cerpen : Kasih anak terbuang

Dewi Sukma
http://mydewisukma.blogspot.com/

“MAMA TAK IZIN Ian berkahwin dengan pilihan Ian sendiri! Pandai-pandai aje Ian buat keputusan yang penting ini tanpa pengetahuan mama… mama yang melahirkan Ian, walaupun mama tak jaga Ian tapi mama masih berhak ke atas diri Ian, ingat tu!” getus wanita yang berumur lebih separuh abad itu.
“Ah! Atok dan nenek dah bersetuju, mereka sikit pun tak kisah dengan siapa saya nak berkahwin! Ini soal hidup saya, masa depan saya… kenapa mama tiba-tiba nak masuk campur? Sedangkan dulu… mama sikit pun tak hiraukan saya, sekolah saya, kerja saya… buat apa mama sibuk sangat nak carikan saya bakal isteri pulak? Kenapa tak tanya pendapat saya dulu? Macamlah saya ni tak mampu nak cari sendiri!” bentaknya.
“Kau tinggal di KL, mama bimbang kau tersalah pilih. Sementara masa masih ada hmm… nampaknya, Ian memang sudah tak nak dengar langsung cakap mama!” lirih suaranya.
“Haa… mama jangan nak salahkan saya pulak! Selama ini, saya tidak pernah mendapat kasih sayang yang sepatutnya dari mama!”
“Kasih sayang yang macammana, Ian? Apa? Tak cukup lagi ke… mama selalu jumpa Ian di kampung, di asrama sekolah… paling kurang pun sebulan sekali. Kau nak berjalan ke mana saja mama bawa, kau dah lupa?”
“Ahh! Mama tak dapat membaca isihati saya, keinginan saya melebihi dari segala yang boleh mama fikirkan… bagaimana dengan perasaan saya apabila melihat kebahagiaan adik-beradik saya hidup sebumbung dari kecil sehingga dewasa. Saya kecewa mama, bila mama buat tak tahu saja dan anggap saya dah cukup matang…
Lebih-lebih lagi, selepas ibu meninggal dunia… hidup saya sepi, hampir setiap hari saya memikirkan perkara ini. Itu pun, kalau tidak kerana datok dan nenek… sudah lama saya merantau jauh dari sini dan buat hal sendiri… tengoklah macam sekarang ni, hendak kahwin pun payah sangat! Sikap mama yang cerewet tu… boleh buat saya hilang akal!”
“Kalau macam tu, apa salahnya jika sekarang ni mama mengambil berat tentang diri kau, Ian? Izinkanlah mama menebus segala kesilapan yang telah berlaku!” Suara mama penuh mengharap.
“Tolonglah mama! Masa untuk itu semua sudah lama berlalu, sudah terlambat mama!” luah Saffian dengan angkuhnya.
Jelas di wajahnya terpamir dendam yang telah disimpan sekian lama. Biarlah segala-galanya terburai, getus hati kudusnya.
“Sampai hati kau cakap macam tu, Ian. Dahulu, masa mama datang hendak ambil kau balik, kau sendiri yang menolak! Sekarang, kau salahkan mama… patutkah? Kau umpamakan mama seperti sudah tiada di dunia ni… agaknya kau lebih suka jika mama mati, kan?
Kau dan ayah kau tu pun sama saja….. mama diperlakukan tak ubah seperti kain buruk! Baiklah Ian, suka hati kaulah… semuanya memang salah mama, walaupun mama tak rela berpisah dengan kau dulu.
Ian, kau harus tahu bahawa bukan tangan mama ini yang hulurkan kau kepada orang lain tapi kau telah dirampas dan dibawa jauh dari mama… Ah! Mama hendak cerita pun, kau bukannya mahu dengar! Semuanya sudah tiada gunanya lagi! Kalau masa mama sudah sampai nanti kau tak payahlah susah-susah datang tengok mama… biarkanlah mama seorang diri! Kalau hidup pun hanya menyusahkan orang, buat apa mama hidup lagi?” Suara mama tersekat-sekat dengan nafas yang turun-naik namun tetap terkawal intonasinya.
Mama… Saffian terkesima, dia terus membungkam. Mengalah bererti dia terpaksa menurut dengan kemahuan mama. Kahwin paksa…
Ah! Dia bukannya robot, boleh diarah itu dan ini! Sungguh dia tidak rela melepaskan Siti Nasuha, gadis yang telah pun menerima lamarannya malah telah menjadi tunangannya kini tanpa pengetahuan mama.
Hanya datok dan nenek saja yang merestui ikatan ini. Jauh di sudut hatinya, Saffian juga sebenarnya tidak sanggup kehilangan emak buat kali kedua. Akan tetapi, emosinya seperti terhimpit dan keadaan juga begitu mendesaknya untuk bersikap tidak ketentuan.

AIRMATA berjurai-juraian membasahi pipinya. Tuala kecil di tangan semakin lembap. Sesekali tangan kanannya memicit jari-jari kaki yang terasa kebas setelah duduk terlalu lama di atas katil besi itu. Saffian hanya berdiri memeluk saku seluarnya di hujung katil sambil memerhati tingkah laku mamanya itu. Tubuhnya yang agak sasa itu disandarkan ke dinding di tepi tingkap.
Sudah dua minggu lebih mama menginap di wad rawatan rapi di Hospital Pakar Puteri Johor Bahru, setelah dia mengalami kekejangan otot dan demam panas yang berlarutan.
Doktor pakar telah mengesahkan mama menghidap penyakit darah tinggi yang kronik dan kemungkinan untuk diserang angin ahmar amat tinggi. Menurut doktor itu lagi, permakanan dan ubat-ubatan perlu diawasi supaya tidak membahayakan kesihatannya.
Apabila melihat keadaan fizikal mamanya, hati Saffian tersentuh. Rasa simpati memang ada tetapi dia sendiri tidak berupaya untuk menzahirkannya. Entah kenapa, mulut dan kerongkongnya bagaikan tersumbat. Mungkin belum tiba masa, fikirnya sendiri.
Kedatangannya ke sini bukanlah dengan sepenuh keikhlasan. Kaki kata nak tapi hati kata tak nak! Terlalu sukar untuk dirinya membuat keputusan. Itupun setelah puas datok dan nenek berleter.
Pergilah……! Kesian mama kau, dah lama dia nak jumpa kau! Kau jangan ambil hati kalau dia marah, bukan bermakna dia tak sayang kau! Mama kau tu tak sihat macam dulu, dia telah banyak menderita…
Saffian mendengus keras. Ah! Nampaknya perjumpaan sesingkat ini tidak dapat mengubah apa-apa. Yang tersirat telah pun tersurat!
Lama mama diam, entah bila masa mama tertidur Saffian sendiri tidak sedari. Ditariknya selimut tebal di hujung kaki mama, perlahan-lahan lalu menutup tubuh mama sehingga ke paras dada. Tangan mama yang agak dedar itu dikucup lama.
“Maafkan Saffian, mama!” bisiknya.
Hanya itu yang mampu diucapkan. Lantas, dia meninggalkan mama keseorangan tidak berteman lagi. Jelas ikatan di antara mereka berdua telah longgar, ada jurang yang terlalu luas. Tiada kemesraan seperti insan-insan yang lain.

TIKA usianya menjangkau tiga belas tahun barulah Saffian tahu bahawa orang yang dipanggil ibu itu hanyalah ibu saudaranya, adik kepada mama. Khadijah, namanya.
Pada saat-saat akhir hayat Khadijah, akhirnya, dia sendiri membongkarkan rahsia yang sudah lama disimpan. Seperti dijangka, Saffian sungguh terperanjat dan tidak mahu mempercayai kenyataan itu sehinggalah datok dan nenek mengesahkan cerita tersebut.
Semuanya bermula semasa Aisyah mengandung kali keempat. Kandungan Aisyah telah disahkan kembar jadi dia telah berjanji untuk menyerahkan salah seorang bayi yang bakal lahir kepada kakaknya yang masih belum mengandung setelah berkahwin lebih tujuh tahun. Sedangkan di masa itu dia telah pun mepunyai tiga orang anak.
Gara-gara janji, Aisyah terpaksa menelan air liur sendiri setelah diberitahu bayi kembarnya yang seorang lagi, Saffiya, terlalu lemah dan tidak dapat diselamatkan. Sedangkan Saffian telah pun diambil dahulu oleh Khadijah sehari selepas dia melahirkan.
Hanya airmata yang mampu mengubat rindu pada bayinya itu. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan merana. Namun begitu, Aisyah pasrah. Khadijah bukannya orang lain. Begitulah juga emak dan ayahnya malah suaminya sendiri, saban hari puas memujuk Aisyah.
Kesian Khadijah, kempunankan anak! Kesian Khadijah, tak boleh beranak! Kesian Khadijah…
Segala-gala yang berlaku begitu pantas dan masa pun berlari tanpa dapat dikejar apatah lagi, untuk diundurkan kembali. Begitu juga dengan nasib Khadijah, rupa-rupanya selama ini, dia telah merahsiakan penyakitnya. Dia menghidapi penyakit barah rahim dan telah pun pergi ke rahmatullah buat selama-lamanya.
Tidak lama selepas itu, suami Khadijah bertemu pula jodohnya dengan wanita lain. Terkontang-kantinglah Saffian membawa diri. Pernah mama datang mengajak Saffian tapi ketika itu Saffian keberatan, dia benci pada adik-beradiknya yang sombong.
Sementelah pula dia sedang belajar di MRSM, sebuah sekolah berasrama penuh. Datok dan neneklah sebagai ganti tempat dia bermanja.
Saffian sedar siapa dirinya jika dibandingkan dengan adik-beradik kandungnya. Dia umpama anak itik yang hodoh, merempat ke sana-sini sedangkan mereka sudah tegar hidup mewah di kota besar.
Sedikit-sebanyak, masalah peribadi sering menganggu emosi Saffian. Kebelakangan ini fikirannya bercelaru. Mujurlah Siti Nasuha ada… pada dialah tempat Saffian mencurahkan perasaan, mengharapkan nasihat dan kata-kata perangsang. Ah! Rindunya pada dia…

ORANG ramai yang berpusu-pusu keluar-masuk ke dalam pejabat pos tidak dihiraukan. Fikirannya telah jauh melayang, sekejap ke kampungnya di Melaka, sekejap ke Johor Bahru. Wajah-wajah datok, nenek, arwah emak, Nasuha, mama, papa, silih berganti.
“Nas, boleh kita keluar sekarang?” Tanpa salam Saffian menegur gadis yang sedang bertugas di dalam kaunter pejabat pos itu.
“Eh, bila Ian sampai? Maaflah tak perasan tadi… boleh tunggu sekejap tak… dalam lima minit lagi sebab member sebelah ni belum masuklah!”
“Emm… okay, Nas siapkanlah kerja dulu, Ian tunggu kat luar ya.”
Beberapa orang pekerja yang sedang bertugas di bahagian kaunter tersenyum-senyum, seperti ada sesuatu yang sedang dibisik-bisikkan sehingga menyeronokkan hati mereka. Maklum sajalah… dahulu selalu bergaduh, selepas itu bercinta secara senyap-senyap, tup-tup dah nak kahwin! Siapa yang tidak terkejut?
Nasuha lemas, di dalam hati ingin saja dia berteriak sekuat-kuatnya! Ah… macamlah mereka tak pernah bercinta, sibuk betul! Tapi ditahankan saja perasaan itu. Di wajahnya cuma ada segaris senyuman hambar.
Dalam pada itu, kerja yang ada diselesaikan segera supaya tidak tertangguh. Maklum sajalah sebagai kerani di pejabat pos, tugasnya agak sibuk dan sentiasa bersedia melayan pelanggan.
Ingatan pada hari pertama bertugas di situ tidak pernah dilupa. Ada saja panggilan telefon yang diterima. Samada ingin berkenalan atau pun sengaja menyakatnya. Hampir-hampir dia pitam kerana terlalu geram apatah lagi masih terkial-kial melayan pelanggan yang berbilang bangsa dan banyak ragamnya.
Masuk minggu kedua, lain pula ceritanya. Seawal pagi, bangku panjang yang diletakkan di depan kaunter bayaran itu, telah duduk seorang pemuda. Wajah tampan berkumis nipis itu telah lama memerhatinya sambil pura-pura membaca akhbar. Di hatinya tersulam kemas selembar hasrat. Hanya menanti tindakbalas positif dari si gadis. Dan suatu hari yang indah…
“Cik, err…… err……”
“Tolong cepat sikit, kalau dah lupa tolong beratur semula!”
“Emm… tak, tak lupa, saya nak beli setem… bagi saya setem sepuluh sen tiga puluh!”
“Tiga ringgit!”katanya sambil menghulur setem tersebut di celah lubang tingkap di hadapannya. Ketika menunggu wang bayaran, Nasuha menjeling pemuda itu yang sedang menghulurkan duit not lima ringgit.
“Eh… bukan setem sepuluh sen, tiga puluh sen… tiga puluh sen sepuluh!”
“Laa… cubalah cakap betul-betul, buang masa je! Tak kesian ke orang lain beratur panjang tu…..”
“Saya pun beratur juga, tak bising pun!”
“Baguslah… kalau nak bising-bising, bukalah pejabat pos sendiri!”
“Amboi….. cantik betul bahasa awak yek… masa minta kerja bukan main lemah-lembut tapi bila dah dapat kerja, kasar sungguh!”
“Kasar bertempat! Tengok keadaan… Encik, jadi ke tidak nak beli setem?”
“Jadi… jangan tak jadi…”
“Nah, ini bakinya Encik, terima kasih ya… datang lagi…”perli Nasuha diiringi senyuman paksa. Uwekkkk meluat!!!
“Sama-sama kasih, saya pasti datang lagi!”
“Eiii…… Lin cover aku! Nak ke toilet jap!”
Setibanya di bilik tandas, cepat-cepat Siti Nasuha menekan tombol paip dan mencuci tangannya dengan sabun.
‘Eiii…. gatal betul! Sempat pulak nak raba tangan orang! Macam le aku tak tahu dia tu siapa, sengaja nak membuli aku! Geramnya…… nasib aku le kerja setempat dengan orang gila macam dia tu!!!’
“Eh Nas, kau sedar tak dengan siapa kau bertekak tadi tu?”sapa Mazlin setibanya Nasuha dari tandas.
“Eleh….. tak ingin aku nak ambil tahu siapa dia! Buang masa je…..”
“Dia tu….. pengurus kita tau tak?!”
“Macamlah aku dah lupa… dah tentu masa report duty aku ngadap muka dia… Kenapa aku mesti takut?”
“Habislah kau… tak tahu le aku, kau tu kan belum confirm!”
“Cap ibujari pun belum kering lagi!”sampuk Abang Fauzi.
“Ah! Tak kisahlah… nak pecat ke… nak buang ke, tak hairan! Tak kuasa nak melayan si miang keladi tak sedar diri tu!”
“Kenapa nak takut sangat… bujang sama bujang… dah kenalah tu!”
“Siapa yang takut?”
“Baguslah kalau tidak!”
“Apa yang bagus?”tanya Nasuha kehairanan, lebih-lebih lagi apabila rakan-rakannya itu masih ketawa sukahati. Akhirnya dia binggung sendiri mencari jawapan pada soalannya itu.
“Selamat pagi…”
“Selamat pagi… ah! Encik Saffian nak apa pagi-pagi ni… kaunter belum buka, nak ajak Lin minum ke? …atau nak ajak si dia…?”sampuk Mazlin sambil menjeling rakannya di sebelah.
“Boleh juga… tapi tak bolehlah nak bawa dua-dua sekali, tutup pulak pejabat pos ni nanti.”
“Saya kan ada…”celah Abang Fauzi ketika melewati belakang Nasuha lalu duduk di kaunter lima. Terbeliak mata Nasuha membalas senyuman Abang Fauzi yang meleret penuh makna itu. Tiba-tiba gadis itu bangun pantas meninggalkan kerusinya berpusing-pusing.
“Eh nak ke mana pulak tu, dah hampir pukul lapan ni… Nasuha!”
“Nak cari angin, kat sini panas… Air-cond tersumbat!” Mazlin, Abang Fauzi dan Encik Saffian tiba-tiba ketawa.
“Panassss!!!” Abang Fauzi menekan-nekan perutnya. “Encik Saffian ni betul-betul serius ke dengan budak tu? Berhingus lagilah… cari le yang dah matang sikit macam si Mazlin ni ke?” Tersipu-sipu si Mazlin.
“Eleh… siapalah yang nakkan saya ni? Gemuk gedempol… mana nak setanding dengan budak baru tu… sekali pandang je ramai yang dah terpikat!” ujar Mazlin dengan wajah yang monyok.
“Eh, kau ni Lin… gemuk-gemuk pun boleh tahan juga, hari-hari saya nampak awak naik motor dengan mat Pizza tu!” usik Saffian.
“Oh dia tu sepupu saya…”
“Sepupu pun sepupulah! Tak salah kan! Ya tak, Encik Saffian?” Abang Fauzi masih mahu menyakat Mazlin.
“Apa-apalah… asal suka sama suka!” putus Saffian kemudian. Di kepalanya asyik memikir-mikir cara lain untuk memikat Siti Nasuha.
“Lain macam je bunyinya tu!”
“Tak adalah….” jawab Saffian perlahan lalu beredar keluar dari kawasan kaunter kerana telah ada pelanggan yang berbaris di kaunter untuk membuat urusniaga.
Semenjak dari hari itu, Siti Nasuha sering mengelak daripada bertemu dengannya. Jika terserempak di pintu, cepat-cepat dia menghalakan kaki ke arah lain. Dia tu sebenarnya kelakar dan peramah tapi tidak dengan lelaki!
Bagaikan si sumpah-sumpah, boleh berubah warna mengikut keadaan sekelilingnya. Pun begitu hasil kerjanya memuaskan, tekun dan patuh pada setiap arahan. Mungkin itu yang menjadi daya penarik, kelainan yang jarang-jarang ada pada pekerja yang lain. Mungkin juga kerana Siti Nasuha @ Natalie Edwin Binti Abdullah adalah sebenarnya seorang saudara baru.
Gadis kacukan Kadazan dan Filifina itu bertambah ayu apabila berbaju kurung labuh serta dilengkapi tudung. Jika tidak kenal, pasti dia dikatakan berbangsa Melayu. Malah tuturkatanya langsung tidak pelat bahkan pandai pula berbahasa Banjar setelah lapan tahun tinggal bersama keluarga angkat di Kampung Baru.
Dua-tiga kali, Saffian tidak pernah putus asa. Kalau hati dah suka, buat apa pun dia sanggup! Cuba dan cuba lagi untuk mengambil hati gadis itu. Walau dia tahu, kehadirannya di depan kaunter pada setiap pagi tidak disenangi, mungkin dah dicop gila!

SEPERTI biasa, pagi itu dia lagi yang setia beratur di depan kaunter nombor tiga. Wajah Nasuha selamba saja, pura-pura tidak nampak.
“Assalamualaikum, apa khabar pagi ni, sihat?”
“Saya sihat… ada orang lain aje yang tak sihat sikit! Dah kehabisan stok setem ke… hari ni nak apa pulak?”
“Ni haa… saya nak pos surat…”
“Laa… kalau setakat nak pos surat, tak payahlah beratur! Masukkan saja ke dalam peti!”
“Tapi surat ni untuk awak! Ada orang kirim…”
“Oh! Dari siapa pulak? Tak pasal-pasal Tuan Pengurus turun pangkat jadi posmen tak bergaji… terima kasih sajalah!”
“Buat amal sikit… kan dapat pahala tolong orang?”
“Suka hatilah….”
“Terima kasih!”
“Untuk apa?”
“Kerana sudi menerima surat saya tu…” katanya perlahan sambil berlalu meninggalkan Nasuha terpinga-pinga.
“Kenapa ni, Nas? Surat cinta ke? Nampak semacam je Encik Saffian tu…”
“Entahlah Lin, takut pulak aku tengok mukanya tu… monyok macam nak telan orang eiii… seram dibuatnya!”
“Bukalah cepat!”
“Gila kau! Public tengah jem kat depan ni!” Surat bersampul biru itu disimpan rapi ke dalam laci. Cadangnya akan dibaca surat itu waktu rehatnya nanti.

Assalamualaikum, Siti Nasuha…

Maafkanlah saya kerana selama ini saya telah banyak menyusahkan Nasuha. Saya sedar kelemahan pada diri saya. Saya berharap Nasuha tidak mengambil hati dan lupakanlah segala-gala yang telah berlaku.

Saya tidak pasti apakah perlu Nasuha tahu bahawa mulai minggu depan saya akan bercuti panjang, mungkin selama dua tahun setengah kerana telah diterima masuk ke UM untuk menyambung pengajian dan membuat master. Itulah cita-cita saya sementara ada peluang di dalam hidup ini.

Cuma saya inginkan kepastian, apakah ada peluang untuk saya terus menyintaimu Nasuha. Walaupun saya tahu… saya cuma bertepuk sebelah tangan!

Terus terang saya ingin menyatakan di sini bahawa saya bersedia membimbing Nasuha sebagai isteri solehah. Saya juga sebenarnya terlalu banyak kelemahan di dalam diri dan bersedia menerima teguran.

Kalau ada jodoh tidak ke mana kan?

Yang ikhlas selamanya…
Muhamad Saffian.

BAJU kurung berwarna biru laut berbunga kecil itu berombak-ombak apabila ditiup angin kencang. Dipadankan bersama tudung bawal krim bersulam bunga kecil. Lebih berseri apabila terselit cincin emas bertatahkan sebutir intan di jari manisnya. Berkilau-kilauan tatkala dipanah cahaya sang suria.
Digenggam erat dompet kulitnya jenama Bonia sambil berjalan pantas mendapatkan Saffian yang terus bangun dari bangku di perhentian bas itu setelah melihat Nasuha berjalan ke arahnya.
“Ada hal apa yang penting sangat tu? Sampaikan dah tak boleh tunggu hari lain…”
“Hmm… kita pergi lunch dulu, nanti Ian ceritakan… Nas nak makan di mana?”
“Entahlah, no idea… mana-mana pun boleh, sebenarnya Nas belum lapar sebab pagi tadi dah breakfast di rumah.”
“Tak pelah… makan sikit pun jadilah…”
“O K, Nas ikut je…”
“Nasuha!!! Tak nampak ke motor tu tadi! Isyy… sikit je lagi!”
“Ah! Nas tak perasan, tiba-tiba je dia menyelit di celah kereta… laju pulak tu! Macam pelesit, kalau nak race… tengoklah tempat dulu, sesuai ke tidak… ini main hentam je!”
“Nas tak apa-apa ke?”
“Taklah… cuma terkejut sikit!”
“Nas tu pun satu… kalau jalan tak nak toleh kiri-kanan dulu, menonong je! Ini KL tau bukan di kampung. Susah sangat nak pegang tangan dia tu… bukannya kita ni orang lain, kan dah bertunang!”
“Bertunang tu bukannya bererti dah boleh pegang-pegang… haa… macam nak bawa kereta, dapat P dulu sebelum dapat lesen… P tu kan untuk percubaan!”
“Iyalah cik kak oii! Kempunanlah saya…”
“Biarkan! …daripada sama-sama terlanjur nanti diri saya yang rugi… awak sikit pun tak luak! Saya ni perempuan tau!”
“Tak sangka saya, pandai juga Cik Nasuha ni… kalau bercakap kalah Kak Engku.”
“Terima kasih… dah tak payah nak puji lebih-lebih, tak pasal-pasal kena belanja, ni tengah bulan ni… belum gaji!” Nasuha menguntum senyuman, seronok mendapat pujian.
“Jangan risau… pujian Ian ikhlas, Nas senyum pun dah cukup!”
Dua gelas air fresh oren yang terletak di atas meja hampir surut. Nasi goreng di dalam pinggan belum terhabis. Nasuha memerhatikan sahaja gelagat Saffian sambil tersenyum. Sesekali matanya beralih ke arah luar tingkap restoran. Tetapi matanya tidak dapat dibuka luas dan rasa pedih kerana di luar terlalu panas terik.
Mengimbas kembali kenangan perkenalan di antara mereka berdua, adalah sesuatu yang begitu istimewa. Bukan setakat dua-tiga bulan malah lima tahun! Begitu lamanya cinta mahu berputik. Jika kahwin, tentu dah beranak-pinak! Nasuha tersenyum lagi.
“Kenapa?”
“Tak ada apa… cuma kelakarlah bila ingat-ingat semula masa baru masuk kerja dulu…”
“Ohh ni mesti nak sindir kita le tu! Eleh… itupun nak kelakar ke…”
“Eh mestilah… siap berlakon lagi! Sampai nak menjejes airmata, depan orang pulak tu… kesiannya! Tak pernah jumpa pun lelaki yang sanggup buat macam tu… ”
“Itulah yang istimewanya…”
“Agak-agak boleh laku tak kalau difilemkan ?”
“Eh mestilah! Box-office!”
“Siap terguling-guling di banjaran Himalaya macam dalam filem hindustan tu ke!”
“Eiii… ada ke nak samakan kita macam tu! Orang perempuan ni… memang tak ada kerja lain, suka sangat berkhayal yang bukan-bukan…”
“Habis… filem-filem di wayang dan TV tu kebanyakkan penulisnya adalah lelaki… maknanya orang lelakilah yang kuat berangan dan berkhayal! Betul tak?”
“Tak…..”
“Betul!”
“Tak!”
“Ah ngaku jelah!”
“Cubit karang…”
“Eleh… tak sakit….”
“Tengoklah nanti!”
“Eiii…… apalah, ni mesti fikir kotor!”
“Apa salahnya!”
“Salah! Eh, kita ni cuma ada sepuluh minit je lagi… itulah Ian ni kalau makan lambattt… sangattt… slow motion betul!”
“Biar lambat asal selamat…..”
“Ah, falsafah lama… tak boleh pakai!”
“Habis tu, Nas nak tengok Ian mati tercekik kat sini!”
“Isyh! Apalah Ian ni, tak baik cakap macam tu…”
“Tak delah… Ian main-main je! Ian memang tak suka makan gelojoh… nanti atok marah…”
“Mama tak marah?”
“Ah! Mama nak buat apa? Membazir….” Saffian menolak pinggannya ke tengah meja, ternyata seleranya terbantut apabila perkataan mama disebut. Air fresh oren disedut sedikit.
“Tak baik cakap macam tu…”
“Err… Nas, rasa-rasanya hujung bulan ni Ian nak hantar belanja pada keluarga angkat Nas… nak tetapkan tarikh sekali, lagi cepat lagi bagus, tak sabar nak tunggu lama-lama…”
“Hah! Cepatnya… hari tu masa bertunang kata tahun depan!”
“Ian takut ada banyak masalah yang kita tak nak akan datang! Faham-faham ajelah…”
“Kenapa Ian…? Mama masih tak setuju ke?”
“Macam tulah… Ian pun tak fahamlah dengan pendiriannya, dia tu seolah-olah gila kuasa!”
“Ian niii… dia kan mama kandung Ian, berdosa menderhaka dengannya… syurga di bawah telapak kaki ibu!”
“So… Nas mahu Ian ikut cakap dia tu!”
“Ya… mungkin ada baiknya… kalau dah tak ada jodoh, kita nak buat apa?”
“Ian tahu… Ian saja yang tergila-gilakan Nas, entah-entah dalam diam Nas ni dah ada yang lain!”
“Ian… Nas akui Nas dulu memang ramai kawan lelaki tapi semuanya tak sama macam Ian! Kira-kira Nas sendiri yang rugi jika kita tak jadi, Ian kan gentleman, sembahyang tak pernah tinggal, bertanggungjawab…. semuanya cukup, walaupun sedikit keras hati!”
“Entahlah Nas! Bila Ian fikirkan Mama, segala-galanya begitu berbeza. Ian bukan diri Ian yang sebenarnya.”
“Baiklah, Nas sebenarnya tak kisah sangat cuma sebelum kita diijabkabulkan… Nas ada satu syarat!”
“Syarat?”
“Hem… Nas nak jumpa mama, bolehkan?”
“Ooo jangan Nas! Ian tak setuju! Buat apa? Kalau Nas menyembah dia sekalipun, kata dia tetap kata dia juga!”
“Tapi…” Nasuha tidak jadi menyuarakan isihatinya. Tanpa pengetahuan Saffian, dia telah merancang untuk bertemu mama Saffian walaupun tanpa keizinan Saffian.
Dalam diam dia mengatur sendiri. Cuti sabtu pertama, dia akan bertolak ke Melaka. Hari ahad pula dia akan ke Johor Bahru. Siti Nasuha berkira-kira sendiri, cukup ke tidak? Ah… tambahlah dua hari lagi, bermakna hari Rabu dia akan bekerja semula.

“ASSALAMUALAIKUM?” Sapa Nasuha setibanya dia di ambang pintu yang terbuka luas. Rumah kayu separuh batu itu sunyi saja. Cuaca di luar agak redup dibayangi pohon-pohon yang besar dan rendang.
“Waalaikumsalam… siapa tu?”
“Saya nek, Nasuha…”
“Nasuha?”
“Tunang Saffiyan”
“Ohhh! Eh, jemputlah masuk… nenek ni kalau tak pakai teropong memang susah nak kenal orang… maklumlah dah rabun!”
“Nenek buat apa tadi?”
“Tak ada apa… saja duduk-duduk tengok drama TV lepas lipat kain tadi.”
“Mimpi apa ni? Datang seorang aje ke? Saffian mana?”tanya Haji Ahmad mesra tatkala menjengukan kepalanya dari bilik tengah. Ternyata mereka berdua gembira menyambut kedatangan Nasuha, cuma sebelum ini Nasuha tidak pernah datang seorang diri.
“Abang Ian kirim salam… tak dapat cuti, hujung minggu ni baru dia boleh balik… tadi dia hantar Nas di Pudu… Atok apa khabar?”Nasuha mencium tangan atok dan nenek ketika bersalam.
“Sihat… duduklah dulu, kalau lapar nek hidangkan nasi.”
“Tak pelah nek, jangan susah-susah! Nanti Nas ambil sendiri.”
“Duduk di sini tak boleh segan-segan… kalau nak apa-apa tu ambik je!”
“Nas minta maaf kalau Nas menyusahkan nenek dan atok…”
“Alah… kita ni bukannya orang lain, ya tak?” Kata atok, Nasuha senyum. Dia duduk di kerusi rotan dan meletakkan beg baju di tepinya. Atok pula duduk di kerusi malas sambil mengurut daun untuk digulung bersama tembakau.
“Lama Nas cuti?”
“Ambil cuti dua hari, sebenarnya… Nas datang ke sini ada hajat dan Abang Saffian sendiri tidak tahu mengenainya…”
“Hajat apa tu? Emm… lain macam je bunyinya, cakaplah! Kami nak tahu juga…”
“Nas berhajat sangat nak berjumpa dengan mama… atok dan nenek tolonglah rahsiakan daripada Abang Saffian, dari dulu lagi dia tak bagi Nas berjumpa dengan mama tapi… Nas nekad sebab dah tak ada cara lain untuk memujuk Mama Saffian. Kalau cara macam ni pun gagal, nampaknya Nas terpaksalah mengalah…”
“Atok bangga dengan kau, Nasuha… kalau orang lain agaknya dah tak kuasa! Sebenarnya kami berdua ni pun… dah banyak sangat buat salah pada Aisyah… sebab itulah bila dah huru-hara macam ni… kami sendiri pun dah tak boleh nak marahkan dia. Yang cucu seorang tu pulak degil sangat, langsung tak nak menerima kenyataan.”
“Nenek bukannya nak menangkan si Saffian tapi sikit-sikit pun rasa menyampah juga dengan perangai adik-beradik dia tu! Abang Aji, ingat tak raya puasa tiga tahun lepas? …dahlah lama tak balik kampung… bila balik cuma Aisyah yang tidur di sini, yang lain semuanya tidur hotel, tak selesalah tu agaknya! Manalah sedap tidur bertilamkan papan!”
“Tak baik mengungkit!”celah Haji Ahmad.
“Saya bukannya nak cakap apa… tapi… Johor Bahru dengan kampung ni bukannya jauh sangat! Susah sangat ke nak jengukkan muka… kita ni bukannya nak harapkan duit mereka, hasil kampung ni banyak… cukup untuk makan kami tiga beranak! Si Saffian dulu pun sampai dapat masuk universiti! Dapat pula kerja di KL, semuanya pandai-pandai sendirilah nak hidup!”
“Diorang tu semuanya sibuk, awak mana tahu… masing-masing sudah ada tanggungjawab…”
“Sibuk kejar harta dunia sehingga sanggup memutuskan silaturrahim ?”
“Susah kita nak cakap, kita tak duduk di tempat mereka!”
“Bang Aji… saya tahu Abang Aji pun berperasaan seperti saya cuma… tak mahu mengaku!”
“Ahh! Benar tapi saya redha” Akhirnya Haji Ahmad memperlahankan suaranya.
Di hati Nasuha kembang-kuncup, melihat mereka berdua membalas kata. Dia sebenarnya lebih teringatkan Saffian dan dirinya yang sering bertekak begitu.
“Atok… nenek… Nasuha pernah dengar pepatah lama… bila dekat bau busuk, bila jauh bau wangi…”
“Bukannya kami tak pujuk dia, supaya berbaik-baik dengan mereka tapi mereka tu sombong, tak pernah nak ambil tahu, buat endah tak endah je!” kata Hajjah Fatimah pula dengan nada yang sedih sambil mengelap mata yang berair dengan hujung lengan baju kurung kedahnya. “…maklumlah Saffian dulu dibesarkan di kampung bersama kami, memang janggal jika nak campur dengan orang bandar!”
“Kami bersalah kerana memisahkan dia dulu, kita ni kadang-kadang bila buat sesuatu tu tak nak berfikir panjang hah! …kesudahannya orang lain yang menjadi mangsa!”kata Haji Ahmad perlahan sebelum menyedut rokok daunnya. “Benda dah terjadi apa nak buat, menyesal pun tak ada gunanya ! Sekarang ni… syukurlah sebab kita dah ada Nasuha, sanggup menanggung masalah keluarga kita ni… mudah-mudahan hubungan anak-beranak yang dah lama terputus tu akan kembali bercantum semula.”
“Insya-Allah! Atok dan nenek doakanlah banyak-banyak… mudah-mudahan dimakbulkan Tuhan.”
“Bila nak ke Johor Bahru tu…?”
“Esok pagi, tuk. Atok dan nenek nak ikut sama?”
“Tak pelah Nasuha… Nasuha pergilah seorang, tentu banyak yang nak dibualkan. Atok dan nenek ni pun bukannya cergas macam orang muda lagi… selalu uzur, tak larat nak jalan jauh-jauh”
“Hmm……”

SEPANJANG perjalanan dari Melaka ke Johor Bahru, Nasuha berdoa tidak putus-putus. Takut ada, malu pun ada. Yang pasti Nasuha nekad, apa yang akan berlaku nanti pasti akan berlaku juga…
Sewaktu Nasuha membuka pintu tadi, mama sedang nyenyak tidur maka tidak sampai hati hendak dikejutnya wanita itu. Dia duduk menyandar di kerusi plastik di tepi katil, menunggu mama bangun sambil menyelak-nyelak helaian majalah Remaja keluaran terbaru.
Tanpa disedarinya, mama terjaga dari tidur dan terus saja memerhati wajah gadis itu. Siapa dia… tandatanya berlegar di ruangan otak.
“Awak ni siapa ?”
“Mmm… puan dah bangun, macam ni puan, saya… saya Siti Nasuha…”katanya tergagap-gagap sambil menghulurkan tangan tetapi sayangnya salam tidak bersambut. “Maaf puan kalau kedatangan saya tidak diundang, kalau puan keberatan saya minta diri dulu…”
Mama diam, Nasuha kaget. Jelas diwajah mama terpamer suatu perasaan ketidakselesaan. Nasuha menyimpan majalah tadi ke dalam beg sandangnya dan menolak kerusi rapat ke dinding semula. Diatur langkah untuk keluar dari bilik yang lengkap dengan alat hawa dingin dan set TV itu tanpa memandang ke belakang lagi.
“Nak pergi mana tu?”suara serak-serak basah mama lantang di telinga Nasuha.
“Err… ba… balik…”
“Siapa suruh awak balik, jauh-jauh datang sekejap sangat dah nak balik!”
“Emm…”
“Mari sini… baguslah kalau awak dah datang, ada banyak perkara yang saya nak tanya dengan awak!”
Nasuha berfikir sejenak. Dengan jantung yang berdegup kencang langkah kaki diundur semula ke dalam bilik lantas mengambil kerusi dan terus duduk sambil tunduk ke lantai. Dia terperanjat kerana tiba-tiba mama menghulurkan tangan untuk bersalam. Nasuha menyambutnya dengan tangan yang sejuk.
“Kenapa takut? Saya tak makan orang! Ni… tolong ambikkan kerusi roda tu, saya nak keluar dari bilik ni, bosan dua puluh empat jam asyik-asyik pandang siling dan dinding tu!”
“Err….. baiklah puan.”
“Panggillah mama, awak tu bukan orang gaji saya!”
“Ya… pp… emm… mama, mama nak pergi mana? Doktor tak marah ke nanti?”
“Eh pasal apa nak marah? Kita yang bayar dia! Bukannya saya nak lari, orang tua macam saya ni kan dah macam kain buruk! Dicampak bersepah pun tak ada yang mahu memandang!”luah wanita itu. Bunyinya sahaja sudah cukup membuat hati tersentuh. Nasuha sendiri tidak mengerti mengapa seorang anak seperti Saffian boleh menolak kasih-sayang mamanya ini. Jika kisah silam diambil kira, mama juga tidak bersalah! Tapi sayang, itu cuma pandangan bagi pihak dirinya sendiri.
“Kain buruk pun banyak gunanya mama… maksud Nas jika kena pada orang yang pandai menilainya, dah tentu kain buruk menjadi kain yang serbaguna! Macam orang kata, sungguhpun buruk nak dibuang sayang…” sambung Nasuha setelah agak lama suasana sepi semenjak mereka singgah di mini taman yang dibina bersebelahan blok B. Beberapa ekor ikan kap jepun berenang-renang di permukaan air terjun buatan.
Pemandangan yang sejuk dan mendamaikan itu sesungguhnya terlalu mengasyikkan para tetamu.
“Hai… bertuahlah badan! Nasuha… jadi perempuan ni kalau dari muda tak jaga muka dan badan… dah tua nanti baru menyesal! Kerepot sana, kerepot sini, semuanya dah seoson, salah makan tak boleh, buat ini tak boleh, hai….. semuanya dah tak sama!”
“Semua manusia akan mengalaminya mama, tiada yang berkecuali cuma… cepat atau lambatnya saja… tak kiralah kita lawa macammana pun, pakai susuk ke….. semuanya akan tua juga! Yang penting dalam hati mesti baik…”
“Ah! Baik macammana pun, kalau dah tua orang dah tak pedulikan kita! Jangan kata suami, anak-anak pun sama… lebih pentingkan kerja! Ingatkan bila dah kahwin, boleh berubah tapi masalah lain pulak, semuanya sibuk, buat hal masing-masing!”
“Mama, mereka juga akan melalui masalah yang sama seperti mama… sibuk dengan kerja, hantar anak pada orang lain untuk diasuh dan apabila anak-anak sudah dewasa, mereka tidak mesra dengan ibu-bapa sendiri!”
“Mama menyesal… kalau mama tahu dulu, mama berhenti kerja, duduk di rumah mengasuh anak sendiri! Tapi kalau tak kerja, kehidupan kami tak akan mewah seperti sekarang! Setiap titik peluh yang mengalir rasanya seperti tidak bernilai…”
“Pun begitu, anak-anak mama semuanya berjaya… mereka mempunyai semangat dan cita-cita seperti mamanya… mama tak gembira? Adakalanya pengorbanan memang tidak mendapat apa-apa balasan tapi pahala dari Allah s.w.t. sudah memadai, mama!”
“Tengok kejap cincin tu…” pinta mama sambil mengambil tangan kiri Nasuha ke ribaannya. Nasuha menurut saja.
“Nanti Nas buka…”
“Tak payah, tak baik buka… kan cantik kat jari manis tu… ini cincin arwah adik mama ni… Saffian bagi?”
“Emm…”
“Ada juga kenang-kenangan… mama tak bagi apa-apa pun!”
“Tak mengapa mama, restu mama lebih berharga dari itu semua!”
“Ohh….. Nasuha….. Mama….”
Mama memaut pula bahu Nasuha dan memeluk gadis itu rapat ke tubuhnya. Nasuha kaget namun dibalas jua pelukan itu dengan penuh kasih-sayang untuk pertama kalinya.
“Sejuk perut mama bila mendengarnya… maafkanlah mama sebab menyusahkan Nasuha selama ini… sehingga diheret ke kancah permasalahan keluarga mama ini.”
“Tak mengapa mama, Nasuha sendiri tidak menyesal mungkin jodoh pertemuan yang diaturkan Tuhan itu ada sebab musababnya. Kalau dah sampai setakat ini jodohnya, Nas akan mengundur diri.”
“Kenapa cakap macam tu?”
“Nas tersepit di antara konflik mama dan Saffian…”
“Mama dah tak nampak ada masalah lagi…”
“Luka yang dirawat boleh sembuh mama, tapi… parutnya tetap kekal di situ…”
“Ah! Janganlah nak dirisaukan lagi… kita lupakan saja kisah lalu dan mulakan hidup yang baru, kita belajar dari kesilapan! Itupun kalau masih ada masa untuk mama memperbaikinya…” Mereka berdua saling membalas pandangan. Mungkinkah itu bermakna mama telah merestuinya ? Inikah dia satu titik penyelesaian yang diharap-harapkan Siti Nasuha selama ini?

“BUAT apa Ian datang jumpa mama lagi?”
Soalan mama dibiarkan berlalu tanpa jawapan. Diam.
“Bila-bila masa saja mama akan pergi, Ian dah dewasa… dah matang tubuh dan fikiran, tak lama lagi Ian bakal bergelar seorang suami, seorang ayah… bila dah ada anak nanti Ian akan faham perasaan dan naluri di antara seorang ayah dan anak. Begitulah perasaan mama terhadap Ian. Anak-anak mama yang lain dah ada keluarga masing-masing, mereka membuat pilihan sendiri tapi banyak masalah yang mereka hadapi… mereka juga macam Ian, mereka anggap mama ni menyusahkan, membebankan! Hati siapa yang tak kecewa? Sekarang mama tak mahu masuk campur lagi….. pandai-pandailah pikul tanggungjawab masing-masing. Tugas mama dah selesai, Ian jangan takut, mama redha dengan siapa saja yang menjadi pilihan Ian.”
“Apa mama…? Betul ke apa yang Ian dengar? Kenapa senang-senang mama menukar pendirian…. hari tu kata lain, hari ni lain? Nampak sangat mama ni memang sengaja nak menyusahkan orang!”
“Janganlah kata macam tu lagi, Ian ! Mama dah banyak dosa, maafkanlah mama!” Tanpa disedari Saffian, dada mama berombak-ombak diikuti sesak nafas seperti ada sesuatu di saluran pernafasannya.
“Mama…? Mama? Mama!!!!”
“Doktor, tolong Doktor, selamatkanlah mama saya…”pintanya ketika Dr. Halil membuat rawatan segera untuk memulihkan pernafasan mama.
“Saya akan cuba, awak berdoalah banyak-banyak moga Allah selamatkan dia…” Saffian terpempan sewaktu tubuh mama diangkat ke atas pengusung untuk dibawa ke bilik pembedahan.
Buat kali yang pertama Saffian menangis, rasa sedih mengatasi rasa malunya. Dirinya seolah-olah tersepit di celah runtuhan batu-batu gunung. Seboleh-bolehnya dia menolak keras batu itu tetapi ternyata dirinya tidak sekuat seperti yang disangkanya.
Tanpa disedari, dia memeluk erat tubuh Nasuha sewaktu gadis itu datang. Merah padam muka Nasuha, menahan malu.
“Mama…… mama!”
“Ian… sabarlah! Duduk Ian, tak elok jika orang tengok.”
“Hmm… maaf, tapi… Nasuha buat apa di sini?”
“Err… bagaimana dengan keadaan mama?” Cepat-cepat Nasuha memotong soalan dari Saffian itu.
“Masih di CCU, doktor beritahu akhir-akhir ini mama kerap diserang sawan. Dan… mama mungkin dah tak lama…”
“Sabarlah Ian, ajal-maut ketentuan Allah s.w.t.”
“Nas tahu tak, mama sebenarnya sudah merestui perhubungan kita…”
“Baguslah…”
“Mama tu takut sangat bila Ian dah berkahwin nanti Ian akan mengikut jejak anak-anaknya yang lain. Ian menyesal dengan apa yang Ian dah buat pada mama, Ian sedar dia sebenarnya memerlukan perhatian tapi tak ada anak-anak yang memperdulikan dia… Ian menyesal!”
“Syukurlah jika Ian dah berubah, akhirnya hati Ian lembut juga kan… Ian, kata orang emak seorang boleh jaga anak sepuluh tapi anak sepuluh tak boleh jaga emak seorang. Sebagai anak, kita tak boleh cepat melatah, tanpa emak siapalah diri kita ini!”
“Manalah Ian tahu, selama ini mama tak pernah menceritakan masalah dia, mama lebih suka memendamnya daripada mencari jalan penyelesaian.”
“Nas pun dah lama syak macam tu sebab mama ada beritahu Nas, selama duduk di hospital ni tak ada siapa pun yang datang melainkan Ian. Nas nak beritahu Ian tempohari tapi masa tu Ian dah marah-marah jadi Nas tak nak lah cakap banyak….. ”
“Jadi… Nas dah jumpa mama?”
“Nas minta maaf, Ian… setiap hujung minggu, Nas turun JB melawat mama.”
“Tak perlu Nas, Ian yang berdosa! Terlalu banyak kesalahan pada mama dan pada Nas sendiri, Ian harap Nas dapat memaafkan Ian. Nas…”
“Hmm…”
“Boleh tak, sesudah kita berkahwin nanti… kita menjaga mama?”
“Itulah yang sebaik-baiknya Ian… walaupun kita tak ada wang ringgit, kita ada tenaga, kita ada semangat. Kita… mama… boleh hidup bersama-sama… Insya-Allah!”

2 Novel Karya Dewi Sukma Yang Berada di pasaran
Cincin Delima
Biarlah ku Sendiri

Satu Respons

  1. Assalamualaikum Muzri…hai!first time masuk rumah awak. Cantek, warna merah ,my faberet kaler tp boleh tak get rid the two butterflies tu, tak leh nak menghayati bila baca citer2 kat blog awak ni. Terima kaseh.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: