Cerpen : Menyintaimu

niellisa

Masjid ini menjadi tempat aku berlabuh membawa mindaku melayang mengimbau kenangan-kenangan lalu. Seribu satu kenangan kugamit di masjid ini. Kemuncak kebahagiaan kugapai di sini. Ya, hanya sebuah kenangan yang masih kekal di ingatan ini. Aku menyusuri kenangan di masjid ini. Sebuah kerinduan yang hangat masih utuh walaupun kenangan itu telah pun lama berlalu. Aku cuba menidakkannya namun betapa sukar untuk aku melupakannya.

“Awak akan jadi isteri saya…tak lama lagi…” kata-kata itu membahagiakan aku. Semakin dekat harinya semakin debar bertapa di dadaku. Aku mula mengimbau pertemuan pertama kami. Stesen LRT Setiawangsa menjadi saksi kami mula berkenalan. Ada yang tak kena dengan LRT pada hari itu menyebabkan ramai yang terkandas termasuk aku. Bukan aku saja tapi juga dia. Dia yang berkarisma, bergaya dan matang datang dan duduk di sebelahku yang kerimasan dengan keadaan. Dia juga seperti aku yang cukup meluat dengan situasi menunggu dan terus menunggu.

“Suka tak nak jadi isteri saya?” soalannya menghapuskan khayalanku. Aku cuma tersenyum.
“Kalau awak suka, saya pun suka…” Aku memberi jawapan. Apa lagi yang harus aku katakan…
“Nanti bila dah jadi suami isteri masing-masing ada tanggungjawab yang lebih besar. Kalau boleh tak nak lagi selalu gaduh-gaduh macam sekarang. Kena banyak bersabar, mesti saling bertolak ansur.” Panjang pula ceramahnya. Aku mendengar saja. Banyak sungguh nasihatnya sehari dua ni. Sempat juga dia memilih-milih cincin untukku di hari perkahwinan kami tidak lama lagi. Pelbagai bentuk dan rupa cincin di tayang di depan kami. Tahu ke lelaki ni memilih yang cantik…?

Apa yang aku tahu dia seorang yang inginkan kesempurnaan dalam semua keadaan. Walau sesibuk mana pun jadual hariannya pasti dia peruntukkan masa untuk persiapan majlis perkahwinan kami. Aku pula jenis yang tak kisah, asalkan sah kami jadi suami isteri itu sudah memadai. Aku pun bukannya artis yang suka sangat nak menunjuk-nunjuk semua benda yang mereka ada.

“Nanti saya cuba belajar jadi isteri yang terbaik untuk awak. Awak pun macam tu juga tau…kena jadi suami yang terbaik untuk saya. Kalau macam tu baru adil. Kalau saya salah awak boleh nasihat saya…dan kalau awak pula yang buat hal saya berhak tegur kesilapan awak. Macam tu la rumahtangga yang bahagia…” panjang juga jawapan dari aku. Siapa yang tak nak bahagia selepas kahwin? Semua orang yang punya rumahtangga inginkan keharmonian dalam hidup mereka.

“Kematangan juga penting dalam rumahtangga…awak jangan nak jadi macam budak-budak lagi. Jangan asyik merajuk je. Merajuk ni tak boleh selesai masalah, kalau ada masalah kita kena bincang baik-baik…” apa kena la dengan si dia ni yang banyak benar berceramah hari ini. Apa yang pasti aku sudah mula jatuh cinta dengan sebentuk cincin yang terlekat di jariku kini, memang cantik, memang suai amat untuk si dia sarungkan ke jariku di hari majlis berlangsung nanti. Mmm…berapa harganya? Ah…tak kisahlah, bukan aku yang bayar pun!

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“Kenapa lambat? Ambil sarapan dulu ke?” Mizan menyapaku. Dia dulu pernah berura-ura untuk melamarku tapi tidak terlaksana kerana aku sudah berpunya. Itu cerita lama, lagipun aku sendiri tak pernah pun jatuh cinta dengan dia.
“Ya, perut ni lapar lah.” Aku mengiakan tekaannya. Ringkas dan padat jawapannya supaya tidak lagi meleret-leret.
“Lain macam je aku tengok kau sekarang ni…makin berseri-seri. Sedang berbahagia ke…?” ada lagi celoteh Mizan. Mejaku dihampirinya, tanpa dijemput dia duduk di hadapan mejaku. Malasnya aku nak melayan.

“Sibuk-sibuk ni kenapa? Itu urusan aku la. Dah…aku nak mula kerja ni. Banyak lagi kerja yang tak siap ni…” fail di depan kubuka cepat-cepat. Sedikit catitan kutulis, buat-buat sibuk supaya dia tidak lagi mengganggu.
“Kau tak nak layan aku ke…? Sombong la kau sekarang ni.” Dia bangun dan terus berlalu. Alhamdulillah, selamat aku dari gangguan. Lelaki pun ada juga macam tu ya…ingatkan perempuan saja yang suka menyibuk. Zaman sekarang ni macam-macam sudah berubah.

Si dia baru sampai nampaknya. Serius sungguh wajahnya tanpa secalit pun senyuman, namun tetap menjadi pujaan hatiku. Tak sama macam Mizan yang selalu senyum kambing. Untung aku menjadi pilihan hatinya, dan bertuahnya aku tidak jatuh cinta dengan Mizan.

“Assalamualaikum!” Si dia memberi salam kepadaku. Aku menjawab sepertimana diwajibkan. Sekilas dia memandang kepadaku dan memberi satu senyuman. Senyumannya kubalas. Biasanya begitulah setiap hari di awal pagi begini. Semakin hampir hari penyatuan kami semakin dia menunjukkan kemesraannya, semakin dia memanjakan aku, semakin berawalan dia ke pejabat, semakin kacak, semakin berlemah lembut bicaranya, dan sungguh banyak perubahan positifnya, tentunya kerana tidak lama lagi kami akan bergelar suami isteri. Aku juga tidak sabar menunggu hari itu untuk membuktikan segala apa yang ada pada diriku adalah untuknya sahaja.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Si dia sudah banyak berubah kini. Aku perasan benar segala perubahan yang berlaku terhadapa dirinya. Sahabatku juga perasan akan perubahan itu. Si dia sudah pandai melepak di kelab-kelab, berkawan dengan manusia yang entah apa-apa, membawa perempuan ke hulu ke hilir, semuanya itu sungguh memeritkan aku. Ada juga sahabat lain yang cuba menegur segala perbuatannya namun nasihat yang diberikan bagaikan mencurah air ke daun keladi.

Aku tetap juga macam dulu, masih seorang perempuan yang berpegang pada budaya orang timur, masih dalam tatasusila kemelayuan. Habis saja waktu pejabat aku terus balik ke rumah. Menonton rancangan tv dan buat apa saja asalkan masaku tidak terbuang begitu saja. Sahabat-sahabat sememangnya cuba memahami keperitan yang kualami. Kenapa si dia berubah sebegitu rupa? Lupakah dia pada janji-janjinya kepadaku? Sememangnya aku semakin tidak mengenali dirinya sebagaimana dulu. Rindunya aku…

“Kenapa termenung?” huh! Aku mengurut dada. Kirana duduk di depanku. Inilah satu-satunya sahabat baikku.
“Terkejut la aku kau buat macam ni…” pandangan tajam kuhadiahkan padanya. Kirana hanya tersenyum.
Segala-galanya kerana si dia. Aku sememangnya merindui dirinya. Gambarnya selalu kutatap, sekadar untuk menghilangkan rasa rinduku padanya. Sarat sungguh rinduku untuknya. Ya Allah…semoga aku mampu mengharungi segala ujiian yang engkau berikan kepadaku.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“Kenapa dengan awak ni Nina? Saya tunang awak je bukannya suami awak pun. Kita belum terikat sepenuhnya lagi. Lagipun selama ni ada saya melayan awak dengan kasar? Kalau awak dah tak suka saya, sekarang kita boleh putus. Awak ni memang kolot! Saya tak suka lah terkongkong macam ni.” Tengkingannya sungguh kasar sekali. Cincin pertunangan kami diletakkan di atas meja. Putus? Aku putus tunang? Kenapa semua ini berlaku?

“Sayang saya masih ada pada awak. Sebagai tunang awak, saya rasa saya juga ada hak untuk menegur apa yang telah awak lakukan pada saya. Saya tahu kita bukannya suami isteri, tapi sekurang-kuranya kita sedang merancang ke arah itu. Saya rindu pada awak yang dulu…” ada sebak dalam kata-kataku. Memang benar aku sudah tidak tertanggung lagi dengan keperitan ini. Aku tidak tahu apa salahku yang sebenar sehinggakan dia berubah sebegitu jauh. Si dia bukan lagi menjadi lelaki impianku sewaktu ketika dulu.

“Kita sudah tidak serasi lagi. Kita berpisah saja…saya dengan cara saya, dan awak dengan cara awak. Kalau awak rasa saya bukan lelaki baik, awak boleh cari lelaki lain yang lebih baik dari saya. Saya pun rimas la dengan perhubungan macam ni. Cinta tak boleh dipaksa lah.” Kata-katanya tetap kasar dan memandangku dengan pandangan tajam. Sedih! Jauh di sudut hati luka perasaanku semakin parah.

“Kenapa semudah itu awak menghukum perhubungan kita ini? Hanya tinggal tiga bulan saja lagi kita akan disatukan. Awak lupa ke janji-janji awak pada saya? Awak pernah ucapkan kata sayang pada saya, awak pernah menaruh harapan untuk jadikan saya isteri awak, awak pernah kata sayalah perempuan terbaik untuk hidup awak walaupun awak memang mampu untuk meraih cinta perempuan lain…tapi kenapa cepat benar awak berubah? Awak juga pernah cemburu melihat Mizan bercakap-cakap dengan saya sebab awak tahu dia juga menaruh harapan pada saya. Mana sayang awak pada saya selama ni?” entah dari mana kekuatan itu hadir sehinggakan aku berani untuk berkata-kata. Air mataku mula bergenang. Aku sekadar meluahkan perasaan. Betapa hancurnya hati ini apabila cintaku dipermainkan. Dia masih tegak berdiri di hadapanku. Aku puas berkata-kata walaupun sebenarnya tiada apa lagi yang tinggal untukku. Cinta kami telah musnah.

“Itu sudah lama lah. Sekarang kita sudah berbeza. Lepas ni saya tak akan ganggu awak lagi. Kita putus!” tegar benar keputusannya.
“Kalau itu yang awak mahu saya menerima seadanya. Saya masih berharap semoga awak akan kembali menjadi awak yang dulu. Mungkin tiada jodoh di antara kita. Awak telah menghancur lumatkan hati saya…” aku kembali tenang. Tiada lagi kata-kata untuk aku ucapkan. Aku tidak akan merayu lagi walaupun sukar aku melupakannya. Biarlah aku ubati sendiri lara ini.

“Mungkin jodoh awak dengan orang yang lebih baik dari saya. Saya harap awak akan dapat lelaki idaman. Saya tak sesuai dengan awak…jalan kita berbeza. Lepas ni tiada apa-apa lagi antara kita. Saya tak akan ada dalam hidup awak lagi dan awak bebas ke mana saja awak suka. Semoga awak dapat kebahagiaan yang awak cari. Ini kali terakhir kita jumpa begini…” suaranya sedikit kendur. Barangkali ada kelegaan yang dirasakan setelah terputus sudah ikatan yang kami simpul suatu ketika dulu.

“Impian saya untuk menjadi isteri awak musnah. Tapi tak apa lah, sekurang-kurangnya awak tahu saya tiada orang lain yang saya cinta selain awak, saya tak pernah curang, saya memang sayang awak…itu semua ikhlas dari hati saya. Sepatutnya saya boleh menyayangi awak sampai bila-bila pun…sehingga ke penghujung usia saya. Awak tahu tak…esok kad kahwin kita siap dicetak?” aku pasrah. Kad itu akan menjadi saksi bahawa kami pernah merancang untuk mencipta bahagia bersama. Aku serius dalam perhubungan ini namun segala-galanya mula berkubur.

“Awak jangan nak mengungkit lagi lah.” Dia seolah-olah tidak puas hati dengan kata-kataku. “semua tu dah berlalu…” Dia mula mengorak langkah. Segalanya selesai sudah…
“Sehingga saat ini saya masih sayang awak…awak cinta pertama saya. Saya harap awak kembali seperti dulu. Selamat tinggal!” hanya hati yang berkata-kata…

Hajatku untuk merungkai masalah akhirnya berakhir dengan tragedi. Rinduku untuk bersua dengannya langsung tidak bersambut. Aku masih termenung sendirian di sini. Biarlah aku mendapat kekuatan untuk seketika. Walaupun langkah si dia sudahpun menghilang namun masih terasa kehatangan perhubungan kami suatu ketika dulu. Sejauh mana dia jauh dariku namun dia tetap berada di hati ini. Sebenci mana dia padaku namun aku tidak mampu menipu untuk terus menyayanginya.

Itulah cinta pertama! Sukar untuk dilupakan begitu saja. Remang senja mula menebar di kaki langit. Akhirnya aku berlalu dengan langkah longlai…

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Tiada lagi kemesraan kami di pejabat. Sebolehnya dia langsung tidak mahu terserempak dengan aku. Terasa sungguh diri ini bagaikan dihina oleh insan yang pernah menyayangi. Siapa sebenarnya bersalah sehinggakan dia langsung tidak mahu memandangku. Aku bagi salam pun dijawabnya acuh tak acuh. Paling mendukacitakan minggu depan dia mula berada di jabatan lain, atas permintaannya sendiri.

Terserempak di café pun dia boleh tukar haluan lain. Apa yang dia tak suka dengan aku langsung aku tak tahu. Seolah-olah di antara kami adalah orang asing. Apalah salahnya kalau kami terus menjadi kawan kalaupun bukan kekasih. Situasi sebegini membuatkan aku rimas untuk terus hidup. Aku cuba menghormati hak peribadinya sebagaimana dia mahukan aku tidak mengganggu hidupnya lagi.

Aku mengambil keputusan drastik untuk berhenti kerja. Surat perletakan jawatan telah kuhantar kepada Ketua Jabatan. Biarlah aku mengalah. Aku mahu berada jauh dari pandangannya. Keadaan yang begitu mencengkam perasaan harus aku kendurkan. Mungkin ini adalah terbaik untukku. Untuk mengubati lara yang melanda tidak semudah disangka. Namun aku akan cuba buktikannya.

Hari terakhir aku di pejabat kuluangkan masa untuk menemuinya. Biarlah dikata perigi mencari timba sekalipun, inilah kali terakhir aku memandangnya sebelum aku pergi jauh. Langkahku menjauh perlu dikhabarkan.

“Maaf kiranya saya mengganggu. Saya cuma ingin minta maaf daripada awak, selepas ni mungkin saya tak akan jumpa awak lagi. Hari ni hari terakhir saya di pejabat ni. Saya akan pindah…” aku mengatur kata. Seperti hari-hari sebelumnya, dia tidak melayaniku. Sekilas dia memandangku dan mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Pindah mana?” akhirnya dia bersuara. Sekurang-kurangya ada rasa ingin tahu ke mana aku akan pergi.
“Tak penting saya bagitahu awak. Saya cuma mahu awak maafkan segala kesilapan yang telah saya lakukan sepanjang kita berkawan. Saya maafkan segala-galanya untuk awak…dan saya nak awak tahu awak cinta pertama saya hingga ke saat ini. Kenangan itu akan saya simpan rapi. Saya juga doakan semoga awak mendapat jodoh yang baik. Kita tak akan berjumpa lagi selepas ini. Saya pergi dulu…” langkah kuatur padu. Ada hadiah yang kutinggalkan untuknya. Kalau ditongsampahkan pun tidak mengapa.

Aku masuk ke dalam perut kereta. Ada air mata yang menitis. Memang aku sedih. Terpaksa juga aku pergi jauh dari orang tersayang. Tak mampu lagi aku hidup begini.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Kehidupanku jauh berubah di tempat baru. Kenangan yang menghimpit kucuba tolak ke tepi. Akan kubuktikan aku mampu mengharungi apa jua dugaan yang melanda. Ingatan pada si dia juga jarang benar mengganggu. Orang pun dah lama lupakan kita…tapi belum juga muncul orang baru…

“Seronok tak tinggal sini? Sebenarnya kat sini ok je…kalau suka shopping, mall memang berlambak-lambak, dekat dengan pantai pula…nyaman je rasa…” Mimi berbual kosong dengan aku. Aku mendengar dengan penuh minat. Memang tempat ini mendamaikan.

“Seronok juga…” aku memberi komen. Pantai yang cantik menjadi panoramaku setiap hari. Langsung aku tidak menyesal pindah ke sini. Walaupun bebanan kerjaku di sini makin bertambah namun itu juga mampu melupakanku pada kenangan berdarah. Sampai bila aku akan berada di sini aku pun belum pasti. Sampai bila-bila kot! Aku mahu menyendiri buat seketika. Tidak mahu lagi mencari cinta yang entah di mana penghujungnya.

Apa cerita Kirana, Mizan…dan Ilham? Kekadang ada juga rasa rindu pada mereka. Ilham, orang yang pernah kusayang suatu ketika dulu…akhirnya aku mencuri masa mengutusi emel kepada mereka, kecuali Ilham. Aku tidak mahu mengganggu dia lagi. Biarlah dia dengan dunianya yang penuh galak. Dia bukan lagi lelakiku. Walaupun putus sudah perhubungan kami namun tidak sesekali aku membenci dirinya.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“Ada bunga untuk kau la…peminat ke?” Sejambak bunga dihulurkan kepadaku. Mimi tersenyum-senyum…aku mula cuak.
“Ada kad pengirim…?” Aku membelek-belek jambangan tersebut. Mimi hanya menggeleng kepalanya. Siapa la yang malang hantar bunga kat aku ni. Bau harum ros pink menusuk ke hidungku. Perfume apa la yang disemburnya…Tiada angin tiada ribut tiba-tiba saja aku ada peminat di sini.

Lima tahun berlalu sudah dan aku masih menyendiri. Rumah yang dulu kusewa sudah menjadi hak milikku kini. Aku kini semakin selesa berada jauh dari negeri sendiri. Masa yang berlalu menjadikan aku lebih matang untuk meniti hari-hari mendatang. Tiada lagi harapan menggunung kubina untuk mengisi kekosongan hati ini, cukuplah sekadar aku masih dikurniakan kesihatan yang baik untuk meneruskan hidup di sini.

Tiada lagi penantian yang penuh penyeksaan. Namun sesekali kenangan terindah suatu masa dahulu tetap singgah di fikiran ini. Itulah cinta pertama, sukar untuk ditepis walau sejauh mana aku berlari.

“Kau Nina kan…?” Aku terlanggar seseorang. Seorang perempuan tersenyum kepadaku. Aku masih cuba mencari-cari jawapan siapa gerangan perempuan di hadapanku kini.
“Hei, kau dah berubah la Ana…eii…kau mengandung ni…” Aku pasti perempuan mengandung di hadapanku ini adalah Kirana. Lantas dia memelukku kegirangan. Ada kesayuan jauh di sudut hatiku.
“Apa kau buat kat sini Nina? Ehh…kau dah kahwin ke…? Ni anak sulong aku…” sambil Kirana menunjuk kepada perutnya yang memboyot. Aku tersenyum gembira.
“Aku bujang lagi lah…tua-tua ni mana laku lagi…” jawapanku ringkas.
“Tak lah tua sangat pun. Jangan lupa panggil aku bila kau naik pelamin. Kau tunggu pak we lama lagi ke…?” dia sempat mencungkil rahsia. Dia cuba membawaku ke zaman silam.

“Orang dah tak nak kat kita buat apa aku merayu lagi. Banyak lagi kumbang lain boleh aku dapat…masalahnya aku je yang tak nak. Alah…sampai masa ada lah tu seru untuk aku kahwin.” Aku menjawab yakin. Kirana hanya mengangguk-angguk saja.
“InsyaAllah,…aku yakin tak lama lagi jodoh kau akan sampai. Minggu depan aku dijangka bersalin ni…nanti kalau ada rezeki selepas seminggu aku nak buat aqiqah, aku nak kau datang ke majlis tu.” Kirana menulis alamat rumahnya. Dia pun dah pindah ke sini juga.
“Bila lagi kau pindah sini? Tak bagitahu aku pun…” Kirana menjelaskan sudah hampir dua tahun dia berada di sini kerana mengikut suami yang ditukarkan ke sini. Dia sudah banyak berubah, dari seorang anak dara dan sekarang akan menjadi ibu tidak lama lagi. Aku juga yang masih seperti dulu, mungkin yang berubah hanyalah status pada nama dara, sekarang ni mungkin daratua…

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“Baru tiga bulan lepas dia berhenti kerja. Katanya nak buka bisnes sendiri. Aku pun tak tahu la kat mana dia buat bisnes tu. Ada juga aku tanya kat mana tapi dia kata bila dah selesai semua urusan berkaitan nanti dia bagitahu.” Rupanya Ilham sudah tidak lagi bekerja di tempat dulu. Mizan yang sebumbung kerja dengan dia pun tak tahu ke mana dia pergi, apatah lagi aku yang langsung tiada lagi kaitan dengannya. Peluangku untuk melihat dirinya makin menipis. Kenapa sukar benar untuk aku melupakannya?

“Ok lah Mizan. Lain kali kita jumpa lagi ya…” aku mengatur langkah pulang seusai pertemuan yang tidak dirancang dengan Mizan di bandar tadi.
“Ingat lagi kau kat dia ya…? Apasal setia sangat ni…” masih terngiang-ngiang di telingaku sindiran Mizan saat kutanyakan perihal Ilham kepadanya. Setiakah aku…?
“Salah ke kalau aku bertanya khabar kawan lama…? Setia tak setia tu lain cite lah.” Aku cuba pertahankan hak. Kalaupun aku setia biarlah hanya aku yang tahu apa yang bersarang di hati.

Berat hatiku menerima jawapan daripada Mizan. Seolah-olah terputus sudah harapanku untuk menemui Ilham lagi. Tiada lagi jejak yang boleh aku turuti untuk mengekorinya. Semakin kukuh keinginanku untuk tidak lagi memijak bumi kelahiranku nun jauh di sana. Biarlah aku tamatkan saja sisa-sisa hidupku di sini. Kali ini akan aku kuburkan segala kenangan terindah yang pernah kulorekkan di kanvas hidupku. Akan aku abadikan segalanya jauh di lubuk hati. Tiada lagi Ilham, tiada lagi cinta, dan tentunya tiada lagi kenangan terindah. Aku bermenung sendirian. Menyusuri gerak waktu yang langsung tiada endah dengan gelora di jiwaku.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Langkah kuatur menuju ke tempat letak kereta di bawah bangunan pejabatku. Dari jauh kulihat ada sesuatu di cermin hadapan keretaku. Apalah gerangan benda yang terletak elok di situ. ‘Happy Birthday To You!’ Ada kotak hadiah berbalut cantik di keretaku.

“Satu-satunya tarikh yang I tak akan lupakan adalah hari jadi U. I akan ingat sampai bila-bilapun pasal pada tarikh inilah I kenal dengan U. Bukan tarikh ini yang istimewa…tapi U yang paling istimewa dalam hidup ini.” Kata-kata itu pernah terluah di bibir Ilham suatu ketika dulu, saat dia menghadiahkanku seutas rantai sempena hari jadiku. Ah, kenangan itu hadir lagi. Masakan ia boleh hilang sementelah rantai itu masih terlilit di leherku sehingga kini. Sememangnya aku tidak mampu menguburkan segala kenangan terindah itu.

“Terima kasih…U juga teristimewa untuk I. Bukan hadiah yang I nak tapi kasih sayang U sampai bila-bila pun.” Aku tersenyum, bahagia di saat itu. Rantai itu kupegang erat, seerat rasa kasihku padanya.

Hari ini tarikh itu tiba lagi. Genap sudah umurku 30 tahun. Dah masuk siri tiga rupanya! Kotak hadiah itu kuambil lantas kubawa masuk ke perut kereta. Aku mencuri sedikit masa untuk membuka hadiah tersebut. Siapa yang bagi ni…? Otak aku tepu untuk berfikir, malas mencari jawapannya. Sebentuk cincin bertatahkan berlian bentuk hati membuatkan jantungku berdegup kencang. Cincin itu kupegang kejap lantas kucuba sarungkan di jariku. Terletak!

‘Terlalu Istimewa’
Tulisan tangan dititip ringkas kutatap penuh debar. Teramat kenal aku dengan tulisan ini. Banyak benar kenangan yang wujud pada tulisan ini. Debaran makin kencang dapat kurasakan. Ini tulisan Ilham! Diakah gerangan pemunya cincin ini? Dia datang menghampiri hidupku? Cincin itu kutatap penuh perasaan. Apakah ini petanda yang baik untuk hidupku…Dia datang kepadaku…

‘Suka dengan cincin tu…?’ satu sms kuterima saat debaranku belum lagi reda. Debaran lain pula yang bertimbun dalam dadaku.

‘Saya harap awak suka…Berlian bentuk hati yang awak mintak dulu kan?’ sms datang lagi. Nombor telefon siapa ni…? Aku mula rimas. Mataku mula melilau ke kiri ke kanan. Di hujung sana ada gerak langkah menghala ke arahku.

Ilham? Debaran lain pula yang mencengkam dadaku. Hampir pitam rasanya aku saat ini. Ada senyuman yang terukir di wajahnya. Senyumnya tidak berubah. Sama seperti waktu dulu.

“Cantik cincin tu di jari awak…” suaranya di sebalik tingkap keretaku. Aku kaget…suaraku tersekat di kerongkong…bagaikan ada tali-tali yang mengikat kukuh salur uratku dirongga tekak saat ini. Bisukah aku?

“Saya ingat ukuran jari awak…dan saya juga ingat berlian bentuk hati yang awak mintak dengan saya dulu…” terangnya lagi dengan mesra. Seolah-olah di antara kami tiada pernah terputus hubungan suatu ketika dulu.

“Kenapa awak ada kat sini? Awak ekori saya ke?” aku meluahkan kemusykilan yang bersarang. Hilang sedikit rasa gemuruh yang terhimpun di dada sejak tadi.

“Tak suka jumpa saya? Saya memang ekori awak…sejak sekian lama.” Jawapan yang diberikan cukup mencurigakan aku. Debaran baru mula singgah di hati. Kenapa dia ekori aku? Ada hal yang belum selesai nampaknya.
“Kenapa ekori saya? Kita kan dah tak ada apa-apa.” Suaraku sedikit menekan. Ada sedikit amarah yang terkeluar.

“Awak kan tunang saya…mmm…saya pernah bertunang dengan awak.” Suaranya sedikit mendatar. Aku merenungnya tajam. Kata-katanya begitu menusuk ke jantungku. Terasa bahang panas mula menyerbu ke wajahku.

“Kita dah putus tunang! Semua tu dah berlalu. Awak jangan nak cari pasal dengan saya. Jangan cari saya lagi!” Suaraku lantang tegas. Enjin kereta kuhidupkan. Tak kuasa lagi untuk aku terus berbicara dengannya.

“Kita bincang dulu, Nina. Saya cuba datang dengan cara baik dan saya ingin minta maaf atas apa yang telah terjadi antara kita. Saya telah lakukan segalanya untuk berjumpa dengan awak lagi…” rayunya kepadaku. Aku menggeleng kepala beberapa kali.

“Apa yang perlu kita bincang lagi? Semua tu dah lama berlalu. Awak juga yang kata dulu, masing-masing buat hal sendiri.” Ingatanku masih jelas pada pertemuan terakhir kami suatu ketika dulu. Entah kenapa sakit benar rasa hatiku saat ini.

“Kalau awak masih kenangkan kata-kata saya yang dulu, itu maknanya awak masih lagi ingatkan saya. Saya pun dah mengaku salah sekarang…” masih lagi dia memancing minatku untuk berbicara. Pandanganku tajam menyorot wajahnya. Senangnya dia mengatur kata. Lupakah dia pada lewat bicaranya dulu tentang jodoh kami yang tiada penghujungnya? Bicaranya boleh membuatkan aku gila. Kenapa dia hadir lagi disaat aku sedang mencuba membina hidup baru. Aku langsung terkedu.

“Kita kahwin, Nina! Saya betul-betul maksudkan apa yang saya cakap ni. Dah lama saya ekori ke mana awak pergi, hanya hari ini saya cuba beranikan diri tampil depan awak. Saya dah tak mampu hidup tanpa awak.” Kata-katanya langsung tak masuk akal bagiku. Setelah sekian lama aku merana kenapa baru hari ini dia hadir? Memang selama ini aku mengharapkan kehadirannya, tapi bukan hari ini. Hari ini aku sudah matang. Aku sudah tahu menilai mana kaca mana permata. Bukan semudah itu aku akan jatuh lagi. Aku tak akan rebah lagi untuk kali kedua.

“Awak dengar tak apa yang saya cakap…?” dia masih kekal berdiri di sisi keretaku. Aku mengangguk saja. Tenagaku seolah terlerai untuk berhadapan situasi ini.

“Awak kahwin lah dengan perempuan lain. Awak juga yang cakap dulu antara kita tiada jodoh yang tersurat.” Aku cuba bersuara. Perasaanku kini berkecamuk, tak mampu untuk aku tafsirkan apa yang melanda jiwaku saat ini.

“Saya nak kahwin dengan awak, bukannya perempuan lain.” Masih lagi lunak suaranya berbicara. Masih lagi dia mampu bersahaja sedangkan aku bagaikan mahu pecah dada dengan keadaan yang melanda.

“Pagi tadi keluarga saya dah ke rumah awak…tetapkan tarikh perkahwinan kita.” Ayatnya itu kubawa laju seiring pedal minyak yang kutekan. Tiada jawapan yang kutinggalkan padanya. Apa telah terjadi sebenarnya?

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Kad undangan majlis perkahwinanku telah pun siap ditempah. Aku masih terkesima dengan apa yang terjadi. Gembira pun ada, sakit hati pun ada. Seolah-olah bodohnya aku salama ini membawa lara hati jauh nun di sana. Tapi saat kebahagiaanku boleh muncul bagaikan sekelip mata sahaja. Kad putih yang berlatar belakangkan istana kristal itu kutatap dengan perasaan yang pelbagai. Segalanya bagaikan mimpi yang menjadi realiti.

Sayangku,
Akhirnya kita ditakdirkan bersama jua. Impian saya untuk hidup bersama awak akhirnya akan termakbul jua. Terimalah saya seadanya dalam hidup awak. Walau badai pernah melanda dalam hubungan kita, saya amat bertuah kerana akhirnya awak akan jadi milik saya jua. Hanya awak yang saya dambakan selama ini. Saya yang bersalah selama ini, namun saya cukup bersyukur kerana masih ada sisa-sisa cinta awak untuk saya.

Nina,
Cinta awak sentiasa mekar di jiwa saya. Saat ini sememangnya telah lama saya tunggu. Awak adalah segala-galanya dalam hidup saya. Tak mungkin saya berpaling lagi selepas ini. Biarlah ia kekal hingga ke akhir hayat.

ILHAM

Sekeping kad dititipkan buatku. Aku memandang sekeliling. Melihat pelbagai barangan yang telah kusediakan untuk dijadikan hantaran.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“Mana awak pergi tadi?” Ilham menyoal setelah agak lama dia menungguku. Aku menghulurkan bungkusan coklat untuknya. Aku tahu dia sukakan coklat. Itu salah satu cara aku memujuknya.

“Selama ni dah lama Nina tunggu abang, so kali ni giliran abang pula tunggu Nina.” Jawabku selamba. Aku cuba menduga dirinya. Sejauh mana tahap kesabarannya melayan karenahku.

“Kira nak balas dendam lah ni ya. Tak pe…ada ubi ada batas…” sempat lagi dia bersikap kebudakan.
“ada hari lagi, Nina akan buat gaya bebas…” aku menyambung pantun dua keratnya. Sempat lagi aku menguji suamiku. Dalam hati aku terpaksa akur dengan ketampanan dirinya, sementelah dengan butang baju melayu yang berderet di dadanya. Sebenarnya itulah hadiah yang pernah kutinggalkan di mejanya dulu sebelum aku lari dari dirinya. Ilham, kau memang hati batu! Rela kau biarkan aku merana sekian lama kerana kasihku dipermainkan. Tapi kenapa dia kembali kepadaku…?
“Pandai awak sekarang ya…” hidungku dipicit kuat. Sudah lali hidung ni menjadi mangsa keadaan selepas aku bergelar isteri. Katanya hidung ni mancung sangat, sayang kalau tak sentuh.

“Sakit la…so, kita nak ke mana sekarang?” aku bertanya sambil jemariku sibuk membuka balutan coklat tadi.
“Pergi hantar abang ke masjid dulu…Nina pergi la shopping apa yang patut…lepas Jumaat jangan lupa datang ambil abang balik.” Dia memberi penjelasan. Aku mengangguk tanda faham. Petang nanti kami akan sama-sama balik kampung.

“Ok, beres. Nina nak beli barang dapur je…nanti kita sama-sama masak kat rumah mak.” Aku menyambung kata.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“Semuanya dah selesai…” ada kesedihan pada suara itu. Aku hanya tersadai lemah di sudut bilik.
“Nina, bersabarlah!” air mataku disapu lembut. Emak juga perit sebenarnya menerima kejutan ini. Ilham tiada lagi! Masih lagi terasa kehangatan cintanya kepadaku…namun segalanya sekejap cuma. Kemalangan jalan raya semalam meragut kebahagiaan yang baru aku kecapi.

Masjid ini…sebagai saksi menghalalkan tautan dua hati yang sekian lama memadu kasih. Syukur kupanjatkan ke hadrat Ilahi kerana masih diberikanku peluang untuk merasa nikmat sebagai isteri. Segala kenangan terindah akan kuabadikan sepenuh hati di lubuk hati ini. Untukmu suamiku, Ilham…kaulah ilhamku, kaulah memoriku.

Ya Allah, tabahkanlah hati hambamu ini…

4 Respons

  1. best la cite ni…
    agak touching la cz ade persamaan ngan pgalaman I…
    cuma bezanya, I tak sempat kawen,,, tak mcm Nina & Ilham…

    apepun, keep on good job yah!!!

  2. best gak la citer ni….suke la..

  3. same name cam ak n bf aku dlu..tp skrng k[trg dh ptus

  4. aiii..mm ciTe ni bEst Gak La…
    Tapi Kdg2 tAk baPe JeLas..
    anYwAY…teRusla mhAsILkan KaryA2 aNdA…GuD lUck…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: