Esah, aku nak minta tolong dari kaulah.

Aku sebenarnya….errr…..sebenarnya….” Milah tersekat sekat.

“Apa diaaa…cakaplahhh..dengan aku pun kau nak malu ke?” sampuk aku “

”Sebenarnya Esah, aku rasa aku dah jatuh cinta dengan Wan Faisal lah.”

Telinga aku tiba-tiba je berdesing setelah mendengar pengakuan Milah. Macam nak terlepas rasanya gagang telefon tu dari tanganku.

Mata aku dah berair, ni kalau orang tegur sikit je mesti berderai punya. “Eh Esah…kau dengar tak apa yang aku cakap ni?”

Aku tersentak bila mendengar suara Milah,”Ah…dengar…dengar. Eh kau biar betul Milah?” tanya aku tersekat-sekat.

” Betullah Esah, aku serius ni. Sejak bertentang mata dengan dia, aku tak boleh nak lupakan dialah. Hari-hari aku teringatkan si Wan Faisal tu.”

“Habis tu, kau nak aku buat apa?” tanya aku lagi.

“Ahhhh begini Esah, aku nak kau buat temu janji dengan Wan Faisal, cakap dengan dia kita berdua nak ajak dia kuar makan, tapi nanti kau biar aku je yang pergi. Nanti aku cakap dengan dia yang last minute kau tak boleh ikut. Amacam?” jelas Milah bersungguh-sungguh. Tak pernah aku dengar orang yang bersungguh-sungguh, macam dah tak sabar-sabar nak berlaki.

Hatiku menjerit, “No way hozzay!” tapi mulut aku keluar lain pula. Entah macam mana tah aku boleh setuju dengan rancangan si Milah tu. Aku telefon Wan Faisal di pejabatnya dan memberitahunya tentang hasrat kami berdua.

Wan Faisal begitu gembira, dia kata “Of course I boleh datang. Makan free siapa yang taknak. “

Milah bukan main seronok lagi. Sedangkan aku menggelisah, tak tau apa nak buat kat rumah. Aku asyik teringatkan muka si Wan Faisal aje….seribu persoalan menerpa di benak fikiran ku…”Kenapa aku tak boleh memiliki lelaki yang aku suka?”

Aku mula sedar tentang keadaan aku sebenar, tapi aku juga manusia punya hati dan perasaan. Tidakkah Milah terfikir dengan berbuat begitu dia telah melukai hati aku? Tapi . . .aku tak boleh salahkan dia sebab dia tak tahu yang aku ada hati dengan Wan Faisal…tapiiii…ahhhhhh sudahlah!

Tanpa disedari air mata menitis membasahi pipi. Terasa sungguh sepi di saat itu. Aku tak tahu pada siapa aku nak mengadu, pada siapa aku nak menumpang kasih mencurah rindu. Kejap lagi, puas la hati Milah dapat berdua-duaan dengan Wan Faisal tu. Si Wan pulak mungkin seronok juga..pasal takde si gemuk ni menjadi batu penghalang. So be it! Let them be….dah bukan jodoh aku. Dah tak tahu nak buat apa lagi, aku log in PC masuk room Sunyi, pakai nick “Putri Comel” dan terus chat.

Putri Comel: Assalamualaikum, senyap je, takde orang ke?

Hensem Guy: Waalaikum salam…ada niee…heyyy Putri, lama tak masuk? Mana menghilang?

Putri Comel : I sibuk sikit lah Guy.

Budak Hensem Guy ni dah lama aku kenal kat internet, tapi kita tak pernah jumpa, aku tak mau dia terperanjat. Aku selalu chat dengan dia. Aku banyak luahkan isi hati aku kat dia. Tapi he’s just an internet friend, tah dia betul lelaki atau perempuan menyamar jadi lelaki tu aku tak tahu. Maklumlah kat internet bukan boleh percaya sangat, yang dah kahwin boleh mengaku bujang, yang bekerja boleh mengaku masih sekolah…so never never trust anyone whom u met in the internet.

Kawan kat internet sekadar nak hilangkan bosan tu je, tak lebih dari itu. Never take them seriously. Tapi setakat ni aku senang berbual dengan dia. There’s something in him that makes me want to open up. Samada dia jujur dlm persahabatan atau tidak aku tak tahu. Dia pernah nak jumpa aku, tapi pengalaman telah mengajar aku. Lelaki biasalah….semua nak yang lawa, nak yang manis, nak yang jambu. Nanti dia nampak aku gemuk mesti dia menghilangkan diri nya sama seperti lelaki lelaki internet yang pernah aku temui. So, aku nak persahabatan kita berkekalan, biarlah setakat di internet saja.

Putri Comel : U tak keluar ke Guy?

Hensem Guy : I baru je nak keluar ni…i dah nak logout abih nampak u baru masuk plak..so tanya khabar kejap.

Putri Comel : Ohhhhh u nak jumper mambang ker? LOL

Hensem Guy : Heheheh..macam mana u tahu? Yerp, i nak jumper mambang..hopefully lah, tapi blom confirm lagi.

Putri Comel : Oklah Guy, u pergilah nanti lambat plak….seeya around…bye Hensem Guy : Ok Putri sori ye…jumper lagi nanti malam ye?…byeeee!

Putri Comel : Hmmmm tengoklah kalau i masuk mlm ni…oklah have fun. END

Jam di dinding menunjukkan 10 malam. Aku baru lepas lipat baju. Ketika aku sedang masukkan baju baju ke dalam almari tiba-tiba kedengaran orang ketuk pintu. Siapa pula yang datang malam-malam ni, kataku dalam hati. Sebelum buka pintu, aku intai dulu melalui tingkap, tapi tak nampak sesiapa pun.

Pintu diketuk lagi dan kali ini aku terus buka, pun tak ada orang. Aku menjenguk ke luar koridor, dengan tidak semena-mena datang dua orang lelaki menolak aku ke dalam rumah.

“Hoi!!!!!…Apa niee….???” jerit aku.

Salah seorang dari lelaki itu menutup pintu, sementara seorang lagi mengeluarkan sebilah pisau lipat dan mengacu ke arah aku.

“Diam! Kalau mahu selamat!” herdiknya.

“Apa diam diam!!” jerit aku sambil membeliakkan mata, aku begitu bersemangat, tak tahu dari mana datang semangat itu. Jantung aku berdegup pantas, dalam hati kecilku berkata, apa-apa hal aku takkan benarkan diorang rompak rumah aku. Bedebuk!! satu tumbukkan singgah ke pipi ku. Aku terlentang jatuh ke lantai, bibirku berdarah.

“Heyyyy!!!!” belum sempat aku menjerit aku ditendang bertalu-talu. Sakit tu memanglah sakit….tapi aku tak boleh nak berbuat apa-apa. Aku tahu mungkin tu peluang terakhir untukku. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Aku menarik kaki salah seorang daripada lelaki itu, dia hilang pertimbangan dan terus terlentang. Kepalanya terhantuk pada bucu meja kaca aku….berderai kaca itu pecah.

“Aduuuhhhhhhh!!!! celaka punya betina!!!!” dia mengerang kesakitan.

Segala-galanya terjadi dengan begitu pantas sekali. Seorang daripada rakannya cuba merodok aku dengan pisau, aku sempat menepis dan memberinya satu kompang nabi yang maha dasat…PANGGGG!

“Cabut Min!!!…Cabut!!! Musibat punya Haikal…dia tak cakap pun yang sigemuk ni brutal…” sambut salah seorang daripada lelaki itu sambil bergegas lari keluar. “Tolong!” aku menjerit sekuat hati……tangan aku sempat mencapai pasu bunga dan membaling ke arah kedua dua penceroboh itu, tapi tak kena. Dia orang dah lintang pukang lari dan dengan sekelip mata saja sudah hilang dari pandangan. Jiran-jiran aku sebelah rumah semuanya keluar, bila mendengar kekecohan dan jeritan aku tadi. Aku berdiri di koridor…mukaku pucat, tangan ku menggigil. Ada darah di perut ku, saat itu aku mula terasa bisa, aku menahan darah yang keluar dari perutku dengan tangan. Seluruh tubuhku menjadi sejuk, pandanganku mulai kabur dan aku rebah ke lantai, disambut oleh jiran-jiran yang datang membantu. Lepas tu aku dah tak ingat apa-apa.

********************

“Esah…..Esah?” terdengar suara memanggil namaku. Kepalaku terasa berdenyut-denyut. Seluruh tubuhku sejuk, dengan perlahan aku membuka mata. Milah tercegat di depanku. Kak Ros dan Maimon pun ada. Aku dapati diriku berada di atas katil….setelah terkebil-kebil beberapa ketika, barulah aku sedar yang aku berada di hospital.

“Alhamdulillah, dah sedar dah dia sekarang,” aku dengar suara Kak Ros. Aku nak cakap tapi rasanya macam berat gitu nak keluar, lemah sakan. Perutku terasa sakit…ada balutan. Mataku layu…aku tertidur.

Aku berada di sebuah kampung, budak budak berlari ke arah aku. Dia orang melempar batu ….semuanya memekik “Esahh Badangg!!!! Esah Badanggg!!!!. Aku cuba menghadang batu batu itu dari terkena badanku. Mereka ketawakan aku, mengejek dan menghina aku.

TIDAKKKK!!!!! aku menemplak….AKU BUKAN ESAH BADANG!! NAMAKU NORAESAHHH!!!!

Terasa bisa seluruh anggota sendi ku. Aku terkejut dari mimpi buruk itu, tapi pandanganku masih lagi samar-samar. Aku tak tahu samada aku berada di alam nyata atau masih di alam mimpi…..yang aku dengar cuma suara beberapa orang memanggil namaku

”Esah…Esah …Esah”….

“Doctor, pleas come to bed 13, there’s complication”, lepas tu segala-galanya menjadi gelap…aku terasa tubuhku seakan-akan melayang………

Tidak pernah aku merasakan keadaan yang begitu aman dan tenteram.

Rasanya macam tak mau berpisah daripada perasaan seperti itu. Namun segala-galanya berakhir dengan sekelip mata…aku dikejutkan dengan suara suara yang aku kenali.

Milah dan Wan Faisal berdiri di hadapanku. Melihat mereka berdua ingatanku pulih seperti sediakala, aku tersenyum, senyumanku begitu layu, begitu lemah dan tidak bersemangat. Mereka menarik nafas lega melihat aku tersenyum. Milah dan Wan Faisal memang sepadan, memang kenalah mereka berdua seperti pinang dibelah dua.

“Esah?….kau dah sedar Esah” Milah bersuara sambil memegang tanganku. Aku hanya dapat menganggukkan kepalaku….barulah aku sedar yang aku selama ini berada antara hidup dan mati. Peristiwa itu terus menerpa di ruang mataku, segala-galanya datang serentak…aku ingat setiap kejadian pada malam tu. “Ha…Haikal…..” aku bersuara dengan nada tersekat-sekat…” Haikal, yang punya kerja.”

“Sudah Noraesah, jangan diingat lagi. Kedua-dua lelaki yang menyerang you sudah kami tangkap. Mereka mengaku yang mereka telah disuruh oleh Haikal. Mereka akan didakwa…You are safe now Noraesah…rest ok?” jelas Wan Faisal

“Ye Esah, betul tu….sebenarnya Haikal menaruh dendam terhadap engkau, dia telah menyuruh kawan-kawannya serang kau, mujur kau selamat Esah. Dan….dan aku nak mintak maaf kat kau Esah. Aku rasa aku yang bersalah. Kalau kau ikut aku malam tu mungkin perkara ni tak akan berlaku,” sambung Milah dengan nada kesal.”

“Hmm aku tak ada apa, cuma luka sikit je. Dan Encik Wan Faisal saya pun nak minta maaf juga kerana tak dapat hadir malam tu.”

Milah beredar dari situ tinggalkan aku dengan Wan Faisal. “Pertemuan I dengan Milah malam tu begitu bermakna sekali dalam hidup I,” Wan Faisal tiba-tiba je bersuara.

“Dalam pertemuan itu, I telah dapat mengenali diri you dengan lebih mendalam lagi, banyak yangI dapat tahu dari Milah. I dah tahu semuanya Noraesah. You tak perlu nak jelaskan apa-apa lagi pada I. In fact, I have always admire your courage from the first day I met you. Dan I ingin menjadi teman you Noraesah, I ingin menemani you mengharungi hidup ini. Bagi I paras rupa bentuk badan tidak menjadi persoalan, yang pentingnya hati. I want to spend the rest of my life with someone with a big heart and I have found all that in you Noraesah. Sudikah you menjadi teman hidup I?”

Pengakuan Wan Faisal membuat jiwa ku cair. Aku begitu terharu. Air mata mula membasahi pipiku. Barulah sekarang ada manusia yang faham, yang ambil berat dan menyayangiku. Seakan-akan dalam mimpi, aku sama sekali tidak menyangka.

“Dan…I tahu youlah Putri Comel…Milah yang bagi tau. You selalu chat malam malam dengan Hensem Guy…..dan I lah sebenarnya Hensem Guy.”

“Whatt????…errrrr……” aku tak tahu apa nak cakap.

“Sudahlah Noraesah, you don’t have to say anything. Just say that you are willing to accept me.”

Air mata terus mencurah-curah keluar, aku menangis bukan kerana sedih, tapi, tangisan gembira hingga sebak dada ini.

“Heyyy Esah!…ngapa nangis ni? heheh…” Milah tiba-tiba je masuk.

“Eh ni ada kawan-kawan kita nak tengok kau, tadi semua nak masuk tapi nurse kat luar tu tak kasi,” Kak Ros, Maimon, Siti, Azah dan Shanti datang menemui aku.

Mereka membawa sejambak bunga dan buah tangan yang lain. Aku gembira melihat kawan-kawan ku semua. Sesungguhnya hari ini merupakan hari yang paling bermakna dalam hidupku. Aku rasa yang aku ni bukan Esah Badang lagi…namaku Noraesah…dilema menjadi Esah Badang sudah kukuburkan buat selama-lamanya.

Advertisements

2 Respons

  1. menarik cerpen ni…bagus3!!! lain dr lain…slalunya asyik gils yg comel2 jelita je jd heroin…kl ni reality…

  2. Memang best citer ni.. memang betul kebanyakan lelaki selalu je nak yang lawa,slim, cute.. habis tu yang kurang slim nak pergi ke mana? Mereka pun ada perasaan jugak. Jangan fikir bila kita mengejek diorang kerana fizikalnya yang kurang slim, mereka tidak nerasa sedih. Satu lagi, memang ramai lelaki seperti Encik Haikal.. gatal sangat selalu mengambil kesempatan. Sepatutnya si Milah dari awal lagi letak jawatan. Saya harap citer ni akan membuka mata kebanyakan orang yang selalu mengejek mereka yang kurang slim. Tahniah Muzri!!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s

%d bloggers like this: