Berakhirnya detik lalu

Fina Zain
curiousbaby86@yahoo.com

“Rezeki masing-masing Nina. Awak kena ingat, ajal, maut, jodoh dan rezeki semuanya datang daripada Allah,”ujar Sakinah lembut sambil menepuk perlahan bahu Ainina. Wajah Sakinah yang berseri-seri itu meyakinkan Ainina bahawa hati yang suci dan ikhlas membawa keberkatan dan kebahagiaan yang berpanjangan.

“Kak, terima kasih banyak-banyak. Nina terhutang budi dengan akak,”rasa terharu menyelubunginya. Tubuh Sakinah dipeluk erat, air matanya menitis kerana di saat dia kesusahan masih ada orang yang sudi membantunya.

Sakinah menyambut pelukan itu dengan penuh rasa kasih sayang. Baginya wanita muda yang berada di depannya seorang yang tabah dalam menjalani kehidupan yang penuh cabaran dan dugaan ini. Seorang janda beranak 3 yang terpaksa memikul beban menjaga ketiga-tiga anaknya selepas bercerai dengan suaminya lebih 3 tahun dulu. Kehidupannya bertambah sukar apabila dirinya ditimpa kemalangan setahun yang lepas lalu menyebabkan kaki kirinya hampir hancur digilis kereta. Disebabkan itu, dia hanya menggunakan tongkat untuk menyenangkan pergerakannya. Hendak membeli kaki palsu, dia masih belum mampu lagi untuk memilikinya.

“Em, tak mengapa Nina. Hari ini hari awak. Esok-esok mana tahu hari saya pula. Lagipun, saya memang sedang mencari pekerja di kedai saya tu,”jelas Sakinah kepada Ainina.

Sakinah terserempak dengan Ainina semasa dia hendak mengeluarkan zakat di salah sebuah institusi kebajikan yang berfungsi membantu golongan yang memerlukan. Semangat yang kental wanita muda yang dilihatnya itu benar-benar menarik perhatiannya. Wanita muda itu, Ainina sedang asyik menunggu giliran untuk mendapatkan bantuan sambil mengait sesuatu di tangannya. Mungkin wanita muda itu mencari nafkah dengan mengait kot. Detik hati kecilnya. Sakinah menghampiri wanita muda yang sederhana mengenakan baju kurung sedikit lusuh dan mengikat tudung ringkas bersahaja menampakkan sedikit rambutnya yang terjulur keluar.

“Assalamualaikum, dik,”Sakinah memberi salam kepada Ainina.

“Waalaikummussalam,”jawab Ainina lembut. Dia menyambut huluran tangan Sakinah sambil tersenyum. Manis kakak ni. Wajahnya seperti orang yang baik-baik. Gerutu Ainina seorang diri. Sakinah terus duduk disebelah wanita muda itu. Lagaknya mesra supaya Ainina berasa selesa.

“Dah lama ke sakit?”tanya Sakinah tatkala melihat wanita muda itu dengan tongkatnya.

“Em, saya accident setahun yang lepas kak. Tu yang jadi macam ni,”ringkas Ainina menjawab soalan Sakinah.

“Oh, nama akak Sakinah. Panggil Kak Kinah pun ok je. Adik nama apa?”soal Sakinah lagi. Terasa dia mahu mengenali wanita muda itu lebih rapat.

“Ainina. Panggil Nina je cukup. Akak buat apa kat sini? Nak kata datang ambil bantuan, rasanya tak. Kak Nampak macam orang berada,”ujar Ainina sambil meletakkan kain yang dikaitnya di atas riba.

“Em, akak bayar zakat kat sini. Nina kerja mengait ke?”soal Sakinah lagi.

“Sambilan je kak. Nak cari duit lebih. Tapi Nina biasa dapat tempahan nasi lemak kat sebuah kantin satu kilang ni. Harapkan hasil tulah Nina menyara keluarga,”jelas Ainina. Tangannya menampakkan urat-urat yang timbul menunjukkan yang dia gigih bekerja menampung kehidupannya.

“Maaf ye kalau akak asyik bertanya je. Nina sara keluarga? Ada suami tak?”sengaja Sakinah menanya akan hal itu.

“Nina ni janda kak. Anak tiga. Harapkan bekas suami, jangan haraplah akak. Saya yang masih muda, sihat lagi ditinggal-tinggalkan. Apatah lagi dalam keadaan saya yang sekarang ni, dah tak mampu nak buat kerja berat-berat lagi. Mungkin ini semua balasan Tuhan atas kekhilafan saya yang dulu kak,”ujar Ainina panjang lebar. Dia mengesat matanya yang mula menitiskan air mata. Sebak mungkin.

“Akak niat ikhlas nak tolong Nina. Itupun, jika Nina tak kisah. Semoga Allah sentiasa memberkati kita semua,”beritahu Sakinah bersungguh-sungguh. Wajah Ainina yang manis itu ditatapnya lama. Dia teringat kepada arwah adiknya yang meninggal dunia akibat kanser otak. Kalau usianya masih panjang, mungkin sebaya dengan Ainina sekarang.

“Akak nak tolong apa?”tanya Ainina lembut. Sakinah menerangkan niatnya mengambil pekerja-pekerja yang terdiri daripada wanita-wanita tunggal. Mungkin dengan niatnya yang tulus ini, sedikit sebanyak dapat membantu golongan-golongan ini supaya dapat menjalani kehidupan dengan lebih bermakna. Sakinah juga merupakan wanita tunggal yang kematian suami. Arwah suaminya meninggalkan harta yang melimpah-ruah. Hal ini kerana arwah suaminya merupakan seorang hartawan yang terkenal. Gelaran Datin tidak pernah melalaikan Sakinah daripada hanyut dalam dunia yang sementara ini. Dia menggunakan peluang yang ada dengan rezeki yang dimilikinya untuk membantu golongan-golongan yang memerlukan. Hasratnya menyambung niat arwah suaminya untuk melibatkan diri dalam urusan kebajikan. Sakinah cuba menyibukkan diri supaya tidak berasa kesunyian. Hal ini kerana dengan cara ini, dia dapat merawat kesedihan atas kehilangan suami yang tersayang selain tidak mempunyai anak yang dapat menjadikan kehidupan seorang wanita itu terasa lengkap. Walau apa-apapun, Sakinah tidak pernah menyalahkan takdir yang menimpa dirinya. Baginya, sudah ketentuan Allah dan dia harus terima walaupun hakikatnya perit sekali. Masanya banyak dihabiskan dalam menguruskan syarikat peninggalan arwah suaminya, selain memiliki perniagaan kedai roti dan kek dan juga memiliki sebuah Butik Formula Anggun yang menyediakan perkhidmatan jual beli, tempahan dan sewa pakaian-pakaian muslimah.

“Syukur, alhamdulillah. Allah masih sayangkan saya kak. Dulu saya ni teruk kak. Sanggup ikut jantan sampai lupa tanggungjawab saya sebagai seorang anak. Saya ni dikutuk orang-orang kampung kerana berkahwin dengan seorang penagih. Mungkin saya ni buta, jahil kak masa dulu. Kadang-kadang bila fikir balik terasa menyesal sangat-sangat. Kalaulah saya sambung belajar awak-awal dulu, mungkin tak jadi macam ni,”ujar Ainina panjang lebar. Sakinah hanya mendengar dengan penuh perhatian.

“Semua yang berlaku ada hikmahnya, Nina. Mujurlah kita di antara orang yang mendapat petunjuk dariNya, yang penting sekarang Nina dah berubah,”beritahu Sakinah bersungguh-sungguh.

Salah seorang lelaki yang sedang mengagih-agihkan beras sempat mencuri pandang ke arah Ainina yang sedang asyik bersembang. Sakinah yang menyedari akan hal itu, mengangkat kening kepada lelaki itu. Lelaki itu tersedar dirinya diperhatikan bingkas mengangkat beras ke tempat yang sepatutnya. Merah padam mukanya.

“Nina, nampaknya ada yang berkenan kat kamu tu,”usik Sakinah sambil menjuihkan mulutnya ke arah lelaki yang asyik memerhatikan Ainina dari tadi.

“Hei, akak ni. Kan dah segan dia,”bisik Ainina. Lelaki itu memandang lagi. Dia merupakan salah seorang pekerja yang berkhidmat di institusi tersebut.

“Kalau ditakdirkan bertemu jodoh yang sesuai nanti, jangan serik untuk berkahwin lagi. Tak semestinya semua lelaki tu sama, Nina,”Sakinah sekadar mengingatkan.

“Saya tau akak. Dalam keadaan saya yang macam ni, kalau ada lelaki yang sanggup terima keadaan saya seadanya yang kurang upaya, ibu tunggal lagi, saya dah sangat bersyukur tu,”jelas Ainina. Dia membalas senyuman lelaki tadi yang mula menguntumkan senyuman terhadapnya dulu. Sakinah hanya tersenyum melihat gelagat Ainina.

Kelihatan lelaki itu datang menghampiri Ainina dan Sakinah yang masih lagi tidak berganjak dari tempat duduk itu sejak mula bersembang tadi.

“Assalamualaikum,”lelaki itu memberi salam.

“Waalaikummussalam,”salam lelaki itu disambut Ainina dan Sakinah dengan senyuman yang terukir dibibir.

“Boleh tahan pemuda ni, Nina,”bisik Sakinah kepada Ainina. Ainina hanya tersengih.

“Awak Ainina bt Abdullah kan?”tanya lelaki itu. Ainina sedikit terkejut. Dia berpandangan sesama sendiri dengan Sakinah. Eh, macam mana dia kenal aku ni? Siap dengan nama ayah aku lagi.

“Jangan terkejut. Terus terang saya katakan, sudah lama saya memerhatikan saudari. Sejak awal-awal saudari datang mendapat bantuan di sini,”jelas lelaki itu lagi. Wajahnya bersih. Rupa-rupanya ada juga yang perasan kewujudan aku! Gerutu Ainina.

“Ya, boleh saya tahu awak ni siapa?”soal Ainina pula.

“Saya Haikal, awak mungkin tak berapa kenal saya kot. Saya memang berkhidmat di sini. Lama jugalah, adalah dekat 5 tahun,”balas Haikal.

“Oh,”Ainina tersipu-sipu malu.

“Saya ikhlas hendak berkawan dengan awak, kalau awak tak kisah lah. Awak seorang yang cekal. Saya suka melihat ketabahan yang ada pada awak, Nina,”puji Haikal. Sakinah sempat mencuit lengan Ainina.

“Peluang datang sekali, apa-apapun…Nina kena pandai jaga diri, jaga maruah kita sebagai seorang wanita muslimah. Ingat pesan akak,”bisik Sakinah lalu meminta diri untuk pulang.

“Akak balik dulu. Ini kad akak, InsyaAllah kita jumpa lagi, assalamualaikum,”Sakinah sempat menghulurkan kad perniagaannya kepada Ainina dan juga Haikal sebelum berlalu pergi.

“Waalaikummussalam,”kedua-duanya membalas salam serentak. Satu titik permulaan bagi sebuah perkenalan. Indahnya saat itu. Bisik hati Ainina. Semoga detik perkenalan ini diberkati olehNya. Perkenalannya dengan Kak Sakinah walaupun hanya seketika membibitkan harapan yang mula berkembang mekar di dalam hidupnya.

2 Respons

  1. masih wujudkan insan yang berhati luhur seperti itu pada zaman sekarang?

  2. cerita yang terlalu biase. tiada klimaks.. tiada suapen..cerita yang mendatar

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: