Kurniaan Ini

niellisa

Bulan purnama indah mempamerkan wajahnya di langit gelap. Asyik sungguh mengagumi kebesaran tuhan. Jejaka itu masih setia di laman rumah miliknya menghabiskan saki baki malam yang masih panjang.

‘Lambatnya esok…berdebar la plak diaorang nak datang…’ Adam bermonolog ringkas.
Dia memaut tubuh, terasa kedinginan malam meresapi hingga ke tulang hitam. Kelihatan bilik ibunya telahpun gelap menandakan wanita kesayangannya itu telahpun lena diulik mimpi. Itulah satu-satunya wanita yang setia menemani hidupnya kala ini.

Ibunya sentiasa di sisi saat dia memerlukannya. Walaupun dirinya insan yang punya kekurangan namun tidak sesekali ibunya menyisih perhatian, malah wanita itulah penguat semangatnya untuk terus berjuang dalam meneruskan hidup ini. Hatta ke peringkat Universiti, ibunyalah yang bersusah-payah meyakinkan dirinya untuk hidup berdikari tanpa bantuan orang lain.

Ibu banyak meninggalkan pesan kepada dirinya saat melepaskannya hidup bersendirian di tempat orang. Kata ibu, dialah segalanya selepas ayah terlebih dahulu dijemput Ilahi. Maka saat itulah dia bertekad untuk mencipta kejayaan bagi dirinya sendiri, lebih-lebih lagi mahu menghargai setiap pengorbanan ibu untuknya. Saat itu datang jua, hari konvokesyen segalanya terbukti, ibu menitiskan air mata sambil memeluknya erat. Inilah buktinya! Air matanya jua tidak dapat ditahan lagi…

Kini dia berjaya memiliki sebuah rumah dan juga sebuah kereta untuk kesenangan hidup bersama ibu. Syukur kepada Allah tidak pernah dia lupakan. Terasa begitu besar nikmat yang Allah kurniakan kepadanya. Ibu juga makin berbahagia kini. Segala kebajikan ibu digalaskan di bahunya setakat mana termampu. Sakit demam ibu dialah pengubatnya. Namun seiring kematangan dirinya, jauh di sudut hati dia mahukan kebahagiaan berganda. Hatinya tersentuh kepada seorang gadis…

Dua bulan yang lalu dia mengenali gadis itu, Hannah, empunya diri perkenalkan. Perkenalan pertama itu cukup ringkas tapi amat bermakna bagi dirinya. Hannah menolong memimpin ibunya untuk menerima rawatan di klinik. Rupa-rupanya Hannah merupakan pembantu doktor di klinik berkenaan.

“Ibu ni sakit apa?” Hannah ramah bertanya kepadanya. Ibunya demam kala itu. Badannya lemah tidak bermaya untuk berjalan sendirian.
“Dia demam. Hari ni baru dia setuju nak datang klinik…dah puas memujuk. Dah tak larat sangat la tu…” Adam melirik kepada ibunya yang kelihatan letih. “Dia memang susah nak datang klinik…katanya doktor banyak yang garang…” Adam menyambung kata. Hannah tersenyum manis. Lesung pipitnya terserlah. Wajah bujur sireh itu mendatangkan kedamaian di hatinya.
“Ya ke macam tu…, tapi tak pe mak cik, doktor kat sini baik orangnya. Saya berani jamin!” Hannah menceriakan suasana.
Adam mengucapkan terima kasih kepada Hannah atas segala pertolongannya. Hannah sekadar mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Lain kali jangan takut-takut lagi nak jumpa doktor ya mak cik…Sakit ni tak boleh simpan lama-lama nanti makin melarat…” Hannah meyakinkan ibunya.
“Dengar tu mak…apa la nak takut-takut ngan doktor, Adam kan ada…” Adam mengiakan kata Hannah.
“Nak membebel la tu…” Ibunya turut tersenyum dengan keadaan. “Oklah nak, mak cik balik dulu.” Ibunya mengakhiri pertemuan. Terasa kehilangan di hati Adam. Tiba-tiba saja hatinya diusik satu perasaan. Tak pernah perasaan sebegini hadir dalam dirinya. Seolah-olah dia dilamun cinta. Tak mungkin! Sepanjang perjalanan pulang hanya Hannah di ingatannya.

“Nak datang rumah…? Buat apa?”
“Nak kenal lanjut ngan keluarga U. Tak boleh ke…? Kalau tak boleh tak pe lah.” Hannah mengajukan persoalan di talian telefon. Katanya keluarganya ingin bertandang.
“Boleh…boleh sangat-sangat.” Adam menyatakan persetujuan tanpa sebarang syarat. Namun di hatinya penuh kehairanan dan debaran. Kepada ibunya dia maklumi hajat itu. Ibunya juga kehairanan namun bersedia menerima tetamu yang mendatang.

“Kita nak masak apa ni mak…? Orang nak datang kenalah kita merai…” Adam mula terasa kalutnya. Segan pula rasanya untuk menyambut tetamu istimewa. Lagi pula apalah hajat mereka tu bertandang. Takkan nak datang meminang kot! Oh, tak mungkin…

“Assalamualaikum mak cik…” Seperti biasa Hannah ramah bermesra. Ibunya menyambut salam dengan penuh senyuman. Adam hanya memerhati dengan penuh minat. Kunjungan mereka disambut mesra seadanya.
“Ini saya perkenalkan…Ini mak saya dan ini ayah saya.” Tangan Hannah memperkenalkan kedua ibubapa mereka satu persatu. Adam menganggukkan kepalanya sambil menyalami ayah Hannah. Sejurus Adam mempelawa mereka makan bersama. “Jemputlah makan…ni semua mak yang masak…”
“Awak tahu masak ke Adam? Rugilah kalau awak tak tahu…mak awak masak best!” Ramah sungguh tutur bicara Hannah. Adam hanya menggelengkan kepala. Hannah mencebik namun mulutnya ramah memuji masakan ibunya.
“Saya tahu masak air je…itupun mak saya ajar juga.” Adam berseloroh memeriahkan keadaan. Adam membasuh tangan membersih sisa-sisa makanan di tangan. Berselera sungguh dia makan pada hari ini. Seronok andainya setiap hari begini.

“Jemput pak cik…mak cik…buah ni arwah ayah yang tanam dulu…” Adam menyuakan buah rambutan kepada tetamunya.
“Bagus kalau suka bercucuk tanam…tak susah-susah nak kena beli.” Ayah Hannah turut berceloteh.
“Arwah ayah dulu memang suka berkebun. Saya tahu sikit-sikit je…” Adam cuba berbasa-basi. Kekok juga melayan tamu, apatah lagi yang tak pernah dia jumpa.

Ibu nampaknya rancak berbual dengan Hannah. Apa la agaknya yang diaorang ceritakan. Hendaknya jangan la pasal aku! Adam mula rasa tidak selesa andai ibunya banyak menutur perihalnya.

“Oklah Adam. Saya dah nak balik. Nanti keluangan jemputlah datang rumah saya pula. Sudi tak?” Hannah berceloteh lagi. Masakan aku tidak sudi memenuhi jemputan itu!
“InsyaAllah…” Adam menganggukkan kepalanya.
“Saya tunggu tau. Saya nak masak sedap-sedap.” Hannah ikhlas menjemput. Riang hati Adam seketika. Seronok hidupnya dengan kehadiran gadis ini. Andainya Hannah bukan sekadar kawan semata-mata, akan disunting gadis ini untuk dijadikan suri didalam hidupnya. Sudikah Hannah? Sukar dia mencari jawapan. Seorang gadis cantik disamping jejaka bertongkat?

‘Lewat…atau tak sudi? Kata jam 12 ni dah lebih jam 1…nak balik ke?’ Penantian Adam merimaskan dirinya. Dia berkira-kira sendiri untuk terus menunggu atau pulang saja sementelah orang yang ditunggu langsung tidak menampakkan bayang. Tongkatnya dipegang kejap untuk bangun dengan niat di hati ingin berlalu. Namun berat hatinya untuk melangkah, ekor matanya masih mengharap orang yang ditunggu hadir di depan mata.

Nun di sana ada tangan yang melambai. Hayunan kakinya bertambah laju. Datang berteman nampaknya. Adam hanya tersenyum lega. Nasib baik tak balik lagi. Kalau tak dia juga yang rugi. Hannah menghampiri dengan senyuman meleret. Nampaknya dia keletihan. Manakan tidak dia hampir berlari mendapatkan Adam. Temannya jua begitu. Kelihatan wajahnya juga mula disiram bintik-bintik kecil peluh.

“Sorry Adam.” Hannah seolah merayu.
“It’s ok.” Adam bersahaja. Senyuman masih di bibir. Tak sanggup rasanya dia menghampakan gadis ini. Apatah lagi insan inilah yang menceriakan hidupnya.
“Kawan ni siapa nama?” Hannah terlupa memperkenalkannya. Gara-gara dia terlewat tadi takut benar Adam merajuk. Laila diperkenalkan. Kepada teman baiknya itulah selalu dia bercerita perihal Adam. Laila seorang kawan yang baik, sentiasa sudi menjadi pendengar setia kala dia bercerita.
“Dah lama kawan dengan Hannah?” Adam mula berbicara menghangatkan suasana.
“Hampir lima tahun. Kami sama-sama masuk kerja dulu.” Laila memberi muqaddimah. Hampir satu jam mereka makan bersama, masing-masing mahu mengundur diri. Adam menghantar mereka ke tempat kerja. Hannah nampaknya gembira dengan pertemuan itu. Sempat lagi Hannah mengingatkan Adam untuk datang bertamu ke rumahnya.

Adam mula memikirkan ke mana kesudahannya persahabatan yang terjalin ini. Hatinya sungguh terpaut kepada gadis itu. Dalam diam dia menaruh harapan. Dia tidak pernah memulakan kata berbaur harapan, Hannah jua begitu. Masing-masing seolah-olah mahu tapi malu.

Akhirnya Adam memberanikan diri melamar. Redup mata Hannah menjanjikan bahagia buat Adam. Kali ini matang benar Hannah membuat keputusan untuk masa depannya. Adam pula yang terkejut, masakan tidak! Hannah sanggup menerima jejaka bertongkat untuk menjadi pelindungnya. Hannah tersipu bilamana Adam menyatakan rombongan merisik akan sampai ke rumahnya dalam masa terdekat.

“Minggu depan?” Hannah seakan tidak percaya. Dia nampaknya kalut menerima berita itu. Fikirannya memikirkan persiapan yang bakal diselesaikan. Menangguhkannya tiada dalam kotak fikirannya memandangkan perkara yang baik harus disegerakan.
“Ok, Han setuju. Jangan lupa bawak cincin mahal-mahal ek…dan tak lupa bawak reporter sekali.” Hannah dah mula becok. Adam mengiakan saja sambil tersenyum sinis. Lucu melihat gelagat Hannah yang kebudak-budakan.
“So, bila plak kita nak kawin?” Adam menagih jawapan, sebenarnya itulah hari yang ditunggu-tunggu. Tak kuasa rasanya dia nak mengikut adat yang banyak memakan masa dan wang.
“Sabar la dulu…bertunang pun belum lagi.” Hannah memberi cadangan. Sememangnya dia pun mahukan perkahwinan ini disegerakan, namun hati orang tua yang masih mementingkan adat perlu juga dijaga. Kalau boleh dia hanya mahukan majlis yang serba ringkas, cukuplah sekadar orang-orang yang terdekat saja hadir didalam majlisnya. Namun mungkin ianya berbeza memandangkan Adam dan dirinya adalah anak tunggal.
“Han fikir bila masanya yang paling sesuai? Sebenarnya lagi cepat lagi bagus. Bercinta lepas kahwin lagi best. Setiap hari boleh jumpa. Tinggal sama-sama…seronokkan?” Adam mula memasang angan tentang masa depan mereka. Hannah mengangguk-anggukkan kepalanya bersetuju, bibirnya mengulas senyuman. Adam memandang jauh ke hadapan, mungkin ada lagi angannya yang masih berbaki. Dia kini di ambang bahagia.
“Terima kasih kerana sudi menerima Adam…terasa diri ini benar-benar dihargai.”
“Han pun sama…kehadiran Adam buatkan hidup Han lebih bererti. Dah lama Han tunggu saat-saat ni dan kini ia makin menjadi realiti. Han hanya mahukan seorang lelaki yang baik, tak lebih dari itu.” Hannah meluahkan segalanya. Hanya seorang lelaki yang baik diperlukannya untuk menjadi pelindung, pembimbing dan peneman hidupnya. Kini lelaki itu ada di depan matanya dan dia tidak akan menoleh lagi.

Nasib nampaknya menyebelahi mereka berdua bilamana keluarga juga bersetuju dengan pilihan masing-masing. Tiada kata lagi untuk mereka mengucapkan syukur kepada Ilahi diatas kurniaan ini. Bukan harta yang menjadi ukuran tapi budi yang menjadi taruhan. Walaupun wang segala-galanya pada hari ini namun budi adalah untuk selama-lamanya. Dengan harapan dirahmati Ilahi mereka utuh mengikat janji.

“Adam bukan insan sempurna…Han tak malu ke…?” Adam menyuarakan kebimbangannya yang tersimpan lama. Sesekali dia juga merasa rendah diri untuk bersama insan sempurna. Jawapan Hannah sabar ditunggu. Walau apa jawapannya dia tetap akan terima dengan hati terbuka.
“Apa la yang nak dimalukan? Bukannya tak de muka. Adam hensem apa…tu pasal Han boleh cair…Kalau nak yang sempurna fizikal banyak lagi kat luar sana tu…tapi bukan itu yang Han cari…Han perlukan seorang lelaki yang matang untuk hidup bersama Han. Inilah ketentuan tuhan untuk Han. Alhamdulillah…lagipun kita dah dapat restu keluarga…” Panjang lebar Hannah memberi jawapan. Jiwanya tenang disaat ini. Tak sabar rasanya menanti hari bahagia mereka.

Adam mula merancang segalanya untuk hari bahagia buat dirinya. Gadis yang suatu ketika dulu sentiasa bermain di matanya kini akan menjadi suri hidupnya. Gadis itu baik orangnya, ditambah pula dengan ramah-tamahnya menjadikan hidupnya bererti. Tak disangka gadis itu bisa menerima jejaka sepertinya yang sejak dilahirkan tidak sempurna fizikalnya.

Dia dilahirkan dengan kaki kirinya sedikit bengkok. Sejak kecil dia menggunakan tongkat untuk menguruskan hidupnya. Namun berkat motivasi seorang ibu dia mampu bangun untuk meneruskan hidup. Ibu mengajarnya untuk saling menghormati sesama insan dan sentiasa berakhlak mulia. Kehadiran Hannah pula seolah-olah melengkapi kehidupannya.

Hannah seorang gadis yang sentiasa ceria. Dunianya makin berseri dengan kehadiran Hannah dalam hidupnya. Ingatan Adam kepada Hannah tidak pernah luput selepas kali pertama mereka berjumpa. Hannah berjaya mengetuk pintu hatinya untuk sebuah cinta. Cinta pertama yang dia dambakan.

Hari pertunangan telah pun ditetapkan oleh keluarga. Hannah berdebar menunggu hari untuk bergelar tunangan orang. Adam pula sedang berbahagia menghitung hari untuk bergelar suami. Telefonlah yang kerap menjadi penghubung mereka. Hanya kadang-kadang sahaja mereka keluar bertemu namun masih berada dalam batas-batas perhubungan yang baik. Hannah sentiasa ditemani Laila, jika tidak mereka lebih selesa bertemu di rumah orang tua.

“Tunggu kejap ya, mak cik panggil Hannah.” Ibu Hannah menyambut kedatangan Adam pada hari itu.
“Terima kasih mak cik. Saya datang ni pun tak bagitahu dia…” Adam malu-malu bermesra dengan bakal mertua. Duduknya diperbetulkan, menyelesakan dirinya sendiri. Hampir sebulan juga dia tidak bersua Hannah.
“Hai…” Hannah menyapa riang.
“Happy birthday…!”
“Oh, thanks!” Hannah agak terkejut.
“Ni hadiah untuk Han…” Adam menghulur kotak berbalut cantik.
“Apa ni…?”
“Buka la sendiri. Tanya-tanya ni nanti tak surprise pula. Harap Han suka. Adam bukannya pandai shopping. Rasa dah cantik tapi tak tahu la Han tengok nanti camana. Harap sudi la terimanya…” Adam bercerita panjang.
“Adam bagi la apapun mesti Han suka nak terimanya.” Hannah memandang-mandang kotak cantik yang dipegangnya. “Lagi banyak lagi suka…” selorohnya lagi. Adam tersenyum cuma. Dia riang dengan gelagat Hannah yang mula membuka kotak hadiah yang diberinya.
“Cantiknya tudung ni…brooch pun sepadan la…” Hannah mula cuba menggayakannya.
“Suka tak? Han suka warna krim so Adam cuba beli warna tu…” Adam cuba memahami minat tunangnya. Saling memahami juga kunci kepada perhubungan yang baik.
“Suka la…satu je?” menyempat lagi Hannah mengusik. Sudah lama dia tidak berjumpa tunangnya. Adam tersenyum lagi. Faham benar dia dengan telatah Hannah yang suka mengusik. Lagipun dia tahu Hannah bukan gadis yang suka meminta-minta, apa yang diberi itulah yang diterimanya.
“Lepas kita kahwin nanti lagi banyak Adam bagi. Nak satu kedai pun tak pe. Jangan tuan kedai sudah…yang tu memang tak boleh. Adam kan dah ada…ye tak?” Adam membalas usikan. Hannah ketawa panjang. Sudah pandai tunangnya berseloroh sekarang. Dia pun bukanlah seorang gadis yang suka meminta. Cukuplah dengan apa yang ada. Sementelah pula mereka sama-sama mengumpul wang untuk hari depan. Banyak lagi wang yang perlu digunakan untuk hari bahagia mereka, lebih-lebih lagi untuk mereka mulakan hidup baru bersama. Semua itu perlu dirancang dengan baik semoga tiada kesulitan yang akan berlaku di masa hadapan.
“Terima kasih Adam. Seronoknya Han dapat hadiah ni…” Hannah tersenyum. Dia bahagia menjadi tunang Adam. Adam seorang yang prihatin. Selalu mengambil berat perihal dirinya. Semoga apabila mereka berkahwin nanti Adam tetap sama seperti sekarang, malah dia mahu dimanjai lebih lagi. Lebih-lebih lagi dia sendiri seorang anak manja yang merupakan intan payung untuk kedua ibubapanya.

Mereka menikmati makan tengahari bersama. Rancak mereka berbual bagaikan sebuah keluarga. Akhirnya Adam memohon mengundur diri. Sebagaimana kelaziman, Hannah menghantarnya hingga ke keretanya.
“Jaga diri baik-baik.” Adam berpesan sambil menghidupkan enjin kereta.
“Adam pun samalah.”
“Bila kita nak kahwin…?”
“Mula la tu…” Hannah cuba mengelak. Adam tersenyum cuma. Lambat baginya menunggu masa enam bulan lagi. Tak tahan dia menanggung rindu kepada tunang tersayang. Dia pun tahu Hannah jua begitu tapi biasalah perempuan…rindu pun tak nak tunjuk. Tengok muka sayu Hannah saat melambai kepadanya pun dia faham saratnya rindu Hannah untuknya.

Hannah juga menghitung hari saat mereka akan diijabkabulkan. Tak betah lagi dia berpisah dengan tunang tercinta. Enam bulan terlalu lama baginya. Tapi itulah tempoh pertunangan mereka yang telah ditetapkan oleh orang tua selama sembilan bulan. Tiga bulan telahpun berlalu dan betapa sabarnya dia menghitung setiap hari yang tiba. Dia tahu Adam setia kepadanya dan dia juga begitu. Dia mahu secepat mungkin Adam menjadi suaminya. Dapatlah dia bermanja lebih-lebih.

“Apa lagi mak yang perlu disiapkan? Hannah membelek-belek baju pengantinnya.
“Tambah sikit lagi manik kat tangan tu…lagi nampak cantik.”
“Tak over sangat ke mak?” Hannah memang simple saja orangnya, malu juga dia bila disuruh bergaya lebih-lebih dihari bahagianya nanti. Kalau boleh dia mahukan sesuatu yang simple saja di majlisnya.
“Alaaa…bukannya selalu Han pakai macam ni. Sesekali nak jugak mak tengok anak mak ni cantik macam bidadari. Lagipun mak dah tanya Imah yang jahit baju ni dia kata kalau letak manik banyak sikit lagi suai dengan kain ni…” bersemangat sungguh ibu Hannah memujuk anaknya.
“Oklah mak…demi mak je Han sanggup bergaya sakan ni. Kalau ikutkan Han, ish malu la nak melawa lebih-lebih…” Hannah mencium manja ibunya. Galak mereka berdua menyudahkan persiapan terakhir. Kad undangan telahpun mereka edarkan untuk semua jemputan. Hanya tinggal dua minggu saja lagi Hannah akan bergelar isteri. Debaran di hatinya makin terasa. Impiannya akan menjadi realiti tidak lama lagi. Syukurnya…

Hannah sememangnya tidak pernah menyangka Adam yang pertama kali ditemui di klinik dulu adalah jodoh buat dirinya. Lamaran Adam memang tepat pada masanya. Walaupun sedikit terkejut dengan huluran jam tangan Omega buat dirinya sebagai hadiah lamaran daripada Adam, dia dengan mudah berkata ‘ya’ kerana memang itulah yang ditunggu-tunggunya.
“Betul ke ni? Jangan main-main dengan saya.” Hannah mencari kebenaran dalam lamaran itu.
“Awak boleh percayakan saya. Saya betul-betul bermaksudkan apa yang saya kata.” Yakin Adam bersuara. Bukan mudah mulutnya menuturkan lamaran itu. Terasa jantungnya berdegup kencang. Tapi digagahkan jua untuk mencuba, andainya gagal dia pasrah. Tapi tak mahu dia mengalah sebelum menyuarakannya.

Gembira di hati Hannah bukan kepalang saat dia dilamar. Namun masih lagi dia berjaya mengawal keadaan. Dia berlagak selamba saja. Dalam hati tuhan saja yang tahu. Sebenarnya sudah lama dia menunggu saat ini. Hari ini segalanya termakbul impiannya. Adam akhirnya melafazkan apa yang selama ini ditunggu-tunggunya. Orang yang didambakan selama ini makin sah menjadi miliknya. Hatinya berbunga riang, jiwanya bagai di awang-awangan.

“Tapi saya tak sempurna seperti orang lain.” Perlahan Adam bersuara. Bukan bermaksud menyalahkan takdir namun itulah yang dirisaukannya.
“mmm…berani juga awak melamar saya ya…? Tapikan…kalau dah sukakan, semuanya nampak sempurna je… Saya pun tak sempurna la awak, tak cantik macam model!” Sempat lagi Hannah mengusik. Adam tersenyum lagi. Dia menarik nafas lega. Nasib baik lulus! Betul seperti yang diduga, dia tidak bertepuk sebelah tangan. Allah permudahkan segala yang baik.

Hubungan mereka tidak berliku, segalanya berjalan lancar. Perasaan sayang mereka mekar sepanjang masa. Nasib sememangnya menyebelahi mereka. Seronok mereka melalui hari-hari yang berlalu. Hanya menunggu waktu mereka disatukan akan bermula hidup baru buat mereka. Kasih sayang yang sudah terjalin akan pula disulami dengan tanggungjawab sebagai suami isteri.

“Han…Adam ada call tak?” Ibunya bertanya selepas gagang telefon diletak.
“Hari ni tak de lagi…napa mak? Dia ke yang call mak tadi?” Laju Hannah bertanya. “Dia nak cakap dengan Han ke?”
“Han…sebenarnya Adam kemalangan, tadi mak Adam yang bagitahu.” Sayu suara ibunya, ada sebak di dada. Hannah langsung tidak berkata-kata. Jantungnya bagai disentap kuat, air matanya laju mengalir. Fikirannya kelam. Wajah Adam terbayang-bayang di ruangan mata. Kenangan bersama datang silih berganti.

Mata Hannah membengkak kerana tangisan yang tiada tanda mahu berhenti. Sekujur tubuh Adam lesu dan kaku. Matanya tertutup rapat, apatah lagi untuk menyahut panggilan daripada Hannah. Kata doktor, Adam koma dan tidak dapat dipastikan bila dia akan sedar semula. Hannah tidak mampu lagi menenangkan dirinya. Mengenangkan nasib yang menimpa Adam hatinya cukup diragut pilu.

Hanya tinggal empat hari saja lagi untuk mereka diijabkabulkan. Segala persiapan telahpun selesai, hanya menunggu harinya sahaja. Menurut kata doktor yang merawat Adam, peluang untuknya sedar semula amatlah tipis akibat dari pembekuan darah di dalam otaknya dan juga sedikit peralihan telah berlaku pada kedudukan asal otaknya akibat dari hentakan yang kuat.

Hannah masih lagi setia menunggu disisi Adam sehingga ke hari ini…dan hari ini jugalah sepatutnya mereka sah menjadi suami isteri. Dunia bagaikan kelam untuknya. Adam masih jua terbujur kaku tanpa sebarang perubahan. Hanya dia yang masih bersisa semangat terus cuba membantu menyedarkan Adam. Berkat sokongan keluarga kedua belah pihak Hannah masih cekal melalui takdir yang menimpanya. Mereka semua masih sepakat untuk bersama membantu Adam yang masih koma.

“Sukar untuk saya katakan…tapi bagi pihak kami dia sudah tidak punya harapan lagi…” Lembut tapi tegas Dr. Danial bersuara. Hannah tidak mampu lagi bersuara, hanya air jernih yang mengalir perlahan mampu menyatakan isi hatinya. Hatinya sungguh-sungguh diragut pilu tidak tertahan lagi. Tiada kata yang mampu menggambarkan perasaannya pada waktu itu. Hannah pasrah. Dalam terpaksa dia merelakan Adam pergi dari sisinya untuk selama-lamanya. Innalillahiwainna ilaihi raji’un…

Esak tangis mula memenuhi ruang saat sekujur tubuh Adam diselimut putih hingga menutup wajah. Tubuh Hannah lesu. Hilang sudah kegembiraan yang diimpikan untuk hidup bersama Adam. Segala-galanya hanya tinggal kenangan. Hanya kenangan indah bersama dapat mengubati lara di jiwanya. Kesekian kali air matanya diseka. Sungguh dia tidak mampu untuk menghadapi detik ini.

Ibu Adam membelai Hannah manja saat dia berkunjung ke rumah itu.
“Sabarlah Han…” dibelai rambut Hannah perlahan-lahan.
“Han rindukan Adam…”
“Mak cik pun sama Han…itulah satu-satunya anak makcik…” Ada kesayuan dalam suaranya.
“Allah lebih menyayangi dirinya…” Dalam kepayahan Hannah bersuara. Mereka saling melayan perasaan rindu yang tidak tertanggung pada Adam. Sambil menyeka air matanya, Ibu Adam menghulurkan bungkusan cantik kepada Hannah.
“Mak cik rasa hadiah ni Adam sediakan untuk Hannah…mak cik jumpanya dalam bilik dia sewaktu mak cik mengemas biliknya semalam. Hannah ambillah…rasanya ia memang untuk Hannah…dia dah tak ada orang lain…” Ibu Adam bersuara serak. Hannah membelek-belek bungkusan cantik di tangannya. Hatinya cuak. Apa agaknya yang terisi di dalam kotak cantik itu. Kepalanya ligat berfikir. Ibu Adam hanya memandangnya sayu.

Sepasang kain sutera oren terlipat cantik di dalam kotak itu. Sekeping kad tulisan tangan Adam ditatapnya sayu…

Buat tunangan tersayang…
Sungguh Abang tidak sabar menunggu hari kita akan disatukan. Hadiah ini Abang sediakan untuk bakal isteri Abang. Abang menanti dengan penuh debaran untuk kita hidup bersama. Saat itu Abang akan buktikan bahawa Abanglah suami yang terbaik untuk Han.

Terimalah seadanya persalinan dari Abang. Abang tahu Han akan sukakannya…

Betapa Abang bersyukur dengan kurniaan ini. Kita akan mulakan hidup baru hanya beberapa hari saja lagi. Berdoalah selalu agar segala impian kita untuk hidup bersama akan dimakbulkan tuhan. Kita akan menjadi pasangan yang paling bahagia. Sesungguhnya kehadiran Han dalam hidup Abang amat besar ertinya. Tiada kata mampu menyatakan betapa dalamnya rasa cinta Abang untuk Han. Ia tak pernah hilang walau sezarahpun…

Miss u…

Pandangan Hannah kabur. Kad itu dilipat perlahan-lahan. Air mata menjadi saksi betapa dia sungguh terharu dengan pemberian Adam. Sutera oren itu dipeluknya erat. Dia berjanji akan terus berdoa kepada Ilahi semoga roh Adam sentiasa dicucuri rahmat tuhan dan diampunkan segala dosa-dosanya. InsyaAllah…Hannah termenung lama…akhirnya dia bangun untuk mengambil wudhu’. Hanya ayat-ayat suci al-Quran mampu mengubati lara di jiwanya…

Advertisements

3 Respons

  1. Allah Maha Penyayang……..wpun dia ditakdirkan untuk seketika tetapi Allah Maha Adil…dan Jodoh Ditangan Allah……..

  2. emmm…sedihhh..arrr..citer nie..best gak

  3. sedih siyot citer nie….rasa nk meiitik airmata nie biler baca citer nie..sesungguhnya kita hanya mampu merancang tapi Tuhan yg menentukan segalanya…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s

%d bloggers like this: