Cerpen : Di kaki Gunung Kinabalu

Faridah Abd Hamid

AZMAN termengah-mengah. Zani kerut seribu. Tubuh menggelabah. Mata meliar. Azman tidak dapat membendung kekesalan dalam diri. Dia menjerit, lalu melibas-libas pokok-pokok liar di sekelilingnya. Pokok-pokok renek itu ‘luka’ dan patah. Zani hanya memerhati. Hatinya juga telah hilang keinginan.

Tumbuh-tumbuhan menghijau di sekeliling mereka bagaikan kegembiraan. Berayun-ayun membuai diri. Menarikan tarian hutan belantara. Secebis hiburan yang tidak mungkin akan difahami Azman dan Zani. Pokok-pokok yang menjulang ke langit biru terlalu gagah untuk ditewaskan. Bertitis-titis air jatuh menimpa mereka.

Serangga kecil semakin berani menampakkan diri. Beranak-pinak. Mungkin telah lama memerhatikan Azman dan Zani. Sedar dua orang manusia yang lemah ini tidak akan berdaya ‘menewaskan’ serangga yang melukut di atas tanah yang lembap. Serangga yang cantik dan unik sekali.

Azman duduk semula setelah melepaskan amarahnya. Kakinya mula lemah menapak. Mata berpinar-pinar. Dingin menggigit tubuh. Pakaiannya lembap. Baju hujan tidak lagi dapat menolak kuasa alam. Dia memandang Zani yang tiba-tiba ketawa. Azman mengacah-acah seekor kumbang besar. Kumbang itu merayap-rayap di tangannya. Ketawanya berganti dengan keluhan. Azman memeluk tubuh. Menghangatkan diri.

Syaitan atau iblis yang mana merosakkan pemikiran mereka sehingga berkeinginan mencabar kaki gunung ini. Perasaan dan gelojak ketamakan, membawa mereka kehilangan arah.

“Kalau kita ikut jalan lain, kemungkinan kita akan dapat sesuatu yang baru. Mungkin pemandangan yang lebih indah dan hebat daripada ini. Kita menjadi terkenal.” Cadang Azman sambil membakar pacat yang meliuk-liuk kelaparan di betisnya. Pacat itu menggelepur dan melepaskan cengkaman. Azman menyedut rokok itu sedalam-dalamnya. Membakar diri.

Zani juga tersenyum membayangkan apa yang bakal mereka peroleh kelak. Kemasyhuran dan sanjungan. Liza pasti akan bangga. Liza tidak perlu merungut lagi. Hobinya ini akan ‘membesarkan’ namanya. Bukankah aktiviti luar sebegini memberi faedah besar. Liza tentu tidak lagi berani mengugut meninggalkannya. Bukan setakat Liza, pasti ramai lagi wanita di sana yang akan ‘melilit’ di pinggangnya.

Menawan Gunung Kinabalu satu petanda kekuatan pada mereka. Bukan sekali ,tetapi telah berkali-kali. Bermula dari Timpohon, pendakian akan bermula seawal pagi. 13.6 kilometer ke puncak Low’s Peak yang setinggi 4,101 meter terlalu sukar. Pendakian yang memaksa berdepan dengan kecuraman dan kedinginan yang tidak munasabah.

Pelancong asing yang merasai empat musim dan dengan susuk tubuh lebih besar mendapat ‘bonus’ dalam pendakian ini. Tidak kepada warga tempatan. Hanya kecekalan, kekuatan semangat dan keutuhan fizikal boleh membawa ke puncak impian itu.

Setiap langkah telah terpeta dalam ingatan. Trek yang telah lalai mereka lalui. Mesilau trek yang terkini. Lebih jauh perjalanannya untuk sampai ke pusat rehat pada aras 11,000 kaki iaitu Waras Hut, New Hut, Laban Rata Resthouse, Burlington House dan Panar Laban Huts manakala Sayat-sayat Hut merupakan pusat terakhir yang terletak pada aras 12,000 kaki, namun jarang menjadi pilihan rehat pendaki. Di sinilah pendakian sebenar bermula. Malam yang menghitam, bukan halangan kelipan cahaya kecil merayap-rayap untuk sampai ke puncak sebelum matahari terbit.

Azman dan Zani seperti pendaki yang lain bermula dari Timpohon pendakian pada aras 6,000 kaki. Setelah jauh menapak kira-kira 5.6 kilometer, mereka akan sampai ke perhentian pertama, Kandis. Boleh menghilangkan lelah seketika. Pada jarak 6.4 kilometer pula, perhentian Urban menunggu.

Kebiasaannya pendaki profesional hanya memakan masa 45 minit antara perhentian. Amatur? Keindahan alam bukan sesuatu yang boleh sengaja dilepaskan. Setiap inci adalah ‘bingkai gambar’ terindah kerana tidak semua orang tega mendaki gunung ini. Berpuluh-puluh gambar dalam simpanan Azman dan Zani. Kali ini mereka mencari yang lain. Jauh daripada kebiasaan.

Pemandangan sekeliling bagaikan hadiah kepada pendaki. Alam yang jauh bezanya daripada dataran tanah pamah yang menggigit atau hanya hutan kayu bakau yang semakin hilang. Tumbuh-tumbuhan tanah tinggi yang kelihatan segar bugar mendamaikan mata. Selimut kabus bagaikan melenakan setiap malam tumbuhan hijau ini. Siang yang pendek dan malam yang berbungkus kedinginan. Syurga dunia. Gunung Kinabalu kekal sebagai gunung yang terindah dan kaya dengan khazanah alam berbanding Gunung Everest sekalipun.

Sebelum menjejaki perhentian Mempening dan Layang-layang Staff Hut sejauh 8 kilometer, pendaki akan melalui perhentian Lowii. Pada aras 7,500; 10, 000 dan 11,000 kaki terdapat landasan helikopter yang biasanya digunakan untuk tujuan rasmi dan kecemasan.

Cabaran semakin hebat. Minda perlu positif dan fizikal harus terus berdaya tahan. Pendaki terus mendaki ke pusat rehat sebelum kabus menyeliputi sekeliling. Perhentian Vilosa dan kemudian Paka menandakan cabaran trek batuan akan bermula meninggalkan kehijauan yang sebentar tadi bagaikan ‘sengaja’ mengalu-alukan keberanian pendaki. Setelah menggagahkan diri sejauh 10.4 kilometer, pendakian sebenar menunggu.

Azman dan Zani akan sampai ke pusat rehat sebelum malam mendatang dan waktu Subuh, pendakian sejauh 11.2 kilometer menuju ke Sayat-sayat Hut. Setelah itu pendakian hanya berbaki 13.6 kilometer sebelum menyentuh Low Peak puncak tertinggi. Kepuasan terbayang pada diri tatkala melihat matahari terbit dan dataran batuan bagaikan padang jarak padang terkukur yang tidak terjangkau mata.

“Bayangkanlah seratus kali pun kita mendaki, kita akan mendaki puncak yang sama. Low Peak . Low Peak! Memang Low Peak tertinggi, tetapi apa salahnya kalau ada pilihan lain. Misalnya boleh mendaki Kinabalu South, King Edward Peak, King George Peak, Donkeys Ears, Ugly Sister Peak, St John’s Peak. Tidak pun Alexandra Peak, St Andrew’s Peak atau Victoria Peak.” Azman membaca peta pendakian. Dia beria-ia berhujah ketika mereka mendahului rombongan yang lain.

“Kalau di atas tu, tidak ada faedah juga. Bukan nampak apa-apa, batu saja. Di sini, di kaki gunung ini banyak ‘harta’ yang kita tidak tahu. Di sebalik pokok-pokok ini, mungkin ada taman larangan,” Zani juga bersungguh-sungguh.

“Betul dari Kandis sehingga Mempening, pasti ada laluan lain. Malahan pemandangannya juga lebih hebat dari ini. Siapa tahu rezeki kita.” Azman mengatur langkah. Tanah merah yang mengeras. Licin. Trek laluan yang tersedia papan membentuk anak-anak tangga jika laluan semakin curam. Keselamatan ‘tetamu’ wajar diambil kira. Pendaki akan berkongsi alam yang sama. Tiada siapa pun yang memiliki kaki gunung ini.

“Siapa tahu kau jumpa misteri alam.” Sokong Zani. “Macam dongeng Puteri Gunung Ledang atau Puteri Santubong. Aku tidak boleh bayangkan kalau kita terserempak Puteri Gunung Kinabalu pula atau Sumandak Kinabalu di sini. Sukar aku bayangkan kemasyhuran kita nanti.” Zani gelojoh berangan-angan.

Azman seorang pengkaji botanikal. Tumbuh-tumbuhan dan serangga merupakan subjek kegemarannya. Kerana itu dia cenderung mengisi masa lapangnya dengan meneroka alam sekalipun di belakang rumah ibunya di kampung. Aktiviti luar mendekatkannya dengan alam. Isterinya kematian kata-kata. Tidak lagi mampu menghalang dirinya. Waktu rehat juga digunakannya ‘menghilang’ mencari khazanah alam.

Azman terkenangkan kata-kata terakhir isterinya. Meluap-luap marahnya ketika dia memberitahu akan mendaki Gunung Kinabalu lagi. Azman lali dengan sikap isterinya. Sepatutnya mereka sekeluarga balik kampung sempena cuti sekolah ini, namun ada perkara lain lebih penting. Jika berhasil, Azman yakin isterinya akan ‘tunduk’ dan mungkin akan ada juga yang ‘tunduk’ kepadanya. Senyuman lelaki.

Azman pernah memohon melakukan penyelidikan di kaki gunung ini. Hajat belum kesampaian. Birokrasi memanjang. Wang ringgit bergulung-gulung dan segerombolan pula mengikut yang akhirnya hanya menjadi ‘bingkai gambar’. Azman sedar kerana itu dia ‘mencuri’ masanya. Mencari di celah-celah ‘jalan’. Azman ingin mencipta sejarah dirinya. Menaikkan namanya dan bukan dengan menunggu atau menjadi ‘penunggu’.

“Mustahil pekerja di sini yang hari-hari berulang-alik tidak pernah menggunakan jalan lain.” Zani mengukur ilmu komandonya. Dia telah masak dengan cabaran. Hidup berbulan-bulan lamanya di dalam hutan. Di persisiran pulau. Mustahil kaki gunung ini tidak tewas. Keberanian itu tersedia dalam diri. Dia juga bertahun-tahun berkorban untuk negara dan mungkin kaki gunung ini akan ‘terkorban’ di tangannya. Zani yakin.

“Kau yakin kita akan jumpa jalan keluar?” Azman meminta kepastian. Mereka telah lama bersahabat sejak di bangku sekolah rendah. Masak perangai masing-masing.

“Ya.” Keyakinan yang penuh. “Apa yang kau ada?”

“Video camp, botol specimen, sweater, seluar, baju hujan, air, buku kecil, sarung tangan, bateri dan coklat.” Azman menutup semula beg galasnya.

“Aku pun sama. Ada pisau lagi. Jangan bimbanglah jarak dari sini hanya 3 kilometer saja. Pasti kita akan sampai ke Mempening. Bersedia?” Zani sudah nekad. Azman juga demikian. Rakan-rakannya tidak kelihatan. Mereka sengaja menjauhkan diri. Pendaki meneruskan langkah masing-masing. Pemandu arah tidak kelihatan. Lagipun mereka telah lali mendaki. Trek ini bagaikan jalan ke ‘Tamu’. Seharian mereka boleh sampai dan turun semula.

“Tengok perempuan tu, angkat tong gas pun kuat. Kita berlenggang-lenggang pun payah.” Azman mengagumi wanita-wanita ini. Tong gas seberat 14 kilogram mudah diangkat ke pusat rehat. Ada juga yang membawa bebanan bahan makanan.

“Pindik-pindik tagap.” Kagum Zani.

“Kita buat jejak masuk. Sekejap kita keluarlah. Kau ada petakan?” Zani tidak sabar lagi. Azman sedikit bimbang. Alam yang belum pernah diterokai, malahan kawasan larangan pasti bukan semudah A-B-C. Serangga dan tumbuhan beracun juga ada di sekeliling mereka. Azman hanya mengangguk.

Mereka mula meloloskan diri dari trek asal. Menjauh ke tengah hutan dingin. Zani membuat jejak. Mematahkan ranting kayu yang mereka lalui. Azman menghalakan videonya. Sesekali dia menguis-nguis tumbuh-tumbuhan liar, mencari yang ‘lain’.

“Tengok ni?” Azman terkejut. Zani menunjukkan tanah merah yang licin seolah-olah trek lama.

“Mungkin ini jalan ke satu tempat. Mungkin ada khazanah tersembunyi di sini.” Setahu Azman penyelidikan juga dilakukan di celah-celah kaki gunung ini. Entah di mana. Masing-masing dengan kebenaran dan lokasi tersendiri. Azman ingin mencari ‘sesuatu’.

“Bukan mustahil, banyak pihak buat penyelidikan di sini. Kita ikut jalan inikah?”

“Ya, senang sikit. Ada jalan ni pasti ada jalan keluar. Entah-entah kita sampai cepat ke Mempening.” Bunyi angin berlaga dengan dedaun meruntunkan hati. Sunyi dipeluk kabus pagi. Mereka masih gagah. Azman gelojoh ‘memiliki’ alam. Zani hanya tersenyum. ‘Gagahnya’ telah terbukti. Mata hanya terbeliak menikmati alam. Pokok-pokok yang berdaun tirus. Pepaku liar di sebalik pokok buruk. Tumbuhan renik yang dingin.

“Baru sejam kita masuk.” Congak Zani. Mereka berada pada aras 7,500 kaki di laluan yang tidak pernah dilalui manusia.

“Isteri kau tidak marahkah?” Zani mengalihkan cerita. Bosan sedikit di dalam hati. Azman pula ‘lapar’ kerana ini bidangnya.

“Apa tidak.” Azman tersenyum. Dia memasukkan sejenis tumbuhan ke dalam plastik jernih dan membuat catatan. Azman pula menghalakan video.

“Perempuan sama saja, tetapi kalau mereka tidak membebel, lelaki tidak sedar diri.” Kata-kata Zani menyebabkan Azman memandangnya.

“Mengapa? Kau suka mendengar perempuan membebel?”

“Bayangkan mereka tidak membebel, lelaki akan menyusup sana sini. Boleh ‘makan luar’.” Zani ketawa. Azman juga demikian.

“Kau biasalah kan?” Soalan yang memanjangkan senyuman Zani. Orang bujang.

“Kau?” Zani ketawa lebih ceria. Bergenang matanya. Hilang kedinginan.

“Aku? Tidak. Sayang kalau ‘membenih’ di tempat haram. Selagi muda dan hidup memang kita ingat sentiasa gagah. Kenikmatan itu hanya sementara, tetapi dosa akan mengikut selamanya. Dalam jaga dan tidur. Bayangkan kalau kau mati esok!” Khutbah Azman membuatkan Zani malu.

“Kau ni, ingat mati pula. Sia-sia kita buat semua ini.” Zani mengalihkan mukanya. Azman memang benar. Bagaimana kalau esok hari matinya?

Azman terbayangkan wajah isteri dan anak-anaknya. Bagaimana kalau esok juga adalah hari matinya? Azman teringatkan kata isterinya lagi. Dia menoleh ke belakang. Wajahnya lesi. Kabus berkepul-kepul. Kedinginan menyelubungi mereka.

“Mengapa kabus cepat turun?” Dadanya berombak. Zani sedang mengunyah coklat. Zani bangun. Menelan air liurnya. Dia menyembunyikan kerisauannya. Ilmu komandonya masih diyakininya. Dia sudah biasa dengan cabaran. Ini pula sekadar di kaki gunung. Jika sesat pun masih berada di kaki gunung juga.

“Macam mana?” Azman risau. Di dalam begnya terkandung pelbagai spesimen tumbuh-tumbuhan yang pasti bernilai. Imej dalam video juga amat berharga. Zani bangun dan meninjau jejak yang telah mereka lalui tadi. Azman menurut. Hanya setapak. Zani hilang keberanian berundur.

“Kita ke depan,” putus Zani. Dia membuat tinjauan di hadapan pula. Kabus-kabus mengaburi mata.

“Kalau ke depan lagi bahaya. Kita undur ikut jejak lama. Kita baru masuk sejam.” Azman hanya berlandaskan akal waras. Peluh jantan tidak ingin menjengah. Dada berombak kencang.

“Mati kalau sesat. Anak isteri aku!” Azman gundah. Menahan rasa kehilangan. Bagaimana anak-anaknya kelak? Zani orang bujang. Mereka berundur.

“Bukan jalan ini.” Zani sedar dan mengaku mereka kehilangan arah. Jalan ini membawa mereka ke kawasan menghijau.

“Ya Allah, kawasan apa ini?” Azman dan Zani terlopong. Lupa kesesatan mereka. Pokok bonsai mengelilingi mereka. Pelbagai periuk kera yang melingkar sebesar anak kelapa. Bunga-bungaan yang pelbagai warna. Serangga kecil yang unik. Lumut yang menutupi tanah. Kolam kecil dengan air membiru. Azman mencedok air dan meneguknya. Bukan sekali tetapi sehingga dahaganya hilang.

“Nikmat alam pemberian Allah. Mungkin hanya kita akan bertemu.” Zani menghalakan video. Azman ghairah dengan kekayaan di depannya. Mungkin ini taman larangan. Azman merebahkan dirinya beralaskan lumut tebal. Sejuk dan nyaman. Zani menguitip buah strawberi yang masak meranum. Dia menggigitnya.

“Ya Allah sedapnya. Lembut dan manis.”

“Bagaimana kalau kita tidak pulang? Semua ini sia-sia.” Azman berfikiran waras. Jantungnya berdegup laju. Dia duduk menghitung nasib mereka.

“Kita perlu cari jalan keluar.” Dunia sedang menunggu mereka.

“Aku tidak dapat bayangkan semua ini. Kita akan disanjung. Kita kaya,” Zani menjerit girang. Zani teringatkan Liza. Liza pasti akan mengajaknya segera bernikah. Dunia akan heboh. Wajah mereka akan terpampang di dada akhbar. Stesen televisyen akan mengejar mereka. Rakaman ini akan menjadi hak mutlak mereka. Azman akan dipuji menggunung dan mungkin dinaik pangkat. Zani pula mempunyai pilihan kerjaya setelah bersara nanti. Mereka bertambah sibuk. Isteri Azman semakin membebel. Liza pula akan tercabar.

“Abang sibuk.”

“Oh, ada nama kau semakin ‘liar’. Bukankah elok saja kau tinggal di situ. Jadi penunggu.” Jerit Liza dan tangannya juga akan mengayun menampar Zani. Liza menolaknya. Zani tidak dapat mengimbangi diri. Lalu tersungkur jatuh. Zani tersentak. Rupanya sebatang kayu menghempap kakinya. Dia tidak terdaya mengerang kesakitan. Hanya tersandar menunggu keajaiban. Mereka masih di situ. Azman terkulai dingin. Matanya terkebil-kebil. Air liurnya meleleh. Waktu telah berputar laju. Sempat terasa malu akan kata-kata isterinya.

“Abang ingat semua ini mendatangkan hasil kepada keluarga kita? Jika abang jumpa kumbang mata satu pun belum tentu kita akan bahagia. Bagaimana kalau abang tidak dapat pulang?”

Kaki Gunung Kinabalu berbalam di selaputi kabus. Azman layu. Seekor kumbang sebesar bola golf merayap-rayap di kakinya. Bukan seekor, tetapi lima ekor. Mungkin sekeluarga. Kumbang yang bermata satu. Azman tidak mampu menghalakan video. Benar kata isterinya, dia tidak akan pulang. Alam juga yang belum tewas.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: