Tiada Lagi Namamu

Nurul Astiqha
rrohaida@yahoo.com

Bangun!!!!!!” kedengaran suara garau dan kasar seorang lelaki yang begitu lantang di ruang Mahkamah terbuka. Shafiq terpinga-pinga. Sebelum lelaki berpakaian seragam polis itu menyuruh semua orang bangun, dia telah terdengar satu bunyi loceng yang agak panjang memenuhi ruang terbuka Mahkamah itu. Shafiq melihat sekeliling. Semua orang yang berada di dalam Mahkamah berdiri dan memandang ke hadapan. Shafiq turut bangun apabila tangannya direntap oleh seorang lelaki Cina pertengahan umur yang berada di sebelahnya. Mata Shafiq turut menghala ke hadapan, ke arah sebuah pentas seperti mimbar yang agak tinggi daripada tempat duduk yang disediakan di dalam Mahkamah itu. Tiba-tiba jantungnya berdebar-debar, peluh dingin meresapi tubuhnya. Tiupan angin dari penghawa dingin merimaskannya. Sesekali dia menggeletar kerana suhu terlalu sejuk tambahan lagi dia hanya berseluar pendek paras lutut dan T-shirt berlengan pendek.
Tidak sampai satu minit, kedengaran derapan tapak kaki diikuti bunyi pintu dibuka. Kemudian kelihatan seorang wanita muda berdiri di tempat tersebut. Kepalanya ditundukkan sedikit ke arah orang ramai yang berada di Mahkamah. Shafiq terkedu. Tubuhnya yang sebentar tadi begitu sejuk kini dirasakan begitu panas, peluh dirasakan membasahi mukanya. Shafiq memaut belakang penyandar bangku panjang yang sebentar tadi memangku tubuhnya. Dia hampir pengsan. Dia terasa malu, begitu malu untuk menatap wajah wanita yang berada di atas tempat itu. Wanita itu kemudian duduk. Itulah Majistret yang akan mengendalikan segala kes di Mahkamah tersebut. Tetapi kenapa harus dia? Tidak adakah Mahkamah lain atau Majistret lain yang boleh mengendalikan kesnya?
Sekali lagi tangan Shafiq direntap oleh lelaki Cina pertengahan umur yang berada di sebelahnya. Pergelangan tangan Shafiq terasa pedih. Dia mengerling ke arah lelaki Cina itu yang telah beruban rambutnya. Bau badan lelaki itu merengit menyesakkan lubang hidungnya. Jika tidak kerana terpaksa, upahlah beberapa ribu pun, dia tidak akan sanggup hendak duduk di sebelah lelaki Cina itu.
“Apa lu tengok?” lelaki Cina itu membalas pandangannya.
Shafiq membiarkan sahaja pertanyaan lelaki itu tidak berjawab. Dia memandang ke hadapan semula. Wajah Majistret itu dilihatnya bersahaja mengendalikan segala kes yang dipanggil. Tiba-tiba kedengaran namanya dipanggil oleh jurubahasa yang bertugas. Berat sungguh punggungnya untuk berenggang dengan bangku kayu panjang yang keras itu. Tetapi dia terpaksa…dia terpaksa mengikut segala arahan kerana dia sekarang adalah seorang pesalah yang akan dituduh di Mahkamah.
Shafiq mengumpul kekuatan untuk memandang ke hadapan. Matanya merenung tepat ke arah Majistret tersebut. Ya….Majistret itu sendiri tidak berupaya untuk menyembunyikan riak gelisah dan debar yang meriasi wajahnya. Perlakuan, gerak kepala dan anak matanya sedikit sebanyak dapat dibaca oleh Shafiq. Wanita itu cuba lari dari menatap wajahnya.
Jurubahasa Mahkamah, seorang wanita Cina yang fasih berbahasa Malaysia berjalan menghampirinya lalu pertuduhan dibacakan.
“Mohamad Shafiq bin Kamil, bahawa kamu telah dituduh pada 4.4.2005 jam lebih kurang 5.30 petang di rumah no. 5, Jalan Bunga Mawar, Ipoh Perak telah mencederakan seorang lelaki bernama Ahmad Kahar bin Sulaiman dengan bersenjatakan parang. Oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dituduh di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Adakah kamu faham dengan pertuduhan ini?”
Shafiq mengangguk.
“Adakah kamu mengaku salah atau minta untuk dibicarakan?” jurubahasa itu bertanya lagi.
“Saya mengaku bersalah….”
“Baiklah, kalau kamu mengaku bersalah, kamu tidak akan dibicarakan dan Mahkamah boleh terus menjatuhkan hukuman ke atas kamu, faham?”
Shafiq mengangguk lagi sambil itu matanya sekali sekala mengerling ke arah Majistret yang hanya tunduk sejak namanya dipanggil.
“Puan, pohon tarikh untuk fakta dan hukuman ditetapkan dan Orang Kena Tuduh ditawarkan jaminan sebanyak RM3,000.00 dengan seorang penjamin.” Pegawai Pendakwa bangun dan memohon kepada Mahkamah.
“Ada sesiapa ingin menjamin kamu?” jurubahasa itu bertanya lagi.
“Tak tahu lagi.” Shafiq menjawab.
“Baiklah, Mahkamah akan tetapkan satu tarikh bagi fakta dan hukuman dan kamu akan dijatuhkan hukuman pada tarikh tersebut.” Jurubahasa yang sama menerangkan kepada Shafiq. Shafiq hanya mampu mengangguk. Menyesal pun sudah tidak berguna di waktu itu. Oleh kerana tidak mampu mengawal perasaan marahnya, Shafiq telah mencederakan rakannya sendiri hanya kerana satu perselisihan faham yang kecil.
Seterusnya tarikh bagi hukuman ke atas dirinya ditetapkan. Shafiq akan dihantar ke penjara Taiping sementara menunggu tarikh tersebut. Polis yang mengiringi para pesalah menyuruh mereka berjalan keluar dari Mahkamah. Shafiq sempat menjeling ke arah Majistret muda tersebut yang sedang mendengar pertuduhan bagi kes yang lain. Majistret itu tidak langsung memandang ke arahnya.

***********************************************************

Kes di Mahkamah Terbuka telah selesai untuk hari ini. Tetapi gelisah di hati Wani tetap juga bergetar merimaskan perasaannya. Dia teringatkan salah seorang pesalah yang dituduh di mahkamah pada pagi tadi. Lelaki itu dikenalinya bukan hanya sekadar kawan biasa malah lebih dari itu. Lelaki itu pernah menduduki tempat yang paling istimewa di hatinya. Hubungan mereka terjalin cukup lama iaitu hampir empat tahun. Jika tidak kerana sikap Shafiq, sudah pasti dia telah menjadi isteri lelaki itu pada hari ini.
Wani memandang talipon di atas meja. Rasanya mahu sahaja dia menalipon Tuan Hakim Kanan untuk mengecualikan dirinya daripada mendengar kes Shafiq. Dia takut sekiranya dia tidak mampu untuk membuat satu keputusan yang adil. Dia takut sekiranya dia tidak dapat mengasingkan hal peribadi dengan tuntutan keadilan yang diperlukan apabila mengadili sesebuah kes di Mahkamah.
Wani memandang pula ke arah talipon bimbit kepunyaannya. Mahu sahaja rasanya dia menalipon Suhaimi ketika itu juga dan memberitahu tentang kehadiran Shafiq di Mahkamah. Tetapi entah kenapa kedua-dua tangannya tidak jadi mencapai talipon itu. Wani bersandar semula di kerusi. Dia mengeluh panjang dan menutup matanya. Kenangan tujuh tahun lepas menerpa ingatannya.
Waktu itu dia masih di dalam tahun pertama pengajian di peringkat ijzah sarjana muda undang-undang di Universiti Malaya. Di dalam usia sementah itu dia telahpun mempunyai seorang teman lelaki bernama Shafiq yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Shah Alam. Hubungan mereka bermula secara kebetulan apabila Wani menaiki bas yang sama dengan Shafiq. Sikap Shafiq yang peramah dan suka berjenaka membuatkan Wani menyenanginya. Benarlah orang kata cinta itu buta…..bukan sahaja cinta itu yang buta malah orang yang bercinta itu turut menjadi buta akibat terlalu mengikut perasaan cinta itu. Begitulah yang terjadi kepada Wani.
Setahun bercinta, Wani merasa bahagia. Hubungan mereka berjalan dengan baik tetapi Wani masih belum bersedia untuk memaklumkan kepada keluarga. Shafiq asyik mendesak tetapi Wani tidak begitu pasti tentangnya. Wani mahu mengejar cita-citanya dahulu, bergelar seorang peguam yang berjaya dan membalas jasa kedua ibu bapa yang telah membesarkannya. Bagi Shafiq pula, dia mahu segera mempunyai ikatan dengan Wani agar apabila Wani tamat pengajian, Wani akan menjadi miliknya yang mutlak. Setahun, dua tahun, tiga tahun, Shafiq terus mendesak. Lama kelamaan Wani merasa rimas. Dia sendiri tidak pasti apa sebenarnya yang dibimbangkan oleh Shafiq. Jika ditanya tentang hatinya, Wani begitu yakin yang dia mencintai Shafiq sepenuh hatinya dan dia akan tetap setia kepada lelaki itu.
Pada tahun akhir pengajian, sikap Shafiq mula berubah. Dia menjadi semakin agresif dan mula berani bertindak kasar terhadap Wani. Sikap cemburunya semakin menyesakkan hidup Wani. Segala tindakan dan kelakuan Wani diintipnya, siapa kawan Wani ingin diambil tahu oleh Shafiq. Wani mula berasa takut dengan perubahan tersebut. Pernah satu hari Shafiq memarahinya dengan teruk hanya kerana Shafiq ternampak Wani berjalan beriringan keluar daripada bilik kuliah dengan salah seorang teman belajarnya. Wani terkejut apabila Shafiq telah siap menunggu di depan fakulti. Dari pandangan matanya, Wani tahu Shafiq berasa marah. Petang itu buat pertama kalinya tangan Shafiq naik tinggi tetapi nasib baik tidak sehingga menamparnya. Wani terkedu. Dia benar-benar hairan kenapa Shafiq boleh berubah begitu drastik. Apakah yang telah menyebabkan sikap penyayangnya dahulu berubah menjadi pemarah?
“Kenapa ni? Apa yang telah terjadi pada Shafiq? Bukankah Wani dah kata dia itu hanya coursemate Wani. Kenapa Shafiq tak boleh faham?”
“Coursemate tak boleh bercinta ke? Bukan main mesra lagi….” Shafiq memerlinya.
“Bercinta apa? Malas Wani nak layan Shafiq. Shafiq ni cemburu buta.”
“Cemburu buta? Ini bukan cemburu buta. Ini dah saksikan dengan mata kepala sendiri.” Shafiq menengking Wani. Matanya tajam merenung Wani dengan perasaan marah.
“Wani nak balik. Suka hatilah Shafiq nak tuduh apa pun. Alasan yang Wani beri tak berguna langsung.” Wani ingin melangkah pergi apabila tiba-tiba Shafiq menarik kuat tangannya.
“Aduhh! Sakitlah.” Wani mengerang apabila pergelangan tangannya semakin dipegang kuat oleh Shafiq.
“Aku tak habis lagi kau dah nak balik? Duduk sini. Perbincangan kita belum habis.” Shafiq menarik lagi tangan Wani dan cuba memaksanya untuk duduk.
Air mata Wani mengalir menuruni pipinya. Dia berasa sedih dengan sikap Shafiq.
“Sakitlah tangan Wani….lepaskanlah..” Wani merayu.
Lembut juga hati Shafiq apabila Wani mula menangis. Tangan Wani dilepaskan.
“Baiklah, kali ni Shafiq maafkan. Lain kali jangan cuba untuk curang. Wani milik Shafiq seorang. Kalau ada sesiapa yang cuba nak masuk, memang nahas dia tu.” Keras sungguh bunyi amaran tersebut. Tubuh Wani menggeletar ketakutan.
Sejak dari kejadian tersebut, Wani sentiasa merasa takut. Dia takut sekiranya Shafiq mengintipnya. Dia tidak mahu Shafiq mencederakan sesiapa lebih-lebih lagi teman sekuliahnya. Wani akan memastikan dia keluar berseorangan apabila kuliah tamat. Wani berasa tertekan dengan keadaan ini. Dalam masa yang sama Wani mencuba sedaya upaya untuk menjauhkan dirinya daripada Shafiq. Tetapi apalah dayanya..kerana Shafiq sentiasa menanti di tempat yang Wani tidak menyangka, dan tanpa kerelaannya, dia terpaksa mengikut Shafiq.
“Wani, saya tengok awak ni macam ada masalah je…” pada suatu hari di dalam bilik kuliah, Suhaimi teman sekuliahnya bertanya.
Wani berasa serba salah. Dia tahu pelajarannya terganggu sekarang dan keputusan ujiannya baru-baru ini menunjukkan prestasi yang tidak membanggakan.
“Kenapa awak tanya begitu?” Wani bertanya pula. Dia cuba mengelak dari memberitahu kebenaran.
“Saya tengok tubuh awak semakin susut dan keputusan ujian awak baru-baru ni pun menurun. Kenapa? Awak ada masalah ke?”
Wani menggeleng kepala. Sambil itu matanya memandang sekeliling, bimbang sekiranya Shafiq muncul di situ.
“Awak tengok siapa?” Suhaimi cuba serkap jarang.
Wani menggeleng kepala.
“Wani, awak ada masalah kan? Dengan boyfriend ke? Maaf…saya tak berniat untuk campur tangan urusan peribadi awak tapi dua hari yang lepas saya ternampak awak dan dia bergaduh. Saya tak tahu kenapa tapi saya tengok sikap lelaki itu terlalu kasar dan awak kelihatan begitu takut. Sebenarnya bukan hari itu sahaja, sebelum ini pun saya tengok awak macam takut-takut bila habis kuliah seolah-olah awak tak mahu langsung keluar dari bilik ni.”
Wani memandang ke arah Suhaimi. Pandangan matanya begitu sayu seolah-olah memberi isyarat tersirat yang dia memang memerlukan bantuan Suhaimi.
“Errrrr….saya tak nak susahkan sesiapa….” Wani bersuara perlahan tetapi ada getar yang terkandung di dalam nadanya.
“Wani, kalau tak keberatan, izinkan saya bantu awak.”
“Macammana? Saya sendiri tidak boleh larikan diri daripada dia.”
“Itu awak serahkan pada saya…”
“Tapi tolong….jangan sampai ada sesiapa yang cedera.”
“Itu Wani jangan risau. Saya akan cuba selesaikan dengan cara yang baik. Saya pasti sekarang pun dia tengah tunggu Wani kat luar.”
Wani mengangguk. Air matanya tidak dapat ditahan.
“Sudahlah, Wani keluar sahaja seperti biasa, nanti saya akan usahakan untuk bantu Wani.”
Wani mengangguk. Suhaimi bangun lalu melangkah keluar dari bilik kuliah mereka. Beberapa pelajar yang masih ada di dalam bilik tersebut sesekali memandang ke arah mereka. Wani cepat-cepat mengelap air matanya. Dia menyangkutkan begnya ke bahu. Dengan langkah yang berat dia menuju ke pintu keluar. Matanya meliar memandang sekeliling. Dia berdoa di dalam hatinya agar bayang Shafiq tidak muncul di situ.
“Wani!” terasa hendak berhenti degupan jantung Wani apabila terdengar suara Shafiq memanggilnya. Wani menoleh ke kiri. Kelihatan tubuh sasa Shafiq berjalan menuju ke arahnya.
“Jom.” Shafiq menarik tangannya ke arah kereta yang diletakkan tidak jauh dari situ.
“Kenapa lambat sangat keluar? Bercinta dulu ke?” Shafiq cuba serkap jarang.
Wani hanya mendiamkan diri. Dia tidak mahu lagi bertekak dengan Shafiq lebih-lebih lagi di kawasan fakultinya. Dia tidak mahu kawan-kawannya mengetahui permasalahan yang sedang dia hadapi ini.
Wani duduk di sebelah Shafiq. Shafiq terus memandu keretanya keluar daripada fakulti tanpa bertanya kebenaran Wani. Wani menyandarkan badannya ke kerusi lalu memejamkan matanya. Kalau boleh biarlah apabila dia membuka matanya semula, Shafiq sudah tidak ada lagi di sebelahnya.
“Kenapa? Letih sangat ke? Banyak study ke asyik bercinta dengan orang lain?” tiba-tiba suara Shafiq memecahkan kesunyian di dalam kereta itu.
Wani hanya mendiamkan diri dan matanya terus dipejamkan.
“Hai, dah jadi bisu ke?” berdesing telinga Wani mendengar kata-kata Shafiq.
Pada waktu itu Wani menjadi keliru, dia cuba mentafsir sendiri perasaan Shafiq kepada dirinya. Adakah ini yang dinamakan cinta dan sayang? Bukankah jika seseorang saling mencintai, segala-galanya akan serba indah belaka? Tetapi kenapa Wani sentiasa merasa sedih? Dan kenapakah setiap perlakuan dan kata-kata Shafiq membuatkan dia semakin membenci lelaki itu?
Wani cuba mengimbas kembali tempoh empat tahun percintaan mereka. Bahagiakah dia? Persoalan itu tidak dapat dijawabnya sendiri. Wani mengeluh. Baru sekarang dia merasakan matanya celik setelah buta begitu lama dengan perasaan cinta ini. Baru sekarang Wani sedar bahawa selama ini dunianya hanyalah Shafiq semata-mata. Siang dan malam hanya Shafiq yang berada bersamanya sehinggakan dia menolak segala aktiviti lain terutama bersama kawan-kawan sekuliah. Shafiq tidak suka sekiranya Wani terlalu bebas berkawan dengan orang lain. Ya, Shafiq telah mengawalnya dengan begitu ketat selama ini. Adakah ini yang dia inginkan? Tidak! Wani sudah berasa semakin lemas dengan kurungan cinta ini. Sekarang dia ingin bebas.
Wani tiba-tiba menjadi begitu marah dengan lelaki itu. Perasaan takut yang selama ini telah bersarang sekian lama terhadap lelaki itu kini beransur hilang. Wani rasa sudah tiba masanya dia mempertahankan dirinya sendiri.
“Berhentikan kereta.” Wani tiba-tiba bersuara. Dia memandang Shafiq dengan berani. Air mata telah kering untuk menangisi sikap lelaki itu.
“Jangan nak beri arahan.” Shafiq masih tidak mahu mengalah.
“Berhentikan kereta ni, kalau tak Wani terjun.” Wani cuba mengugut Shafiq. Tangan Wani terus memegang kunci pintu dan bersedia untuk menariknya sekiranya Shafiq tetap berdegil.
Shafiq yang terkejut melihat tindakan nekad Wani akhirnya memberikan lampu isyarat untuk berhenti di sebelah kiri jalan.
“Kenapa ni? Dah nak mati ke? Nak bunuh diri?” Shafiq menengking Wani.
“Lebih baik mati daripada hidup dengan lelaki macam ni.” Wani membalas kata-kata Shafiq dengan renungan yang tajam.
“Apa kau kata?” perasaan marah Shafiq begitu ketara. Kedua-dua tangannya dicengkam ke bahu Wani. Bahu Wani digoncang dengan kuat.
“Sakitlah.” Wani cuba menepis tangan Shafiq.
“Kau ni memang nak mati ye. Baik. Kau turun di sini. Biar kau mati kat tepi jalan ni.” Shafiq tiba-tiba membuka pintu kereta. Dia keluar lalu membuka pintu kereta di sebelah Wani. Dia menarik Wani keluar daripada kereta lalu menolak tubuh Wani ke atas rumput di tepi jalan. Beg tangan Wani turut dicampak keluar.
“Ha! Cuba duduk di sini seorang diri. Di sini bukannya ada bas atau teksi yang lalu. Hari ni kau jalan kaki balik ke hostel.” Shafiq terus masuk semula ke dalam kereta lalu memandu pergi meninggalkan Wani keseorangan di tepi jalan.
Wani mengerutkan dahinya. Lututnya terasa pedih akibat tergesel dengan pasir di tepi jalan. Dia bangun lalu membersihkan tanah dan rumput yang melekat di pakaiannya. Beg tangan yang dibaling keluar oleh Shafiq dicapainya. Wani menguatkan semangatnya. Air mata ditahannya agar jangan sesekali keluar. Wani melihat sekeliling. Suasana di situ suram. Di kiri kanan jalan hanyalah pokok-pokok kelapa sawit dan semak samun yang tebal. Wani berdiri di tepi jalan beberapa minit namun tidak ada sebarang kenderaan yang melintasi jalan itu. Wani mula berasa takut. Dia berdoa di dalam hatinya agar tidak ada apa-apa yang akan berlaku kepada dirinya.
Sedang berdiri di tepi jalan sambil memikirkan nasibnya, tiba-tiba sebuah kereta kancil berwarna biru gelap berhenti di hadapannya. Wani berasa takut. Dia mengundur beberapa langkah.
“Wani! Kenapa berdiri di sini?” pemandu kereta itu keluar dari kereta dan berjalan mendapatkan Wani.
Wani berasa amat lega. Lelaki itu adalah Suhaimi, kawan sekuliahnya. Air mata yang ditahannya entah mengapa pecah juga lalu turun membasahi pipinya yang kemerahan.
“Kenapa ni?” Suhaimi menjadi bimbang dengan sikap Wani.
“Mari masuk kereta saya. Saya hantar awak balik.” Suhaimi terus membuka pintu kereta untuk Wani.
“Dia tinggalkan saya di tepi jalan sebab saya melawan dia…” Wani memberitahu Suhaimi apabila Suhaimi telah duduk di tempat pemandu. Suhaimi menggeleng kepala, kesal dengan sikap Shafiq.
“Dia tu dah melampau. Wani, fikirlah baik-baik. Untuk apa lagi awak teruskan hubungan dengan lelaki tu. Dia dah buat awak sampai macam ni. Dia sanggup tinggalkan awak kat tempat yang bahaya macam ni. Nasib baik saya lalu di sini, entahlah saya pun tak tahu kenapa saya tiba-tiba masuk ke jalan ni. Ini mungkin pertolongan Allah yang mendorong saya untuk membantu awak…”
“Saya memang nak pergi jauh dari dia tapi dia sentiasa mencari saya. Saya takut, saya tak mahu dia cederakan sesiapa atau menyusahkan sesiapa.” esakan Wani kedengaran semula.
Suhaimi cuba menenangkan Wani. Baginya tindakan Shafiq sudah melampau. Sekiranya benar dia menyintai Wani, sudah pasti dia tidak akan sanggup menyakiti dan meninggalkan Wani dengan cara begini.
“Bummm!!” Wani dan Suhaimi terkejut apabila terdengar bunyi yang kuat dan seketika itu juga kereta Suhaimi bergoyang seolah-olah dipukul dengan kuat dari luar. Suhaimi keluar dari kereta untuk melihat apa yang berlaku. Kelihatan Shafiq sedang berdiri dengan bercekak pinggang. Mukanya kelihatan amat marah.
“Ooo..ini rupanya jantan keparat yang nak rampas Wani daripada aku?” tiba-tiba Shafiq menengking Suhaimi. Wani menjadi amat takut.
“Wani, awak jangan keluar dari kereta.” Suhaimi memberi amaran kepada Wani.
“Shafiq, awak tak patut tinggalkan dia kat sini seorang diri. Tempat ni bahaya. Saya hanya nak bantu bawa dia balik ke asrama. Jangan salah faham.” Suhaimi cuba menenangkan Shafiq yang seperti gajah naik minyak.
“Buat apa kau menyibuk. Ini urusan aku dengan dia. Tak ada sesiapa yang boleh masuk campur.” Shafiq menengking lagi. Tiba-tiba Shafiq berjalan ke arah keretanya yang diletakkan di belekang kereta Suhaimi. Dia lalu mengeluarkan sebatang kayu besbol dari bonet belakang keretanya.
Suhaimi berasa cemas melihat perlakuan Shafiq. Dia dapat menghidu sesuatu yang buruk akan berlaku.
“Suhaimi, cepatlah, kita pergi dari sini.” Wani menjerit kepada Suhaimi. Dia juga berasa cemas apabila melihat tindakan Shafiq.
“Jangan bimbang Wani, lelaki ni memang kena diajar sikit.” Suhaimi nekad. Dia perlu berani berdepan dengan Shafiq. Jika dia melarikan diri, maka permasalahan ini tidak akan selesai selama-lamanya. Suhaimi juga yakin ilmu persilatan yang telah dituntutnya selama ini mampu untuk melindungi dirinya sendiri di dalam situasi yang tegang seperti ini.
Shafiq yang berada di dalam keadaan marah terus menghayun kayu tersebut ke arah Suhaimi. Secepat kilat Suhaimi mengelak setiap serangan Shafiq. Shafiq menjadi semakin berang apabila setiap pukulannya berjaya ditepis. Kali ini giliran Suhaimi pula menyerang. Apabila ada peluang, Suhaimi terus menendang perut Shafiq dan menjatuhkannya ke tanah. Kayu besbol tadi terlepas dari tangan Shafiq lalu tercampak ke tanah. Kaki dan tangan Shafiq telah dikunci kemas oleh Suhaimi sehingga Shafiq tidak dapat lagi membalas.
“Selepas dari hari ni, jangan sekali-kali kau datang cari Wani lagi. Dia juga tidak mahu kau ganggu dia lagi. Biar dia hidup bebas dan habiskan pelajarannya.” Suhaimi memberi amaran.
Setelah memastikan keadaan selamat, Wani keluar dari kereta lalu berdiri di sebelah Suhaimi yang masih lagi tidak melepaskan Shafiq. Wani menggeleng kepala, kesal dengan sikap yang ditunjukkan oleh Shafiq.
“Maafkan Shafiq, Wani. Shafiq berjanji Shafiq tak akan buat macam ni lagi pada Wani. Shafiq cintakan Wani. Shafiq berjanji Shafiq akan berubah…..” Shafiq merayu kepada Wani dengan wajah yang berkerut menahan kesakitan.
“Sudahlah Shafiq. Jangan lagi cari Wani. Antara kita sudah tidak ada apa-apa hubungan lagi.” Wani berkata kepada Shafiq dengan tegas lalu terus masuk semula ke dalam kereta Suhaimi. Tiada lagi rasa simpati di hati Wani untuk lelaki itu.
Perlahan-lahan Suhaimi melepaskan tubuh Shafiq. Kayu besbol tadi telah dibalingnya jauh ke dalam hutan.
“Kau sudah dengar sendiri apa yang Wani kata. Aku harap aku tak akan nampak lagi muka kau lepas ni.” Suhaimi memberi amaran kepada Shafiq yang masih tertiarap di atas rumput. Suhaimi kemudiannya masuk ke dalam kereta lalu memandu pergi meninggalkan Shafiq sendirian di tepi jalan itu. Itulah kali terakhir Wani melihat Shafiq.

********************************************************

Ketukan di pintu mematikan lamunan Wani. Wani mengerling jam di tangan. Melihatkan jam tangan itu, dia teringat kepada Suhaimi. Daun pintu ditolak. Terjengul wajah tampan Suhaimi sambil tersenyum kepadanya. Lesung pipit menambahkan kemanisan senyuman itu yang sentiasa terukir di bibirnya.
“Dah sedia?” Suhaimi bertanya.
Wani mengangguk. Dia segera mencapai beg tangan yang telah diletakkan di atas meja. Hari ini setelah tiga tahun menyulam kasih, barulah Wani merasa cukup bersedia untuk bertemu dengan keluarga Suhaimi. Bukan senang untuk dia menerima Suhaimi setelah terluka dan kecewa dengan sikap Shafiq, namun Suhaimi menunggunya dengan penuh sabar. Dari hanya kawan sekuliah dan tempat mengadu nasib, akhirnya hati Wani yang selama ini tertutup terbuka dengan sendirinya untuk menerima cinta Suhaimi.
“Tadi Shafiq dituduh di Mahkamah Wani. Dia cederakan orang dengan parang.” Wani berkata perlahan tanpa menoleh ke arah Suhaimi yang sedang memandu.
Setelah lama perkara itu terpendam, Wani akhirnya meluahkan kepada Suhaimi. Waktu itu mereka dalam perjalanan pulang ke kampung Suhaimi di Alor Setar. Suhaimi memandang sekilas ke arah Wani.
“Bagaimana? bolehkah Wani uruskan kes tu? Kalau tak boleh, lebih baik tarik diri.” Suhaimi bertanya dengan tenang.
“Kenapa pula Wani nak tarik diri. Bukankah Wani tidak ada sebarang hubungan dengan dia?” Wani menjawab dengan penuh yakin. Bagi Wani, baik Shafiq atau bayangnya telah lama hilang dari hatinya.
Suhaimi tersenyum.
“Suhaimi bangga dengan Wani.”
“Bangga saja?” Wani cuba mengusik.
“Hmm…..dan sayang, dan cinta…dan nak jadikan Wani isteri Suhaimi dengan secepat mungkin.”
Wani tertunduk malu. Pipinya merona merah. Tangan mereka berpaut kemas sekukuh dan seutuh perasaan cinta yang telah berpaut di hati mereka. Bagi Wani inilah cinta yang sebenarnya di mana segala-galanya indah dan tidak menyakitkan. Suhaimi benar-benar membuatkan dia bahagia.

Novel-novel Nurul Astiqha yang berada di pasaran:-
1. Indahnya Kemaafan
2. Saat Mencintaimu
3. Pencarian Adleena
http://nurulastiqha-novel.blogspot.com

Satu Respons

  1. HAHA…padan muka syafiq tu..hidup org pun nk control.blah ar laki mcm tu!tp citernye mmg ok..penulisnye mmg great!thniah..dr g

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: