Hati dan Keperitannya

Mega merah ungu yang indah di dada langit menjadi medium perantara di mana sekeping hati mampu berbicara seenaknya tanpa menyedari segala yang berlaku di sekeliling.

Aku berjalan perlahan merentasi taman bunga Avila yang di penuhi daun-daun ‘maple’ kekuningan yang bertaburan di tanah.

Pohon-pohon itu semakin togel setiap kali angin bertiup.

Kesejukan musim sejuk mencengkam sehingga ke tulang hitamku meskipun tubuhku telah dibaluti jaket tebal.

Aku memandang ke depan, ke arah teman-teman sekelas yang sedang bergambar mengabdikan kenangan.

Kami memilih Avila sebagai destinasi untuk menghabiskan cuti sempena perayaan Halloween. Perjalanan dari Madrid ke Avila memakan masa sejam setengah menaiki keretapi Renfe.

Junpei melambai-lambaikan tangannya ke arah aku, mengajak untuk menyertai mereka dalam sesi bergambar tak rasmi itu.

Pelawaan jejaka kacak dari Jepun yang sentiasa kelihatan bergaya itu tak mampu aku tolak.

Aku berlari-lari anak menyertai teman-teman lain, “zusammen photomachen”, jerit rakan-rakanku.

Itu kata-kata dalam bahasa Jerman yang selalu kami tuturkan setiap kali ingin bergambar beramai-ramai. Sekurang-kurangnya pengajian di kota Munich selama setahun membolehkan kami menuturkan beberapa patah perkataan Jerman.

Kini tinggal tak sampai setahun lagi untuk kami mengharungi sisa-sisa pengajian di kota Madrid pula.

Waktu sudah menjengah malam sesampainya aku di rumah. Kepenatan yang menguasai diri membuatkan akal mengarahkan tangan mencapai pizza dalam peti, memusing 5minit di ketuhar gelombang.

Teringat pulak pada mak di kampung yang selalu merungut tentang kemalasan orang-orang bandar berpunca dari kemajuan teknologi.

Aku tersenyum sendiri bila menyedari kebenaran kata-kata itu turut melibatkan aku selaku salah seorang penyumbangnya.

Menikmati pizza berperisa tuna sambil menonton rancangan tv dalam bahasa yang tidak sepenuhnya aku fahami membantu otak aku terbang jauh meninggalkan bumi Sepanyol ini.

Hebat benar kuasa yang ada pada lelaki itu sehinggakan masa-masa terluang aku sarat dengan ingatan-ingatan tentangnya.

Sedangkan hakikatnya dia tak pernah aku temui dalam hidupku.

Perkenalan kami bermula secara tak sengaja bila aku terbaca tulisannya dalam blog.

Kesunyian memaksa aku membaca apa saja yang aku temui di internet.

Takdir menentukan mata ini singgah di laman blog tulisannya.

Laman blog tentang fotografi itu turut menyelitkan isi tulisan yang menarik perhatian aku untuk menjadi pembaca setia.

Hazrul akan memaparkan sekeping gambar saban minggu dan dari gambar itu, dia menulis perkaitan gambar itu dalam kehidupan.

Sesuatu yang tak pernah terfikir oleh minda aku selama ini.

Tergambar jelas di ruangan mata aku gambar pertama yang aku lihat di blognya ialah gambar sebotol madu yang diletakkan di tepi sebotol racun tikus.

“Orang kata kalau kita tak merasa kepahitan dalam hidup, kita takkan dapat menikmati betapa berertinya setiap kemanisan yang hadir dalam hidup.
Aku mahu menjadi manusia yang mampu menilai perbezaan antara madu dan racun tapi aku takkan mungkin boleh menelan racun itu, lalu bagaimana pula aku bisa mengetahui betapa manisnya madu itu?”, itu nukilan Hazrul pada gambar tersebut.

Pertama kali membacanya aku merasa yang Hazrul sudah gila kerana ingin menelan racun sekadar untuk mengetahui betapa manisnya madu itu.

Lalu aku kirimkan komen pada gambar itu, untuk membantah pendapatnya itu.

Dia membalas komen itu pada e-mel ku, memohon di beri ruang untuk dia berkarya seenaknya dan dia akan memberi ruang kepadaku untuk mengkritik sewenangnya juga, dengan syarat aku harus membaca setiap patah nukilannya berkali-kali agar maksud yang ingin disampaikan akan menjengah ke dasar hatiku.

Aku menarik nafas yang panjang sebelum kembali merenung gambar itu, membuka kotak fikiran untuk berfikir lebih jauh.

Akhirnya aku tersenyum sendiri bila dapat memahami apa yang Hazrul ingin nyatakan.

“Betapa selama ini manusia sering merasakan kepahitan itu sebagai unsur negatif yang merosakkan diri sehingga membunuh hati untuk menikmati indahnya kehidupan ciptaan Yang Esa.
Betapa insan sering terlupa yang mereka punya pilihan untuk mengharungi setiap keperitan itu, biar pun dipenuhi kepedihan tapi akhirnya apabila ia berlalu, kita akan menjadi orang yang lebih tabah.
Semoga selepas itu, perkara-perkara lain yang terjadi dalam hidup akan lebih di hargai dan di anggap manis kerana yang paling pahit itu sudah berlalu pergi, menjauh dari hidup”, aku kirimkan penilaianku terhadap gambar itu setelah puas aku menafsir nukilan kata-kata Hazrul.

Dan di sinilah bermulanya perhubungan tanpa nama ini.

Aku akan menjadi pengunjung setia blognya, bersedia untuk menafsir setiap paparan gambar yang di abadikan oleh kamera DSLR Hazrul.

Kadang-kadang kami akan berhubungan di laman blognya, atau di e-mel dan selepas itu berlanjutan pula perbicaraan kami di yahoo masengger.

Kali ini aku merasakan kata-kata mak sebelum ini tersilap, kemajuan teknologi sekurang-kurangnya menjadikan aku insan yang rajin ….. rajin menaip!

Sejak itu aku semakin menjadi seseorang yang selalu mengaitkan apa yang aku pelajari supaya dapat aku aplikasikan dalam kehidupan.

Terkesan dengan laman blog Hazrul, aku semakin ralit menafsir subjek-subjek kejuruteraan yang aku pelajari untuk aku ubah jua menjadi prinsip kehidupan.

Apabila Prof Angel khusyuk menerangkan pembezaan demi pembezaan yang terdapat dalam ‘Navier Stokes Equations’ untuk mendapatkan penyelesaian bagi mengetahui kelakuan terma bendalir dalam skala micro electron, mindaku turut khusyuk memberitahu akal, “ Jika kita meneliti sedalam-dalamnya dalam setiap permasalahan yang melanda, kita akan menemui penyelesaian nya walaupun permulaan suatu penyelesaian itu sendiri biasanya amat sukar dan penuh berliku”.

Gila. Memang dunia ini penuh dengan hal-hal yang tak tercapai dek akal.

Mana mungkin orang percaya, seorang pelajar sarjana dalam kejuruteraan aeronautik melihat Navier Stokes Equation, Boltzmann Theory, Newton Limit in Hypersonic Aerodynamic, Lagrange-Hamilton Method, dan berpuluh-puluh lagi teori lain sebagai aspek dalam kehidupan.

Kadang-kadang aku tak pernah dapat memahami apa yang cuba di sampaikan oleh pensyarah-pensyarahku tentang kegunaan persamaan-persamaan ini tetapi aku mampu mengaitkan semua itu dari sisi lain yang langsung tak punya pengiraan kalkulator, sebaliknya lebih pada pengiraan hati dan akal dalam menafsir persekitaran.

Aku andaikan kegilaan pada akal aku berpunca dari Hazrul.

Tapi dia bertegas menyatakan yang aku memang di lahirkan untuk menjadi seorang pemikir sepertinya. Sepatutnya aku mengambil pengkhususan kesusasteraan berbanding kejuruteraan.

Aku tak pernah tahu apa yang aku inginkan dalam hidupku.

Selama ini aku belajar kerana aku merasakan itu sebahagian dari tangungjawabku terhadap ibubapa ku.

Malah, abah yang menyuruh aku memilih jurusan ini sewaktu aku mula-mula mengisi borang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda.

“Sehingga kini aku percaya bahawasanya ada keberkatan pada setiap perkara yang aku lakukan demi memuaskan kehendak orang tua ku”, begitu penjelasan yang aku berikan pada Hazrul bila dia menanyakan tentang hal ini sewaktu kami berbicara melalui yahoo masengger.

“Hati kau sendiri tak pernah membantah kemahuan mereka?”, tanya Hazrul seakan tak berpuas hati dengan jawapanku tadi.

“ Kau sendiri sepatutnya maklum yang soal hati merupakan sesuatu yang subjektif. Kalau hati aku menolak tak bererti hal itu salah dan kalau hati aku menerima nya, tak bererti ia suatu hal yang benar bukan?”, jawabku pantas menjawab pertanyaannya.

“Kau tak punya pendirian sendiri. Menurut kemahuan orang tua mu tanpa bertanyakan kehendak hati mu sendiri”, tukas Hazrul.

“ Haz, itulah pendirian aku. Apa yang orang tua ku fikir terbaik buatku, itulah yang hati aku percaya. Salahkah kalau aku mahu berpegang pada prinsip itu?. Apa selama ini kau tak pernah mengikut kehendak ibubapa mu? ” ,aku menyoalnya pula.

Dia membisu buat beberapa ketika sebelum memberitahu yang dia perlu tidur kerana ada urusan penting awal pagi esok.

Aku tak punya sebab untuk membantah alasannya ini kerana aku sedar perbezaan waktu 7jam antara Malaysia dan Sepanyol di musim sejuk.

Pekerjaannya selaku jurukamera bebas membuatkan waktu kerjanya tidak tetap seperti orang bekerja pejabat.

Waktu kerjanya lebih fleksibel dan lebih bergantung pada tawaran yang diterimanya.

Biasanya hasil kerja Hazrul lebih tertumpu kepada gambar-gambar pemandangan untuk slot iklan di papan-papan billboard.

Soalanku tergantung buat beberapa ketika dan aku juga tak mau membangkitkan hal itu sehinggalah suatu waktu dimana Hazrul sendiri berniat untuk menjawabnya.

“ Ayahku mencurangi ibu. Arghhh, sebetulnya perkataan mencurangi itu tidak tepat kerana dia menikahi perempuan itu secara sah. Cuma ibu merasa ayah mencurangi nya kerana hal ini di lakukan di luar pengetahuan ibu ”.

Aku tergamam seketika, tidak tahu apa perkataan yang sesuai untuk membalas bicara Hazrul itu.
Kebisuan aku memberi ruang pada Hazrul untuk terus menaip.

“Waktu itu aku masih kecil. Pertengkaran demi pertengkaran antara ibubapaku menyesakkan otakku.
Aku akan mencapai basikal BMX ku, mengayuh selaju mungkin ke lorong kecil di belakang rumah, sehingga tiba di sebuah pokok ketapang yang sangat rimbun.
Aku akan berteduh di bawah rimbunan daun-daun itu, menulis apa saja keperitan yang aku rasai waktu itu.
Usai menulis, aku akan mengorek lubang kecil dan menanam luahan itu di dalam lubang, dengan harapan segala kepedihan yang aku rasai akan lenyap di telan tanah lembut di depan pohon besar itu.
Sejak itu aku memutuskan bahawa apa jua yang aku lakukan dalam hidupku, aku tidak perlukan pandangan orang lain kerana aku punya tanah lembut di pohon ketapang itu untuk aku kuburkan kesilapan-kesilapan yang mungkin akan aku lakukan.”, jelasnya panjang lebar.

“Sekarang aku tahu dari mana kau beroleh kebolehan melihat, menafsir dan merasa objek-objek di sekelilingmu dengan hati.Keperitan itu menjadikan kau insan yang hebat Haz”.

“Aku tak merasa yang aku hebat Hana.
Aku sekadar mahu meluah apa yang aku rasa kerana memendam semuanya akan membuatkan aku menjadi manusia berhati batu.
Keras tapi kosong, betapa kekosongan sebenarnya boleh membunuh hati, jadi aku lebih rela memilih untuk mengharungi keperitan-keperitan itu supaya akhirnya aku akan menghargai secebis kenangan manis.
Aku insan yang aneh tapi keanehan itu kau anggap sebagai personaliti yang menarik untuk membuatkan kau terus berhubung dengan aku, betul kan?”, gurau Hazrul bagi menutup mood syahdu yang sedang menyelubungi perbualan kami.

———————————————————————————————————–

Semakin lama aku berhubungan dengan Hazrul, semakin aku hanyut dalam persoalan untuk lebih memahami hatiku.

Suatu hal yang tak pernah aku tekankan selama ini.

Kadang-kadang aku seperti terdengar suara halus yang membisikkan bahawa prinsipku untuk menuruti segala kehendak orang tua ku selama ini seakan suatu keputusan yang kurang tepat bagi hidupku.

Tapi pantas pula akalku menyingkirkan suara itu jauh-jauh dari hati.

Melihatkan pencapaianku dalam hidupku sehingga ke tahap ini, nyata sekali keputusan mereka belum boleh dikatakan silap.

Aku tidaklah begitu cemerlang dalam hidupku tapi boleh di kira berjaya berbanding teman-teman sekolahku yang lain.

Akalku meyakinkan aku bahawa prinsip yang aku junjung selama ini memang berasas.

Semakin menghampiri penghujung waktu pengajianku di kota Madrid ini, aku lebih banyak menghabiskan masa bersama teman-teman untuk menjelajahi tempat-tempat menarik.

Kami sempat menonton ‘bull fighting’ di plaza de toros. Sejenis tradisi yang amat di gemari penduduk-penduduk Spain, melihat bagaimana hebatnya matador yang berdiri megah di tengah gelanggang kerana dapat membunuh lembu gila yang sudah lemah kerana pening selepas di ajak menggila di kiri dan kanan gelanggang.

Bila aku kirimkan gambar-gambar matador membunuh lembu kepada Hazrul, dia memilih sekeping gambar untuk laman blognya.

Gambar itu terpapar perbuatan si matador yang sedang mencucuk pedang, tepat ke atas kepala lembu itu dan menyelitkan nukilan, “Ketidak adilan sedang berlaku.
Begitu ramai yang menontonnya, begitu ramai juga yang menikmati ketidak adilan itu dengan gembira dan begitu sedikit yang dapat merasa ketidakadilan itu wujud….namun yang sedikit itu juga hanya mampu melihat tanpa mampu menentangnya”.

Usai majlis graduasiku di kota Madrid, aku pulang ke tanah air dengan transkript yang menyatakan aku sudah memperolehi ‘Double Master in Aeronautical Engineering’.

Kesibukan memulakan tugas selaku pensyarah membataskan masa luangku.

Aku memutuskan untuk berjumpa Hazrul buat pertama kali, bebrapa bulan selepas itu di Teluk Batik. Kami duduk di atas pasir pantai, mengarahkan pandangan pada air laut yang biru dan penuh mendamaikan.

“Haz, seringkali aku merasakan langit ini akan menghempapku, bumi pun seakan semakin bergerak ke atas untuk mencuba bagi menyesakkan aku.
Terkadang aku jua merasa seperti sekeping telur di celah roti sandwich.
Terhimpit, terkepit, perit dan sesak seakan semua mengcengkam menjadi satu dan kini dari telur mata kerbau di celah roti sandwich, aku sudah bertukar menjadi ‘scrambled egg’, hancur lumat di saluti mayonis”, aku melontar bicara sambil mataku merenung laut yang terdampar di depan kami.

“Hana, aku faham ada sesuatu yang sedang memenuhi kotak fikiranmu tapi aku tak mampu menurasnya lagi. Boleh kau jelaskan lagi?”, Hazrul menyoal sambil tangannya menguis-nguis pasir pantai dengan ranting kayu di tangannya.

Aku menarik nafas panjang-panjang sebelum mengalih kedudukanku sedikit untuk memudahkan Hazrul melihat ekpresi wajahku.
“Abah menyampaikan perkhabaran yang aku sudah di pinang orang.
Selepas itu, apa yang aku dengar dari mak, segala nya sudah di uruskan.
Mak turut meluahkan kata-kata penuh keyakinan yang lelaki ini mampu memahami aku dan mampu membahagiakan hidup aku”, berat bicara itu meluncur dari bibirku dan kolam mataku serasa panas bergenang air mata.

“Hana, cuba kau lihat batu,pasir dan ombak di pantai ini”, tangannya mengunjur kearah objek-objek tersebut.

Aku mendongakkan pandanaganku, menuruti telunjuk tangannya.

“Aku ibarat pasir pantai ini, dan kau ibarat ombaknya.
Hujan, panas, ribut atau taufan, pantai akan tetap setia menunggu ombak menghempasnya, setia teguh menunggu di situ kerana pantai yakin ombak tetap hadir.
Orang tua mu ibarat batu-batu itu, membuatkan alunan ombak menjadi termusnah sebelum ombak sempat mengunjungi pasirnya.”, seperti biasa Hazrul akan mengaitkan persekitaran dalam bicaranya.

“Aku tak punya hak dalam hati dan hidup kau.
Tapi aku yakin kau dah cukup memahami apa yang kita bincangkan selama ini tentang hati dan keperitan yang akan di lalui oleh sang hati dalam proses kehidupan.
Buatlah keputusan kali ini berdasarkan kata hati mu.
Apapun keputusan yang kau ambil, aku tetap disini, setia teguh untuk tidak akan memusnahkanmu”,Hazrul menyambung bicara sebelum bingkas bangun, tersenyum memandangku dan dengan perlahan berlalu pergi dari sisi aku.

“Penantian suatu siksa yang tidak tertanggung oleh tubuhku yang kering dan layu.
Kepastian suatu penawar dalam suka dan duka yang meniti hidupku.”, suara suamiku menyanyikan lagu Penantian dendangan kumpulan Harmoni kedengara sayup-sayup dari arah bilik mandi.

Aku tersenyum sambil merenung gambar perkahwinan kami.

Aku punya banyak sebab untuk tersenyum kerana hal yang berlaku tika dan detik ini, tak perlu membuatkan hati terasa perit dan dalam masa yang sama mengekalkan prinsip yang selama ini aku pertahankan.

Aku berkahwin dengan insan pilihan orang tua ku yang juga dalam masa yang sama, insan pilihan hatiku….Hazrul si pasir pantai!

2 Respons

  1. kesudahan cerpen yang hampir sama sahaja dengan yang lain.. kena paksa kahwin tapi dengan yang tercinta juga…
    permulaan citer ni best tp… tapi pi mai pi mai tang tu jugak…

  2. jalan crita nmpak berat..
    ayat2 mndalam..
    last2 cam2 je..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: