Kerana Dirimu Begitu Berharga

WAWA_NIEYRA
wawa_nieyra1908@yahoo.com
OLEH : SITI ZUBAIDAH BT SHAMSUDDIN (132555

Suasana di dalam kelas Lima Sains riuh-rendah. Masing-masing sibuk bercerita dan bergurau senda. Cikgu Fauzi, guru Matematik Tambahan belum muncul lagi. Tasya gelisah di tempat duduknya. Latihan yang diberi oleh Cikgu Fauzi belum disiapkannya lagi. Cikgu Fauzi sangat garang orangnya. Setiap kali waktunya, semua pelajar diam membisu. Tasya paling tidak suka waktu pelajaran matematik tambahan. Sudah le subjek itu susah, gurunya pula garang yang amat.
“Semua bangun! Assalamualaikum cikgu.” Nyaring suara Nasrul memberi salam.
“Waalaikummussalam. Duduk .” Mata cikgu Fauzi tepat memandang Tasya di belakang.
“Natasya. Bangun!”
Tasya tersentak. Dia tidak menyedari kehadiran cikgu Fauzi ke kelasnya. Dengan serta-merta dia berdiri mengikut arahan cikgu Fauzi.
“Awak buat apa sampai tak sedar saya masuk?”
Tasya hanya mendiamkan diri. Dia tidak tahu hendak memberi alasan. Tadi, dia betul-betul tidak sedar cikgu Fauzi telah masuk.
“Maafkan saya cikgu. Saya janji, saya takkan buat lagi.” Mata Tasya sudah digenangi air mata. Hatinya sudah kecut. Dia takut dimarahi cikgu garang itu.
“Awak berdiri sampai habis masa saya. Mana kerja rumah yang saya suruh buat semalam?” Dia berjalan ke hadapan kelas. Semua pelajar sibuk mengeluarkan buku latihan masing-masing. Cikgu Fauzi mula berjalan dari satu meja ke satu meja untuk melihat kerja rumah pelajar-pelajar Lima Sains.
“Azian, mana buku awak?”
“Saya tertinggal kat asrama cikgu.” Tersekat-sekat suara Azian tatkala menjawab pertanyaan cikgu Fauzi.
“Tertinggal atau awak sengaja tinggal. Saya nak awak balik ambil kat asrama sekarang juga.” Muka cikgu Fauzi kelihatan merah. Tasya semakin gelisah. Sebentar lagi cikgu Singa itu akan sampai di tempatnya. Pelajar Lima Sains menggelarkan cikgu Fauzi dengan gelaran cikgu Singa kerana beliau garang.
“Natasya, mana kerja rumah awak?”
Tasya membelek-belek bukunya. “Apa ni? Buku ke rojak? Semua subjek ada dalam satu buku. Mana latihan yang saya suruh buat tu? ” Semua pelajar memandang Tasya. Dia tidak tahu di mana hendak menyorokkan mukanya. Dia malu yang amat sangat.
“Tak siap cikgu. Saya tak tahu nak buat macam mana. Saya tak faham.” Tasya berusaha menyembunyikan ketakutannya.
“Kenapa sekarang baru cakap. Semalam, masa saya tanya semua diam. Awak tak cakap pun yang awak tak faham.” Mata cikgu Fauzi mencerlung ke arahnya.
“Mulai hari ini, saya nak awak buat dua puluh soalan sehari dan hantar kepada saya. Faham !. Saya tak nak soalan dari buku teks. Awak cari soalan dari buku-buku lain. Dan satu lagi, saya tak nak tengok buku rojak awak ni. “
Tasya bagai hendak pengsan mendengarnya. Mati lah aku. Dal le aku tak minat subjek ni. Dekat mana aku nak dapatkan soalan tu. Mulai hari itu, kebencian Tasya terhadap cikgu Fauzi semakin bertambah. Dia mula merancang sesuatu untuk kenakan cikgu Fauzi. Dia berpakat dengan kawan-kawan sekelasnya.

“Aku benci la cikgu Fauzi tu. Garang macam singa. Ikut suka aku la nak buat buku rojak ke apa. Bukan aku minta duit dari dia. Dah aku tak faham apa yang dia ajar, macam mana aku nak buat latihan? Salihah dan Aina hanya mendiamkan diri. Mereka tidak berani bersuara apabila Tasya tengah marah.
“Dah la kata aku macam semut hitam, jalan tengah malam kat atas arang. Ada ke patut. Dia ingat aku ni bodoh sangat?”
“Kalau macam tu, kau buktikan kat dia yang kau tu cerdik. Tak seperti yang dia kata.” Salihah cuba membakar semangat Tasya.
” Kau tu bukannya macam kura-kura panjat pokok kelapa. Kau tu macam Sang Kancil.” Aina bersuara sambil tangannya sibuk mengelap peluh di dahi. Mereka berjalan mengharungi panas terik untuk pulang ke rumah. Rumah Aina berdekatan dengan rumah Salihah. Mereka berjiran di Taman Sentosa. Rumah Tasya pula agak jauh dari Taman Sentosa. Untuk ke rumahnya, dia perlu melalui jalan yang agak sunyi dan dipenuhi oleh pokok-pokok dan semak-samun. Tasya sudah biasa berjalan keseorangan di kawasan itu kerana dari kecil lagi dia dan keluarga tinggal di situ.

Tasya pergi awal ke sekolah hari ini. Dia ada agendanya yang tersendiri. Setelah sampai di kelasnya, tiada sesiapa lagi yang ada. Dia terus menconteng papan hitam sepuas hatinya. Kemudian dia letak gam dan telur busuk di pemadam papan hitam. Masa pertama hari ini ialah subjek matematik tambahan. Biasanya cikgu Fauzi akan memadam papan hitam terlebih dahulu sebelum mengajar. Dai tidak pernah menyuruh pelajarnya memadampapan hitam. Tasya sudah membayangkan muka cikgu Fauzi yang akan terkena jeratnya sebentar lagi. Selepas siap kerjanya, dia ke kantin untuk bersarapan.
Loceng sudah pun berdering menandakan kelas akan bermula. Tasya melangkah dengan penuh semangat ke kelasnya. Sebentar kemudian, cikgu Fauzi masuk ke kelasnya.
“Kenapa dengan papan hitam ni? Kotor je. Natasya, padam ni.”
Membuntang biji mata Tasya saat namanya dipanggil. Habis la aku kali ni. Aku nak kenakan orang, tapi aku pula yang terkena. Tasya melangkah longlai ke hadapan kelas. Dia terpaksa juga memegang pemadam itu walaupun telur busuk itu melekat di tangannya. Selepas kejadian itu, dia sudah tidak mengenakan cikgu Fauzi lagi.

Peperiksaan SPM sudah semakin hampir. Tasya menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajarannya. Setiap hari dia mengadakan study group bersama kawan-kawannya. Apa sahaja yang mereka tidak faham, mereka berbincang bersama dan bertanya kepada guru-guru mereka. Tasya tidak lagi malas seperti dulu.
“Eh, yang ni kira macam mana?” Salihah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Mari aku tengok.” Tasya berfikir sejenak. “Macam ni la. Senang je ni.” Tasya menerangkan satu persatu cara penyelesaiannya kepada Salihah.
“Aku tengok kau semakin terror la buat add math.”
“Apa tidaknya. Tiap-tiap hari kena buat dua puluh soalan. Tu belum campur dengan latihan yang cikgu Fauzi beri kat dalam kelas.” Aina menyampuk setelah sekian lama membisu.
“Betul tu. Dulu, masa mula-mula cikgu Fauzi suruh, aku malas sangat nak buat. Tapi , lama-lama aku jadi seronok buat latihan. Aku jadi semakin faham apa yang cikgu Fauzi ajar kat dalam kelas. Sekarang ni, add math adalah subjek kegemaranku. Aku nak jadi macam cikgu Fauzi suatu hari nanti.” Tasya bercakap penuh semangat.
Kak Farah datang dengan membawa sepinggan jemput-jemput pisang dan seteko kopi o. Semua memandang ke arah Kak Farah.
“Apa pandang-pandang. Makan je la.” Kak Farah tersenyum manis. Setiap kali Aina dan Salihah datang ke rumah Tasya, Kak Farah pasti menghidangkan sesuatu untuk mereka.
“Kesian kat adik-adik akak. Dari tadi lagi belajar. Mesti lapar kan?” Kak Farah menuang air kopi ke dalam cawan. Sedang rancak mereka berbual sambil menikmati jemput-jemput petang itu, sebuah kereta Honda CRV memasuki halaman rumah mereka.
“Siapa pula yang datang ni?” Aina memanjangkan lehernya ke luar. “Eh! Macam kereta cikgu Fauzi la. Dia datang buat apa?”
Kak Farah sudah bangun dan berjalan ke halaman rumah. Dia kelihatan mesra dengan cikgu Fauzi. Salihah dan Aina hairan dan tertanya-tanya apa hubungan Kak Farah dengan cikgu Fauzi.
“Cikgu Fauzi tu bakal abang ipar aku. Tunang Kak Farah.” Tasya tersenyum melihat gelagat kawan-kawannya.
“Biar betul Tasya. Kau tak pernah beritahu kami pun sebelum ni.”
“Betul la Salihah. Aku pun baru tau je. Bulan lepas diorang bertunang. Aku tak sangka pula cikgu Fauzi tu tunang Kak Farah. Masa bertunang hari tu, cikgu Fauzi tak datang. Cikgu Fauzi pun tak tahu aku ni adik tunang dia. Minggu lepas, aku dikacau oleh budak-budak kampung yang duduk melepak tepi jalan masa aku balik dari sekolah selepas latihan bola jaring. Kebetulan masa tu cikgu Fauzi lalu kat situ dan dia menyelamatkan aku dari dikacau oleh budak-budak tu. Kemudian dia tanya la rumah aku kat mana. Masa dia hantar aku, Kak Farah ada kat rumah. Terkejut juga dia bila tahu yang aku ni adik Kak Farah.” Tasya tersenyum sendirian mengingatkan peristiwa dia hendak mengenakan cikgu Fauzi tetapi akhirnya dirinya sendiri yang terkena.

Sudah ramai pelajar menunggu di luar pejabat. Hari ini, keputusan SPM akan diumumkan. Tasya, Aina dan Salihah berdiri di hujung koridor. Masing-masing berdebar menunggu keputusan. Encik Saiful, kerani Sekolah Menengah Kebangsaan Merbok muncul di pintu utama pejabat. Semua pelajar berlari mendapatkannya.
“Tahniah Tasya. Kau dapat 9A.”
“Terima kasih dan tahniah untuk kau juga, Salihah. Tak lupa juga untuk kau Aina”
“Tak sia-sia kita belajar bersungguh-sungguh sebelum ni. Add Math kau dapat A1 lagi. Best la kau Tasya.” Aina dan Salihah hanya mendapat A2.
“Aku pun tak sangka. Mungkin berkat cikgu Fauzi paksa aku buat latihan. Kalau tak, sampai sekarang aku tak minat add math.” Hati Tasya berbunga riang. Tak sabar rasanya hendak pulang ke rumah untuk berkongsi kejayaannya dengan Kak Farah, abah dan umi.
“Terima kasih cikgu. Kerana dirimu, begitu berharga.”

Satu Respons

  1. entah leeee… ayat nye very d skema la…. tu laaa nk kene kan ckgu… kan dh kene sndiri….

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: